TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Wednesday, April 20, 2011

SMI BERI SAINGAN, CONVENT TERUS UNGGUL (X-FACTOR FOR THE ORATOR)

AIpoh, Rabu: 20.4.11 /16 Jamadil Awwal 1432

Pada pengamatan kasar kelihatannya wakil Ave Maria, Tan Hui Yee akan menjuarai pidato zon 2 Kinta Utara, tetapi hakim memutuskan wakil tuan rumah, Sharbini meneruskan dominasi Main Convent dalam siri pertandingan koakademik Bahasa Melayu tahun ini. Harapan untuk menyaksikan wakil SMI menempatkan diri sebagai terbaik 3 juga tidak kesampaian apabila dibisikkan kurang sedikit sahaja dengan pemenang ketiga, Adila Hani dari SMV Lebuh Cator. Seorang lagi peserta berbakat ialah Nisya Priya dari MGS, tetapi kurang menyengat dalam bahagian pidato spontan.
persembahan mantap wakil SMI, Mohd Firdaus (5S3)

Ketua hakim, Puan Norhayati Masri dari SMK Raja Permaisuri Bainun dalam ulasan beliau menegur bahagian pendahuluan yang terlau panjang, terutama ketika pidato spontan yang hanya memperuntukkan masa 4 minit sahaja. Selain itu, pemidato harus menegaskan kata kunci bagi setiap isi, mengemukakan huraian dan contoh, serta membuat penegasan semula isi dengan tajuk. Kesalahan unsur lewah seperti "para hadirin sekalian", dengan tiga kata jamak, penggunaan "antara" pada permulaan ayat dan intonasi senada turut disentuh oleh beliau.

Senarai Tajuk Undian Awal / Spontan

1   Wanita Cemerlang Negara Terbilang / Membaca Jambatan Ilmu: SMI

2   Pelestarian Alam Sekitar Kunci Kesejahteraan Rakyat /Kokurikulum Melahirkan Pelajar Cemerlang: Sam Tet

3   Disiplin Diri Penjana Insan Cemerlang / Langkah-langkah Memupuk Perpaduan:  Seri Putera

4   Ilmu Kepenggunaan Menjamin Masa Depan / Punca Masalah Sosial Remaja Masa Kini:  Anderson

5   Industri Pelancongan Pemangkin Ekonomi Negara / Kepentingan Amalan Berbudi Bahasa:  Vokasional Lebuh Cator

6   Teknologi Maklumat Memupuk Budaya Ilmu / Kelayakan Akademik Penentu Kejayaan:  MGS

7   Kepimpinan Berkualiti Teras Pembangunan Negara / Usaha-usaha Memartabatkan Bahasa Melayu:  Seri Intan

8   Semangat patriotik Membentuk Modal Insan Terbilang / Kesan penderaan Terhadap Kanak-kanak:  Ave Maria

9   Gaya Hidup Sihat Menjamin Kemajuan Insan / Langkah-langkah Memajukan Sektor Pertanian Negara:  Main Convent
hujan mencurah-curah ketika pertandingan baharu bermula

Secara amnya, kebolehan dan kepetahan semua peserta boleh dikatakan setara. Mereka hanya dipisahkan oleh keberkesanan penyampaian dan persembahan yang memikat perhatian hakim. Kemenangan Main Convent dalam hampir semua pertandingan koakademik zon 2 Kinta membuktikan satu perkara, iaitu persediaan yang lebih awal daripada pesaing...

Monday, April 18, 2011

SMI NAIB JUARA FORUM REMAJA (NARROW MARGIN IN THE FINAL)

Ipoh, Isnin: 18.4.11 / 14 Jamadil Awwal 1432

Pasukan koakademik Bahasa Melayu SMK St. Michael, Ipoh (SMI) yang dihantar bertanding pada tahun ini terus mencatat pencapaian yang memberangsangkan. Kali ini, pasukan forum remaja yang diketuai oleh Shahrulniza, 5V3 hanya tewas tipis (umpama kulit bawang) sahaja kepada pasukan Main Convent. Sebelum ini, SMI juga disekat oleh Convent dalam saingan akhir Zon Kinta 2 bagi bahas ala-parlimen Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Ketua hakim pertandingan telah memberi pujian kepada semua pasukan yang bertanding kerana  menampilkan ahli-ahli panel forum yang petah berhujah, serta telah membuat persediaan yang mencukupi. Namun, ketua hakim juga telah memberi teguran terhadap beberapa orang pengerusi forum yang gemar memotong percakapan ahli panel forum sepertimana juruhebah radio memutuskan talian ketika pendengar sedang bercakap di talian. Perkara ini perlu diberi perhatian oleh SMI jika mahu mengguli saingan pada tahun hadapan.

Auditorium (La Salle) yang diubah suai daripada dewan kuliah asal menjadi tempat pertandingan akhir. Pasangan pengacara pelajar kelas Bahasa Melayu STPM, Nur Habibi dan Siti Munirah juga berjaya mengendalikan majlis dengan lancar sekali. Sayangnya, SMI sekali lagi harus akur dan memberi laluan kepada Convent untuk bertanding di peringkat daerah.

Pada hari Rabu, 20 April ini, giliran peserta SMI akan berkunjung ke Convent untuk pertandingan pidato. Mohd. Firdaus dari 5S3 telah dipilih untuk menggalas cabaran SMI di dewan utama SMK Main Convent bermula pukul 2.00 petang. Firdaus bakal menyampaikan pidato yang bertajuk "Wanita Cemerlang Negara Terbilang".

Setiap pemidato diperlukan bercakap selama tujuh minit untuk pusingan pertama berdasarkan tajuk yang telah diundi minggu lalu. Ujian sebenar kehebatan pemidato akan dibezakan apabila mereka dikehendaki bercakap tentang tajuk spontan berdasarkan cabutan tajuk oleh peserta sendiri. Masa yang diperuntukkan ialah 4 minit sahaja...

Saturday, April 16, 2011

GAPIS, JAPIM JAYAKAN MENTOR-MENTEE (CATALYZING THE EXCELLENCE ACHIEVEMENT)

Ipoh, Sabtu: 16/4/11 = 12 Jamadi Awwal 1432

Motivasi kecemerlangan pembelajaran perlu bersifat jangka panjang. Maksim itu menjadi titik tolak pelaksanaan Program Mentor-Mentee Pelajar Muslim PMR, SPM & STPM di SMK St. Michael, Ipoh (SMI). Majlis dianjurkan bersama oleh Jawatankuasa Aktiviti Pendidikan Islam SMI (JAPIM) dengan Gabungan Alumni Pelajar Islam SMI (GAPIS) bermula pukul 8.30 pagi.
protege bersama-sama ibu bapa


Melainkan pelajar Muslim tingkatan 6 Atas yang menduduki peperiksaan Muet serentak, kehadiran murid tingkatan 3 dan tingkatan 5 melebihi 80 peratus. Ucapan disampaikan oleh Puan Hajjah Normah biti Karimin, penolong kanan kokurikulum dan Encik Hang Tuah Din, bekas Michaelian 1980-an. Upacara simbolik penyerahan mentee disempurnakan oleh Ustaz Marhalim selaku ketua panitia Pendidikan Islam kepada Hang Tuah Din, mewakili Gapis.

sebahagian mentor yang sudah berjaya


Sebahagian mentor yang sanggup hadir datang dari jauh seperti Prof. Dr. Abdullah, Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni dari kampus UiTM induk di Shah Alam. Cikgu Rahman pula datang dari Tapah demi mencetuskan inspirasi kepada angkatan pelajar semasa. Hang Tuah Din, ahli perniagaan dan ketua bahagian misalannya ialah bekas pelajar 1980-an.
sesi "pecah ais"

bersambung...

Thursday, April 14, 2011

PUISI PERPADUAN SMI DINOBATKAN TERBAIK (MICHAELIAN'S POET AKIN TO BROAD PERSPECTIVE)

Ipoh, Khamis: 14.4.11 / 10 Jamadil Awwal 1432

Sekali lagi puisi nukilan asal Haji Mohd Sidik, Guru Kanan Bahasa SMK St. Michael, Ipoh (SMI) diangkat sebagai ciptaan terbaik pertandingan puisi dan lagu peringkat zon 2 Kinta Utara kali ke-11. Pertandingan yang membabitkan lima buah pasukan sekolah itu berlangsung di panggung eksperimen Taman Budaya, sebuah wisma eksklusif untuk kegiatan kesenian dan budaya kreatif di Jalan Tambun. Puisi yang sama pernah memenangi anugerah khas juri peringkat daerah.

Ketua hakim pertandingan dalam ulasannya menyifatkan pasukan yang bertanding sebagai berpotensi untuk mara hingga ke peringkat kebangsaannya andainya diberikan pakej latihan dan pendedahan tentang gabungan semua elemen puisi dan lagu, terutama iringan muzik yang harmonis, persembahan dan vokal. Peserta boleh dikumpulkan dalam satu bengkel ala-rancangan realiti. Khidmat kepakaran dalam kalangan warga pendidik sudah lebih daripada mencukupi bagi tujuan berkenaan.

Secara keseluruhan, pasukan Ave Maria telah muncul sebagai juara. Walaupun puisi mereka biasa-biasa sahaja, tetapi persiapan mantap dari segi muzik, persembahan dan vokal telah memberi merit untuk memikat perhatian hakim. SMI berada pada kedudukan ketiga di belakang MGS...

Tuesday, April 12, 2011

DEWAN KULIAH KINI AUDITORIUM (NEW CIRCLE SETTING PLATFORM FOR DISCOURSE)

Dewan Kuliah utama SMK St. Michael, Ipoh (SMI) bersebelahan Dewan Sekolah kini tinggal dalam lipatan sejarah. Paparan utama blog ini yang menunjukkan penulis blog (PB) sedang mengendalikan taklimat penyelidikan kepada guru akademik tingkatan 6 di dewan kuliah hanyalah kenangan. Susunan seperti bilik kuliah universiti itu kini telah berubah secara total.

Dengan struktur ala-parlimen Inggeris, tiada meja disediakan kepada khalayak, melainkan untuk pengendali majlis di bahagian hadapan. Susunan selari digantikan dengan susunan melengkung supaya setiap khalayak memiliki peluang yang sama untuk memberi perhatian kepada pembicara atau pengendali majlis. Kawalan khalayak lebih mudah dilakukan kerana peluang untuk terlena dalam kedinginan daripada 6 unit pendingin hawa sangat tipis.

Bilangan kerusi khalayak ialah 120 unit. Kegunaan ruang yang kini dikenali sebagai auditorium itu dikhususkan untuk majlis yang bersifat eksklusif dan terhad. Antara acara terawal yang dilaksanakan di auditorium berkenaan ialah taklimat pencapaian SPM dan Ladap...

Friday, April 8, 2011

PERAYAAN 100 TAHUN SMI BERMULA (TAKE HOLD OF THE FUTURE MICHAELIANS)

Ipoh, Jumaat: 8/4/11 = 4 Jamadil Awal 1432

Detik sambutan seabad SMK St. Michael, Ipoh (SMI) kian hampir. Tempoh sejarah yang begitu panjang melayakkan SMI dikategorikan sebagai sebuah institusi pendidikan yang sangat berjasa kepada masyarakat dan negara. Keupayaan bertahan sebagai sebuah sekolah yang disegani membuktikan satu perkara, iaitu tradisi kecemerlangan yang diwarisi generasi demi generasi.
Satu upacara ringkas bagi menandakan bermulanya program sambutan dilangsungkan pagi tadi. Pelancaran dilakukan oleh Dato' Bro. Vincent Corkery, dan turut dihadiri oleh Encik Joseph Michael Lee, dan beberapa orang wakil persatuan bekas pelajar (OMA) dan PIBG. Sepanduk rasmi perayaan dipertontonkan buat julung-julung kalinya.
Selepas penyerahan buku The Michaelian Spirit kepada wakil-wakil tingkatan, Dato' Bro. Vincent sekali lagi diberi penghormatan bagi membuka dengan rasminya Michaelian Heritage Gallery, hasil daya usaha Encik Peter Khiew yang boleh disifatkan sebagai pemegang kunci maklumat sejarah SMI. Beliau dan pasukannya telah bertungkus-lumus mengumpul segala bahan sejarah yang begitu berharga. Walaupun pada asasnya SMI ialah sebuah sekolah mission, status sebagai sebuah sekolah bantuan modal telah meletakkan SMI muncul sebagai antara pemacu kecemerlangan arus perdana pendidikan kebangsaan...

Tuesday, April 5, 2011

KILAS TANGKIS BUKA GELANGGANG BAHARU (THE SECOND VENUE)

Ipoh, Isnin: 4/4/11 = 30 Rabiul Akhir 1432

Konsep lautan biru (blue ocean) yang merupakan idea kitar semula dalam penulisan motivasi dan perniagaan berteraskan penerokaan persekitaran yang baharu bagi memastikan kemajuan yang berterusan. Pergantungan kepada persekitaran yang sama akan membantutkan usaha bagi meninjau peluang-peluang lain, bahkan pesaing yang muncul akan makin banyak bilangannya. Dalam kata lain, sesuatu organisasi tidak boleh berlama-lama dalam persekitaran yang itu-itu juga.

Mengambil semangat itu, Kelab Kilas Tangkis yang mulanya bernaung di bawah Kelab Staf, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) kini mengorak langkah melakukan perubahan. Kalau sebelumnya kedua-dua sesi permainan petang Jumaat dan petang Isnin bertempat di Kompleks MBI, bersebelahan Stadium Perak, Kilas Tangkis memilih lokasi baharu untuk sesi petang Isnin. Terima kasih kepada orang kuat Kilas Tangkis, Cikgu Ibrahim yang telah berjaya menempah gelanggang di Akademi Badminton Perak, berhampiran tol Jelapang.

Anggota Kilas Tangkis yang turun pada sesi pertama di akademi ialah Ibrahim, Shakir, Shahruzzaman, Chin, Haji Zulkefli, Saiful dan penulis blog (PB) sendiri. Mulanya PB berpasangan dua kali dengan Shakir untuk menafikan saingan Haji Zul - Saiful 15-8, dan Haji Zul - Shahruzzaman juga 15-8. Kemudian PB bergandingan dengan Chin membuat kejutan ke atas pasangan kental Ibrahim-Shakir dengan mata 15-9.

Akademi Badminton Perak hanya dibuka kepada orang awam mulai pukul 5.30 petang setiap hari kerana dari pagi digunakan sebagai pusat latihan pemain-pemain negeri pelbagai kumpulan umur. Cikgu Ibrahim telah berbual panjang dengan pengelola akademi, Suffian Abu Bakar, pemain Melayu pertama pernah menjuari acara perseorangan kebangsaan pada pertengahan 1990-an sebelum muncul Misbun dan adik-adiknya. Terdapat enam gelanggang yang bertaraf pertandingan disediakan...

Monday, April 4, 2011

SMI NAIB JUARA BAHAS (CLOSE BATTLE AT THE STAGE)

Ipoh, Isnin: 4/4/11 = 30 Rabiul Akhir 1432

Kepetahan ketika berhujah dan membuat bidasan oleh ketiga-tiga pembahas ala-parlimen SMK St. Michael, Ipoh (SMI) belum menjadi faktor kritikal bagi mengungguli saingan akhir yang memihak kepada pasukan jiran, SMK Main Convent. Dengan itu, pasukan Convent bakal mewakili Zon 2 Kinta Utara ke pertandingan akhir peringkat daerah pada 13 dan 14 April ini di SMK Tanjung Rambutan. Pencapaian sebagai naib juara kali ini ialah ulangan edisi 2009 yang menyaksikan SMI dinafikan oleh Anderson di pentas lawan.
hakim beri tumpuan

Seperti biasa dalam pertandingan yang bersifat "subjektif" seperti bahas ala-parlimen akan timbul pelbagai andaian tentang keputusan yang dimuktamadkan oleh hakim. Namun, barang diingat bahawa pihak hakim telah melaksanakan tugas mereka berdasarkan peraturan yang ditaklimatkan sendiri oleh pihak penganjur, iaitu SMI. Ketiga-tiga hakim pertandingan akhir memiliki pengalaman hingga ke peringkat kebangsaan.
Ketua bahas SMI, Dhesegaan sedang berhujah sambil diperhatikan oleh Darwis dan Chan

Usul yang dibentangkan oleh pihak kerajaan (Convent) berbunyi "Kelayakan Akademik Penentu Kejayaan". Dalam teori modal insan, pendidikan menyumbang peningkatan berganda terhadap pendapatan negara hingga mewujudkan perbakian (residual). Namun, kelayakan akademik akan mengalami proses keusangan (obselete), dan modal insan harus diperbaharui dengan sikap positif untuk melakukan proses pembelajaran semula, latihan semula dan penambahbaikan sepanjang tempoh kerjaya masing-masing...