TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Wednesday, June 22, 2011

HARI SABTU DI SMI YANG SIBUK (WEEK-END TIGHT SCHEDULES AT THE SCHOOL)

Sabtu, 18.6.11 / 16 Rejab 1432

Konsep ESSO (every saturdays and sundays off) yang dipopularkan oleh Datuk Rauhi, pengarah JPN Perak nampaknya tidak berlaku di sekolah. Dahulu orang pejabat bekerja hari Sabtu, sekarang mereka rehat. Sekarang, cikgu dan murid pula yang berbuat demikian.

Guru menhadari program Latihan Dalam perkhidmatan Berasaskan Sekolah (Ladap) tentang Pengurusan Strategik di Auditorium SMI. Pemudah cara Ladap ialah Dr Balasundram, Ph.D (USM), pensyarah gred DG52, Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Utara, Jitra, Kedah. Program bermula pada pikul 8.30 pagi usai sesi fotografi guru untuk majalah sekolah di kawasan padang sekolah.


Sementara itu sejumlah 80 orang pelajar Islam kelas peperiksaan PMR, SPM dan STPM berada di Dewan Besar SMI sejak pukul 8 pagi bagi mengikuti program motivasi pelajar Islam anjuran Gabungan Bekas Pelajar Islam SMI (Gapis). Pemudah cara program ialah Dr Ismail Zain, Ph.D (USM), pensyarah gred khas C, IPG Hulu Kinta yang sering muncul di kaca televisyen. Mereka bersurai selepas solat Asar.


Aktiviti mingguan kokurikulum murid sesi pagi, tingkatan 3 - 5. berlangsung. Minggu ini dikhususkan untuk permainan. Di SMI, permainan takraw bukanlah asing bagi murid keturunan Cina dan India.

Di tapak perhimpunan, berlangsung pertandingan bola keranjang 3 sebelah anjuran jawatankuasa sambutan 100 tahun SMI. Sebanyak 50 buah pasukan dari sekolah sekitar Ipoh mengambil bahagian. Wakil SMI yang diketuai Yew Weng Hoe mara hingga ke pusingan separuh akhir.

Pasukan pancaragam sekolah, bahagian dram, diiringi Encik Liew selaku guru penasihat ke Kuala Lumpur bagi menyertai pertandingan peringkat kebangsaan. Pasukan dram SMI sebelum ini mencul sebagai naib juara zon utara (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak) bagi kategori berkenaan. Gambar di atas ialah formasi persembahan mereka sempena sambutan hari guru peringkat sekolah...

Friday, June 17, 2011

KESERASIAN GURU - PELAJAR LONJAK PENCAPAIAN MUET (CHEMISTRY IN LEARNING)

Calon STPM 2011 SMK St. Michael, Ipoh (SMI) bermula dengan langkah kanan apabila mencatat pencapaian cemerlang dalam peperiksaan Malaysian University English Test (Muet) yang diumumkan keputusannya 13 Jun yang lalu. Tung Keng Fai, pelajar prauniversiti 6 Atas Sains 1 muncul sebagai antara calon Muet terbaik negara dengan mencatat Band 6. Pencapaian itu mengulangi catatan calon STPM 2008, Wong Hon Kit.
Tung Keng Fai

Selain itu, sebanyak 33 orang calon SMI juga mencatat Band 5, serta secara keseluruhannya 91 peratus calon mencatat sekurang-kurangnya Band 3. Calon yang berhajat membaiki pencapaian masing-masing boleh mencuba lagi pada bulan November ini, iaitu Muet pusingan kedua. Apabila sistem modular dilaksanakan tahun hadapan, peperiksaan Muet akan dijalankan sebanyak tiga kali dalam setahun.
Wong Hon Kit

Mungkin secara kebetulan atau suratan, kedua-dua Hon Kit dan Keng Fai mendapat bimbingan guru yang sama. Kajian tindakan tentang keserasian atau x-factor pembelajaran yang berlaku boleh dicontohi. Hubungan baik, serta keserasian antara guru dengan pelajar nyata sekali menyumbang terhadap sesuatu pencapaian yang berbeza...

TAHNIAH KEPADA SEMUA PELAJAR DAN GURU MUET

Thursday, June 16, 2011

PELAJAR PRA-U DERMA DARAH (ACT OF CHARITY AND UNPAID VOLUNTEER DONOURS)

Ipoh, Khamis: 16/6/11 = 14 Rejab 1432
ujian status darah sebelum menderma

Hanya individu yang berusia 18 tahun ke atas, serta disahkan melepasi ujian status darah dibenarkan menderma darah. Jika usia penderma ialah 17 tahun, izin ibu bapa diperlukan. Maka, antara penderma sasaran Unit Tabung Darah, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh ialah pelajar tingkatan 6, SMK St. Michael, Ipoh (SMI).

Sambutan pelajar begitu menggalakkan. Mereka hanya diberi insentif markah kokurikulum, dan sedikit alas perut. Sikap terpuji mereka sangat dikagumi dan diharapkan bakal berterusan apabila memasuki alam dewasa kelak.

Penyelaras projek, Puan Hajjah Zaleha memaklumkan bahawa aktiviti ini dimasukkan dalam takwim tahunan komponen kebajikan pelajar prauniversiti tingkatan 6. Petugas hospital yang ditemui juga melahirkan rasa bangga terhadap semangat sukarela dan kerjasama pelajar prauniversiti SMI. Kesanggupan beratur panjang untuk mendaftar sebagai penderma boleh dikatakan agak luar biasa...

Sunday, June 12, 2011

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH (BACK TO SCHOOL)

Cuti pertengahan tahun selama dua minggu berlalu sudah. Masa untuk menyambung perjuangan di medan pembelajaran bilik darjah kini menjelma lagi. Kegiatan kokurikulum dan permainan masih diteruskan.

Begitulah putaran masa yang tidak pernah berhenti. Masa ialah kehidupan. Selagi masih bernafas, seseorang manusia masih memiliki ikatan kontrak dengan Allah untuk memenuhi tanggungjawab sebagai khalifah di bumi.

Setiap tahun bilangan murid yang tamat persekolahan di Malaysia mencecah angka 500,000 orang. Bilangan yang masuk juga begitu. Maka, persaingan dalam serba serbi bagi merebut kejayaan yang terbaik memerlukan kesungguhan, komitmen dan tumpuan yang tidak berbelah bahagi.

Kepada murid yang bercita-cita tinggi, gantungkan cita-cita itu setinggi bintang di angkasa raya, tetapi jangan lupa rumput di bumi. Ikutlah resmi padi, makin berisi makin tunduk. Jadilah rakan sebaya yang berkesan justeru cara belajar yang paling baik ialah dengan mengajar orang lain...

Thursday, June 9, 2011

MAIN ULAR JUAL UBAT (SMALL SCALE MARKETING STRATEGY)

Dalam dunia perniagaan, gimik dan promosi merupakan strategi penting bagi meningkatkan jualan. Perniagaan besar dengan gimik dan promosi yang menggunakan khidmat profesional, manakala peniaga jalanan menggunakan kemahiran interpersonal dengan akses pelanggan yang terhad. Walaupun berbeza skala, tujuannya tetap sama, iaitu meyakinkan pelanggan supaya membeli barang jualan mereka.
mula-mula pertunjukan ular

Pasar malam dan pasar tani juga menjadi medan promosi peniaga jalanan, khususnya penjual ubat tradisional. Pengunjung dihiburkan dengan pertunjukan olok-olok terlebih dahulu. Peniaga sudah berpengalaman bahawa penonton tidak akan bertahan lama dan cepat bertukar ganti.
kemudian, jual ubat


Contohnya dalam gambar yang dipaparkan. Budak berbaju-t hitam itu dikatakan akan mencium kepala ular tedung sela yang berbisa. Namun, dengan helah tauke ubat, adegan itu tidak pernah berlaku. Sebaliknya, apabila penonton sudah terbuai dengan "kelentong" tauke ubat, maka urus niaga pun dimulakan.

Jika anda perasan, keadaan yang sama berlaku untuk strategi pemasaran dan pengiklanan skala besar. Selalunya hanya tulisan kecil atau suara perlahan sahaja memaklumkan bahawa tertakluk kepada terma dan syarat. Mungkin sahaja indah khabar daripada rupa...

Monday, June 6, 2011

LAUT DIPANAH MATAHARI (SUNSHINE ACROSS THE SEA)

Hari apakah yang paling terang? Jawapan teka-teki itu bukanlah nama hari, tetapi tentulah matahari. Macam juga kalau kereta api terbalik, apa jadi?

Apabila seorang DJ radio pantai timur membuka talian, hampir dua jam pelbagai jawapan yang lucu-lucu diberikan oleh pendengar. Setelah semua angkat bendera butih, DJ pun berkata: api kereta! Tentulah tidak boleh marah, nama pun teka-teki.
Cahaya matahari waktu pagi dikatakan manambah vitamin D. Namun, kaum wanita siap sapu krim sun block supaya kulit muka tidak seperti terbakar! Apa-apa pun bagi pelukis dan jurufoto, sinar matahari ada ciri keindahan yang unik juga.

Kerap juga matahari dijadikan perlambangan atau metafora dalam mengungkapkan sesuatu. Siapakah matahari anda? Walaupun kagum dengan matahari, tentulah kita lebih kagum kepada Pencipta matahari...

Friday, June 3, 2011

NASI DAGANG IKAN PATIN (THE EAST COAST CUISINE)

Sempena cuti sekolah kali ini, negeri-negeri pantai timur Semenanjung, iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu menjadi tumpuan pelancong dalam negara. Kebanyakan bilik penginapan seperti hotel dan resort habis ditempah. Permintaan yang tinggi itu memberi peluang kepada pemilik inap desa yang semakin banyak bilangannya.

Perjalanan dari arah Kuala Lumpur pasti akan melintasi negeri Pahang Darul Makmur. Orang-orang Ipoh juga boleh memilih laluan Cameron Highland - Lojing - Kenyir - Felda Aring - Gua Musang yang penuh dengan selekoh tajam dan curam. Bagi pemandu yang inginkan keselesaan, mereka boleh memilih lebuh raya tol, iaitu Lebuh Raya Pantai Timur yang hingga kini berakhir di plaza tol Jabor.
Sama ada memilih laluan jalan raya biasa tanpa tol atau lebuh raya, pengalaman singgah di bandar Temerloh pasti berbeza. Temerloh ialah bandar ikan patin, sama ada patin bunga (liar dan bebas di sungai), atau patin sangkar (ternak air). Harga sepotong ikan patin bunga ialah RM12, manakala sepotong ikan patin sangkar ialah RM7 yang dimasak dengan gulai tempoyak.

Harga yang dinyatakan itu ialah harga kawalan di kawasan rawat dan rehat selenggaraan MTD Prime Berhad. Kalau di premis lain, tanyalah harga dahulu sebelum membuat pesanan supaya tidak berasa ditipu pula. Walaupun di bandar-bandar lain juga banyak ikan patin, tetapi patin Temerloh tidak dapat ditandingi.

Ikan patin Temerloh disajikan bersekali dengan nasi putih dan boleh ditambah hidangan sayur-mayur seperti umbut kelapa yang membuka selera. Bagi sesiapa yang tidak biasa menikmati ikan sungai yang dianggap hanyir, mereka boleh memesan ayam berlada atau manisan.
Masuk ke Terengganu pula segera terhidu aroma keropok lekor dan nasi dagang. Berbeza dengan nasi dagang Kelantan yang menggunakan beras hitam, nasi dagang Terengganu ialah campuran beras putih panjang kualiti tinggi dengan sedikit pulut. Pelengkap nasi dagang Terengganu ialah ikan aya, atau dikenali di sebelah pantai barat sebagai ikan kayu atau ikan tongkol.

Menu lain yang boleh dicuba ialah laksam. Minuman tidak banyak berbeza, kecuali pesanan air nira atau juga dikenali sebagai air tuak. Minuman yang dihasilkan daripada air kelapa muda itu bukanlah memabukkan sebagaimana minuman beralkohol dan status halalnya tidak perlu diragukan.

Bab-bab makan minum ini mestilah dikawal dengan disiplin kendiri yang kuat. Pengambilan hidangan yang seimbang masih perlu dijadikan pertimbangan walaupun makanan dan minuman yang dijual kelihatannya begitu lazat. Sesekali mencuba tidak salah, bukan begitu?


Thursday, June 2, 2011

PENYERTAAN GURU DALAM KOPERASI (JOINTLY OWNED TEACHER'S ENTERPRISES ENTITY)

Sebagai penjawat awam, guru disekat daripada menjalankan aktiviti perniagaan secara individu. Jika kakitangan awam terlibat dengan aktiviti luar tugas hakiki yang mendatangkan ganjaran kewangan, jumlahnya hendaklah tidak melebihi 25 peratus emolumen bulanan. Taktik penggunaan nama proksi dalam perniagaan jualan langsung (multi-level marketing) dan kepentingan perniagaan yang lain mungkin sukar untuk dibuktikan.

Kebanyakan guru memiliki bakat keusahawanan yang tinggi kerana proses pengajian tinggi yang dilalui, di samping kebolehan mengelolakan pelbagai projek di sekolah yang membabitkan urusan kewangan. Kuasa beli kaum guru juga sangat didambakan oleh para peniaga. Dengan purata pendapatan RM4k sebulan, bayaran emolumen keseluruhan guru di sekolah kerajaan yang berjumlah 400,000 orang mencecah RM1.6 bilion, atau setahun menghampiri RM20 bilion. 

Maka, jika tiada larangan dikenakan, sekolah akan diserbu oleh jurujual, ejen insurans, peniaga kad kredit, wakil pelancongan, pemaju hartanah dan macam-macam jenis manusia lain, termasuk pemungut derma. Guru-guru juga akan menerima kiriman risalah promosi daripada macam-macam syarikat. Sudah tentulah keadaan sedemikian tidak diingini sama sekali.
upacara akad serahan zakat niaga berjumlah RM53k oleh Kagum

Sebaik-baiknya bakat keusahawanan dan kuasa beli guru disalurkan menerusi gerakan koperasi yang khusus untuk mereka. Antara koperasi guru yang berjaya ialah Koperasi Guru-Guru Semenanjung Malaysia (KGGSM) dan Kesatuan Guru-guru Melayu Perak (Kagum). Sesetengah koperasi guru menjadi kelab orang pencen memandangkan merekalah yang mempunyai kelapangan waktu untuk mengelolakan kegiatan koperasi guru secara sepenuh masa.
anak anggota Kagum yang cemerlang dalam PMR, SPM dan STPM

Selain skim pinjaman peribadi, pelancongan dan perumahan, aspek kebajikan ahli seperti hadiah pelajaran dan khairat kematian juga disediakan oleh koperasi. Bonus dan dividen tahunan yang diisytiharkan bergantung kepada kecekapan pengurusan kewangan dan pemilihan projek yang berdaya maju. Kagum yang berpangkalan di Medan Gopeng, Ipoh misalnya berjaya memberikan dividen sebanyak 7 peratus atas pemilikan saham dan deposit keanggotaan...