TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Friday, July 29, 2011

SAMBUTAN AWAL RAMADHAN DI MASJID INDIA (THE CALL OF SACRED MONTH)

Ipoh, Jumaat: 29.7.2011 / 27 Syaaban 1432

Bulan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam, iaitu bulan puasa sudah di ambang. Bulan Ramadhan ialah bulan amal, bulan kebajikan dan bulan yang penuh dengan kesempatan mempertingkat darjat ketaqwaan diri. Kesempurnaan amalan puasa berbekalkan ilmu yang benar menjadi penanda aras penting madrasah tarbiyyah sepanjang 29 atau 30 hari menahan diri daripada makan minum (lapar dan dahaga), serta menahan diri daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa.
Penceramah jemputan, hadapan kiri


Begitulah inti sari ceramah Ustaz Tuan Haji Wan Ahmad Salahuddin bin Wan Ahmad Rafaii, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kinta Utara kepada lebih kurang 200 orang pelajar Islam sesi pagi SMK St. Michael, Ipoh (SMI). Majlis berlangsung di dewan solat, Masjid India Muslim yang terletak bersebelahan dengan perkarangan sekolah dan Wisma Taiko. Ustaz Wan turut menyeru hadirin supaya menjauhi segala amalan dan kebiasaan yang boleh merosakkan ibadah puasa.
muslimin muslimat SMI

Antara keistimewaan Ramadan yang disebut termasuklah sebagai bulan turunnya al-Qur'an, terbukanya pintu syurga seluas-luasnya, terbukanya pintu rahmat juga seluas-luasnya, syaitan dan jin dirantai, serta anugerah masuk syurga melalui pintu ar-Rayyan. Program anjuran Panitia Pendidikan Islam SMI dengan kerjasama Gabungan Bekas Pelajar Islam SMI (Gapis) itu juga akan diadakan untuk murid sesi petang pada hari yang sama. Usai sesi ceramah, penyelaras tadarus al-Qur'an, Ustaz Suhaimi menyampaikan taklimat pelaksanaan program Ihya' Ramadhan (menghidupkan bulan puasa) yang telah disusun untuk tahun ini.

Hadir sama ialah Encik Mohd Zahir bin Ramli, Penolong Kanan SMI, Tuan Haji Mohd Sidik bin Haji Zakaria, Guru Kanan Bahasa, Ustaz Marhalim, ketua panitia Pendidikan Islam dan guru-guru beragama Islam yang lain. Walaupun ulang kaji ilmu tentang Ramadan dibuat dari masa ke masa, majlis sambutan seumpama ini lebih menjurus kepada proses muhasabah diri bagi menambah baik amalan Ramadhan al-Mubarak seiring dengan peningkatan usia, yang bererti juga makin singkat kesempatan untuk mengumpul bekal akhirat. Kepada semua warga Islam SMI dan pengunjung blog diucapkan selamat berpuasa...

Wednesday, July 27, 2011

KADET BOMBA PRAUNIVERSITI GILAP KEPIMPINAN (ENVISIONS THE DREAM TEAM)

Berdiri dari kiri: Toh Jin Yan, Nikki Lee (Penolong Bendahari),
Chong Jiy Cheng (Timbalan Pengerusi), Cikgu Syarani bin Ismail
(guru pelatih UPSI),Wong Jing Siong (Pengerusi),
Shahsidaran (Setiausaha),
Raja Iswara, Jotham (Penolong Setiausaha), Farez,
 Duduk dari kiri: Yuanath, Darren, Sanjay, Tan Chik Yong (Bendahari)

Exco Kadet Bomba Prauniversiti SMI

Antara matlamat program pengajian prauniversiti ialah untuk menggilap bakat kepimpinan dalam kalangan generasi muda yang memiliki ciri-ciri modal insan berkeperibadian tinggi. Ilmu dan kebijaksanaan yang ditimba daripada bilik-bilik kuliah dan rujukan bahan bacaan autentik selanjutnya dipindahkan dalam bentuk kegiatan lapangan sebenar. Menerusi proses perancangan dan pentadbiran komponen kokurikulum yang tertib, pelajar tingkatan 6 akan disediakan dengan pengalaman pembelajaran organisasi yang dinamik sifatnya.

Di SMK St. Michael, Ipoh (SMI), pasukan kadet bomba yang hanya dibuka kepada pelajar prauniversiti tingkatan 6, tumpuan terhadap kualiti kepimpinan begitu terserlah. Setiap anggota pasukan dilatih dengan disiplin, integriti dan kebijaksanaan dalam konteks organisasi. Segala perancangan aktiviti pasukan menjurus kepada pembentukan sebuah kumpulan yang memiliki hala tuju yang jelas.

Walaupun pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia belum membuat keputusan muktamad tentang status pasukan kadet bomba prauniversiti, anggota pasukan di SMI ternyata sangat berdikari. Malah, salah seorang guru penyelaras pasukan memiliki tauliah kejurulatihan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat sendiri, serta bertaraf pegawai. Pasukan berkenaan akan menyambung semula aktiviti mingguan selepas cuti hari raya puasa ini... 

Saturday, July 23, 2011

SUKAN TAHUNAN KEKAL TRADISI (MICHAELIAN'S SPORT CELEBRATION)

Ipoh, Sabtu: 23 Julai 2011 / 21 Syaaban 1432

Kejohanan sukan tahunan SMK St. Michael, Ipoh (SMI) sudah masuk edisi ke-84. Walaupun kebanyakan acara telah selesai semasa prasukan, namun temasya rasmi tetap dianggap sebagai paling meriah dan gilang-gemilang. Acara-acara kegemaran ramai seperti 100 meter dan lari berganti-ganti jemputan mendapat perhatian penonton.
bacaan ikrar sukan di hadapan Iqbal Ali (berbaju merah)

Pelancaran sukan tahunan kali ini dilakukan oleh Mohd Iqbal Ali bin Kassim Ali, bekas Michaelian yang pernah menganggotai pasukan kebangsaan dalam pertandingan Piala Dunia bagi acara kriket. Kini, beliau ialah Setiausaha Persatuan Kriket Malaysia, dan seorang ahli perniagaan yang berjaya. Dalam ucapan pelancarannnya, beliau menyebut betapa bidang sukan telah diangkat sebagai satu aktiviti pintar yang menggabungkan segala kepakaran taktikal, teknikal, sains, seni, organisasi dan kewangan.
Selain acara balapan dan padang, temasya sukan tahunan SMI dimeriahkan dengan pertandingan perbarisan yang membabitkan semua tingkatan. Disebabkan tarikh sukan pada tahun ini dilaksanakan lewat pertengahan tahun, pelajar prauniversiti tingkatan 6 Rendah turut berpeluang menyertainya. Sejumlah 61 kontinjen perbarisan yang mengambil bahagian telah membuat pelbagai persediaan, termasuk gerak formasi dan gimik kreatif bagi memikat perhatian juri.

Setakat ini, acara sukan di SMI dilaksanakan secara tertutup, iaitu hanya membabitkan tenaga pegawai dalaman. Mungkin, pada tahun hadapan, sempena sambutan 100 tahunan penubuhan SMI, kelainan dan perubahan akan berlaku. Sesungguhnya, seperti yang diungkapkan oleh Iqbal Ali, sukan juga sudah dianggap sebagai salah satu penanda aras penting kecemerlangan pendidikan...

Thursday, July 21, 2011

KILAS TANGKIS - KELAB BRASHIAN SAMA HANDAL (THE BETTER SIDE WON)

Ipoh, Selasa: 19 Julai 2011 / 17 Syaaban 1432

Setelah beberapa kali tertunda, akhirnya pertemuan antara dua kelab badminton amatur, Kilas Tangkis dan Kelab Brashian menjadi kenyataan. Perlawanan berlangsung di gelanggang Brashian di Sekolah Menengah Teknik, Ipoh, Persiaran Brash. Kilas Tangkis diketuai oleh Ibrahim Ahmad, manakala Brashian diketuai oleh Azmi Yassir yang menggabungkan guru, pemilik syarikat, kakitangan swasta dan penyelidik.
bergambar sebelum berentap di gelanggang

Keputusan Perlawanan
(nama beregu Kilas Tangkis disebut dahulu)

Ahmad Shakir - Ibrahim kalah kepada Fuad - Nizam 21-19, 11-21, 19-21

Haji Zulkefli - Shahrani kalah kepada Idrus - Syed Badiozzaman 17-21, 15-21

Saiful Bahri - Chin kalahkan Amin - Suhaimi 21-15, 21-19

Azhar (penulis blog) - Syahrani kalahkan Thuraisingam - Zaini 21-10, 21-11

Azmi Zuki - Shahruzzaman kalahkan Arif - Johan (bukan nama sebenar) 21-10, 21-19

Sebenarnya terdapat banyak lagi permainan yang berlangsung, tetapi tidak direkodkan secara rasmi. Berdasarkan keputusan di atas, Kilas Tangkis masih unggul dengan kedudukan 3-2. Ketua Kelab Brashian, Encik Azmi Yassir yang juga Penolong Kanan HEM, SM Teknik Brash mencadangkan pertemuan ulangan selepas musim raya nanti...

Tuesday, July 12, 2011

KUNJUNGAN PELAJAR PRAUNIVERSITI SMK ABDULLAH MUNSHI KE SMI (FUTURISTIC NETWORKING)

Ipoh, Selasa: 12.7.11 / 10 Syaaban 1432

Proses pembelajaran tidak terhad di bilik darjah atau bilik kuliah sahaja. Aktiviti lapangan dan lawatan memberi nilai tambah terhadap pengetahuan yang diperoleh secara konseptual dan teori. Perkongsian pengalaman dengan pihak-pihak di luar persekitaran pembelajaran formal ialah satu bentuk jaringan yang bakal muncul tanpa diduga dalam jangka panjang. 
 rombongan SMK Abdullah Munshi bersama pelajar prauniversiti SMI

Sejumlah 40 orang pelajar tingkatan 6 Atas, serta 4 orang guru pengiring, termasuk Penolong Kanan Tingkatan 6, SMK Abdullah mUNSHI, Jalan P. Ramlee, Pulau Pinang telah sudi berkunjung ke SMK St. Michael, Ipoh (SMI) selama kira-kira 4 jam bermula pukul 10 pagi. Ketibaan mereka telah disambut oleh pengurusan tingkatan 6 SMI dan Majlis Tingkatan 6 SMI. Majlis sambutan rasmi dan ucapan alu-aluan telah berlangsung di Auditorium SMI.
"sedap beritahu kawan, tak sedap beritahu kami"
turut hadir ialah pengetua SMI, Encik Phoon Chong Chee

Selepas taklimat kurikulum dan kokurikulum, sekalian hadirin menikmati jamuan tengah hari seadanya di kafeteria SMI yang diiktiraf sebagai kantin terbaik di negeri Perak. Acara diteruskan semula di auditorium dengan slot soal jawab antara pemimpin pelajar Abdullah Munshi dengan pemimpin pelajar SMI. Kualiti soalan, jawapan spontan dan taktik kawalan khalayak menunjukkan bahawa pengajian prauniversiti yang dilalui di kedua-dua buah sekolah telah memantapkan ciri kepimpinan yang diingini. 
Penolong Kanan Tingkatan 6 Munshi, En. Ahmad Zaki bin Md. Noor;
Penolong Kanan Tingkatan 6 SMI , Puan Tan Cheng Choo

Seperti lazim, acara bertukar-tukar cenderamata tidak dilupakan. Setelah itu, rombongan Abdullah Munshi dibawa melawat persekitaran SMI, antaranya galeri sambutan 100 tahun SMI, pejabat prauniversiti, bilik kuliah dan kemudahan lain yang berkaitan dengan pengajian prauniversiti di SMI. Moga-moga jalinan pintar yang sudah dirintis ini akan membawa kebaikan kepada bakal-bakal pemimpin yang hebat dalam kalangan pelajar prauniversiti Abdullah Munshi dan SMI...

Monday, July 11, 2011

WAJAH-WAJAH BOSAN (THE PRISON MIND)

Hidup terkurung memang amat membosankan. Azab, bengang, derita, geram, gundah gulana, hiba, kecewa, keliru, kosong, marah, merana, murung, niskala, patah hati, pedih, putus asa, sedih, seksa, sendiri, sengsara, sepi, sunyi, terkilan, terpencil, terpinggir, tertekan dan pelbagai bentuk perasaan berat yang ditanggung datang bertubi-tubi. Barangkali mungkin itu yang akan diluahkan oleh haiwan-haiwan yang menjadi tontonan pengunjung di zoo dan pameran andai boleh bersuara seperti manusia.
Di persekitaran habitat semula jadi, haiwan-haiwan itu bebas bergerak semahu-mahunya. Kera, monyet, lotong dan ungka bagaikan pelagak ngeri bergayut dan melompat dari dahan ke dahan. Kura-kura, penyu dan tuntung ialah perenang perkasa yang menakluk kawasan berair.

Apakah iktibar yang boleh kita ambil? Barangkali kita boleh membuat renungan kendiri bahawa kita tidak seyogia mengurung diri sendiri, apatah lagi cuba mengurung orang lain. Maksudnya, percubaan mengongkong minda dengan sesuatu pendirian yang tidak tentu hujung pangkal bakal menjerumuskan diri dalam kumpulan wajah-wajah bosan seperti yang dialami oleh haiwan tontonan tadi...

Saturday, July 9, 2011

MEMAHAMI HAIWAN PELIHARAAN (THE WORLD OF PROLIFIC BREEDER)

Kucing ialah binatang peliharaan paling popular di dunia dengan jumlah populasi dianggarkan sebanyak 202 juta ekor, diikuti oleh anjing sebanyak 171 juta ekor. Kajian mendapati bahawa hobi memelihara binatang dapat mengurangkan tekanan, di samping memanjangkan usia pemilik. Buktinya, daripada 29 pesakit jantung tersumbat (koronari) yang tiada binatang peliharaan, 11 daripadanya mati, berbanding dengan hanya 3 daripada 52 pesakit yang memelihara binatang di rumah masing-masing tidak berjaya diselamatkan.
Terdapat juga petua orang dahulu kala bahawa dengan memelihara binatang, cubaan pukau oleh pencuri tidak akan berkesan. Setakat ini belum ada kajian yang dapat mengesahkan perkara berkenaan. Namun, sebagai ikhtiar, tidak salah untuk mencuba setelah tawakal terhadap ketentuan Ilahi.

Pemilik bintang peliharaan patut memiliki pengetahuan tentang keperluan makan minum, rawatan dan tanggungjawab lain terhadap makhluk yang bernyawa itu. Risiko jangkitan dan sensitiviti jiran, khususnya di kawasan taman perumahan hendaklah diambil kira. Naluri berpasangan dan kadar pembiakan binatang peliharaan juga tidak boleh diabaikan.

Kanak-kanak yang sukakan arnab (bunnies, buck (jantan dewasa), doe (betina dewasa), kitten (arnab muda) perlu dilatih untuk membelai binatang itu dengan cermat kerana struktur tulang arnab yang lembut. Arnab ialah sejenis binatang sosial yang gemar bergerak bebas dan bermain-main. Maka, arnab perlu dibiarkan menghambur ke sana ke mari di kawasan padang rumput terbuka supaya keletah semula jadi dunia liar mereka terserlah.
Andai kata kelihatan tanda-tanda kemurungan, arnab hendaklah dibawa berjumpa doktor veterinar untuk pemeriksaan lanjut. Jangan lupa bahawa usia haiwan peliharaan tidaklah sepanjang mana. Arnab misalnya boleh bertahan antara 9 hingga 12 tahun, bermakna umur tua seekor arnab mungkin hanya 4 tahun...

Thursday, July 7, 2011

BAGAIMANAKAH HENDAK BERGELAR PROFESOR? (THE HIGHEST AUTHORITY IN THE ACADEMIC WORLD)

Sesetengah orang membayangkan bahawa profesor mesti berdahi luas, bercermin mata tebal, berjanggut panjang dan berusia agak lanjut. Profesor juga ialah insan serba tahu yang cukup mengkagumkan. Maka, kalau ada kawan-kawan yang bercakap ala falsafah, mereka akan dipanggil profesor, walaupun hakikatnya kawan itu hanyalah budak sekolah!

Profesor ialah kedudukan tertinggi dalam dunia keilmuan di menara gading. Jawatan hakiki seorang profesor ialah pensyarah universiti yang mengendalikan kuliah, menyelia calon ijazah tinggi dan melakukan penyelidikan yang autentik dalam bidang pengkhususan akademik masing-masing. Di Malaysia, kedudukan profesor ialah suatu jawatan akademik naik pangkat yang perlu melepasi tapisan keutuhan dan norma perjawatan awam.

Sebelum bergelar profesor penuh, seseorang pensyarah mesti memperoleh pangkat profesor madya (associate professor) terlebih dahulu. Sesetengah universiti melantik pensyarah kanan sebagai penolong profesor (assistant professor) sebelum layak dicalonkan sebagai profesor madya. Terdapat sebilangan besar pensyarah universiti yang bersara tanpa apa-apa gelaran akademik seperti itu.

Kelayakan akademik minimum bagi calon profesor madya ialah ijazah sarjana, dengan pengalaman mengajar tidak kurang lima tahun, atau ijazah doktor falsafah (Ph.D) dengan pengalaman mengajar minimum tiga tahun, serta telah terbukti menghasilkan penyelidikan dan sumbangan akademik yang cemerlang dan diiktiraf oleh komuniti cendekia.
Calon profesor perlu membuat permohonan untuk proses temu duga di hadapan panel profesor kanan, pentadbiran universiti dan wakil majikan (Jabatan Perkhidmatan Awam). Antara profesor temuda yang pernah dilantik ialah Dr. Othman Yong dari Fakulti Pengurusan Perniagaan UKM yang ketika itu berusia 33 tahun. Beliau yang asalnya penyandang ijazah sarjana muda matematik kemudian beralih kepada pengkhususan kewangan bagi ijazah sarjana dan Ph.D.

Tempoh minimum untuk lulus ijazah sarjana muda ialah tiga tahun, sarjana setahun dan Ph.D dua tahun. Pelajar sarjana muda yang didapati cemerlang akan terus menyambung pengajian ke peringkat Ph.D tanpa perlu ijazah sarjana. Sebagai contoh, seorang pelajar UKM tamat ijazah sarjana muda ketika berusia 22 tahun dan lulus Ph.D dalam usia 25 tahun sahaja.

Gelaran profesor hanya boleh digunakan selagi pensyarah berkenaan masih berkhidmat di universiti. Panggilan profesor hanya boleh dikekalkan sampai bila-bila andainya seseorang profesor dianugerahkan pula dengan gelaran profesor emeritus. Di Malaysia, sebagai tambahan, sudah ada seorang profesor diraja (Pak Ungku Abdul Aziz, pencetus idea penubuhan Lembaga Tabung Haji) dan 3 orang profesor ulung, termasuk Prof. Dr. Shamsul Amri Baharuddin dari UKM...