TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Monday, October 31, 2011

WAJAH PENYELIDIK MUDA PRAUNIVERSITI (TO UPHOLD TRUTH)

Ipoh, Isnin: 31.10.11 / 4 Zulhijjah 1432

Setelah bertungkus-lumus selama 14 minggu, bersamaan satu semester pengajian, program penyelidikan pelajar prauniversiti mencapai kemuncak dengan menghadiri kolokium bagi membentang dan mempertahan laporan penyelidikan. Maka, sejumlah 200 penyelidik muda prauniversiti tingkatan 6 Rendah SMK St. Michael, Ipoh (SMI) telah melengkapkan proses penyelidikan bermula dengan sesi taklimat, kuliah, bimbingan pensyarah, mentadbir pungutan data, menganalisis dan mempersembahkan data, dan membuat kesimpulan serta cadangan. Sesungguhnya penyelidik muda SMI telah tercampak ke dalam lautan pengetahuan yang berkaitan dengan masalah penyelidikan yang telah dipilih.
Sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan, satu slot ringkas dalam majlis perhimpunan pagi telah dimanfaatkan untuk penyampaian hadiah penyelidik muda oleh Pengetua SMI. Hadiah berupa sijil dan wang tunai sumbangan PIBG. Hadiah yang disampaikan, walau apa pun nilainya, pasti meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan oleh penyelidik muda SMI.

Pengalaman yang diperoleh oleh pemenang hadiah dan juga penyelidik muda yang berjaya melengkapkan tugasan penyelidikan mereka pasti akan memiliki kelebihan apabila menjejak kaki ke menara gading kelak. Begitu juga jika mereka mula menceburi alam pekerjaan. Asas penyelidikan yang dilalui sesungguhnya menjana disiplin intelektual yang tulen dalam kalangan pelajar prauniversiti SMI...

Saturday, October 22, 2011

PK PETANG SMI DILANTIK PENGARAH MSN (CIKGU BOB APPOINTED STATE SPORT'S BOSS)

SMK St. Michael, Ipoh (SMI) bukan sahaja sebuah sekolah yang disegani dan ternama, bahkan sentiasa mencatat pencapaian yang diperbaharui dari masa ke masa. Warga SMI berada di mana-mana. Kehadiran mereka jelas meninggalkan impak.

Encik Borhan bin Shamsuddin atau lebih dikenali sebagai Cikgu Bob, Penolong Kanan Petang SMI sejak tiga tahun lalu kini melangkah lebih jauh dalam kerjaya beliau. Cikgu Bob dilantik sebagai Pengarah Majlis Sukan Negeri Perak (MSN), kerusi panas yang lazimnya diisi oleh pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) gred M52. Beliau mengisi kedudukan berkenaan secara pinjaman selama dua tahun, dengan pilihan sambungan selama setahun lagi.
Cikgu Bob memang berpengalaman luas dalam pentadbiran dan pengurusan sukan hingga ke peringkat antarabangsa. Malah, MSN bukan asing bagi Cikgu Bob kerana sebelum ini pun beliau pernah menjalankan tugas pegawai kanan di sana. Selain hubungan baik dengan personel sukan seluruh negara, sebagai guru, beliau dapat mencatur tunas atlet muda yang boleh digilap di peringkat sekolah.

Cikgu Bob memiliki ijazah sarjana muda sastera dengan kepujian dari Universiti Malaya. Penulis blog (PB) pernah satu kelas (kaedah sejarah) dengan beliau semasa sama-sama mengikuti kursus diploma pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Petaling Jaya suatu ketika dahulu. Moga Cikgu Bob akan terus melakar kejayaan dalam kerjaya beliau, amin...

Saturday, October 15, 2011

SESI CALON STPM DENGAN PENGETUA (WITH EXAM JUST AROUND THE CORNER)

Ipoh, Jumaat: 14.10.11 / 16 Zulkaedah 1432

Hanya tinggal kira-kira sebulan sebelum hampir 50,000 orang calon STPM seluruh negara akan berjuang di bilik dan di dewan peperiksaan. Persediaan calon sudah di peringkat terakhir. Di samping persediaan mata pelajaran, calon juga tidak harus mengabaikan aspek psikologi dan kesihatan jasmani.
Di SMK St. Michael, Ipoh (SMI), pesanan yang sama dititip buat hampir 200 orang calon STPM 2011. Satu sesi khas bersama pengetua berlangsung hampir sejam lamanya. Tumpuan ucapan menjurus terhadap kepentingan calon supaya sentiasa bertenang walaupun dalam suasana genting.
Pelajar yang hadir juga diberi harapan supaya melakukan usaha penyudah yang tepat. Sebelumnya, tiga orang pelajar yang mencatat purata gred kumulatif 3.5 ke atas dalam peperiksaan percubaan STPM yang lalu menerima hadiah sijil dan wang tunai. Majlis diakhiri dengan taklimat kemasukan ke universiti oleh kaunselor pelajar, Encik Ravindran...

Thursday, October 13, 2011

ANTARA DUA JAMUAN SERLAH MASYARAKAT BUDIMAN (LIGHT AND EASY MEAL)

Ipoh, Rabu: 12.10.11 / 14 Zulkaedah 1432

Hujung tahun memang sinonim dengan jamuan. Di sekolah, pelajar menganjurkan jamuan perpisahan untuk mereka yang bakal tamat persekolahan. Kelab Guru dan kakitangan juga menjadikan jamuan makan malam sebagai acara wajib tahunan. 
Sebagai penolong guru penyelaras kadet bomba prauniversiti, penulis blog (PB) sempat singgah dalam majlis jamuan perpisahan, khusus bagi meraikan abang kakak senior yang bakal menduduki peperiksaan STPM pertengahan November ini. Walaupun hidangan ala kadar, riak gembira jelas terpancar menerusi wajah generasi muda yang bakal menggalas amanah saf hadapan kepimpinan sedikit waktu lagi. Tradisi kenduri masih dilanjutkan dalam suasana penuh adab sopan.
Tanpa set hidangan mewah dan tanpa lampu suram bagi menaikkan aroma makanan, anggota kadet bomba masih dapat menikmati rezeki yang enak. Tiada rungutan dan tiada sungutan kedengaran. Masing-masing faham akan konsep ekuiti dalam sesebuah malis keramaian yang bersifat sederhana.
Pada sebelah malam, bertempat di Hotel Heritage, berlangsung pula satu lagi majlis keramaian. Kali ini, Kelab Staf SMI berjaya menghimpunkan guru dan kakitangan dalam satu suasana eksklusif dan sedikit mewah. Cahaya suram daripada limpahan lampu mega memberikan kelainan kepada jamuan walaupun hidangan yang dinikmati mungkin bukan luar biasa sangat. Agenda utama jamuan tentulah bagi mengukuhkan lagi ikatan kekeluargaan warga sekolah demi kebaikan proses pembelajaran murid.
Selain menikmati hidangan lazat, acara yang mengisi sebahagian besar majlis ialah cabutan bertuah. Pada tahun ini 50 peratus anggota kelab berjaya membawa pulang baucer tunai, hamper dan hadiah-hadiah lain. Semua hadirin juga membawa pulang cenderama kenang-kenangan...

Saturday, October 8, 2011

ANDERSON, RPS UNGGULI SUKAN PREMIER ZON PERAK (DEFENDING CHAMPIONS MADE IT AGAIN)

Ipoh, Sabtu: 8/10/11; 10 Zulkaedah 1432

Menepati jangkaan. Dua patah perkataan itu sudah cukup bagi menggambarkan betapa hebat dan kental pasukan SMK Anderson, Ipoh dan SMK Raja Perempuan Ipoh (RPS) mengenepikan saingan tradisi mereka dalam kejohanan sukan premier zon Perak. Pertandingan akhir bola sepak dan majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh Dato' Mohd Rauhi bin Mohd Isa, Pengarah Pelajaran Perak dilangsungkan di padang SMK St Michael, Ipoh mulai pukul 8.30 pagi tadi.
maraikan kejayaan

Anderson tidak menghadapi masalah bagi mengekalkan kejuaraan bola sepak dan hoki justeru mereka juga memiliki reputasi sebagai juara peringkat kebangsaan. Dalam laluan peringkat kumpulan B, skuad bola sepak Anderson menewaskan Star 2-1, MCKK 5-1 dan Idris Shah Parit 4-0. Seterusnya pada pusingan kedua, Anderson membelasah Sekolah Sultan Yusuf, Batu Gajah 4-0, dan King Edward VII Taiping 3-0.
nyanyi lagu sekolah Clifford

Skrip berbeza dialami oleh Clifford yang hanya bermula sebagai naib juara kumpulan A apabila tunduk kepada King Edward 0-1, sebelum membenar cabaran Horley Methodist, Teluk Intan 11-0. Namun, pada pusingan kedua kumpulan Y, Clifford berjaya menafikan kehebatan Star dengan jaringaqn 3-2, dan tuan rumah bersama kejohanan, SMK St Michael, Ipoh 3-1. Secara psikologi, Anderson begitu gagah.

Pada awal perlawanan, Clifford lebih banyak menguasai bola. Namun, menerusi satu serangan balas pada minit ke-19, gawang Clifford dibolosi. Ketika permainan berbaki 10 minit, Anderson melebarkan kedudukan kepada 2-0 hinggalah tamat perlawanan. Sementara itu, KE VII Taiping berjaya menduduki tempat ke-3 setelah menewaskan Star 4-2 di Taman DR pagi ini juga.

Pasukan hoki Anderson memang tidak pernah membenarkan pasukan lain mengangkat muka. Selaku juara kebangsaan, Anderson menjaringkan tidak kurang 7 gol bagi setiap perlawanan. Pasukan yang berjaya menahan Andeson daripada berpesta lebih 10 gol hanyalah ACS dan Star.
kenangan dengan dato' rauhi

Naib juara hoki ialah MCKK, diikuti oleh Star di tempat ke-3 dan ACS keempat. Pasukan SMI yang pernah menduduki tangga ke-3 hoki dua tahun lagi tidak bernasib baik kali ini kerana tidak berjaya melepasi pusingan awal lagi. Sesuatu perlu dilakukan kerana SMI pernah melahirkan dua orang kapten hoki skuad negara yang mencatat kejayaan di peringkat dunia.

Dalam acara bola jaring, sudah beberapa tahun belakangan ini RPS membuat Ave Maria Convent menggigit jari. RPS juga memiliki skuad hoki yang disegani di peringkat kebangsaan. Acara hoki dijalankan secara bergilir tahun antara kategori lelaki dan perempuan.

Thursday, October 6, 2011

BELAJAR EKONOMI MESTI GIGIH (ONE SIZE FITS ALL)

Berbeza dengan mata pelajaran lain, Ekonomi memerlukan tumpuan terhadap pembentukan dan aplikasi konsep yang merupakan modifikasi sesuatu fenomena yang rencam. Alat-alat utama dalam menjelaskan konsep dan teori ekonomi termasuklah data (rekaan, sebenar), gambar rajah (keluk) dan persamaan matematik. Dalam konteks peperiksaan, calon perlu sangat peka terhadap tugasan soalan.

Sebagai contoh, penentu permintaan berbeza dengan penentu keanjalan permintaan (pasaran barang). Dalam peperiksaan percubaan STPM negeri Perak baru-baru ini calon diminta menjelaskan tentang penentu keanjalan permintaan faktor. Sebahagian calon didapati memberikan jawapan yang menjurus kepada pasaran barang, lalu mengakibatkan mereka mendapat markah 0!

Begitu juga dengan keperluan gambar rajah atau contoh berangka. Jika tugasan soalan tidak menyatakan "dengan bantuan...", maka lebih baik calon memberi tumpuan terhadap penjelasan konsep dan teori sahaja. Keluk dan data hanyalah berfungsi sebagai rangka jawapan dan tidak perlu dimasukkan dalam jawapan sebenar.
Panitia Ekonomi SMK St. Michael, Ipoh saban tahun menganjurkan beberapa sesi bengkel dan taklimat tentang perancangan jawapan kertas peperiksaan. Pada tahun ini, Cikgu Aminuddin, guru cemerlang Ekonomi dari SMK Dr Megat Khas, Ipoh telah sudi mengisi program bengkel khas Ekonomi untuk pelajar prauniversiti 6 Atas. Seperti juga guru ekonomi yang lain, beliau terus memberi penekanan khusus tentang kaedah menentukan pelan jawapan bagi setiap bahagian dalam kertas Ekonomi.

Cikgu Aminuddin ialah guru yang sangat berpengalaman dalam mata pelajaran Ekonomi dan telah mendapat undangan mengendalikan bengkel mata pelajaran Ekonomi kepada pelajar dan juga guru di seluruh negara. Kehadiran beliau dapat mengukuhkan keyakinan pelajar SMI tentang keperluan dan juga kesilapan yang biasa dilakukan oleh calon peperiksaan STPM. Kini, terpulang kepada pelajar SMI sendiri bagi menggunakan maklumat dan saranan yang diterima dalam bengkel berkenaan...

Tuesday, October 4, 2011

BUDAK TINGKATAN 3 SMI MULA PMR (JUNIOR MICHAELIANS ABOUT TO EXCEL)

Ipoh, Selasa: 3.10.11 / 5 Zulkaedah 1432

Mulai pagi ini, hampir setengah juta orang calon PMR seluruh negara melangkah ke bilik atau dewan peperiksaan. Demikian juga dengan kira-kira 300 orang budak tingkatan 3 SMI. Saat untuk mereka menumpahkan segala strategi dan taktikal yang telah dipelajari.

Sesi taklimat terakhir disampaikan oleh penyelaras peperiksaan, Puan Usha Rani. Sebelum itu, semua calon mengaminkan bacaan doa. Sebilangan guru yang berkelapangan hadir sama memberi semangat.

Walaupun dasar kemasukan automatik ke tingkatan 4 telah sekian lama dilaksanakan, calon-calon PMR masih bertungkus-lumus ke arah pencapaian terbaik. Peperiksaan masih menjadi ukuran yang sah bagi mengukur hasil pembelajaran. Kecemerlangan yang diperoleh ialah titik tolak laluan mudah dalam kehidupan...