TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Friday, September 30, 2011

SMI, STAR SAMA HANDAL (THE SPIRIT OF PREMIERSHIP)

Ipoh, Khamis: 29.9.11 / 1 Zulkaedah 1432

Tahap kecergasan dan stamina jelas menentukan kedudukan dua pasukan bola sepak kejohanan sekolah premier yang bertarung dalam perlawanan ulangan petang tadi. SMI sekali lagi berkunjung ke laman Star dengan membawa harapan untuk mencatat kemenangan bergaya sebagai tuan rumah kejohanan edisi 2011 ini. SMI bermula garang dengan menyumbat gol pendahuluan. 
Skrip kemudian berubah tiba-tiba. Star menjaringkan dua gol untuk mendahului kedudukan 2 - 1 hingga tamat separuh masa pertama. SMI wajib menang jika masih berhajat menghuni kedudukan empat terbaik.

Star masih menguasai permainan pada awal separuh masa kedua hingga berjaya menambah jaringan yang berpunca daripada sepakan sudut yang singgah di bucu kanan penjaga gol SMI. Namun, skrip kembali berubah, SMI seolah-olah mendapat angin kedua, sedangkan Star pula yang tampak lesu.

Kesempatan itu digunakan dengan dua jaringan lambung (lob) cantik yang melepasi jangkauan penjaga gol Star ketika permainan masih berbaki 10 minit. SMI mendapat suntikan tonik baru mula mencatur peluang untuk mencari gol kemenangan. Namun, tiupan wisel penamat mendahului impian SMI.
semangat premier, saling mengucap terima kasih

Perlawanan berkesudahan seri 3 - 3. Star layak ke perlawanan penentuan tempat ke-3 menentang King Edward VII, Taiping yang ditewaskannya di peringkat kumpulan. Star memiliki kelebihan jaringan apabila hanya tewas tipis 2-3 kepada Cliffod, sedangkan SMI tewas 1-3.

Tahniah kepada seluruh pengendali dan pemain SMI yang telah mempamerkan persembahan yang sentiasa mencemaskan lawan. Pada masa depan, SMI perlu memberi perhatian kepada aspek kecergasan dan stamina supaya dapat mengekalkan rentak permainan sehingga wisel penamat ditiup pengadil. Tahun 2012 akan menyaksikan kemunculan pasukan impian SMI...

Tuesday, September 27, 2011

KEPUTUSAN KEJOHANAN SUKAN SEKOLAH-SEKOLAH PREMIER (MICHAELIANS TOOK THE CHALLENGE)

Hoki:

SMI  0,   King Edward VII Taiping  1

SMI  0,   Star Ipoh  2

(perlawanan berlangsung di Stadium Azlan Shah, Ipoh: Isnin, 26.9.11)

Bola Sepak:

SMI  1,   Clifford, Kuala Kangsar  3

(perlawanan berlangsung di Padang SMI: Isnin, 26.9.11)

Jadual perlawanan seterusnya (Melibatkan SMI sahaja)

Hoki

SMI lawan MCKK   (Selasa, 27.9.11) di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh md. 1.00 petang

SMI lawan Clifford    (Selasa, 27.9.11) di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh md. 1.00 petang

Bola Sepak

SMI lawan Star (perlawanan ulangan sepenuh masa)  (Khamis, 29.9.11) di Padang Star, Ipoh md. 5.00 petang

Perhatian: Kedua-dua skuad bola sepak dan hoki masih berpeluang merebut tempat sekurang-kurangnya penentuan kedudukan pingat gangsa jika mampu menewaskan lawan yang ditemui hari ini.

Penyokong SMI dialu-alukan turun beramai-ramai. Jumpa di sana...

Monday, September 26, 2011

MAJLIS PERSARAAN PUAN RATTAN KAUR (THE ENDLESS CONTRIBUTION)

Ipoh, Isnin: 26.9.11 / 28 Syawal 1432

Hasrat asal ingin bergelar ahli biokimia, iaitu sejajar dengan bidang pengkhususan akademik di universiti. Namun, kerana tidak ingin berjauhan dengan suami, seorang pegawai tentera, Puan Rattan Kaur memilih kejaya keguruan. Sebagai guru penolong, beliau ditugaskan mengajar bermacam-macam mata pelajaran, termasuk Pendidikan Seni Visual. 
Hari ini, Puan Rattan Kaur menyambut ulang tahun kelahiran ke-58, iaitu usia persaraan wajib bagi kakitangan awam buat masa ini. Jawatan akhir beliau ialah sebagai guru akademik tingkatan 6 gred DG 52 hakiki dan mengajar mata pelajaran Matematik S untuk jurusan kemanusiaan. Walaupun sebahagian pelajar kemanusiaan tidak pernah mengikuti kelas Matematik Tambahan, Puan Rattan sanggup menyediakan begitu banyak modul pembelajaran yang memudahkan kefahaman dan meningkatkan kecekapan pelajar.
Dalam ucapan perpisahan beliau, Puan Rattan sempat menceritakan pengalaman membimbing pelajar sehingga mereka akhirnya menunjukkan minat yang tinggi terhadap mata pelajaran yang mereka anggap sukar pada mulanya. Hubungan beliau dengan pelajar memang terjalin erat. Foto di atas menunjukkan Puan Rattan bersama pelajar UA3 yang nampaknya begitu berat hati melepaskan guru kesayangan mereka pergi...

Sunday, September 25, 2011

CIKGU FAUZI PINDAH SEKOLAH (MICHAELIANS MISSING ANOTHER DEDICATED TEACHER)

Ipoh, Jumaat: 23.9.11 / 25 Syawal 1432

Ketika tahun 2011 hendak melabuhkan tirai, warga SMK St. Michael, Ipoh (SMI) kehilangan banyak sekali tonggak yang berjasa besar ekoran musim persaraan guru dan proses pusing tukar (redeployment) guru dan kakitangan sekolah yang telah berkhidmat dalam sesuatu tempoh, atau pengisian norma perjawatan berdasarkan opsyen guru. Terbaharu, SMI harus melepaskan seorang guru lelaki yang sangat disenangi dalam kalangan warga sekolah, iaitu Encik Mohamad Fauzi bin Ibrahim.
Ustaz Suhaimi, Cikgu Adi, Cikgu Fauzi dan Cikgu Ibrahim

Cikgu Fauzi menerima arahan pertukaran setara ke SMK Simpang Pulai mulai dari 16.9.11. Bagi melicinkan proses serah tugas, Cikgu Fauzi masih hadir ke SMI dalam tempoh seminggu daripada tarikh berkenaan. Maka, hari ini secara rasmi Cikgu Fauzi mengucapkan selamat tinggal, khususnya kepada rakan-rakan terdekat beliau berhampiran ruang komputer bilik guru.

Cikgu Fauzi berasal dari Selangor Darul Ehsan, tetapi telah lama menetap di Batu Gajah, Perak. Beliau ialah siswazah matematik dari universiti bertaraf Apex, iaitu Universiti Sains Malaysia (USM). Pengalaman belajar di sebuah sekolah berasrama penuh telah banyak membantu Cikgu Fauzi memahami watak atau karakter yang diperlukan untuk mencapai kecemerlangan dalam pembelajaran Matematik.

Cikgu Fauzi memiliki kepakaran mengajar kelas-kelas peperiksaan, iaitu tingkatan 3 dan tingkatan 5. Saban tahun, Cikgu Fauzi dilantik sebagai guru tingkatan. Cikgu Fauzi mudah didekati oleh murid dan sentiasa berusaha membimbing murid supaya melihat Matematik sebagai sesuatu yang menarik dan santai.

Cikgu Fauzi pernah dilamar untuk berkhidmat di pejabat pelajaran daerah, tetapi beliau lebih cenderung untuk terus menabur bakti secara langsung di bilik darjah. Sesungguhnya warga SMK Simpang Pulai sangat bertuah justeru menerima seorang guru matematik yang berpengalaman luas, kreatif dan mesra murid. Warga SMI mengucapkan selamat maju jaya kepada Cikgu Fauzi...

Friday, September 23, 2011

VIDEO SMI JUARA KEBANGSAAN (MICHAELIAN'S SPLOOSH THE REAL FANTASY)

Pasukan Sploosh SMK St. Michael, Ipoh (SMI) yang terdiri daripada 6 orang pelajar prauniversiti 6 Rendah telah membuktikan satu perkara, kejayaan sentiasa menggamit di hadapan, serta perlu dikejar. Menerusi bimbingan Puan Shafinaz, guru senior Muet dan Puan Hasliza, guru cemerlang Bahasa Inggeris, SMI melakar satu lagi kejayaan bersejarah, iaitu muncul sebagai juara kategori video, pertandingan akhbar dalam pendidikan, Newspaper-in-Education (NiE) anjuran akhbar Star di Petaling Jaya baru-baru ini.
yang ini kelab badminton prauniversiti

SMI berjaya mengungguli saingan sejumlah 1,200 penyertaan video sekolah-sekolah seluruh negara. SMI berhadapan dengan dua buah sekolah yang mewakili Kuala Lumpur dalam pertandingan akhir. Klip video berkenaan boleh diakses menerusi You Tube di URL NiE 2011.
Sploosh bersama Puan Shafinaz dan En. Md Zahir (penolong Kanan)

Setiap peserta dan guru penasihat memenangi sebuah i-pod bernilai RM600 dan hadiah wang tunai. Upacara penyampaian semula hadiah di peringkat sekolah disempurnakan oleh Penolong Kanan. Kempat-empat peserta ialah pelajar UA2 (6 Atas Sastera 2)...

Thursday, September 22, 2011

BOLA SEPAK PREMIER: SMI 0, STAR 1 (MISSING IN ACTION)

Ipoh, Khamis: 22.9.11 / 24 Syawal 1432

Perlawanan yang sepatutnya bermula pukul 5 petang tertunda lebih sejam gara-gara masalah teknikal. Saingan separuh masa pertama nyata dikuasai oleh pasukan SMK St. Michael, Ipoh. Sebanyak empat peluang keemasan di hadapan pintu gol Star, tetapi semuanya sipi.
Kawalan bola SMI yang kemas menyebabkan Star terpaksa membuat beberapa percubaan jarak jauh yang menuju tepat ke gawang gol. Mujur "Apek" SMI sentiasa siap siaga menangkap bola dari setiap sisi. Maka, separuh masa pertama berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.
Apabila separuh masa kedua bermula, skrip perlawanan pun berubah. SMI yang bertungkus-lumus mencari gol awal tampak sedikit lesu. Star mengambil kesempatan itu dengan menguasai kawalan bola dan melancarkan serangan bertali arus. Akhirnya, pada minit ke-10, dalam keadaan kelam-kabut di hadapan pintu gol SMI, penyerang Star dapat melepaskan satu rembatan leret ke bucu gol SMI tanpa siapa dapat menahan.
Apabila azan Maghrib berkumandang, permainan dihentikan. Keadaan juga sudah gelap, sedang saingan masih berbaki 10 minit. Keputusan muktamad sama ada perlu perlawanan ulangan penuh, atau sebarang opsyen lain bergantung kepada jawatankuasa teknikal penganjur yang dijangka diketahui esok pagi...

SEKITAR PERSARAAN BRO. MATTHEWS (DEDICATED TILL THE END)

Ipoh, Isnin: 19.9.11 / 21 Syawal 1432


semangat 1Malaysia

mentor dan sahabat

ucapan perpisahan

sijil penghargaan kerajaan

Sunday, September 18, 2011

BOLA SEPAK PREMIER: SMI JUARA KUMPULAN C (THE ROAD TO GLORY)

Batu Gajah, Khamis: 16.9.11 / 18 Syawal 1432

Impian terus menyala. Pasukan bola sepak SMK St. Michael, Ipoh (SMI) melepasi pusingan awal kejohanan sekolah-sekolah premier sebagai juara kumpulan C.

Walaupun kedua-dua buah pasukan, SMI dan Sekolah Sultan Yusuf, Batu Gajah (SYS) telah layak ke pusingan kedua, pertembungan di laman SYS itu ialah pertarungan maruah. Kedua-dua pasukan memilih untuk bermain secara berhati-hati, sambil menyimpan tenaga bagi menghadapi saingan lebih mencabar yang menanti kelak. Hasilnya, kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri 1-1.

SMI dan SYS mengutip 5 mata hasil dua kemenangan dan satu seri. SMI menewaskan ACS 2-0 dan St. Anthony, Teluk Intan 3-0. SYS pula menumpaskan ACS 3-2, dan St. Anthony 2-0. Kelebihan jaringan jelas berpihak kepada SMI, iaitu 6-1, berbanding SYS 6-3.

Undian pusingan kedua telah dibuat. Pasukan yang bakal berentap dengan SMI ialah SMK Clifford, Kuala Kangsar (Clifford) dan Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (Star). Walaupun kedua-dua pasukan itu memiliki reputasi yang tersendiri, SMI harus meneruskan kemaraan tanpa rasa gentar.

Skuad SMI perlu menghadapi lawan satu demi satu  dengan berbekalkan percaturan taktikal jurulatih, serta kreativiti sepasukan di atas padang. Pertahanan kental seperti yang ditunjukkan dalam pusingan awal hendaklah dikekalkan supaya lawan tidak berpeluang menghampiri pintu go SMI. Sementara itu, jentera tengah dan sayap SMI harus bersedia mengkucar-kacirkan benteng lawan untuk membuka jaringan.

Selamat Berjuang... 

Tuesday, September 13, 2011

BOLA SEPAK PREMIER: SMI MARA KE PUSINGAN KEDUA (MICHAELIANS CRUISED EASILY)

Teluk Intan, Isnin: 12.9.11 / 14 Ramadan 1432

Pasukan bimbingan Cikgu Saiful Bahri dan Cikgu Zulkarnain Daud berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua kejohanan sekolah-sekolah premier kumpulan C setelah mudah membenam cabaran SMK St. Anthony, Teluk Intan dengan jaringan 3-0.




berita penuh menyusul...

Friday, September 9, 2011

SUKAN SEKOLAH PREMIER: SMI CATAT KEMENANGAN SULUNG (MICHAELIANS DESERVED THE PRIDE)

Ipoh, Khamis: 8.9.11 / 10 Syawal 1432

Di laman sendiri, pasukan bola sepak SMK St. Michael, Ipoh (SMI) mencatat permulaan memberangsangkan apabila menafikan cabaran jiran setempat, SMK Anglo Chinese, Ipoh (ACS). SMI berjaya menumpaskan pasukan lawan dengan jaringan 2-0. Hal itu bermakna bahawa peluang SMI untuk mara ke pusingan seterusnya begitu cerah.

Selepas ini, SMI akan bertandang ke SMK St. Anthony, Teluk Intan pada hari Isnin, 12 September ini. Kemudian, SMI akan bertemu pula dengan SMK Sultan Yusuf, Batu Gajah pada hari Khamis berikutnya, 15 September, juga di tempat lawan. Penyokong pasukan SMI yang berkelapangan diharap hadir memberi sokongan padu kepada pasukan bimbingan Cikgu Saiful Bahri dan Cikgu Zulkarnain Daud itu.

berita lanjut dan gambar menyusul...

Tuesday, September 6, 2011

SAMBUTAN MERDEKA SMI DITUTUP MERIAH (THE DAY OF GLORIOUS MEMORY)

Ipoh, Selasa: 6.9.11 / 8 Syawal 1432

Dalam suasana kesibukan suku terakhir hujung tahun dengan pentadbiran peperiksaan dan dokumentasi, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) masih sempat menganjurkan penutupan rasmi perayaan merdeka edisi ke-54 pagi tadi. Pelajar tingkatan 6 Atas tidak dapat menyertai majlis kerana sudah mula menduduki peperiksaan percubaan STPM bermula pukul 8.00 pagi. Murid tingkatan 5 pula akan menduduki peperiksaan percubaan SPM bermula esok.
Pidato kemerdekaan disampaikan oleh tetamu kehormat, Tuan Haji Mior Idris bin Haji Mior Ahmad, bekas Penolong Kanan Petang SMI. Sebelum itu pengetua, Puan Loh Wei Seng menyentuh pelaksanaan Indeks Keberhasilan Utama Negara (National Key Area Results, NKRA) sebagai salah satu pengisian kemerdekaan negara. Pengacara majlis ialah Encik Adi Yusri yang lengkap dengan persalinan baju Melayu dan songkok jalur gemilang. 
Sebagai gimik, sekumpulan pelajar tingkatan 6 Rendah menjayakan konvoi motosikal keliling perkarangan sekolah sambil mengibar jalur gemilang. Dua buah kereta guru yang penuh dengan bendera Malaysia turut serta mengiringi konvoi berkenaan. Acara simbolik itu mampu menangkap imaginasi generasi muda Michaelian tentang perjuangan generasi terdahulu mengusir penjajah keluar daripada tanah air tercinta.
Acara penutup sambutan diakhiri dengan teriakan merdeka yang dipimpin oleh Encik Adi. Sesungguhnya majlis berciri patriotisme ini ialah satu bentuk pembelajaran tersembunyi dalam memastikan bahawa minda generasi muda siap untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negara. SMI telah membuktikan bahawa jati diri generasi muda sentiasa menyala...