TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

SUKAN TAHUNAN SMK ST MICHAEL, IPOH EDISI KE-84

KEJOHANAN SUKAN SEKOLAH-SEKOLAH PREMIER:
SMK ST MICHAEL, IPOH DIPILIH SEBAGAI TUAN RUMAH


Tarikh pertandingan: sepanjang September


Jenis permainan: Bola sepak, hoki, bola jaring


Jadual Pertandingan Bola Sepak
Pusingan Kedua (Kumpulan Y):


20/9/11: Clifford lawan Star, 5.00 petang, Padang Clifford, Kuala Kangsar


22/9/11: SMI lawan Star, 5.00 petang - Padang Star, Ipoh


26/9/11: SMI lawan Clifford, 5.00 petang - Padang SMI


8/10/11: Kedudukan 3 - 4: Naib Johan X lawan Naib Johan Y


Padang D.R. 8.00 pagi


8/10/11: Akhir: Johan X lawan Johan Y, Padang SMI - 8.00 pagi


Thursday, March 31, 2011

SMI MARA KE PENTAS AKHIR BAHAS ALA PARLIMEN (PARLIAMENTARY DEBATE: MICHAELIANS VS CONVENT)

Persediaan hujah dialektik membantu pasukan bahas ala parlimen SMK St Michael, Ipoh (SMI) mara ke peringkat akhir zon 2 Kinta Utara. Kejayaan ini mengulangi pencapaian tahun 2009 apabila ketika itu muncul sebagai naib johan setelah tewas tipis di tangan SMK Anderson. Namun, kali ini lawan yang bakal dihadapi ialah pasukan feminin dari jiran yang agak dekat, iaitu SMK Main Convent.
pasukan Convent yang bakal ditemui di pentas akhir

Dalam laluan ke peringkat akhir, SMI berjaya mengungguli saingan hebat oleh SMK Perempuan Methodist (MGS) bagi menebus kehampaan terhadap lawan yang sama tahun lalu. MGS ialah naib johan edisi 2010. Sementara itu, Convent pula menafikan peluang Anderson untuk mengekalkan kejuaraan buat tiga tahun berturut-turut.
ketua pembangkang dari MGS sedang berhujah

Usul saingan peringkat akhir pada hari Isnin, 4 April ini berbunyi "Pencapaian Akademik Penentu Kejayaan". Jika pada pusingan awal dan separuh akhir, peranan sebagai kerajaan dan pembangkang diundi lebih awal, kali ini undian hanya dibuat sejam sebelum pertandingan. Kedua-dua pasukan akan dikuarantin tanpa akses kepada sebarang bantuan guru atau media lain...

Tuesday, March 29, 2011

DEBAT BAHASA MELAYU SMI KE SEPARUH AKHIR (SMI SET CLASH WITH MGS TEAM)

Ipoh, Selasa: 29.3.2011 / 24 Rabiul Akhir 1432

SMK St. Michael, Ipoh (SMI) berpeluang menebus kekalahan tahun lalu kepada lawan yang sama, SMK Perempuan Methodist, Ipoh dalam pertandingan bahas ala parlimen zon 2 Kinta Utara. Sebagai tuan rumah, barisan pembahas yang diketuai Dheseegan dari 5S6 dijangka memiliki kelebihan psikologi. Petang tadi, SMI berjaya melepasi saingan pusingan awal dengan menewaskan SMK Teknik Lebuh Cator, Ipoh.
pembahas MGS sedang berhujah

MGS pula berjaya mengatasi pasukan SMK Seri Intan. Sementara itu juara bertahan, SMK Anderson mendapat bye dan bakal berentap dengan pasukan SMK Main Convent. Pasukan yang berjaya ditewaskan oleh Convent ialah Sam Tet.
pasukan bahas SMI memberi perhatian kepada hujah TLC

Pusingan awal membahaskan usul "Internet membawa manfaat kepada masyarakat". Pusingan separuh akhir yang dijadualkan pada petang Khamis ini akan membahaskan usul "Pertanian memantapkan ekonomi negara". SMI yang bertindak sebagai pembangkang ketika menetang Teknik Lebuh Cator kini akan bertukar kepada peranan kerajaan untuk berhadapan dengan MGS yang menggalas tugas kepembangkangan.

Pertandingan akhir Zon 2 Kinta Utara dijadualkan pada hari Isnin, 4 April ini mulai pukul 8.30 pagi. Juara akan mewakili zon ke pertandingan peringkat daerah. Tugas penulis blog (PB) sendiri ialah sebagai jurulatih speaker persidangan dan menyampaikan taklimat hakim...

Wednesday, March 23, 2011

SMI ADA WAKIL 10 A+ SPM 2010 (MICHAELIANS MAINTAINED ACHIEVEMENT)

Ipoh, Rabu: 23.3.11 / 18 Rabiul Akhir 1432

Keputusan SPM 2010 diumumkan pagi tadi. SMK St. Michael, Ipoh (SMI) berjaya menghadirkan seorang calon semua A+ yang tidak dapat dilakukan apabila sistem gred baharu SPM diperkenalkan tahun lepas. Dalam pada itu, SMI masih mengekalkan pencapaian lebih daripada 90% lulus tahun demi tahun.

Pelajar terbaik SMI ialah Kuhan a/l Olakanathan dari 5S1 yang memiliki pencapaian yang konsisten sejak tingkatan 4 lagi. Selain akademik, Kuhan juga menunjukkan daya kepimpinan dan pencapaian kokurikulum yang juga cemerlang. Terdapat banyak calon lain yang mencatat semua A, cuma terdapat A atau A-, iaitu yang disebut sebagai calon near miss.

Aizuddin V3, Hafiz S4, Shafiq V1, Taufik S3 menunjukkan fail yang mengandungi slip keputusan

Sementara itu, anak beberapa orang guru SMI juga mencatat keputusan semua A, iaitu anak-anak Puan Usha Rani, Puan Lee Seok Chean dan Puan Chandrika. Syabas kepada ibu-ibu cemerlang sekalian.

Michaelian yang memperoleh keputusan selain cemerlang tidak perlu berasa kecewa. Perjalanan hidup kalian masih jauh. Masih banyak laluan untuk menempa kejayaan...

Tuesday, March 22, 2011

SELAMAT BERSARA PUAN TAN ENG SIM (SENT OFF CEREMONY)

Ipoh, Selasa: 22 Mac 2011 / 17 Rabiul Akhir 1432

Sesudah lebih 22 tahun berkhidmat sebagai pendidik SMK St. Michael, Ipoh (SMI) dan lebih tiga dekad sebagai guru, Puan Tan Eng Sim, ketua panitia Bahasa Inggeris akan bersara mulai esok. Satu majlis ringkas telah diadakan bagi meraikan beliau. Majlis dihadiri oleh semua guru dan murid, serta tetamu kehormat, iaitu Dato' Bro. Vincent Corkery dan Encik Joseph Michael Lee.

Biodata Puan Tan disampaikan oleh Puan Choong Sau Han, manakala ucapan penghargaan disampaikan oleh pengetua. Kemudian, Puan Tan menyampaikan ucapan ringkas dengan penuh semangat, khusus dititipkan buat warga Michaelian. Selepas acara memotong kek dan persembahan pelajar, Puan Tan menerima banyak sekali hadiah dan cenderamata. 

Majlis diakhiri dengan upacara sent off. Semua guru dan pelajar tingkatan 6 Atas berbaris untuk bersalaman dan mengucapkan selamat bersara. Puan Tan kemudian memasuki kereta Mercedes Puan Fauziah sebagai simbolik selamat tinggal SMI...

Wednesday, March 16, 2011

POTENSI LETUSAN GUNUNG BERAPI TIDUR (THE LEGEND OF SANGKURIANG)

kali terakhir Tangkuban Parahu meletup ialah pada tahun 1967

Antara lokasi kunjungan singkat ke kota Bandung, 200 kilometer dari Jakarta ialah kawah gunung berapi seperti dalam gambar di atas. Walaupun peristiwa letusan telah berlalu 44 tahun yang lalu, kesan pembentukan kawah dan asap debu masih dapat dilihat. Kini, Tangkuban Parahu (perahu terlangkup) yang dikaitkan dengan legenda atau mitos rantaian perkahwinan terlarang Tumang (anjing jadian) dengan anaknya sendiri, Dayang Sumi yang kemudian melahirkan Sangkuriang dimajukan sebagai produk pelancongan.

Sangkuriang yang tidak mengetahui anjing jadian itu ayahnya akhirnya secara tidak sengaja membunuh "ayah"nya itu. Dayang Sumbi memukul kepala Sangkuriang dan mengusirnya. Akibat lama terpisah, si ibu dan si anak nyaris berkahwin.

Bandung ialah sebuah kota yang dihuni oleh 3.7 juta orang penduduk. Sebagai tanah tinggi, suhunya agak sejuk dan menjadi tumpuan pembinaan kediaman penjajah Belanda. Tidak hairanlah wajah penduduk Bandung seperti Baim Wong, Hetty Koes Endang dan Marshanda ada iras kacukan dan sama sekali berbeza dengan wajah pekerja Indonesia yang datang ke Malaysia.

Bandung menjadi tuan rumah kepada dua buah universiti ternama, iaitu Institut Teknologi Bandung dan Universitas Pejajaran. Pelancong Malaysia dan Singapura menjadikan Bandung sebagai destinasi membeli-belah fabrik bermutu Indonesia. Bandung ialah kota ketiga terbesar Indonesia selepas Jakarta dan Surabaya.

Persamaan Bandung dengan Ipoh ialah ketiadaan bangunan tinggi disebabkan struktur tanah dan risiko gempa bumi yang dicetuskan oleh letusan gunung berapi Tangkuban Parahu di atas. Tanah lanar gunung berapi sangat subur untuk kegiatan pertanian. Walaupun ahli kaji bumi (geologi) meramalkan bahawa Tangkuban Parahu yang sedang "tidur" akan kembali aktif serta memuntahkan laharnya dalam tempoh 56 tahun lagi, masyarakat Bandung tetap berwaspada... 

Saturday, March 12, 2011

SALAM DARI JAKARTA (VISITING NEIGHBOUR)

Di kampus inilah bermulanya gerakan menjatuhkan mantan presiden Indonesia, Pak Suharto. Mahasiswanya nekad hingga ada yang terkorban. Bersebelahan dengannya ialah sebuah lagi kampus yang mengambil mahasiswa daripada kalangan yang berkemampuan.

buat kesempatan sementara dari Menteng, Jakarta, Indonesia...

Sekarang (16/3/11) catatan setelah pulang ke Ipoh:
anak muda penerus kelangsungan bangsa dan umat Indonesia

Kekuatan sistem pendidikan sekolah di Indonesia bukan sahaja terbeban kepada pemerintah, bahkan dikongsi oleh penganjur pendidikan persendirian (swasta). Pesantren misalnya telah sekian lama menyediakan kanak-kanak Indonesia sebagai kesinambungan para ulama yang juga kompeten dalam bidang-bidang sains dan teknologi terkini. Di tangan anak-anak muda itu, Indonesia bergantung harap...

Friday, March 11, 2011

PASUKAN BOLA SEPAK SMI KEMBALI MENYENGAT (BOY U-15 ADVANCED TO THE LAST EIGHT)

Persaingan hebat dalam kalangan pasukan bola sepak sekolah-sekolah daerah Kinta Utara nyata tidak menggusarkan pengurus, jurulatih dan pemain-pemain SMK St Michael, Ipoh (SMI). Sebelum mengambil bahagian dalam pertandingan sebenar, skuad bawah 15 tahun SMI terlebih dahulu melayan beberapa pasukan dalam siri perlawanan persahabatan pemanas badan. Keputusan perlawanan semuanya memihak kepada SMI:

           16/2:  SMI kalahkan ACS  4 - 1
         
           21/2   SMI kalahkan SMK Buntong 4 - 0

           24/2   SMI kalahkan Poi Lam  8 - 0
 
           25/2   SMI kalahkan SMK Dato' Ahmad Said  2 - 0

Kemenangan yang dicatatkan dalam semua perlawanan persahabatan kemudiannya diterjemahkan dalam perlawanan peringkat Zon B Kinta Utara apabila SMI mengungguli persada kumpulan dengan rekod tanpa kalah. Perlawanan secara round robin itu berlangsung di padang Tamar D R antara 28.2 hingga 4.3. Keputusan penuh perlawanan ialah:

            SMI seri dengan SMK Aminuddin Baki, Chemor  2 - 2

            SMI kalahkan SMK Menglembu  4 - 0

            SMI seri dengan SMK Jelapang Jaya  0 - 0

            SMI kalahkan SMK Seri Ipoh  8 - 0

Di peringkat kumpulan SMI telah mengumpul sejumlah lapan dengan menghasilkan 12 jaringan berbalas 2. Seterusnya, SMI layak ke peringkat suku akhir bertemu ACS yang pernah ditewaskan dalam perlawanan persahabatan sebelumnya. Perlawanan berkesudahan dengan jaringan seri 2 - 2.  Peraturan menetapkan bahawa tendangan penalti perlu diambil.

Kesudahannya SMI berjaya menjaringkan 4 gol, tetapi mengalami defisit satu gol apabila ACS berjaya menjaringkan semua lima tendangan bola mati itu. Apa-apa pun, tahniah dirakamkan kepada SMI yang telah menunjukkan semangat juang yang maksimum. Tahniah juga kepada pengurus pasukan, Cikgu Zulkarnain Daud yang telah berjaya membawa SMI sejauh itu sebagai azimat untuk pasukan SMI pada tahun hadapan, sempena 100 tahun SMI.

Tunggu pasukan impian SMI 100 tahun... 

Thursday, March 10, 2011

JOSEPH MICHAEL LEE KEKAL YDP PIBG (STATUS QUO ANTE)

Ipoh, Khamis: 10.3.11 / 5 Rabiul Akhir 1432

Persatuan Ibu Bapa dan Guru, SMK St. Michael, Ipoh (PIBG) mengadakan mesyuarat agung tahunan petang tadi. Sejumlah 19 usul bertulis telah dibahaskan untuk perhatian dan tindakan selanjutnya. Antaranya ialah usul supaya bumbung dibina di kawasan tapak perhimpunan dan gelanggang badminton.

Kemuncak mesyuarat ialah pemilihan ahli jawatankuasa sesi 2011/2012. Hanya AJK dalam kalangan ibu bapa dipertandingkan, manakala AJK dalam kalangan guru dimandatkan kepada pihak sekolah. Setelah cadangan ditutup, ahli mesyuarat membuat undian secara angkat tangan dan keputusannya semua AJK sesi yang lalu berjaya mengekalkan jawatan masing-masing.

          Pengerusi:  Encik Joseph Michael Lee
          Naib Pengerusi:  Dato' Mohamad Niza bin Mohamad Ghazali
          AJK Ibu Bapa:    En. Leslie D'Silva
                                :    En.Thomas Wong
                                :    En. Stanley Shashidharan Madhavan
                                :    En. Andrew Leong
                                :    En. Anthony Lourdes
          Juruaudit        :    En. Sarjit Singh

Moga PIBG terus berperanan dalam usaha membantu pihak sekolah menjayakan segala agenda dan program kecemerlangan yang berterusan demi kebaikan sekalian murid dan pelajar. Sebagai sekolah bantuan modal bertaraf premier yang bakal merayakan 100 tahun penubuhannya pada tahun hadapan, PIBG tentunya turut berganding bahu bagi memastikan sambutan itu sangat bermakna untuk jangka panjang. Pada akhirnya, tumpuan kekuatan PIBG tetap diutamakan terhadap kebajikan murid semasa...

Tuesday, March 8, 2011

PENDIDIKAN SEKS DI SMK ST MICHAEL (EDUCATIONAL TOUCH ON "FORBIDDEN" DISCUSION)

Statistik kelahiran bayi tidak sah taraf dalam kadar 17 minit seorang, jenayah terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, kebimbangan terhadap berleluasanya zina, penularan Aids dan pergaulan bebas mewujudkan keperluan mendedahkan pendidikan seksual secara formal dalam kalangan murid sekolah. Menerusi kurikulum standard sekolah rendah (KSSR), pendidikan seks diperuntukkan waktu pembelajaran yang khusus. Sebelum ini, murid mempelajari elemen kejantinaan, fisiologi, anatomi dan reproduksi menerusi mata pelajaran pendidikan Islam dan Biologi.
Pelajar tingkatan 6 SMK St Michael, Ipoh (SMI) turut menerima pendedahan formal tentang isu-isu seksualiti daripada seorang doktor muda Kementerian Kesihatan Malaysia. Ceramah yang bermula pada pukul 11.00 pagi diadakan di dewan sekolah. Walaupun remaja mungkin hanya dapat menyerap sekitar 20 peratus isi ceramah, input maklumat yang mengalami kecairan itu tetap penting buat bekalan hari muka. 

Dalam kalangan masyarakat Asia, perbincangan tentang isu-isu seksualiti secara terbuka masih didebatkan. Di Amerika Syarikat dan United Kingdom, pendidikan seks ditawarkan di sekolah-sekolah, tetapi ibu bapa boleh meminta anak mereka dikecualikan daripada mengikuti kelas berkenaan. Di tangan guru-guru terlatih dan profesional, pembelajaran dapat diorganisasikan secara beradab dan suci hati...

Friday, March 4, 2011

KILAS TANGKIS BERKUNJUNG KE BAINUN (FRIENDLY BADMINTON GAME)

Ipoh, Khamis: 3.2.11 / 28 Rabiul Awwal 1432

Kelab badminton Kilas Tangkis yang bernaung di bawah Kelab Staf, SMK St Michael, Ipoh (SMI) telah memenuhi jemputan Kelab Guru, SMK Raja Permaisuri Bainun, Ipoh (Bainun) untuk perlawanan persahabatan bagi menjalin silaturrahmi antara dua buah sekolah ternama di Kinta Utara itu. Sebanyak 8 permainan beregu dengan sistem kiraan 21 mata dua set telah dilangsungkan. Perlawanan berlangsung dalam suasana yang meriah dan mesra.

Keputusan Penuh:
(Beregu Kilas Tangkis disebut dahulu)

Ustaz Ahmad Shakir - Shaharol kalahkan Faizul - Fadzil  21 - 7, 21 - 19

Omar - Saiful Bahri  seri dengan Azmi - Radzi  21 - 15, 14 -21

Rajendran - Sohot kalah kepada Odin - Hakimi  12 - 21, 17 -21
Lonjakan Ibrahim, sokongan Shahruzzaman

Ibrahim - Shahruzzaman kalah kepada Rohaizat - Shahrin  13 - 21, 19 - 21

Haji Zulkefli - Badrol kalahkan Mat Piah - Saleh   21 - 13, 21 -16

Azhar (penulis blog) - Shakir kalahkan Ustaz Ismail - Ismail  21 - 13, 21 - 16

Shahruzzaman - Shaharol kalahkan Irwan - Khairi  21 - 14, 21 -11

Ahmad Shakir - Sohot seri dengan Azmi - Sya'ban  21 - 14, 16 - 21

Keputusan keseluruhan:  KILAS TANGKIS  4,  BAINUN  2


Kilas Tangkis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bainun, khususnya Cikgu Azmi Zuki, Penolong Kanan HEM Bainun, yang juga anggota Kilas Tangkis. Namun, sebagai tuan rumah, Cikgu Azmi mewakili Bainun. Terima kasih atas jamuan bihun, karipap, ketayap dan pau goreng, serta minuman air sirap ros.

Pemain Kilas Tangkis yang tidak dapat diturunkan:

Chin, Prakas Rao, Ravi, Zulkarnain, Zulkefli Sulaiman

Wednesday, March 2, 2011

PASCASIDANG KAWAD PENGUNGSIAN BANGUNAN (POST-CONFERENCE ON EVACUATION DRILL AT ST MICHAEL'S)

Pengetua, PK HEM, PK, PK Koku, Anggota Bomba Kanan, Pegawai Bomba Abdul Rahman, Cikgu Samsudin, Cikgu Saiful dan Cikgu Siti Aishah

Setelah selesai kawad pengungsian bangunan, serta demonstrasi ringkas memadam api yang membabitkan semua warga SMK St. Michael, Ipoh (SMI), pegawai-pegawai utama latihan telah bersidang bersama-sama dua orang wakil Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh. Bagi menjimatkan masa, sidang berkenaan disekalikan dengan jamuan ringan di ruang makan, bilik guru. Kedua-dua pihak SMI dan Bomba telah bertukar-tukar pandangan tentang pelaksanaan latihan berkenaan. Antara penambahbaikan yang dicadangkan:

1  Semua penghuni bangunan mesti diklasifikasikan sebagai mangsa, tidak kira petugas kantin, mahupun wakil agensi kerjaan yang sedang berurusan di bangunan sekolah. Mereka mesti mengambil bahagian dan dikenal pasti berdasarkan rekod masuk.

2  Senarai pegawai insiden hendaklah dipaparkan sepanjang tahun di lokasi strategik bangunan dan diaktifkan serta-merta sebaik sahaja berlaku insiden atau semasa latihan.

3  Tarikh latihan mesti dimaklumkan kepada semua warga sekolah. Kerahsiaan hanyalah tentang waktu loceng kecemasan kebakaran dipecahkan, atau siren khas dibunyikan.