TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Saturday, May 26, 2012

MICHAELIAN RAI GURU (TEACHER'S DAY 2012)

Ipoh, Jumaat:  25.5.12 = 4 Rejab 1433

Sambutan hari guru peringkat sekolah dilangsungkan usai peperiksaan pertengahan tahun, dan kebetulan jatuh pada hari akhir persekolahan sebelum cuti dua minggu. Upacara bermula dengan ucapan ketua pelajar, Joshua Loo dan Penolong Kanan, Encik Ahmad Kemunchak bin Abdul Karim. Walaupun bersifat klise, sanjungan terhadap jasa kaum guru ialah tatasusila asas generasi muda yang budiman.
kek 3 tingkat


Acara simbolik seterusnya ialah memotong kek. Kalau acara di kampung, mungkin dengan pulut kuning dan bunga telur. Tarikh hari guru di Malaysia bersempena kelulusan Penyata Razak pada tahun 1956.
cikgu ikut saya


Di SMK St. Michael, Ipoh (SMI) segmen hari guru bersama murid dikendalikan oleh Majlis Pelajar (Tingkatan 6) dan Badan Pengawas Sekolah. Program berlangsung hampir dua jam di tapak perhimpunan sekolah. Alhamdulillah, cuaca begitu baik.
saya dapat dulu la!


Guru-guru SMI tidak kisah jika harus akur kepada peraturan permainan yang ditetapkan oleh pelajar pada hari mereka diraikan. Malah, pada hari guru, pelajar yang berlagak sebagai superior. Setiap guru yang mengambil bahagian menerima hadiah walaupun tidak menang dalam acara pertandingan.
persembahan wushu


Persembahan pelajar juga mencuri perhatian para guru dan sekalian yang hadir. Sungguh menakjubkan bahawa dengan persediaan seadanya, pelajar mampu menampilkan persembahan terbaik. Pasukan pancaragam sekolah, kumpulan Wushu, tarian singa, kumpulan trio kambing dan Michaelian Jackson pantas mendapat tepukan gemuruh khalayak. 
jamuan di dewan sekolah


Acara sambutan berhenti rehat dan sesi pembelajaran di bilik darjah bersambung semula. Kira-kira pukul 11.30 pagi, guru-guru SMI berkumpul di dewan untuk menikmati jamuan khas hari guru. Majlis penghargaan kepada panitia cemerlang mata pelajaran turut diselitkan...

Wednesday, May 16, 2012

MICHAELIAN IKUTI PERUTUSAN HARI GURU (EDU-WEB LIVE TELECAST AT ST MICHAEL'S)

Ipoh, Rabu: 16.5.12 = 24 Jamadil akhir 1433

Meskipun dalam suasana peperiksaan pertengahan tahun, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) tetap memberi laluan kepada sambutan hari guru peringkat sekolah. Generasi muda harus dibiasakan dengan penghargaan terhadap insan yang berjasa kepada mereka. Kelak masyarakat maju yang kita dambakan benar-benar mengikut acuan timur yang penuh adab dan tatasusila.
Pada perhimpunan sebelah pagi, sekalian warga SMI mengikuti perutusan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia. Seterusnya, pada pukul 11 pagi, pelajar berhimpun di dewan sekolah untuk mengikuti lintas langsung ucapan Menteri Pelajaran Malaysia merangkap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin di Kuala Kangsar. Sebelum ini, ucapan menteri juga dibacakan semasa perhimpunan pagi.
Di luar dewan, hujan turun agak lebat menambahkan kedinginan suasana di dalam dewan. Mutu audio yang sedikit tersekat-sekat itu tidak menjejaskan tumpuan pelajar terhadap ucapan pak menteri. Sekurang-kurangnya, pelajar SMI boleh menyebut tema hari guru tahun ini: Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara.

Saturday, May 12, 2012

SESI LADAP YANG MERIAH (NOTHING HEAVY WITH HAPPY MOOD)

Ipoh, Sabtu: 12.5.12 // 20 Jamadil Akhir 1433

Sebagai anggota kumpulan ikhtisas, guru perlu sentiasa meningkatkan amalan terbaik dalam kerjaya menerusi penerimaan input terkini. Kerjaya keguruan juga masuk dalam kategori menolong, iaitu menolong murid untuk menuju puncak jaya. Perubahan zaman dan persekitaran bererti guru berhadapan dengan idea baharu sepanjang masa.
Bertempat di auditorium sekolah, para guru SMI telah hadir untuk program latihan dalam perkhidmatan (Ladap) hampir separuh hari. Slot pertama diisi oleh Puan Loh Wei Seng, pengetua SMI. Beliau membentangkan semula fasal utama Perintah Am Bab D (pindaan 2002).
Haji Ismail menunjukkan pelbagai cara berjabat salam


Setelah berhenti rehat, sesi kedua diisi pula oleh pemudah cara jemputan, Tuan Haji Ismail bin Md Desa dari Institut Teknologi Perak. Beliau mantan pengetua SMK Raja Permaisuri Bainun dan SMK Raja Chulan, serta pernah berkhidmat di Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan Kolej Yayasan Saad. Konsep guru penyayang yang beliau bawakan disentuh secara tidak langsung menerusi pelbagai aktiviti kumpulan.
 sketsa mencuit rasa


Peserta Ladap nyata tertarik dengan beberapa klip video yang ditayangkan. Misalnya, sketsa jenaka Afdzlin Shauki dan Harith Iskandar, kisah pengorbanan ibu bapa dan kegigihan orang kelainan upaya. Tuan Haji Ismail Desa bijak menyelitkan kisah dan pengalaman peribadi beliau tentang cara menghadapi pelbagai ragam murid sekolah.
gerabak mrt


Di tangan Tuan haji Ismail Desa, peserta Ladap tidak boleh pasif. Ada-ada sahaja aktiviti yang memerlukan peserta bergerak dan berinteraksi dengan rakan-rakan. Pengalaman mengendalikan latihan di luar negara di bawah payung pertubuhan Bangsa Bersatu menyerlahkan kawalan khalayak dan penyampaian mesej yang terbaik...

Thursday, May 10, 2012

GURU BM HADIRI BENGKEL PENTAKSIRAN (PROFESSIONAL SESSION ON LANGUAGE TEACHING)

Ipoh, Khamis: 10/5/12 = 18 Jamadil Akhir 1433

Bertempat di bilik studio, Pusat Sumber Sekolah, 8 orang guru Bahasa Melayu menengah atas SMK St. Michael, Ipoh (SMI) menjayakan bengkel pentaksiran berasaskan sekolah. Beberapa modul pentaksiran telah dibincangkan dengan rujukan utama terhadap kertas pertengahan tahun. Penyelarasan dari segi rubrik penandaan dan keakuran item soalan telah berjaya dicapai.
En. Hamdan, Pn. Yu, Pn. Agila, Pn. Saimah dan Pn. Roslinda
(tiada dalam gambar: Pn Hamsiah, Pn. Nur Amali dan penulis blog)


Bengkel dua jam yang bermula pukul 1.30 petang itu ialah anjuran Panitia Bahasa Melayu. Sebagai susulan, beberapa siri bengkel dan perbincangan profesional guru Bahasa Melayu juga dirancang meliputi perancangan penulisan, pengendalian ujian lisan dan pemantapan tatabahasa. Peningkatan profesionalisme guru bahasa pada akhirnya akan memberi manfaat yang optimum kepada sekalian murid menengah atas SMI.

Penutur jati bahasa Melayu dalam kalangan murid SMI hanya pada kadar 25 peratus. Namun, rekod pencapaian calon peperiksaan awam SMI menunjukkan bahawa dengan kesungguhan murid, serta bimbingan yang berkesan, prestasi mata pelajaran Bahasa Melayu berada pada tahap yang baik. Panitia Bahasa Melayu SMI akan terus mencari jalan supaya pembelajaran bahasa dalam kalangan murid SMI sentiasa memenuhi keperluan kurikulum dan modal insan minda kelas pertama sebagaimana yang diharapkan...

Tuesday, May 8, 2012

PELAJAR PRAUNIVERSITI 6 RENDAH MENDAFTAR (THE MODULAR COHORT)

Ipoh, Selasa: 8/5/12 = 16 Jamadil akhir 1433

Kira-kira 250 orang pelajar baharu kelas prauniversiti tingkatan 6 Rendah melapor diri pagi ini. Kebanyakan mereka ialah bekas calon SPM SMK St. Michael, Ipoh (SMI) sendiri, SMK Main Convent dan SMK Jalan Pasir Puteh. Mereka akan menjalani program minggu suai kenal hingga hari Jumaat ini sebelum memulakan kuliah mulai Isnin hadapan.
masih"skema"

Antara perkara penting yang disampaikan ialah pengenalan sistem modular berdasarkan tiga semester pengajian bagi menggantikan sistem terminal dengan kumpulan terakhir pelajar 6 Atas sedia ada. Istilah "bulan madu" semasa tingkatan 6 Rendah sudah tiada lagi. Setiap penghujung semester, mereka akan berhadapan dengan peperiksaan. 
srikandi ilmu

Pelaksanaan kegiatan kokurikulum dan organisasi juga dijangka mengalami ubah suai supaya matlamat utama pelajar untuk memperoleh nilai PNGK yang terbaik dapat dicapai. Kemahiran insaniah seperti kepimpinan, interpersonal dan kesukarelaan akan turut diterapkan menerusi pentaksiran kerja kursus secara berterusan. Penjenamaan semula pengajian prauniversiti tingkatan 6 menerusi sistem modular dijangka menjadi daya tarikan luar biasa dari segi kemasukan pelajar...

Thursday, May 3, 2012

FORUM REMAJA: SMI ATASI JUARA BERTAHAN (AS PREVIOUS YEAR) (

Ipoh, Rabu: 3/5/12 = 11 Jamadil Akhir 1433

SMK Convent Ipoh harus menerima hakikat bahawa kedudukan selaku juara bertahan telah dipintas oleh dua buah pasukan sekolah dominasi lelaki. Namun, Convent tidak pulang hampa apabila membawa pulang tempat ketiga. Barangkali Convent tidak merosot, tetapi pasukan lain yang mengalami peningkatan.
pasukan forum SMI memberi tumpuan kepada soalan hakim

Pertandingan forum remaja zon 2 Kinta Utara kali ini memperuntukkan markah bonus menerusi soalan hakim, usai sesi forum setiap pasukan. Panel hakim diketuai oleh Puan Hajah Zaiton, guru cemerlang bahasa dari ACS Kampar bersama saudara kembar beliau, Puan Hajah Zainon dari SMK Teja dan seorang lagi guru Seri Putera. Pertandingan yang berlangsung di auditorium SMI turut dihadiri oleh sekumpulan penyokong dan guru pengiring.
pk koku smi menyampaikan hadiah kepada juara forum

Panel hakim perlu bersidang untuk memberi keputusan muktamad. Begitu tipis perbezaan markah antara dua pasukan sekolah premier dominasi lelaki di bandaraya Ipoh. Akhirnya, SMK St. Michael, Ipoh (naib juara tahun lalu) yang dibarisi oleh murid tingkatan 4 dan 5 harus memberi laluan kepada SMK Anderson Ipoh yang diwakili oleh pelajar prauniversiti 6 Atas selaku juara dan wakil zon 2 ke peringkat daerah pada pertengahan Jun kelak...

Wednesday, May 2, 2012

SMI TUAN RUMAH FORUM REMAJA (ZONE 2 ALWAYS TOUGH)

Ipoh, Rabu: 2/5/12 = 10 Jamadil Akhir 1433

Sebanyak enam buah pasukan zon 2 Kinta Utara mengambil bahagian dalam pertandingan forum remaja versi 2012. Dalam kesibukan persediaan peperiksaan pertengahan tahun, wakil setiap sekolah telah menunjukkan komitmen yang cukup tinggi. Semua pasukan memiliki tahap pencapaian yang setara.
wakil seri putera

Pertandingan peringkat awal pada hari ini bertujuan untuk memilih empat buah pasukan yang bakal bersaing semula dalam peringkat akhir esok. Pasukan yang memang akan mewakili zon 2 ke peringkat daerah. Zon 2 memang mencabar justeru sekolah premier dan ternama berada dalam kumpulan yang sama.
khalayak berdisiplin tinggi

Di luar, hujan renyai yang menghadiahkan suasana nyaman tidak menghalang kehangatan lontaran idea dan hujah jitu sekalian ahli panel forum. Penyokong yang hadir turut merasakan debaran justeru setiap pasukan tampil dengan kelebihan masing-masing. Akhirnya, tuan rumah, Anderson, Main Convent dan MGS menjadi pilihan hakim untuk berjumpa lagi esok...