TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Wednesday, March 28, 2012

SMI: 2, JELAPANG JAYA: 1 (MICHAELIANS RANKED THIRD)

Ipoh, Selasa: 27.3.12

Skuad bola sepak bawah 15 tahun SMI kembali mencatat peningkatan apabila membenam cabaran SMK Jelapang Jaya (JJ) dengan jaringan 2-1 semalam. SMI membuka jaringan awal, tetapi segera dipadam oleh JJ pada penghujung saingan separuh masa pertama. Gol kemenangan SMI hadir pada pertengahan separuh masa kedua menerusi satu gerakan dari kawasan tengah padang.
gol kemenangan

Kemenangan itu membolehkan SMI membaiki pencapaian di peringkat daerah Kinta Utara. Tahun lepas, SMI berjaya mara ke peringkat suku akhir. Kali ini SMI hanya tewas tipis 1-2 di tangan Izzuddin Shah yang kemudian muncul sebagai juara dengan menafikan status sekolah projek dengan kemenangan 2-1 dalam permainan yang berlarutan hingga ke masa tambahan setelah kedudukan terikat 1-1.

Tahniah diucapkan kepada para pemain SMI, En. Zulkarnain Daud, En. Omar dan semua pihak yang terlibat dalam pembentukan skuad impian SMI edisi 2012. Menerusi perancangan yang teliti, skuad bawah 15 tahun itu bakal membentuk pasukan bawah 18 yang mantap pada tahun hadapan. Sebahagian pemain tingkatan 2 pula bakal menjadi tonggak pasukan bawah 15 kelak...

Tuesday, March 27, 2012

BOLA SEPAK DAERAH: SMI 1, IZZUDDIN 2 (JUST ONE GOAL DEFICIT)

Ipoh, Selasa 27/3/12

Skuad bawah 15 tahun SMI akan membuat perhitungan tempat ketiga dengan SMK Jelapang Jaya setelah kedua-dua pasukan tersekat di peringkat separuh akhir sebentar tadi. Dua gol awal dalam tempoh lima minit pertama menjadi modal penting buat Izzuddin Shah. SMI yang mendapat rentak permainan sesudah itu bagaimanapun hanya dapat merapatkan jurang jaringan pada minit ke-5 separuh masa kedua.
pemain SMI meraikan jaringan

SMI memperoleh beberapa peluang keemasan, tetapi pertahanan Izzuddin bijak membuat perangkap "curi ayam" (off-side). Pada minit terakhir, hantaran dari tengah padang tidak berjaya disentuh oleh penyerang SMI yang hanya berhadapan dengan penjaga gol Izzuddin. Izzuddin Shah nyata sudah pancit, tetapi SMI tidak dapat memanfaatkan peluang berkenaan.
jaringan penalti Anderson

Sementara itu, Jelapang Jaya nyata bukan saingan Anderson apabila tunduk 1-4 setelah mengikat kedudukan 1-1 ketika permainan hanya berbaki 10 minit. Anderson yang melihat kelekaan dan kelesuan Jelapang Jaya segera menghukum pasukan lawan dengan tiga gol berturut-turut termasuk satu tendangan penalti. Untuk rekod, SMI berada dalam kumpulan yang sama dengan Anderson ketika saingan awal.

Thursday, March 22, 2012

DEBAT ALA PARLIMEN: SMI MUNCUL JOHAN ATASI ANDERSON (SWEET "REVENGE")

Ipoh, Khamis: 22.3.12 / 29 Rabiul Akhir 1433

Beberapa tahun belakangan, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) memang dilihat lebih unggul daripada SMK Anderson, Ipoh dalam pertandingan bahas ala parlimen, tetapi panel hakim mempunyai pandangan yang berlainan. SMI pernah tewas di pentas akhir di gelanggang tuan rumah dengan keputusan 1-2. Ketua hakim pertandingan ketika itu memberi alasan teknikaliti dan potensi untuk mewajarkan kemenangan Anderson yang hanya menampilkan pembahas yang terang-terangan lebih banyak membaca teks yang disediakan daripada bercakap secara impromtu.

Akhirnya, petang tadi, bertempat di SMK Perempuan Methodist, Ipoh (MGS), SMI berjaya melunaskan "dendam" sekian lama apabila Anderson terpaksa akur dengan kehebatan SMI yang sememangnya memiliki kelebihan dari segi kepetahan menyampaikan idea. Aspek potensi dan teknikaliti boleh digilap berbanding dengan kebolehan menyampaikan idea secara bersahaja. Barangkali para hakim telah membuat keputusan yang lebih holistik dan seimbang.

Kepada pasukan debat ala parlimen SMI, setinggi-tinggi syabas dan tahniah. Jika berpeluang menyertai saingan lebih tinggi di peringkat daerah dan negeri, ayuh buktikan sesuatu. Kalian mampu menambah koleksi hadiah sempena sambutan 100 tahun penubuhan sekolah...

Wednesday, March 21, 2012

SMI CATAT LONJAKAN PENCAPAIAN SPM 2011 (25 MICHAELIANS SCORED STRAIGHT A's)

Ipoh, Rabu: 21.3.12 / 28 Rabiul Akhir 1433
klik gambar untuk paparan skrin penuh

Calon-calon SPM 2011 SMK St. Michael, Ipoh (SMI) telah menghadirkan hadiah yang amat berharga sempena sambutan 100 tahun penubuhan sekolah apabila merekodkan peningkatan sebanyak 4.54 peratus peratus kelulusan berbanding dengan tahun sebelumnya. Sejumlah 25 orang calon juga memperoleh semua A, berbanding dengan 21 orang calon pada tahun sebelumnya.
Wong Chan Kit
Lee Khai Pan

Wong Chan Kit dari kelas 5S5 muncul sebagai calon terbaik dengan mencatat semua 10 A+. Lee Khai Pan pula membanggakan jurusan vokasional dan teknik (VT) dengan pencapaian 7A+ dan 2A. Bekas ketua pasukan debat Bahasa Melayu, Dheseegan turut mencatat semua A, termasuk 1A dalam kertas Bahasa Inggeris antarabangsa.
Dheseegaan bersama ibu

Selain mendapatkan slip keputusan peperiksaan, calon-calon SPM 2011 juga membawa pulang oleh-oleh yang sangat berharga, iaitu majalah The Michaelian edisi ke-63. Sebahagian calon yang mengambil keputusan turut ditemani oleh ibu bapa masing-masing. Kini, masing-masing boleh mencongak peluang untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, atau mengikuti latihan dalam bidang profesional.


Sejumlah 339 orang murid tingkatan 5 SMI tahun 2011 berdaftar sebagai calon SPM. Walaupun keputusan boleh diketahui menerusi sistem pesanan ringkas (SMS), sebahagian besar calon datang sendiri ke dewan sekolah untuk mengambil slip keputusan rasmi, sijil-sijil sekolah dan naskhah majalah The Michaelian. Semua dokumen disampaikan oleh guru-guru tingkatan yang terbabit...

Tuesday, March 20, 2012

BOLA SEPAK B15 SMI KE SEPARUH AKHIR DAERAH (IZZUDDIN THE LAST HURDLE TO FINAL)

Selaku naib johan zon B Kinta Utara, pasukan bola sepak bawah 15 SMK St Michael, Ipoh (SMI) layak ke peringkat separuh akhir daerah Kinta Utara. SMI akan membuat perhitungan dengan Sekolah Izzuddin Shah yang mengungguli Kumpulan A. Jika melepasi halangan Izzuddin, SMI berpeluang melunaskan misi balas dendam terhadap Anderson yang dijangka mudah mengatasi lawan separuh akhir mereka.

Butiran perlawanan separuh akhir SMI lawan Izzuddin

          Tarikh:  27 Mac 2012  (Selasa)

          Tempat:  Padang Ipoh  (berhadapan pintu masuk utama SMI)

          Masa:  8.00 pagi

Penyokong yang berkelapangan dijemput hadir. Pemain-pemain yang berjaya memikat perhatian panel pemilihan daerah akan terpilih untuk menjalani latihan pembentukan skuad daerah Kinta Utara ke pertandingan peringkat negeri. SMI sudah boleh memasang impian untuk meneruskan kemaraan sebagai pasukan impian sempena perayaan 100 tahun sekolah...

Berita lain

Ragbi:  SMI berjaya memperoleh tempat ketiga kejohanan peringkat daerah

Pengakap:  Johan keseluruhan perkumpulan di MGS

Pesta Ria Se-Abad SMI 29/4/2012 mulai pukul 8.00 pagi. Dijemput hadir beramai-ramai...

Sunday, March 11, 2012

MAJALAH SMI EDISI 64 SEDIA UNTUK EDARAN (THE MICHAELIAN MEGAZINE IS OUT)

Akhirnya, majalah tahunan Sekolah Menengah St. Michael, Ipoh (SMI) edisi ke -64 sudah siap untuk diedarkan kepada semua murid. Majalah setebal 260 muka surat itu merakamkan segala kegiatan dan pencapaian sekolah sepanjang tahun 2011. Majalah The Michaelian bukan sekadar catatan nostalgia, tetapi boleh dianggap sebagai dokumen rujukan yang bersifat rasmi dan autentik.
bahagian bawah kulit hadapan majalah edisi 64

Anggota sidang redaksi dengan bimbingan panel penasihat majalah telah bertungkus-lumus dalam proses penyediaan bahan mentah dan suntingan. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Sekalung tahniah kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung hingga memungkinkan The Michaelian dapat diterbitkan.

Pelajar tingkatan 6 Atas 2011 yang baharu mengambil keputusan STPM boleh mendapatkan naskhah masing-masing sebaik sahaja cuti pertengahan penggal satu kali ini berakhir pada 18 Mac akan datang. Calon SPM 2011 pula akan menerima naskhah The Michaelian semasa pengumuman keputusan SPM yang dijangka bertarikh 22 Mac kelak. Murid lain boleh mendapatkan naskhah majalah daripada guru tingkatan masing-masing...


Wednesday, March 7, 2012

LEBIH RAMAI MICHAELIAN DAPAT SEMUA 'A' STPM (FLYING COLOURS ACHIEVEMENT)

Ipoh, Rabu: 7/3/12 (14 Rabiul Akhir 1433)
hadiah perayaan 100 tahun SMI

Sejumlah 9 orang calon STPM 2011 di SMK St. Michael, Ipoh mencatat gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil. Lima orang calon yang memperoleh 4A datang dari kelas USS1 yang dipimpin oleh Puan Shafinazaida. Tahniah kepada guru kelas dan pelajar USS1 tahun 2011!
Yee Jing Wah ditemu bual oleh wartawan The Star

Sementara itu, Yee Jing Wah dari UA1 muncul sebagai pelajar terbaik jurusan kemanusiaan. Beliau memperoleh gred A untuk Ekonomi dan Pengajian Perniagaan, di samping A- untuk Pengajian Am dan Sejarah. Jing Wah berharap untuk menyambung pengajian dalam jurusan undang-undang.

Satu sesi taklimat khas tentang maklumat permohonan ke institut pengajian tinggi kemudiannya diadakan di auditorium SMI. Taklimat hampir sejam itu disampaikan oleh Ketua Unit Kaunseling SMI, Cikgu Ravindran. Pelajar cemerlang yang sempat ditemui mengakui bahawa disiplin diri dan motivasi yang tinggi ialah kunci kejayaan yang telah dicapai...

Monday, March 5, 2012

KUNJUNGAN PPD DAN PENGETUA KUMPULAN 1 (MINI CONFERENCE OF SCHOOL LEADERS)

Ipoh, Isnin: 5/3/12, 12 Rabiul Akhir 1433

SMK St. Michael, Ipoh (SMI) termasuk dalam kategori 10 sekolah menengah terbaik Kinta Utara walaupun harus bersaing dengan sekolah-sekolah kluster kecemerlangan dan sekolah harian dominasi murid perempuan. Pagi ini SMI diberi penghormatan dan tanggungjawab sebagai tuan rumah mesyuarat pengetua-pengetua sekolah yang tersenarai. Antara yang kelihatan ialah Encik Jasmi (Bainun), Cik Rusnani (RPS), Puan Hajah Nuraini (Tarcisian), Puan Rahimah (Gunung Rapat), Puan Nalini (MGS) dan Dr. Mior Hamdan (Star, wakil  Tuan Haji Hashim).
Haji Marazlen berkata sesuatu kepada Dr Mior Hamdan
sambil diperhatikan oleh Puan Loh dan Encik Jasmi

Pegawai Pelajaran Daerah Kinta Utara, Tuan Haji Marazlen @ Mar Azlan bin Amran telah sudi hadir pada slot pertama bagi merasmikan mesyuarat dan menyampaikan hasrat pihak PPD. Mesyuarat berlangsung di bilik OMA, manakala jamuan teh diadakan di dewan sekolah. Slot kedua mesyuarat dipengerusikan oleh Encik Fazul, Penolong PPD Akademik.

Pengetua yang ditemui mengakui bahawa tanggungjawab melonjakkan kecemerlangan daerah Kinta Utara sememangnya begitu mencabar. Perkongsian pintar antara sekolah akan memberikan input yang sangat berguna bagi membantu semua sekolah dalam sesebuah kumpulan merancang program kecemerlangan yang bersesuaian dengan latar belakang dan profil sekolah masing-masing. Mesyuarat empat jam itu berakhir pada pukul 12.00 tengah hari.

Saturday, March 3, 2012

KESINAMBUNGAN KEPIMPINAN PIBG (INCUMBENT LINE UP)

Ipoh Khamis: 1.3.12 / 8 Rabiul Akhir 1433

Mesyuarat agung ke-38 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) secara sebulat suara bersetuju mengekalkan kesemua ahli jawatankuasa lama, kecuali Encik Stanley Shashidaran Mahadevan, pengurus Fella Design, cawangan Ipoh. Kekosongan itu diisi oleh Encik Taupik Al-Hakim bin Abdullah, bapa kepada Ikhwan al-Labiq, murid tingkatan 4S3. Beliau sendiri ialah bekas Michaelian.


Senarai AJK PIBG sesi 2012 / 2013 dalam kalangan ibu bapa:

Pengerusi:  Joseph Michael Lee
Naib Pengerusi:  Dato' Mohamad Niza bin Mohamad Ghazali
AJK Biro        :  Anthony Lourdes
                       :  Thomas Wong
                       :  Leslie D'Silva
                       :  Andrew Leong
                       :  Taupiq al-Hakim bin Abdullah
Juruaudit         :  Sharanjit Singh

Mesyuarat juga bersetuju untuk menyerahkan mandat pelantikan AJK dalam kalangan guru kepada pengetua, Puan Loh Wei Seng. AJK guru sesi yang lalu terdiri daripada:
       
          En. Palaiswaran a/l Naysapalan  (Setiausaha)
          Cik Wong Su Yoke  (Bendahari)
          Pn. Agila a/p Themmedu
          Pn. Chew Mee Geok
          En. Ravi Chandran
          En. Rohaizat bin Mohammed Taib
          Pn. Fairoz bin Alias  (juruaudit)

Antara usul yang diluluskan ialah murid Islam digalakkan memakai baju kebangsaan lengkap dengan sampin warna hijau pada setiap hari Jumaat. Joseph Michael Lee menyokong kuat usul berkenaan yang merupakan tradisi sejak beliau bersekolah di SMI dahulu. Beliau berharap semua guru lelaki Muslim turut berbuat demikian.

Tentang usul pembelian bas, majlis dimaklumkan bahawa didapati lebih menjimatkan jika melakukan sewaan berkala. Kos penyenggaraan dan bayaran gaji pemandu bagi sebuah bas adalah tinggi. Sebagai sebuah bantuan modal, SMI perlu memberi tumpuan terhadap penyediaan kemudahan persekitaran pembelajaran yang terbaik.

Sementara itu, isu keselamatan pengakap telah dapat dijawab dengan meyakinkan oleh Cikgu Christopher. Walaupun didapati ada ibu bapa yang tidak beroleh maklumat daripada sumber yang sah, pihak sekolah tetap mengalu-alukan sebarang saranan tentang keselamatan murid. Permintaan untuk kelas tuisyen PMR akan dilaksanakan setelah segala urusan berkaitan dengan saiz kelas yang berkenaan ditentukan...