TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Saturday, February 26, 2011

KEGIATAN KOKURIKULUM PRAUNIVERSITI TINGKATAN 6 DITERUSKAN (TAPPING LEADERSHIP SKILLS AMONG MICHAELIAN'S SIXTH FORM)

Dengan wajaran atau pemberat sebesar 10 peratus daripada syarat kemasukan ke universiti awam tempatan dan penajaan biasiswa ke universiti terkemuka dunia, penglibatan dan pencapaian dalam komponen berkenaan menjadi makin penting dalam pengajian prauniversiti tingkatan 6. Fokus terhadap bakat kepimpinan, khidmat komuniti dan kebajikan bakal melengkapkan mereka dengan kualiti lepasan tingkatan 6 selain pencapaian akademik sepanjang tempoh setahun setengah pengajian. Proses rekod dan dokumentasi tentang perancangan, pelaksanaan dan penilaian segala kegiatan kokurikulum akan menjadi bukti ke arah itu.
Foto di atas menunjukkan Theam Kuo Liang, pelajar UA1 sedang mencuba teknik bantuan pernafasan CPR dengan menggunakan model dummy. Sebelumnya tunjuk cara teknik CPR dibuat oleh anggota kanan Persatuan St. John. Sejumlah kira-kira 60 orang anggota kadet bomba bergabung dengan anggota St. John bagi menjayakan aktiviti yang berlangsung antara pukul 3.40 hingga 5.00 petang itu.
Segala-galanya nampak mudah, tetapi apabila disuruh mencuba sendiri, ternyata mereka yang mulanya kelihatan berasa kelakar bertukar menjadi gabra dan gemuruh. Naga Vishnu (UA3) dan Rashvinder Kaur (UA2) turut mencuba. Pengalaman pertama yang dilalui itu sukar dilupakan.
Kerjasama strategik antara kelab, persatuan dan unit pakaian seragam di SMK St Michael, Ipoh (SMI) memang digalakkan. Perkongsian kemahiran sedemikian menggambarkan kepelbagaian kebolehan yang perlu dihormati dalam masyarakat sebenar. Kadet Bomba akan terus menjalin kerjasama dengan program terkini khidmat komuniti dalam sekolah bersama-sama Kelab Adams...

Thursday, February 24, 2011

SUKAN TARA SMI DITERUSKAN (PRE-SPORT TO COLLECT POINTS)

Walaupun tarikh temasya sukan tahunan sekolah masih jauh, iaitu dijadualkan pada 2 Julai nanti, perancangan sukan tara yang telah disetujui lebih awal tetap diteruskan. Sukan tara menyediakan peluang kepada setiap murid untuk membantu pasukan rumah masing-masing bagi memperoleh mata. Murid hanya dikehendaki melepasi tahap kelayakan, sama ada jarak atau masa yang ditetapkan.

Sebagai contoh, bagi acara lompat jauh, murid tingkatan 4 dan 5, serta pelajar tingkatan 6 lelaki hanya perlu melepasi jarak 3.8 meter sahaja. Murid tingkatan 3 pula perlu melepasi 3.5 meter, manakala pelajar perempuan (tingkatan 6) hanya perlukan 2.8 meter. Didapati bahawa kumpulan murid tingkatan 5 paling banyak menyumbang mata kepada pasukan rumah Augustus untuk petang tadi.

Sementara itu, pasukan bola sepak bawah 15 tahun memulakan saingan dengan Pooi Lam bermula 4.30 petang di laman sendiri, manakala pasukan bawah 18 tahun bakal berhadapan dengan musuh tradisi, Anderson, Isnin akan datang di Padang Taman D.R. Pasukan kriket sekolah telah mengakhiri saingan peringkat daerah di tempat kedua di belakang Anderson setelah mencemaskan pasukan lawan hingga ke saat-saat terakhir perlawanan. 3 orang pemain kriket SMI kemudian dipilih untuk mewakili daerah Kinta 1 untuk saingan peringkat negeri...

Monday, February 21, 2011

FOO, CHOONG CATAT SEMUA 'A' DALAM STPM (TWO MICHAELIANS GRABBED 4 FLAT)

Ipoh, Isnin: 21.2.11 / 18 Rabiul Awwal 1432
Foo Jen Huey, kelas UA3 (2010):
Pengajian Am (A), Ekonomi (A), Pengajian Perniagaan (A), Matematik S (A)

Syabas Foo Jen Huey yang telah menyerlahkan potensi seawal tingkatan 6 Rendah. Di samping komitmen yang tinggi, pelajar ini juga sentiasa mengambil kira saranan guru-guru mata pelajaran walaupun memiliki strategi sendiri. Sebagai guru kelas dan guru ekonomi UA3, penulis blog (PB) mengucapkan selamat datang ke dunia kecemerlangan.

Choong Li Zhing: Pengajian Am (A), Math. T (A), Physics (A), Chemistry (A)

Melihat penampilan Choong Li Zhing, PB pasti semua akan bersetuju bahawa beliau memang sajak sebagai pelajar cemerlang. Mungkin dalam kamus budak sekolah, Choong Li Zhing termasuk dalam golongan pelajar 'skema'. Kini, segala usaha yang dilalui begitu berbaloi...


Pelajar lain tidak kurang hebatnya. Sebahagian besar calon STPM 2010 dari SMK St Michael, Ipoh (SMI) dijangka akan diterima masuk ke IPT, sama ada di dalam atau di luar negara. Di samping mengambil keputusan STPM dan sijil-sijil lain, mereka diberi taklimat khas oleh kaunselor pelajar, En. Ravindran dan Penolong Kanan Tingkatan 6, Puan Tan Cheng Choo.

Saturday, February 19, 2011

NAIB KADI ISI PROGRAM MAULID DI SMI (TALK BY USTAZ TALHA)


Sambutan hari-hari kebesaran Islam dilaksanakan di sekolah-sekolah sebagai sebahagian aktiviti wajib Pendidikan Islam. Walaupun banyak program lain yang boleh dilaksanakan, aktiviti ceramah tetap menjadi pilihan yang popular. Maka, bagi sambutan Maulidur Rasul 1432 Hijriyyah ini, SMK St Michael, Ipoh (SMI) telah menjemput penceramah yang dikenali ramai di daerah Kinta Utara, iaitu Tuan Haji Talha bin Haji Abdul Aziz.
 Ustaz Talha bersama-sama Penolong Kanan SMI, En. Mohd. Zahir

Tuan Haji Talha ialah pendidik yang telah berbakti selama 27 tahun di Sekolah Menengah Teknik, Persiaran Brash, Ipoh, dan baru sahaja bersara pilihan (belum 58 tahun). Pengalaman beliau dalam bidang pendidikan Islam memang panjang. Selain tugas hakiki sebagai guru Pendidikan Islam, Haji Talha memiliki sijil latihan dalam bidang kaunseling dari Institut Perguruan Sultan Idris (kini UPSI).


Tuan Haji Talha ialah antara guru pakar (kini dipanggil guru cemerlang) yang dilantik setelah melepasi penilaian pengetua, rakan sejawat, murid dan dokumentasi pada pertengahan 1990-an. Beliau juga pernah dilantik sebagai ketua Unit Bimbingan dan Kaunseling. Sebelum menceburi kerjaya keguruan, Tuan Haji Talha pernah menganggotai angkatan tentera selama hampir dua tahun.


Di rumah, Tuan Haji Talha ialah suami dan bapa yang penyayang. Keempat-empat anak beliau mendapat tempat di sekolah-sekolah ternama tanah air dan seterusnya memasuki IPT. Beliau juga telah menunaikan ibadah haji bersama-sama orang tua beliau pada tahun 2008.


Kini, Ustaz Talha tidak menang tangan melayan permintaan menyampaikan kuliah, syarahan dan tazkirah di serata masjid, surau dan organisasi rasmi. Tauliah sebagai penolong pendaftar nikah, cerai dan rujuk menjadikan beliau "buruan" keluarga pasangan yang bakal melangsungkan perkahwinan. Usai ceramah di SMI, Tuan Haji Talha bergegas ke Masjid Kampung Pasir Puteh untuk slot tazkirah sebelum solat Jumaat...

Thursday, February 17, 2011

BEKAS MICHAELIAN TERSENARAI BILIONAIR (THE GENEROUS TAN SRI LEE OI HIAN)


Pengerusi Lembaga Pengelola SMK St Michael, Ipoh (SMI) yang juga keluaran SMI, Tan Sri Lee Oi Hian disenaraikan sebagai individu ke-15 terkaya di Malaysia dengan nilai kejayaan berjumlah RM1,859 juta. Syarikat utama beliau ialah Batu Kawan Berhad, sebuah syarikat awam di papan utama Bursa Malaysia.

Beliau mewarisi perniagaan keluarga, dengan mendiang ayah beliau juga ialah bekas Michaelian terawal. Sebagai tanda akrabnya keluarga dan perniagaan Tan Sri Lee, ibu pejabat beliau yang turut menempatkan konglomerat perladangan dan industri hiliran lain, KL-Kepong Berhad yang juga syarikat senaraian awam, terletak bersebelahan SMI dan Masjid India. Tan Sri Lee sentiasa sanggup meluangkan masa hadir dalam banyak acara di SMI sebagai tanda sokongan yang tidak berbelah bahagi. Beliau juga seorang dermawan yang begitu banyak menyumbang terhadap kemajuan SMI, dan kedua-dua SK St. Michael.

Tan Sri Lee patuh kepada kehendak ayah beliau dengan mengikuti kursus sarjana muda pertanian di Universiti Malaya. Beliau kemudian menyambung pengajian ijazah lanjutan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Harvard, Amerika Syarikat. Pendidikan dan kepakaran menjadi punca kekuatan beliau dalam memimpin konglomerat yang disegani di negara kita.

Tan Sri Lee benar-benar mengamalkan pesanan generasi silam, iaitu resmi padi, makin berisi makin tunduk. Beliau tidak pernah melupakan jasa SK dan SMK St Michael terhadap pendidikan keluarga beliau. Saban waktu Tan Sri Lee dapat menjenguk sekolah lama beliau dari jendela Wisma Taiko...

Senarai individu terkaya di Malaysia:

1    Tan Sri Robert Kuok Hock Nien:  RM50.04 bilion  (gula, hartanah);

2    T. Ananda Krishnan:  RM45.78 bilion (telekomunikasi Maxis, Astro);

3    Tan Sri Dr Teh Hong Piow:  RM12.77 bilion   (Public Bank);

4    Tan Sri Lee Shin Cheng:  RM12.74 bilion  (IOI);

5    Tan Sri Lim Kok Thay:  RM10.9 bilion  (Genting);

6    Tan Sri Quek Leng Chan:  RM10.75 bilion  (Hong Leong);

7    Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary:  RM8.84 bilion  (DRB-Hicom, Gamuda);

8    Puan Sri Lee Kim Hua:  RM7.43 bilion (Genting);

9    Tan Sri Tiong Hiew Keng:  RM4.77 bilion  (Rimbunan Hijau);

10   Ong Beng Seng:  RM3.99 bilion  (Hotel Properties);

11   Tan Sri Azman Hashim:  RM3.93 bilion  (Ambank);

12   Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun:  RM2.43 bilion  (Berjaya);

13   Datuk Lee Yeow Chor:  RM1.99 bilion  (IOI);

14   Lee Yeow Seng:  RM1.96 bilion  (IOI);

15   Tan Sri Lee Oi Hian:  RM1.86 bilion  (Batu Kawan);

16   Datuk Lee Hau Hian:  RM1.85 bilion  (Batu Kawan);

17   Tan Sri Yeoh Tiong Lay:  RM1.81 bilion  (YTL);

18   Tan Sri Lau Cho Kun:  RM1.77 bilion  (Hap Seng Consolidated);

19   Datuk Mokhzani Tun Dr Mahathir:  RM1.66 bilion  (Kencana Petroleum, SIC);

20   Tan Sri Jeffrey Cheah:  RM1.53 bilion  (Sunway).

KAWAD PENGUNGSIAN BANGUNAN SMI BABIT BOMBA (EVACUATION DRILL AT ST MICHAEL'S)

Taklimat kepada murid telah disampaikan oleh Setiausaha Keselamatan sekolah, Cikgu Saiful Bahri pada perhimpunan pagi Isnin, 14 Februari lalu. Taklimat ringkas kepada guru pula disampaikan sendiri oleh Penolong Kanan HEM, Drs. Rajendran di dewan sekolah Rabu lalu. Beliau mengharapkan bahawa latihan kawad kali ini bakal mencapai matlamat pematuhan konsep sekolah selamat.

TENTATIF AKTIVITI LATIHAN KAWAD:
9.00 PAGI:  LOCENG KECEMASAN DIBUNYIKAN
-  MANGSA BERGERAK MENGIKUT PELAN LALUAN
DIIRINGI GURU P & P DI BILIK DARJAH (LOKASI INSIDEN)
9.10:  SEMUA MANGSA BERKUMPUL DI PADANG
9.15 PAGI:  GURU TINGKATAN MENGAMBIL KEDATANGAN à LAPOR KEPADA MODERATOR
9.20 PAGI:  MODERATOR LAPOR KEPADA PEGAWAI PANGGILAN BARIS
9.22 PAGI:  PEGAWAI PANGGILAN BARIS LAPOR KEPADA KETUA PEGAWAI INSIDEN (PENGETUA)
9.25 PAGI:  KETUA PEGAWAI INSIDEN MEMBERI ULASAN RINGKAS
9.30 PAGI:  PEGAWAI BOMBA MEMBERI PENILAIAN
9.40 PAGI:  MANGSA BERGERAK KE KAWASAN PAVILION /  SIDANG PEGAWAI BOMBA DENGAN PEGAWAI UTAMA
9.45 PAGI:  DEMONSTRASI MEMADAM KEBAKARAN
(PELAJAR TINGKATAN 6 DIKECUALIKAN: WAKTU REHAT)
10.15 PAGI:  BERSURAI


MURID TINGKATAN  3  SERAMAI ______ ORANG.
SEMUA SELAMAT TUAN


MURID TINGKATAN  4  SERAMAI ______ ORANG.
SEMUA SELAMAT TUAN


MURID TINGKATAN  5  SERAMAI ______ ORANG.
SEMUA SELAMAT TUAN


PELAJAR TINGKATAN  6  SERAMAI ______ ORANG.
SEMUA SELAMAT TUAN



JAWATANKUASA PELAKSANA
KAWAD PENGUNGSIAN BANGUNAN



KETUA PEGAWAI INSIDEN: PENGETUA
TIMBALAN KETUA PEGAWAI INSIDEN:  PK HEM
PEGAWAI PANGGILAN BARIS:  EN. SAMSUDIN
PENOLONG PEGAWAI INSIDEN: SEMUA GURU
PASUKAN PEMADAM: 
PASUKAN PENYELAMAT:
PASUKAN BANTUAN CEMAS:  GURU ST JOHN


PESERTA PASCAKAWAD (POST-CONFRENCE)
SEMUA PEGAWAI UTAMA : 7
MODERATOR:  4
WAKIL PENYELIA INSIDEN (PELAJAR):  4

Wednesday, February 16, 2011

GURU SMI TERLIBAT KAJIAN BEBAN TUGAS GURU (OVER THE INTERNATIONAL STANDARD LIMIT)

Ipoh, Rabu: 16.2.11 / 13 Rabiul Awwal 1432

Piawai antarabangsa menetapkan jam bekerja maksimum seseorang buruh ialah 48 jam seminggu. Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (International Labour Organisation, ILO) berkenaan menjadi penanda aras pematuhan hak-hak buruh dan kewajipan majikan. Maksudnya, jika seseorang buruh itu dikehendaki bekerja melebihi tempoh masa yang diperuntukkan, dia berhak dipertimbangkan elaun kerja lebih masa, atau ganjaran gantian yang setara, misalnya cuti.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) turut prihatin dengan kebajikan para guru yang bukan sahaja berhadapan dengan tugas utama, iaitu pengajaran dan pembelajaran, bahkan kerja sampingan seperti pengurusan data, rekod, dan tanggungjawab terhadap pelbagai lapis pentadbiran pendidikan. Kajian beban tugas guru dilaksanakan di seluruh negara supaya saranan jawatankuasa induk isu berkenaan dapat diperhalusi. SMK St. Michael, Ipoh (SMI) turut terpilih sebagai sampel sekolah rawatan (SR). 
Dr. Maria dari Bahagian Pendidikan Guru, KPM sedang mengedarkan borang soal selidik

Sebanyak 30 orang guru telah dipilih menerusi kaedah persampelan bukan rawak bertujuan, dikumpulkan serentak di bilik OMA bagi memastikan kadar kembalian 100 peratus. Instrumen yang ditadbirkan dipecahkan kepada beberapa bahagian seperti profil responden, soalan respons tertutup dan soalan respons terbuka. Kebanyakan responden menyelesaikan jawapan semua item dalam tempoh sejam.

kelihatan En. Mohd Zahir (Penolong Kanan), En. Chong (Guru Cemerlang Fizik), En. Christopher (Pengurusan Perniagaan), En. Panirchelvam (Pengetahuan Moral) dan Ustaz Marhalim

SMI dipilih sebagai sekolah rawatan kerana KPM telah melantik dua orang pembantu guru yang akan ditempatkan di bilik guru. Setelah 8 bulan, kumpulan guru yang sama akan menjawab item soal selidik yang sama sebagai pascaujian (post-test). Keputusan kajian berskala besar itu kelak akan menjadi asas perjawatan pembantu guru, sama ada mengikut nisbah seorang pembantu guru kepada nisbah 500 orang murid, atau memerlukan norma perjawatan yang lain...

Saturday, February 12, 2011

U-PAUL UNGGULI LARIAN MICHAELIAN (MEGA CROSS COUNTRY)

Ipoh, Sabtu; 12.2.11 / 9 Rabiul-Awwal 1432
Menyusuri Sungai Kinta bermula daripada Wisma Taiko (kelihatan di hujung sungai), lambang kejayaan bekas pelajar SMK St Michael, Ipoh (SMI). Sepagi anak-anak muda SMI yang sudah biasa hidup senang-lenang, menaiki kenderaan yang selesa dan bergerak ke sana ke mari hingga merentas benua diajak menjejak sejarah. Mereka berputar-putar di luar kawasan SMI agar dapat mengenali sejarah SMI.
Dari Wisma Taiko, mercu kejayaan korporat menuju persekitaran menyejukkan mata di sepanjang Sungai Kinta dan seterusnya kembali menghampiri SMI bermula dekat Medan Istana, dan seterusnya berakhir di Kompleks Islam sebelum membelok ke pagar utama sekolah. Semua peserta larian telah lulus ujian sebagai pengkaji sejarah secara spontan. Mereka pulang ke dunia realiti, di laman SMI.
Glamor sang juara. Rumah U-Paul (kuning) membolot 4 daripada 7 kategori peringkat umur yang dipertandingkan (tingkatan 2, 4, 5 dan 6 perempuan). Tempat kedua diduduki oleh rumah La Salle, dan ketiga Augustus. Jumlah mata yang diperoleh akan dicampur untuk temasya sukan tahunan SMI yang dijadualkan pada 2 Julai nanti...



Wednesday, February 9, 2011

DAHULU CIKGU IZZUDDIN, KINI CIKGU ST. MICHAEL (SENIOR DUO AT SMI)

Dua jejaka tampan yang sedang bergaya di hadapan kereta pak polisi (sebutan orang Indon untuk polis) sangat dikenali dalam kalangan warga SMK St. Michael, Ipoh (SMI). Kedua-dua mereka telah lama bersahabat, iaitu sejak awal dekad 1990-an ketika bertugas di SMA Izzuddin Shah, Ipoh, sebuah sekolah kelolaan Jabatan Agama Islam Perak. Seorang pakar kaunseling dan seorang lagi pakar sejarah.

Cikgu Ravindran ialah Ketua Unit Bimbingan dan Kaunseling, SMI, serta menjadi ketua kepada tiga orang lagi kaunselor pelajar sepenuh masa, iaitu Ustazah Adhariah Thamrin, Cikgu Ravi Chandran dan Tuan Omar. Pengalaman dan rapport yang dibina sekian lama dengan IPTS membolehkan guru dan murid SMI memperoleh khidmat kepakaran ahli akademik dan ikhtisas IPTS berkenaan. Selain kaunseling, Cikgu Ravindran juga ialah pakar teknikal penerbitan majalah sekolah.

Cikgu Zulkefli Sulaiman pula boleh digelar otai (old-timer, bukan tua, tetapi dari segi kepakaran pedagogi) dalam bidang sejarah. Budak-budak yang biasanya tidak mempedulikan mata pelajaran Sejarah bertukar menjadi obses sejarah apabila Cikgu Zul pintar memancing perhatian mereka, berselang seli antara kelakar dengan tegas. Pelajar universiti dan institut pendidikan guru yang hendak melaksanakan penyelidikan tentang pedagogi sejarah bolehlah berguru dengan Cikgu Zulkefli Sulaiman.

Cikgu Ravi dengan Cikgu Zul saling melengkapi dalam bab penjanaan modal insan di SMI. Seorang guru kaunseling dan seorang lagi guru disiplin. Sesekali mereka bertarung di gelanggang badminton bersama-sama Kelab Kilas Tangkis...

Sunday, February 6, 2011

KESAN HAKISAN DI PANTAI TIMUR (THE WAVE OF THE SOUTH CHINA SEA)

Lokasi: Teluk Lipat, Dungun

Jalan raya di atas telah banyak kali dianjak lebih jauh ke dalam. Laluan asal kini menjadi sebahagian laut. Entah berapa lamakah pula jalan yang ada sekarang dapat bertahan?


Apa pula hal perahu nelayan sampai terdampar jauh dari gigi air laut? Jawapannya, perahu yang ditambat di kawasan jeti, kira-kira 2 km jauhnya telah hanyut dipukul ombak besar. Nasib baik naik ke darat, bukannya menuju tengah laut macam kisah kapal Titanic!

BERKENALAN DENGAN PK HEM SMI (NEWLY APPOINTED SENIOR ASSISTANT - STUDENT AFFAIRS)



Nama penuh: Rajendran Naidu a/l Kannayar
Kelayakan akademik: M.Sc (IT)(USM), Drs. Kesusasteraan (Indonesia)
Pengalaman: Guru Kanan Bahasa SMK Tasik Damai, Ipoh
Guru Bahasa Melayu SMK Gunung Rapat, Ipoh

Antara tugas utama PK HEM
- menjalankan tugas pengetua ketika ketiadaan pengetua,
dan penolong kanan
- jawatankuasa disiplin sekolah
- bimbingan dan kaunseling
- kantin
-4K
-SPB
-Majalah
- Biasiswa / Kebajikan
- Organisasi Kelas
- Koperasi
- Lembaga Pengawas
- Lembaga Pengawas Pusat Sumber

Friday, February 4, 2011

PROGRAM MOTIVASI KECEMERLANGAN SMI (INSPIRING TALKS AT SCHOOL)

Encik See Tean Seng, mantan kaunselor pelajar SMK St Michael, Ipoh, serta bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Perak Kuala Sepetang menjayakan slot motivasi kepada murid tingkatan 3


Dua orang pensyarah universiti pengkhususan, Malaysian Science University, kampus Shah Alam sedang mengendalikan sesi motivasi pembelajaran kepada sekumpulan pelajar prauniversiti 6 Atas.

Program di bawah anjuran Unit Kaunseling SMI.

PELANTIKAN PEMIMPIN PELAJAR SMI 2011 (INSTALLATION OF MICHAELIAN'S LEADERS)

Ketua Pengawas SMI 2011 sedang mengetuai pembacaan ikrar


Pengetua, En. Phoon Chong Chee bersama-sama tetamu kehormat, Ketua Balai Polis Ipoh, merangkap Pegawai Perhubungan Polis SMK St. Michael, Ipoh. Turut kelihatan Haji Mohd Sidik (Guru Kanan Bahasa), En. Mohd. Zahir (Penolong Kanan) dan En. Rajan (pengacara majlis)

TAKLIMAT STPM DI SMK ST MICHAEL, IPOH (STPM BRIEFING AT ST. MICHAEL'S)


Semua pelajar 6 Atas menghadiri taklimat tentang pendaftaran kertas peperiksaan STPM dan laluan pengajian tinggi yang relevan. Taklimat disampaikan oleh Penolong Kanan Tingkatan 6, Puan Tan Cheng Choo, Guru Penyelaras Kokurikulum Tingkatan 6, Cikgu Fairoz (dalam foto di atas) dan kaunselor pelajar, En. Ravindran. 

SALAM UNTUK SEMUA

Kini, berita-berita tentang dunia pendidikan dan isu semasa bakal dipaparkan di laman ini.

Mudah-mudahan para pengunjung blog berpuas hati dengan paparan yang dipersembahkan.

Yang baik jadikan teladan, yang tidak baik jadikan sempadan.

Segala maklum balas amatlah dialu-alukan.

E-mel kepada: amrinajr@gmail.com


Selamat membaca...