TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Friday, May 27, 2011

CIKGU POPULAR SMI PILIHAN MURID (A RARE INSPIRATIONAL TEACHER)

Ipoh, Jumaat: 27/5/11 = 23 Jamadil Akhir 1432
Cikgu Ibrahim Ahmad teruja dengan pengiktirafan murid

Seperti tahun-tahun lepas, Cikgu Zulkefli Sulaiman mencatat pencalonan tertinggi dalam hampir setiap kategori. Kali ini Cikgu Zul memenangi kategori guru paling cool berdasarkan undian murid. Nampaknya guru-guru lain kena belajar rahsia menambat hati pelajar daripada beliau.

Pencalonan untuk Cikgu Ibrahim hanya kurang sedikit daripada Cikgu Zul, tetapi Cikgu Ibrahim berjaya memenangi kategori terpenting, iaitu guru paling popular 2011. Kalau dalam anugerah bintang popular, Cikgu Ibarhim akan membawa pulang sebuah kereta separa mewah, perhiasan berlian dan hadiah iringan lain yang mencecah nilai lebih RM300,000. Namun, bagi seorang guru, cukuplah tanda ingatan yang tidak sepertinya.

Cikgu Ibrahim ialah ketua panitia Pendidikan Seni. Sebelum bertugas di SMK St. Michael, Ipoh, Cikgu Ibrahim pernah menabur bakti di negeri Cik Siti Wan Kembang, iaitu SMK Dabong, Hulu Kelantan. Ketinggian fizikal Cikgu Ibrahim memberi kelebihan kepada beliau di gelanggang badminton sebagai Presiden Kelab Kilas Tangkis...

Monday, May 23, 2011

KILAS TANGKIS TERIMA ANGGOTA BAHARU (YOUNG BLOOD INJECTED SINERGY FOR SMI'S BADMINTON CLUB)

Haji Zulkefli, Syarani dan Shahruzzaman

Kelab Kilas Tangkis yang asalnya bernaung di bawah Kelab Staf SMK St. Michael, Ipoh (SMI) kini melebarkan keanggotaannya bagi memantapkan pasukan. Terbaharu, Cikgu Mohd Syarani bin Ismail, 25, guru pelatih opsyen Pengajian Am Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah turun ke gelanggang Kompleks Badminton dan Squasy MBI setiap petang Isnin (5-7 petang) dan Jumaat (3-5 petang) bagi merancakkan saingan. Walaupun Cikgu Syarani akan tamat latihan praktikum selepas bulan puasa, pemilik wajah seiras Taufik Hidayat, jagoan badminton Indonesia, beliau boleh meneruskan keanggotaan Kilas Tangkis selagi masih bermastautin di sekitar bandar raya Ipoh.

Sementara itu, Cikgu Prakas Rao yang kini sedang bercuti semester pengajian ijazah sarjana di Universiti Putra Malaysia (UPM) juga kembali dengan gerak badan yang mengelirukan. Beliau juga dijangka dapat turun sehingga akhir bulan Syaaban. Hanya pada bulan Ramadan dan minggu pertama Syawal, aktiviti Kilas Tangkis bakal ditangguhkan.

Kilas Tangkis juga ingin merakamkan tahniah kepada anggotanya, Cikgu Sharuzzaman yang dinaikkan pangkat memangku gred DG48 atas perjawatan guru akademik tingkatan 6. Bertepatan dengan nama glamor guru berpotensi, Cikgu Shahruzzaman turut membantu Panitia Sejarah prauniversiti Tingkatan 6 muncul sebagai mata pelajaran terbaik STPM 2010. Penolong Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perak itu juga dijangka mengadakan kenduri kesyukuran khusus buat anggota Kilas Tangkis, ya kan?

Friday, May 20, 2011

SEKOLAH SELAMAT TIADA KOMPROMI (MANAGING RISK IN SCHOOL)

Ipoh, Jumaat: 20/5/11, 16 Jamadil Akhir 1432

Kepercayaan masyarakat terhadap keselamatan kanak-kanak di sekolah memang amat tinggi. Sejak zaman-berzaman ibu bapa berasa tenang untuk bekerja selagi anak-anak mereka berada dalam jagaan pihak sekolah. Sebab itulah metafora babby-sitter turut diberikan kepada institusi sekolah.

Keselamatan yang dimaksudkan merangkumi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek kanak-kanak. Guru-guru berperanan sebagai pengganti ibu bapa, in loco parentis, dalam batasan yang ditetapkan oleh undang-undang. Tanggungjawab berjaga-jaga, atau the duty of care terletak kepada pengetua dan guru-guru penolong supaya tidak berlaku sebarang kecuaian (negligence) yang boleh mengakibatkan tindakan undang-undang dikenakan.

Antara perkara penting yang wajib dilaksanakan oleh pihak sekolah ialah dari segi keselamatan kebakaran. Memandangkan bangunan sekolah dilengkapi dengan pendawaian elektrik serta disambungkan pula dengan pelbagai peranti elektronik, risiko kejadian litar pintas dan kebakaran mesti diambil berat. Pemeriksaan berkala dan pemeriksaan mengejut apabila ada keperluan mesti dilaksanakan tanpa gagal.
En. Razuran (AJK Keselamatan SMI) meneliti panel amaran kebakaran. 
Di sebelah beliau ialah wakil kontraktor senggaraan, En. Shafie. 
Penulis blog (PB) hadir atas kapasiti guru kadet bomba.

Jawatankuasa Keselamatan SMK St Michael, Ipoh (SMI) menyediakan jadual pemeriksaan dan senggaraan alatan keselamatan seperti panel amaran dan pam air. Selain itu, alat pemadam api, pili, hos dan kotak kaca loceng amaran api dipastikan berkeadaan baik supaya rekod tentangnya dapat dipantau oleh pihak pentadbiran sekolah. Kontraktor yang dilantik, Permai Sakti telah membuat pemeriksaan berjadual mereka di seluruh premis SMI bagi mengenal pasti tindakan-tindakan yang perlu...

Wednesday, May 18, 2011

PANITIA SEJARAH TERBAIK STPM 2010 (TOKEN AWARD FOR THE EXCELLENCE)

Ipoh, Rabu: 18/5/11; 14 Jamadil Akhir 1432

Antara pengisian program sambutan hari guru di SMK St Michael, Ipoh (SMI) ialah jamuan untuk guru dan kakitangan. Turut sama diraikan ialah guru yang telah berpindah sekolah. Hadir sama ialah Yang Di-Pertua PIBG dan jawatankuasa.
Haji Sidik (GK Bahasa) menyapa En. Zumairi dan Ustaz Syakir yang telah berpindah sekolah. Kelihatan sama ialah En. Mohd Zahir, PK Pentadbiran.

Sebelum jamuan bermula, sesi penyampaian sijil kepujian dan hadiah wang tunai disampaikan kepada panitia mata pelajaran terbaik PMR, SPM dan STPM. Sebanyak 9 anugerah, iaitu kedudukan pertama hingga ketiga diberikan. Panitia Bahasa Melayu yang turut dianggotai oleh penulis blog (PB) meraih pencapaian kedua terbaik PMR.
ketua panitia sejarah tingkatan 6 menerima anugerah

Panitia Kemahiran Hidup muncul sebagai panitia terbaik PMR, manakala Panitia Sejarah mengungguli carta pencapaian SPM 2010. Bagi pengajian prauniversiti tingkatan 6, Panitia Sejarah yang dianggotai oleh Puan Hajjah Zaleha dan Encik Shahruzzaman dinobatkan sebagai penerima anugerah pencapaian terbaik.
acara potong kek oleh En. Phoon Chong Chee (pengetua) dan En. Joseph Michael Lee (PIBG) 

Sebagai simbolik sambutan, PIBG telah bermurah hati menghadiahi kek khas hari guru. Ucapan alu-aluan disampaikan oleh pengetua SMI.  Majlis yang bermula kira-kira pukul satu petang berakhir 40 minit kemudian.

Monday, May 16, 2011

PERUTUSAN HARI GURU (THE VOICE OF EDUCATIONAL LEADERSHIP)

Ipoh, Isnin: 16/5/2011; 12 Jamadil Akhir 1432

Haji Sidik membaca teks ucapan Menteri Pelajaran

Pelancaran hari guru peringkat sekolah berlangsung secara serentak di seluruh negara. Di sekolah-sekolah, teks ucapan menteri, ketua pengarah dan pengarah negeri dibacakan. DI SMK St. Michael, Ipoh sambutan
penuh bakal berlangsung pada 27 Mei ini.

Pagi ini ucapan ringkas pengarah negeri, Datuk Rauhi dibacakan oleh penulis blog (PB) sendiri. Ucapan ketua pengarah dibacakan oleh En. Karu. Semua ucapan menyentuh tentang tema perayaan, iaitu "Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara". Acara hanya mengambil masa setengah jam kerana proses pembelajaran dan pengajaran perlu diteruskan seperti biasa...

Saturday, May 14, 2011

BEKAS MURID KUNJUNGI CIKGU IBRAHIM (BACK TO ALMA MATER)

Cikgu Ibrahim dengan budak 5V2 tahun 2009

Tarikh foto:  12/5/2011 (Khamis)
Lokasi:  Hadapan Bilik Pendidikan Seni
Keterangan: En. Ibrahim bukan memegang tongkat, tetapi rotan, bukan untuk merotan sesiapa,
 tetapi sebagai alat bantu mengajar...

Monday, May 9, 2011

WAJAH BAHARU PELAJAR PRAUNIVERSITI TINGKATAN 6 (THE FUTURE LEADERS IN MAKING)

Ipoh, Isnin: 9/5/11 = 5 Jamadil Akhir 1432

Kira-kira 200 orang pelajar lepasan SPM mendaftar sebagai warga SMK St. Michael, Ipoh (SMI) pagi ini. Sebahagiannya bekas pelajar SMI sendiri, manakala yang pasti pelajar perempuan datang dari sekolah lain, terutama Main Convent. Mulai 9 pagi ini mereka bertekad untuk bergelar sebagai Michaelian.
Usai proses pendaftaran, mereka perlu mengikuti beberapa slot taklimat tentang sistem pengajian tingkatan 6, disiplin dan kaunseling. Latihan nyanyian lagu sekolah dikendalikan oleh Majlis Pelajar Tingkatan 6 secara berselang-seli antara slot taklimat. Esok, Selasa taklimat akademik akan disampaikan oleh penyelaras mata pelajaran supaya persepektif tentang pembelajaran akan lebih jelas.
Kesabaran dan perhatian yang ditunjukkan dalam tempoh separuh hari tadi diharap akan berkekalan sepanjang sesi pengajian prauniversiti tingkatan 6 di SMI atau di institusi lain. Orang cemerlang akan melakukan perkara yang orang kurang cemerlang tidak suka melakukannya. Menghadiri taklimat, kuliah dan menyiapkan tugasan tentulah tidak sama dengan bermalas-malas di hadapan skrin televisyen atau melayan facebook!

Thursday, May 5, 2011

PELAJAR PRAUNIVERSITI 6 RENDAH LAPOR DIRI 9 MEI (WELCOME NEW MICHAELIANS)

Pengajian prauniversiti tingkatan 6 tetap merupakan laluan penting kemasukan kursus ijazah sarjana muda di universiti terkemuka dalam dan luar negara. Kelayakan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diiktiraf di seluruh dunia, serta dianggap setanding dengan A Level sebagai tiket memasuki universiti berprestij antarabangsa. Di Malaysia, lebih 30,000 tempat disediakan untuk pemegang sijil STPM yang bererti hampir semua calon STPM memiliki peluang bergelar sebagai mahasiswa dan mahasiswi.

Walaupun sistem modular yang dirancangkan belum menjadi kenyataan atas faktor lojistik di sekolah, penambahbaikan dari segi kelayakan tenaga pengajar yang bertaraf pensyarah, mod pengajian, aktiviti kokurikulum dan kepimpinan bakal menyediakan pengalaman pembelajaran tahap tinggi lepas menengah. Pendedahan aktiviti penyelidikan pula ialah jendela kepada pemerolehan pengetahuan baru menerusi proses manipulasi data secara tertib dan beretika.

SMK St. Michael, Ipoh (SMI) telah membuat persiapan menyambut warga baru 6 Rendah minggu hadapan. Minggu suai kenal akan diisi dengan program taklimat akademik, disiplin dan aktiviti nilai tambah lain yang ditawarkan. Pelajar yang pertama kali bergelar Michaelian, khususnya dari Main Convent dan Jalan Pasir Puteh akan diperkenalkan dengan budaya dan persekitaran SMI yang didominasi murid lelaki untuk pengajian menengah. Selepas seminggu, semua pelajar baharu prauniversiti tingkatan 6 SMI tidak lagi akan berasa berbeza hanya kerana pernah belajar di pelbagai sekolah sebelumnya.
Blok tingkatan 6 Rendah yang dikosongkan selama lima bulan kini akan kembali mempunyai tuan. Proses pembersihan dan penyusunan blok telah diaksanakan dari masa ke masa. Minggu lalu, pasukan kadet bomba prauniversiti SMI turut menyumbang sentuhan terakhir supaya warga baharu SMI 9 Mei nanti berasa selesa...

Tuesday, May 3, 2011

PELAWAAN REKA BENTUK KULIT MAJALAH SEKOLAH 2011 (COVER DESIGN FOR SCHOOL MEGAZINE)

Jawatankuasa Panel Penasihat Majalah The Michaelian edisi ke-63 (tahun 2011) pada hari Selasa, 26 April yang lalu telah membuat keputusan bahawa reka bentuk kulit hadapan majalah dibuka kepada semua warga SMK St. Michael, Ipoh (SMI) sama ada murid, bekas pelajar, guru, kakitangan dan semua pihak yang berkepentingan dengan SMI.

Syarat Penyertaan:

1   Boleh menghantar seberapa banyak pernyertaan

2   Lakaran bebas atau janaan komputer diterima

3   Sebaik-baiknya versi potrait dan landscape dihantar sekali gus

4   Butiran perkataan yang wajib dimasukkan:

     a)  The Michaelian  (nama majalah)

     b)  Cherishing Our Past, Embracing The Future   (tema sekolah)

     c)   Towards 100 Years of Education Excellence (1912-2012)

5   Lencana SMI dan nama sekolah akan diuruskan oleh Jawatankuasa

6   Reka bentuk hendaklah berwarna-warni, mengikut kreativiti, serta berkaitan dengan pre-Centennial Celebration

7   Tarikh tutup penyertaan ialah 8.8.2011

8   Cara menghantar penyertaan:

      a)  Secara pos kepada:  Setiausaha, Jawatan Majalah Sekolah, SMK St. Michael, 30000 Ipoh

      b)  Serahan tangan di pejabat sekolah, atau terus kepada mana-mana AJK Majalah

      c)  e-mel: jika disenaraipendekkan, salinan asal hendaklah diserahkan


Penyertaan sangat dialu-alukan. Terima kasih.