TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Saturday, August 27, 2011

KEAJAIBAN AL-QUR'AN DI MAJLIS KHATAM SMI (RECITING THE WORD OF GOD)

Ipoh, Jumaat: 26.8.11 / 26 Ramadan 1432

Guru dan murid SMK St Michael, Ipoh (SMI) telah berganding bahu bagi menjayakan program tadarus sempena Ramadan. Setiap kumpulan dipimpin oleh individu yang dikenal pasti fasih tentang kaedah bacaan dan asas tajwid. Sejumlah 15 kumpulan ditugaskan membaca dua juzuk al-Qur'an sejak minggu kedua puasa.
Acara kemuncak tadarus ialah majlis khatam al-Qur'an yang dilangsungkan di dewan sekolah. Acara dimulai dengan perarakan masuk wakil peserta tadarus, sambil diiringi bacaan selawat. Kemudian, peserta berkenaan naik ke pentas untuk memimpin bacaan surah-surah lazim.
Persembahan multimedia tentang keajaiban al-Qur'an benar-benar terbukti secara "tunai". Pada awal majlis, diumumkan berita kepergian salah seorang anggota keluarga warga SMI, tetapi usai tahlil ringkas dan doa, berita diterima bahawa orang yang dimaksudkan masih dipanjangkan umur oleh-Nya. Maha Suci Allah, Subhanallah.
Semua peserta dalam kalangan murid menerima oleh-oleh berupa duit raya, manakala guru dan wakil peserta menerima bunga telur dan naskhah surah Yasin. Upacara disempurnakan oleh En. Mohd Zahir bin Ramli, Penolong Kanan SMI. Dalam ucapan penutup, beliau mengharapkan bahawa di samping hubungan dengan Allah, amalan al-Qur'an akan mengukuhkan aspek hablum-minannas, khususnya rasa hormat murid terhadap guru agar kecemerlangan pembelajaran dan mutu sahsiah tertinggi dapat dicapai...

Friday, August 26, 2011

HIAS KELAS SEMPENA MERDEKA (THE ART OF CLASS DECO)

Ipoh, Jumaat: 26.8.11 / 26 Ramadan 1432

Antara pengisian sambutan kemerdekaan negara edisi ke-54 peringkat sekolah ialah pertandingan menghias bilik darjah. Supaya lebih adil, garis panduan tentang konsep, kriteria pemarkahan juri dan had perbelanjaan yang dibenarkan. Seperti biasa, terdapat kelas yang bersungguh-sungguh untuk menang, dan ada juga yang sekadar mengambil bahagian.
Hiasan yang dipersembahkan seharusnya menepati tema sambutan, iaitu "transformasi berjaya, rakyat sejahtera". Selain itu, maklumat sejarah dan tokoh-tokoh pejuang merdeka yang dipaparkan biarlah kreatif dan menangkap imaginasi. Peranan generasi muda dalam proses pengisian kemerdekaan ialah nilai tambah yang diharapkan.
Semua 41 buah kelas dari tingkatan 1 hingga 6 Atas mengambil bahagian berdasarkan kategori. Tahun ini, penolong-penolong kanan telah sudi menjadi juri pertandingan. Keputusan dan penyampaian hadiah dijangka disampaikan selepas cuti hari raya nanti.
Walaupun sibuk dengan persiapan peperiksaan percubaan SPM dan STPM, pelajar masih teruja untuk menampilkan hiasan kelas yang terbaik. Maka, kempen semarak kemerdekaan dalam kalangan generasi muda telah mencapai tujuannya. Perjuangan generasi dahulu akan sentiasa dihargai...

Thursday, August 25, 2011

IKRAR BUDAK VT LONJAK SMI (PROSPECT TO EXCEL)

Ipoh, Khamis: 25.8.11 / 25 Ramadan 1432

Peratusan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bergantung kepada peratus calon mencapai tahap minimum gred E dalam kertas Bahasa Melayu. Seseorang calon SPM layak dianugerahkan sijil hanya jika lulus mata pelajaran Bahasa Melayu. Demikian tinggi kedudukan dan nilai kelulusan Bahasa Melayu sebagai syarat utama memperoleh sijil bagi peperiksaan awam terbesar dan terpenting dalam sistem persekolahan di negara kita.
Persaingan sengit untuk merebut tempat di fakulti yang menawarkan kursus-kursus kritikal, serta prospek lulusan berkenaan menyebabkan keperluan meraih gred tertinggi A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil, terutama Bahasa Melayu makin ketara. Malah, kalangan ibu bapa yang berharap supaya anak-anak mereka dapat menyambung impian mereka yang mungkin tidak kesampaian akan selalu mengingatkan anak-anak mereka tentang hal yang sama. Pendek kata, calon-calon SPM mesti mencari jalan yang menjurus kepada pencapaian terbaik yang mampu dilakukan, atau paling tidak mencatat gred yang boleh dijadikan sandaran untuk melamar tempat pengajian pascamenengah, atau terus menceburi alam pekerjaan.

SMK St. Michael, Ipoh (SMI) sebagai sekolah premier yang kian menghampiri sambutan perayaan 100 tahun setakat ini masih berjaya mempertahankan peratus melebihi 90 saban tahun, dan pernah hampir merekodkan 100 peratus. Berdasarkan analisis, kunci peningkatan kertas Bahasa Melayu SPM di SMI sangat dipengaruhi oleh pencapaian calon daripada aliran vokasional dan teknik (VT). Selain mata pelajaran teras, budak-budak VT menduduki kertas elektif seperti Ekonomi Asas, Perdagangan, dan Pendidikan Seni Visual.
Panitia Bahasa Melayu telah mengatur pelbagai program teragih demi merealisasikan misi kecemerlangan pencapaian Bahasa Melayu SPM. Pagi ini, sejumlah 80 orang murid tingkatan 5V1, 5V2 dan 5V3 telah dihimpunkan di Auditorium SMI bagi mengikuti bengkel khas perancangan jawapan bahasa yang dikendalikan sendiri oleh Tuan Haji Mohd Sidik bin Haji Zakaria, Guru Kanan Bahasa SMI. Penulis blog (PB) turut diberi peluang membimbing kumpulan VT menyediakan format penulisan bahagian rumusan.

Jika diukur daripada maklum balas dan minat yang ditunjukkan oleh peserta bengkel, harapan SMI untuk kembali ke persada saingan sekolah berpencapaian tinggi nampak sangat cerah. Tuan Haji Sidik begitu teruja dengan sambutan kumpulan VT hingga sanggup memanjangkan slot beliau daripada cadangan asal 30 minit menjadi dua jam. Malah, apabila diminta menyatakan komitmen bagi memastikan SMI bakal menerima hadiah paling berharga sempena 100 tahun penubuhannya, auditorium kebanggaan SMI itu begitu bergemuruh dengan ikrar yang senada sejiwa...

Monday, August 22, 2011

KEPIMPINAN BAHARU SMI CATAT SEJARAH (FEMININE LEADS MASCULINE DOMINATED SCHOOL)

Ipoh, Isnin: 22.8.11 / 22 Ramadan 1432

Pengganti En. Phoon Chong Chee yang bersara minggu lepas telah pun melapor diri sebagai pengetua di SMK St. Michael, Ipoh (SMI). Puan Loh Wei Seng memiliki pengalaman menerajui SMK Bernedict Convent, Batu Gajah, SMK Main Convent, Ipoh dan SMK Seri Keledang, Ipoh. Dalam seminggu dua ini, beliau akan berulang alik dari SMI ke Seri Keledang untuk urusan serahan tugas.
   
Pada majlis perhimpunan mingguan pagi ini, Puan Loh telah memperkenalkan diri, sejarah perkhidmatan dan tagline beliau sekali. Sebagai guru penolong, beliau memulakan kerjaya keguruan di SMK Dr. Megat Khas selama 12 tahun sebagai guru Kimia dan Matematik. Kemudian, beliau dinaikkan pangkat sebagai Penolong Kanan di sekolah yang sama selama 7 tahun.

Di SMK St Bernedict Convent, Puan Loh menyandang tugas Penolong Kanan selama 4 tahun sebelum dilantik sebagai pengetua selama setahun. Beliau kembali ke Ipoh sebagai pengetua SMK Main Convent selama empat tahun setengah. Sebelum ke SMI, beliau sempat bertugas sebagai pengetua di SMK Seri Keledang bagi tempoh sepuluh bulan sahaja.

Kini, Puan Loh berpeluang memimpin sekolah alma mater beliau sendiri, iaitu sebagai bekas pelajar tingkatan 6 di SMI kohort 1973-74. Beliau mencatat sejarah sebagai pengetua wanita pertama SMI, tetapi dengan persekitaran yang bukan asing bagi beliau. Cogan kata atau tag line beliau ialah "knowledgable, capable, loveable", sama seperti di sekolah-sekolah beliau yang terdahulu.

Cogan kata pegangan Puan Loh juga sejajar dengan komponen modal insan, iaitu pengetahuan, kemahiran dan sikap. Beliau mahukan warga SMI memiliki pengetahuan dan sentiasa berusaha mencarinya; memiliki kemahiran manipulatif dan sosial, serta memiliki sikap yang bersesuaian sebagai murid sekolah yang tahu menghormati orang lain, khususnya guru.

Warga SMI mengalu-alukan pelantikan beliau, sambil berharap SMI bakal terus menyerlah sebagai sebuah sekolah premier yang sudah bertapak hampir 100 tahun ini. Berdasarkan tempoh perkhidmatan semasa, jika tidak berpindah ke tempat bertugas yang lain, Puan Loh akan memimpin SMI hingga 13.2.2013. Selamat bertugas...

Saturday, August 20, 2011

MAJLIS IFTAR RAMADAN SMI (REWARDING CHARITY OF PROVIDING FOOD DURING FAST BREAKING)

Ipoh, Jumaat: 19.8.11 / 19 Ramadan 1432

Sebagai bulan pendidikan, umat Islam dilatih supaya bersifat pemurah pada bulan Ramadan untuk diteruskan sepanjang hayat mereka. Justeru, menjamu orang-orang yang berbuka puasa, walaupun hanya dengan sebiji kurma, atau minimum seteguk air ialah tuntutan yang sangat dianjurkan. Mereka yang ikhlas melakukannya akan beroleh ganjaran pahala sama dengan setiap orang dijamu tanpa mengurangkan pahala orang yang berpuasa itu.
Warga Islam SMK St. Michael, Ipoh (SMI) tidak mahu ketinggalan dalam perlumbaan ke arah kebajikan sedemikian. Panitia Pendidikan Islam, dengan kerjasama Persatuan Pelajar Islam dan Gabungan Bekas Pelajar SMI (Gapis) telah berjaya menggamit kehadiran hampir 300 orang warga SMI, termasuk guru, kakitangan, pelajar dan bekas pelajar yang sanggup datang dari jauh. Majlis berbuka puasa diadakan di kawasan tapak perhimpunan, manakala solat Maghrib, Isya' dan tarawih diadakan di dalam dewan SMI.
Antara tetamu jemputan ialah Ustaz Wan Ahmad Salahuddin, Penolong PPD (Pendidikan Islam) dan Dato' Bro. Vincent Cockery. Sementara itu, semua pemimpin utama Gapis juga hadir, termasuk Hang Tuah Arshad (pengerusi), Dr Kamaruddin (timbalan pengerusi), Cikgu Adi Yusri (setiausaha) dan Cikgu Abdul Rahman (dari Tapah, AJK). Imam Masjid Bangsar, Tuan Haji Khairuddin, juga bekas pelajar SMI, seperti tahun lalu sanggup turun dari ibu kota untuk memimpin majlis solat, bacaan surah Yasin, dan tazkirah.
Sesi tazkirah menekankan tentang kepentingan transformasi dalam diri insan untuk meningkatkan iman dan taqwa secara berterusan. Tuan Haji Khairuddin banyak menggunakan ibarat dan tamsilan, contohnya kisah burung helang yang mula mengepak hingga berjaya melayang tinggi di udara. Jemaah juga digesa supaya segala pengamatan mereka terhadap fenomena ciptaan Allah hendaklah berdasarkan ilmu agar bertambah dalam keinsafan tentang betapa kerdil seseorang insan, serta mendorong usaha penyelidikan (tadabbur).
Al-Fadil Ustaz Suhaimi atau lebih dikenali sebagai Ustaz Amy bertindak selaku penyelaras program bagi memastikan bahawa pelajar yang hadir menunjukkan adab dan disiplin sebagai Muslim. Ustaz Amy kelihatan sentiasa dengan hailer di tangan bagi memberi arahan yang perlu. Majlis juga dimaklumkan bahawa Ustazah Hartini akan berpindah ke SMK Anglo Chinese (ACS) mulai minggu hadapan...

Thursday, August 18, 2011

PENGETUA SMI BERSARA (HAPPY BIRTHDAY MR PHOON CHONG CHEE)

Ipoh, Khamis: 18.8.11 / 18 Ramadan 1432 
Setelah kira-kira 34 tahun bergelar pegawai perkhidmatan pelajaran siswazah, terakhir sebagai pengetua SMK St. Michael, Ipoh (SMI), En. Phoon Chong Chee yang akan menyambut ulang tahun kelahiran beliau yang ke-58 esok akan bersara wajib. Hari terakhir beliau bertugas dipenuhi dengan majlis penghargaan bagi meraikan persaraan beliau. Warga SMI pasti akan berasa kehilangan beliau yang telah berkhidmat selama 5 tahun 9 bulan di sini. 
En. Phoon diraikan dalam dua majlis berasingan, iaitu di tapak perhimpunan bersama pelajar sesi pagi, dan di dalam dewan sekolah bersama para pegawai JPN, PPD, rakan pengetua, PIBG, OMA dan Lembaga Pengelola Sekolah. Antara acara bersama pelajar ialah pemeriksaan baris kehormat dan persembahan pancaragam, serta tarian singa. Wakil-wakil pelajar turut menyampaikan hadiah sebagai tanda mata kenang-kenangan.

Pesanan beliau kepada pelajar ialah tidak lain tidak bukan supaya mereka terus fokus terhadap proses pembelajaran bagi menyerlahkan bakat, potensi dan fakulti dalam diri masing-masing. En. Phoon turut menggesa pelajar SMI supaya sentiasa berbangga dengan sekolah yang menjadi perhatian masyarakat ini. Ujar En Phoon, pelajar SMI akan sentiasa berada di hati walaupun beliau bersara...

Wednesday, August 17, 2011

GURU KANAN KEMANUSIAAN SMI BERSARA (MISS TAN RETIRED)

Ipoh, Selasa: 16.8.2011 / 16 Ramadan 1432

Setelah memperoleh kelayakan sarjana muda sastera (kepujian) geografi pada tahun 1976 dan Diploma Pendidikan pada tahun 1977 dai Universiti Malaya, Cik Tan Mee Hong memulakan perjalanan kerjaya keguruan di daerah Perak Tengah sebelum bertugas di Ipoh. Cik Tan dinaikkan pangkat sebagai Guru Kanan Kemanusiaan di SMK St. Michael, Ipoh (SMI) sejak tahun 2003. Beliau diraikan oleh warga SMI sempena persaraan wajib beliau mulai 17 Ogos, dua hari sebelum persaraan pengetua.

Pesanan Cik Tan kepada Michaelian ialah supaya mereka bersungguh-sungguh dalam pembelajaran. Tempoh 34 tahun sebagai pendidik bukanlah satu jangka masa yang pendek. Kini, segala pengalaman yang dilalui akan bertukar sebagai kenang-kenangan. 

Antara acara majlis di tapak perhimpunan itu ialah ucapan, persembahan pelajar, penyampaian cenderamata dan sijil penghargaan persaraan. Beberapa persembahan pelajar seperti berbalas pantun dan pancaragam turut menyerikan majlis. Akhirnya, guru dan pelajar berbaris hingga ke pintu pagar utama bagi mengucapkan selamat jalan.

Hubungan dengan bekas-bekas pelajar dan sahabat karib tidak akan putus memandangkan media baharu seperti facebook dan twitter menjadi pengganti diri. Pesara perkhidmatan awam seperti Cik Tan Mee Hong yang memiliki kepakaran keguruan masih boleh terus menyumbang bidang yang sama. Sudah menjadi tradisi di SMI bahawa guru-guru yang bersara sangat kerap turun ke sekolah untuk mengambil bahagian dalam aktiviti tertentu, di samping mengekalkan hubungan pendidikan yang telah lama terjalin.

Monday, August 15, 2011

PELANCARAN SAMBUTAN MERDEKA EDISI 54 (NATIONAL FLAG FLOWN BY MICHAELIANS)

Ipoh, Isnin: 15 Ogos 2011 / 15 Ramadan 1432

Semangat cinta negara terus utuh dalam kalangan generasi muda. Sikap patriotik telah disemai sejak di bangku sekolah merentas kurikulum, iaitu diterapkan dalam setiap mata pelajaran. Hanya warganegara yang memiliki jati diri akan sanggup berkorban jiwa dan raga bagi mempertahankan negara daripada diinjak oleh kuasa-kuasa asing.
Malaysia ialah bumi bertuah yang kita huni dan jaga, tanah tumpahnya darah kita. Kemakmuran, keselamatan dan perpaduan yang dinikmati ialah insurans kejayaan yang akan membawa Malaysia ke mercu lebih tinggi. Pemimpin dan rakyat saling bergandingan untuk mara ke arah hala tuju yang sama.
Warga SMK St. Michael, Ipoh (SMI) juga tidak ketinggalan menjelmakan citra kemerdekaan yang tulen. Dalam satu majlis ringkas tetapi simbolik, warga SMI telah melafazkan aspirasi merdeka dalam persekitaran bayangan masyarakat Malaysia yang bersatu padu tanpa mengira latar belakang kepercayaan, keturunan dan sosioekonomi. Mereka dengan penuh bangga mengibarkan jalur gemilang bersama-sama.
Dalam majlis pelancaran sambutan pagi tadi, beberapa acara telah diatur dan dijayakan. Selain ucapan-ucapan, pelancaran diisi dengan persembahan pantun dan lagu, serta nyanyian lagu patriotik secara beramai-ramai. Penyampaian hadiah untuk esei kemerdekaan anjuran Panitia Bahasa Melayu SMI dengan kerjasama Kesatuan Kebangsaan Guru-guru Dalam Perkhidmatan (NUTP) telah disempurnakan.
Sambutan merdeka peringkat SMI akan berlangsung selama sebulan, iaitu sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 September nanti. Pelbagai aktiviti telah dipilih oleh pihak jawatankuasa, termasuk pertandingan menghias kelas dan kuiz merdeka. Sesungguhnya warga SMI berikrar untuk menyemaikan jiwa merdeka dalam sanubari masing-masing untuk ditransformasikan kepada kejayaan cemerlang dalam segenap bidang...

Friday, August 12, 2011

GURU SMI TERIMA PINGAT PERKHIDMATAN (STATE COMMISSIONER'S OF SCOUT COMMENDATION AWARD)

Pertubuhan Pengakap yang diasaskan oleh Baden-Powell telah lama mencapai tahap global dengan menyumbang bakti dan khidmat kesukarelaan di serata dunia. Malah, di Arab Saudi, pasukan pengakap saban tahun diberi kepercayaan bagi membantu pergerakan kira-kira tiga juta orang jemaah haji, khususnya ketika melontar jamrah. Di Malaysia, pergerakan pengakap dimulakan di peringkat sekolah rendah lagi hinggalah ke peringkat belia dan dewasa.

SMK St. Michael, Ipoh (SMI) juga memiliki pasukan pengakap yang boleh dibanggakan. Selain pengakap raja dalam kalangan murid, SMI juga bertuah salah seorang pegawai kanan pengakap negeri ialah  gurunya. Encik Shahruzzaman, guru akademik tingkatan 6 gred DG 48 telah dilantik sebagai Penolong Pesuruhjaya Pengakap Negeri Perak Darul Ridzuan.

Sebelumnya, Encik Shahruzzaman pernah menyandang jawatan pesuruhjaya daerah Kinta selama dua tahun. Di SMI sendiri, beliau telah mengasaskan penubuhan pasukan Pengakap Kelana untuk pelajar prauniversiti tingkatan 6. Walaupun tidak lagi berada dalam pasukan berkenaan, beliau masih sudi berkongsi pengalaman dengan guru penasihat dan anggota pasukan.
Pengalaman dan kecemerlangan perkhidmatan Encik Shahruzzaman dalam pergerakan pengakap telah mendapat pengiktirafan tertinggi baru-baru ini. Pada 30 Julai yang lalu, bertempat di Dewan Bankuet, Wisma Darul Ridzuan, beliau telah dianugerahkan pingat perkhidmatan terpuji yang disampaikan oleh DYMM Raja Dr. Nadzrin Shah, raja muda negeri Perak Darul Ridzuan. Warga SMI, terutama pasukan pengakap merakamkan ucapan tahniah kepada beliau yang telah mengharumkan nama sekolah...

Friday, August 5, 2011

MUSIM PERSARAAN PENTADBIR SMI (FAREWELL TO PRINCIPAL, SENIOR TEACHERS)

Bulan Ogos menyaksikan SMK St. Michael, Ipoh (SMI) bakal kehilangan teraju sekolah, Encik Phoon Chong Chee yang akan mula bersara wajib pada 19 Ogos ini. Beliau mula berkhidmat sebagai pengetua SMI sejak November 2005, iaitu jawatan naik pangkat setelah berkhidmat sebagai Penolong Kanan di SMK St. George, Taiping. Dengan latar belakang pengkhususan Kimia dari USM, Encik Phoon juga pernah menyandang jawatan Guru Kanan Sains dan Matematik di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).
 Selain jawatan awam, Encik Phoon juga terlibat aktif dalam kesatuan guru, iaitu NUTP sebagai setiausaha cawangan Perak. Penglibatan berkenaan membolehkan beliau mempunyai akses dengan pengurusan tertinggi Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Selain itu, beliau sering mewakili kesatuan dalam lawatan dan persidangan antarabangsa, seperti di Vietnam dan Denmark.

Sempena persaraan Encik Phoon, satu majlis khas akan diadakan pada tanggal 18 Ogos ini membabitkan seluruh warga SMI. Sepanjang 6 tahun menggantikan tempat Encik Louis Rozario, beliau telah memberi tumpuan terhadap projek naik taraf kemudahan pelajar seperti bumbung bangunan yang baharu, lantai bilik darjah dan makmal, serta aspek keselamatan yang lain. Beliau juga sering menegaskan tentang konsep the last, the least and the lost yang menjadi asas penubuhan SMI pada tahun 1912 dahulu.
Dua hari sebelum persaraan pengetua, seorang lagi anggota pentadbiran sekolah, iaitu Cik Tan Mee Hong, Guru Kanan Kemanusiaan juga akan bersara wajib. Seterusnya pada bulan September, giliran Puan Ratan Kaur, guru akademik tingkatan 6, gred DG 52 akan bersara. Brother Matthews juga bakal menamatkan perkhidmatan pada bulan berikutnya pada usia 65 tahun.

Jasa mereka kepada SMI akan terpahat dengan tinta emas buat selama-lamanya. Semoga mereka akan terus dikurniakan kesihatan yang baik supaya dapat terus menyumbang kepada dunia pendidikan, serta dapat menikmati alam persaraan dengan penuh bermakna. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain...

SELAMAT BERSARA