TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Friday, June 29, 2012

CIKGU PANIR BERSARA PILIHAN (TRANSFORMING TEACHING SPIRIT TO BUSINESS WORLD)

Ipoh, Jumaat: 20.6.12 / 9 Syaaban 1433

Setelah hampir suku abad berkecimpung dalam kerjaya keguruan, Encik Panirchelvam a/l Pappoo, guru berpengalaman Pendidikan Moral dan Geografi bakal menempuh fasa baru kehidupan sebagai seorang ahli perniagaan sepenuh masa. Setelah berasa yakin bahawa diri telah sepenuhnya bersedia, Cikgu Panir, 50, mengemukakan permohonan bersara pilihan sejak tahun yang lalu. Beliau bersyukur justeru pihak Jabatan Perkhidmatan Awam meluluskan permohonan berkenaan.

Sempena persaraan Cikgu Panir, satu majlis khas ucapan selamat bersara telah diadakan dalam perhimpunan pagi khas, bersekali dengan promosi drama sekolah dan kejohanan sukan. Ketibaan Cikgu Panir disambut oleh pengetua, serta diiringi oleh semua penolong kanan, pengerusi PIBG dan Brother Vincent. Ucapan beliau juga mendapat tepukan gemuruh murid-murid, terutama daripada kelas Geografi dan Pengetahuan Moral.
Cikgu Panir memang disenangi murid justeru pendekatan mesra dan penyayang yang beliau amalkan, sama ada di bilik darjah mahupun di luar bilik darjah. Pencapaian mata pelajaran Pengetahuan Moral sentiasa cemerlang saban tahun. Malah, penulis blog, yang duduk bersebelahan beliau di bilik guru selama hampir 7 tahun, turut berguru dengan Cikgu Panir tentang teknik-teknik merancang penulisan jawapan yang baik ketika mengajar mata pelajaran berkenaan.

                                             sama-sama pernah berkhidmat di Kelantan

Kemudian, guru dan murid beratur untuk bersalaman dengan Cikgu Panir sambil mengucapkan selamat bersara. Walaupun tidak lagi berkhidmat di sekolah, Cikgu Panir menyatakan kesediaan untuk terus membantu murid SMI dalam menempa kejayaan. Pengalaman luas Cikgu Panir dalam dunia pendidikan pasti sangat berguna apabila beralih ke bidang perniagaan yang penuh cabaran, liku dan ujian...

Thursday, June 28, 2012

HARI TERBUKA: KELAB PENULISAN AGIH BULETIN (HOME SUPPORT FOR LEARNING)

Ipoh, Selasa: 28.6.2012 = 8 Syaaban 1433

SMK St. Michael, Ipoh (SMI) menganjurkan hari terbuka penyerahan slip keputusan peperiksaan pertengahan tahun 2012 kepada ibu bapa murid yang berkelapangan mulai pukul 10 pagi berdasarkan lokasi bilik darjah. Jumlah kehadiran ibu bapa begitu memberangsangkan, contohnya kelas UA3 mencatat kehadiran sebanyak 75 peratus. Kesempatan bersemuka itu digunakan sepenuhnya oleh ibu bapa dan guru bagi mencapai kata sepakat menolong pelajar SMI ke arah pembelajaran yang lebih berkesan, serta berpencapaian tinggi.
Teoh Hook Ken UA3 bersama ibu bapa

Ibu bapa yang hadir memberikan maklum balas yang diharapkan supaya dapat membantu anak mereka lebih cemerlang dalam persediaan pembelajaran dan segala tugasan yang berkaitan dengan pentaksiran dan peperiksaan. Mereka juga diberi peluang untuk mengajukan sebarang kemusykilan berkaitan dengan pencapaian anak masing-masing. Pengukuhan tingkah laku positif juga diberi perhatian yang khusus.
Ibu Low Kha Chun UA3 menunjukkan buletin Kelab Penerbitan

Ibu bapa moden memang sibuk mencari rezeki, tetapi mesti sanggup memperuntukkan sejumlah waktu untuk berada di sisi anak-anak ketika mereka mengulang kaji atau menyiapkan kerja rumah. Hubungan keluarga yang berteraskan kasih sayang itu pasti menyumbang terhadap pencapaian pembelajaran anak-anak. Sokongan ibu bapa pasti melekat dalam ingatan mereka sampai bila-bila.
jawatankuasa redaksi membuat agihan buletin

Sementara itu, Kelab Penulisan dan Penerbitan telah mengagihkan buletin The Michaelian Voice edisi kedua secara percuma kepada ibu bapa yang hadir. Projek buletin seliaan Puan Shafinazaida binti Abdul Wahab itu merupakan hasil kerja anggota kelab tingkatan 6 Atas dan diberi sentuhan akhir oleh jawatankuasa redaksi tertinggi tingkatan 6 Rendah yang diketuai oleh Cheryl Santhini Francis. Walaupun nampak ringkas, namun penerbitan buletin berkenaan tidak semudah yang disangkakan...

Thursday, June 21, 2012

KELAB PENULISAN LANTIK EXCO BAHARU (CENTENNIAL MEGAZINE PRODUCTION TEAM)

Ipoh, Rabu: 21/6/12 = 1 Syaaban 1433

Semalam berlangsung mesyuarat agung semua kelab dan persatuan, serta unit pakaian seragam bagi pelajar prauniversiti tingkatan 6. Ahli jawatankuasa pelajar 6 Atas dengan rasminya membuat serahan tugas kepada pelajar 6 Rendah. Walaupun kedua-dua kumpulan pelajar berkenaan bakal menghadapi peperiksaan STPM November ini secara serentak, beban persediaan 6 Atas lebih berat kerana pentaksiran dibuat sekali gus sejak awal pengajian.

Kelab Penulisan dan Penerbitan yang bertanggungjawab menerbitkan majalah sekolah turut mengadakan mesyuarat agung dengan agenda utama memilih jawatankuasa baharu, merangkap anggota sidang redaksi. Sejumlah 30 orang pelajar 6 Rendah berdaftar dengan kelab, berbanding dengan 17 orang pelajar 6 Atas. Kepimpinan tertinggi kelab melalui tapisan keutuhan terlebih dahulu, manakala exco lain dilantik dalam mesyuarat agung.
Md Firdaus LA2, Cheryl Santhini, Tham Winnie, Nursabriena, Siti Aishah, 
Y, Z, Md Imran, A
Sidang redaksi majalah se-abad SMI akan diketuai oleh Cheryl Shantini a/p Francis dari LA1, sambil dibantu oleh Tham Winnie (LS3) dan Nursabriena (timbalan ketua), Muhammad Imran (Setiausaha) dan sekalian anggota kelab. Edisi khas 100 tahun itu nanti pasti istimewa. Maka, peranan anggota Kelab Penulisan dan Penerbitan, bergandingan dengan Kelab Fotografi sangat besar ertinya kepada SMI.

Ketua Pengarang The Michaelian: Cheryl Shantini (2012),
Mark Siew (2011), Ivan Tan (2010), Joanna Ooi Jen Zhi (2009)

Mesyuarat agung tahunan kelab kali ini turut diserikan dengan kehadiran tiga orang bekas ketua pengarangnya. Mereka turut menitipkan pesanan, termasuk pengalaman peribadi dan pencapaian akademik yang baik. Ketiga-tiga orang kuat majalah itu kemudian menyatakan komitmen untuk membantu anggota sidang redaksi semasa bagi memastikan kualiti The Michaelian yang terbaik...

Wednesday, June 20, 2012

CIKGU AZLINA KE SERI PUTERI (ANOTHER KEY TEACHER TRANSFER)

Ipoh, Rabu: 20/6/12 = 30 Rejab 1433

Seorang lagi guru berpengalaman SMK St. Michael, Ipoh (SMI) terbabit dalam proses pertukaran ke sekolah baharu. Kali ini, giliran Puan Noorazlina binti Ahmad, guru kimia lulusan Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau telah melapor diri ke SMK Seri Puteri, Ipoh berkuat kuasa 16 Jun lalu. 
Sebagai ucapan selamat maju jaya, jawatankuasa Jappim SMI telah mengadakan majlis ringkas yang bertempat di bilik guru. Ustaz Marhalim mewakili Japim telah sudi menyampaikan cenderamata kenangan kepada Cikgu Azlina. Jamuan teh juga diadakan di medan selera SMI pada awal pagi.

Cikgu Noorazlina berkhidmat di SMI mulai 18 Jun 2001 sebagai guru sandaran terlatih, atau penempatan pertama. Sebelum mengajar Kimia, Cikgu Azlina juga dikenali sebagai guru kemahiran hidup, malah pernah beberapa tahun memegang jawatan ketua panitia mata pelajaran berkenaan. Cikgu Azlina berharap dapat berkongsi pengalaman unik di SMI ke sekolah baharu beliau... 

Thursday, June 14, 2012

HAJJAH ASPA, PUAN ZUISMA PINDAH SEKOLAH (THE MOMENT OF FAREWELL)

Ipoh, Khamis: 14/6/12 = 24 Rejab 1433

Majlis ringkas bagi meraikan dua orang guru yang berjaya dalam permohonan pertukaran ke sekolah baharu berkuat kuasa 1 Jun diadakan di medan selera sekolah dan di bilik guru. Jamuan ringkas ala-port luck telah diadakan di medan selera, manakala sesi penyampaian cenderamata diadakan di bilik guru pagi ini. Puan Hajjah Aspalela binti Haji Mohd Ismail telah bertugas di SMK St. Michael, Ipoh (SMI) selama 18 tahun, sementara Puan Zuisma binti Muhamad Anuar selama dua tahun.
Cikgu Aspa, siswazah UUM dalam jurusan perniagaan dan guru terlatih bahasa ialah ketua panitia Bahasa Melayu, selain pernah menerajui panitia Pengajian Am. Beliau bakal bertugas di SMK Seri Putera, Ipoh. Pengalaman luas Cikgu Aspa dalam bidang pentaksiran bahasa sudah pasti menguntungkan SMK Seri Putera.
Cikgu Zuisma pula ialah siswazah pengajian perniagaan Universiti Selangor (Unisel) dan latihan keguruan dari UPSI. Beliau mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan Pengajian Am. Kini, Cikgu Zuisma yang sedang menunggu detik bahagia kelahiran anak sulung akan berpindah ke SMK Dato' Sagor, Langkap dekat Teluk Intan.
Warga SMI mengucapkan tahniah kepada Cikgu Aspa dan Cikgu Zuisma. Terima kasih atas perkhidmatan dan sumbangan ikhtisas yang sangat signifikan di SMI. Moga puan berdua akan terus cemerlang sebagai pendidik yang berjasa...

Tuesday, June 12, 2012

KEMBALI KE SEKOLAH SELEPAS CUTI SINGKAT (SECOND HALF IS UP)

Ipoh, Isnin:  11/6/12 = 22 Rejab 1433

Masa itu emas, masa itu ibarat mata pedang dan masa itu ialah kehidupan. Demikian kebijaksanaan peribahasa Melayu, peribahasa Arab dan kata hukamak. Seperti baharu sebentar kita melangkah ke tahun 2012, walhal kita sudah pun berada di pertengahan dan menuju penghujung.

Cuti pertengahan tahun untuk tempoh dua minggu terasa begitu singkat. Setiap orang menghimpun kenangan, sambil mencatur perjalanan kehidupan selagi nafas masih di kerongkongan. Pembelajaran wajib diteruskan demi kecemerlangan, peningkatan ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap yang tepat dalam menempuh cabaran hari-hari muka.
Cikgu Hilmi menyampaikan taklimat acara sukan

Warga SMK St.Michael, Ipoh (SMI) juga melewati proses yang sama. Sebelum cuti, mereka sibuk dengan pesta ria dan peperiksaan pertengahan tahun. Kini, apabila melangkah semula ke sekolah, aktiviti sukan sudah menanti. Persiapan untuk peperiksaan awam PMR, SPM dan STPM juga semakin rancak.

Kohort murid tingkatan satu sibuk dengan kerja kursus sebagai kayu ukur pentaksiran berasaskan sekolah (PBS). Guru-guru pula sibuk melengkapkan fail bagi setiap orang murid yang menjalani PBS sebagai bukti hitam putih pelaksanaan ganti sistem peperiksaan berpusat sepenuhnya oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). Pelajar prauniversiti tingkatan 6 Rendah juga menjadi kohort perintis sistem pembelajaran dan pentaksiran secara modular tiga penggal.

Sempena sambutan ulang tahun ke-100 penubuhan SMI, masih banyak acara perayaan akan diteruskan seperti pementasan drama, jamuan khas mengumpul dana, hari anugerah kecemerlangan kurikulum dan kokurikulum, serta beberapa acara besar yang sudah tersenarai. Selain itu, projek naik taraf kemudahan sekolah seperti dewan serba guna dan tempat meletak kereta bertingkat yang bernilai jutaan RM juga dijangka akan dilancarkan dalam tempoh yang terdekat. Untuk terus relevan dan berdaya saing, SMI mesti sentiasa melaksanakan ikhtiar pembaharuan dan penambahbaikan...