TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Tuesday, July 31, 2012

DERMA DARAH SMI CATAT REKOD BAHARU (HIGH AWARENESS ABOUT THE GIFT OF LIFE AMONG MICHAELIANS)

Ipoh, Isnin: 31/7/12 = 11 Ramadan 1433

Sejumlah lebih 200 orang pelajar prauniversiti SMK St. Michael, Ipoh (SMI) telah mendaftar untuk proses derma darah sejak awal pagi ini di dewan sekolah. Sambutan luar biasa terhadap program tahunan tingkatan 6 itu menunjukkan tahap kesukarelaan yang tinggi dalam kalangan pelajar. Pasukan derma darah hospital tidak menang tangan untuk melayan sedemikian banyak penderma secara sekali gus.
Sebelum layak menderma darah, pelajar perlu menjalani pemeriksaan tahap kesihatan dan jenis darah oleh doktor yang bertugas. Ada seorang dua pelajar yang kecewa tidak dibenarkan menyumbang kerana berat badan mereka kurang daripada 45 kilogram. Namun, mereka tetap gembira apabila disahkan oleh doktor sebagai sihat walafiat dan bebas daripada penyakit.
Justeru kakitangan yang terhad, serta bilangan peralatan juga hanya mampu menampung beberapa orang penderma darah darah dalam satu-satu masa, maka proses berkenaan bakal diteruskan pada hari Jumaat. Penyelaras program, Puan Hajah Zaliha binti Ismail memberitahu bahawa sistem nombor giliran akan digunakan bagi memastikan kelancaran proses derma darah dan pelajar tidak perlu menunggu agak lama untuk itu. Semua pelajar yang berjaya menderma darah akan diberikan markah kokurikulum dan dicatatkan dalam sijil sebagai tanda penghargaan...

Wednesday, July 25, 2012

USTAZ SUHAIMI PENGERUSI BAHARU KELAB STAF (NEW FACES LEAD)

Ipoh, Rabu: 25/7/12 = 5 Ramadan 1433

Jawatankuasa Kelab Staf, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) sesi 2011/2012 yang diterajui oleh Cikgu Shahrol Nizam bin Mohd Nor mengakhiri penggal perkhidmatan mereka petang tadi. Mesyuarat agung kelab telah berlangsung dalam suasana tenang bagi membolehkan peralihan pucuk pimpinan kelab begitu lancar. Semua guru sesi pagi dan petang, serta para penasihat kelab, iaitu anggota pentadbiran sekolah telah hadir bagi menunaikan kewajipan masing-masing dari segi kebajikan guru dan kakitangan.
pengerusi kelab staf 2012/2013 sedang berucap

Ustaz Suhaimi bin Hamid, yang pada mulanya bertindak sebagai pengerusi sementara proses pemilihan jawatankuasa sesi 2012/2013 telah dilantik secara sebulat suara sebagai pengerusi kelab yang baharu. Timbalan beliau ialah Cikgu Ooi Kean Giap, manakala bagi jawatan setiausaha yang menyaksikan pertandingan empat penjuru dimenangi oleh Cikgu Woo Paik Khuan. Jawatan bendahari pula dimenangi oleh Cikgu Samsudin, guru cemerlang perakaunan tanpa bertanding.

Ustaz Suhaimi yang sebelum ini pernah bertugas di Sarawak ialah siswazah Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan pengkhususan Pendidikan Moral dan Pengajian Islam dengan pencapaian ijazah sarjana muda kepujian kelas pertama. Jawatankuasa beliau dilihat begitu bertenaga dan mantap apabila dibarisi oleh majoriti muka baharu, di samping beberapa orang guru berpengalaman. Senarai penuh jawatankuasa ialah:

          Pengerusi:   Ustaz Suhaimi bin Hamid
          Naib Pengerusi:   En. Ooi Kean Geap
          Setiausaha:  Pn. Woo Paik Khuan
          Penolong Setiausaha:  Cik Fariha
          Bendahari:  En. Samsudin
          Penolong Bendahari:  Cik Nurhazirah
          Ahli Jawatankuasa:    Datin Nor Hasmah
                                      :    En. Omar bin Ibrahim
                                      :    Pn. Eswary
                                      :    En. Nasran
                                      :    En. Pritam Singh 
          Pemeriksa Kira-kira:  En. Tan Lee Khuai

Tuesday, July 24, 2012

PELANCARAN SAMBUTAN MERDEKA KE-55 (PATRIOTISM IN SCHOOL)

Ipoh, Isnin: 23/7/12 = 3 Ramadan 1433

Generasi muda tidak memiliki pengalaman peribadi sebagai pejuang kemerdekaan. Mereka mungkin menerokai pengalaman generasi terdahulu menerusi pembacaan dan cereka. Maka, semangat cinta negara perlu disemai dan diperkukuh bagi memastikan bahawa jati diri sebagai anak bangsa yang berjiwa merdeka akan terus bersemi dalam sanubari.
wakil pelajar (Joshua Loo), wakil guru (Karunagaran), 
wakil kakitangan (Pritam Singh), pengetua dan PK Hem

SMK St. Michael, Ipoh (SMI) tidak pernah ketinggalan mengambil daya usaha menyemarakkan kesedaran mensyukuri nikmat kemerdekaan di bumi bertuah ini. Sebagai simbolik pelancaran sambutan bulan merdeka, penyerahan jalur gemilang disempurnakan semasa majlis perhimpunan mingguan pagi Isnin. Bendera negara kemudian berkibar megah mengiringi lagu patriotik yang dipersembahkan oleh pasukan pancaragam sekolah.
Gimik deklamasi sajak juga disampaikan oleh Cikgu Adi Yusri dan Mohd Asraff dari 5V1. Ada nada kesal dan ada nada gesaan supaya generasi pascamerdeka bersiap sedia menghadapi pancaroba penjajahan bentuk baharu yang bersifat halus lagi tersembunyi. Acara sambutan penuh bakal berlangsung pada 3 September, manakala tarikh Hari Malaysia (16 September) menutup tirai sambutan gilang-gemilang kemerdekaan negara.

Friday, July 20, 2012

BACAAN YASIN PERDANA SAMBUT RAMADAN (TOTAL SUBMISSION TO ALLAH)

Ipoh, Jumaat: 20/7/12 = 30 Syaaban 1433
Setiap pagi Jumaat, bermula pukul 7.00 pagi, murid dan guru Islam, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) berkumpul di auditorium sekolah untuk majlis bacaan Yasin mengikut giliran tingkatan. Namun, sempena kedatangan bulan puasa, semua warga Islam SMI berkumpul serentak untuk majlis bacaan Yasin perdana. Majlis dipimpin oleh al-Fadil Ustaz Suhaimi bin Hamid.
Usai bacaan Yasin, semua yang hadir menadah tangan memanjatkan doa ke Hadrat Ilahi agar sentiasa dikurniakan kesihatan, rezeki dan usia yang dilimpahi barakah dan redha-Nya jua. Murid lelaki SMI kelihatan segak dengan persalinan lengkap baju Melayu berwarna putih dan sampin hijau. Kecemerlangan murid Melayu SMI bakal menyumbang terhadap keunggulan sekolah sempena seabad penubuhannya.
Kemudian, bermula pukul sepuluh pagi, bertempat di dewan sekolah, warga Muslim SMI berpeluang mendengar ceramah oleh al-fadil Ustaz Fadzli bin Abu Bakar, Penolong Pengarah Teknologi Maklumat, Sektor Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pelajaran Perak. Gaya ceramah beliau agak unik, iaitu sentiasa bergerak mendekati khalayak. Isi ceramah beliau berkisar terhadap ulang kaji Ramadhan.

Thursday, July 19, 2012

BENGKEL BAHASA TINGKATAN LIMA (EXCELLENCE IN PLANNING AND WRITING ANSWERS)

Ipoh, Rabu: 18/7/12 = 28 Syaaban 1433

Pentaksiran bahasa bukan semata-mata tentang penggunaan perkataan, rangkai kata, ayat dan wacana, sebaliknya lebih menjurus terhadap penjanaan idea yang dapat disampaikan secara berkesan. Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terbahagi kepada dua kertas, iaitu kertas 1 (penulisan karangan respons tertutup dan respons terbuka = 130 markah) dan kertas 2 (rumusan, pemahaman, tatabahasa dan kajian novel = 110 markah). Maka, segala petunjuk yang diberikan dalam sukatan pelajaran dan huraian pelajaran perlu didedahkan kepada bakal calon peperiksaan awam itu.
Panitia Bahasa Melayu, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) telah mengambil daya usaha bagi menganjurkan beberapa program kecemerlangan pembelajaran kepada semua calon peperiksaan berdasarkan kumpulan pencapaian. Program penataran bahasa kali ini dilancarkan oleh pengetua, Puan Loh Wei Seng menerusi upacara simbolik paluan gong. Dalam ucapan beliau sebelumnya, semua murid tingkatan 5 diingatkan supaya akur dengan keperluan penulisan jawapan yang tepat bagi mencapai skor markah tertinggi dalam peperiksaan awam.
Sejumlah lebih 300 orang murid tingkatan 5 SMI telah menghadiri bengkel bahasa sebagai sebahagian proses persediaan menghadapi peperiksaan awam sebenar. Konsep penulisan karangan secara berfokus dan holistik diberikan penekanan buat kesekian kalinya bagi mengukuhkan pengajaran guru di bilik darjah. Pemudah cara bengkel perancangan dan penulisan karangan ialah Cikgu Hamdan bin Mohd Ali.
Kumpulan kedua pula berkumpul di auditorium SMI untuk mengikuti bengkel perancangan dan penulisan jawapan kertas 2. Setiap slot bengkel memakan masa dua jam dan selepas rehat pemudah cara bengkel bertukar kumpulan murid. SMI pernah hampir mencapai kelulusan 100 peratus dalam SPM yang sepenuhnya bergantung kepada peratus lulus Bahasa Melayu...

Friday, July 13, 2012

PENERIMA ANUGERAH CEMERLANG SMI PILIH UNDANG-UNDANG (THE PACKAGE OF ACCELERATED SUCCESS)

Ipoh, Jumaat: 13.7.12 // 23 Syaaban 1433

Pelajar terbaik jurusan kemanusiaan STPM 2011 yang menerima piala pusingan brother visitor, Yee Jing Wah dari UA1 telah menerima tawaran untuk menyambung pengajian di fakulti undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi mulai 1 September ini. Persaingan untuk merebut tempat di fakulti undang-undang memang sengit, terutama UKM yang menjalin hubungan strategik dengan Universiti Cambridge, UK dari segi pertukaran pelajar dan pensyarah, serta tajaan ijazah lanjutan di sana. Pemohon perlu melepasi saringan temu duga yang ketat sebelum layak dipertimbangkan dalam senarai pendek pencalonan prasiswazah undang-undang.
Yee Jing Wah ialah antara ratusan penerima anugerah majlis hari anugerah kecemerlangan kurikulum SMK St. Michael, Ipoh (SMI) yang berlangsung semalam. Bakal mahasiswi undang-undang UKM itu hadir bersama bapa, turut menerima anugerah pelajar terbaik pengajian perniagaan. Pencapaian cemerlang Yee Jing Wah dalam bidang akademik, serta sahsiah mulia yang dimiliki patut menjadi teladan kepada semua pelajar yang ingin berjaya dengan cemerlang.
Sementara itu, majlis hari anugerah kecemerlangan kurikulum bagi tahun 2011 dirasmikan oleh Encik Joseph Michael Lee, Pengerusi PIBG, merangkap bekas Michaelian yang berjaya dalam bidang perniagaan. Dalam ucapannya, beliau menganggap bahawa majlis seumpama itu sentiasa meninggalkan kenangan yang sangat manis kepada semua penerima anugerah. Majlis turut diserikan dengan persembahan pancaragam Cina, tarian klasik India dan pancaragam militari sekolah...

Thursday, July 12, 2012

GUBAHAN BUNGA HARI ANUGERAH (MANIPULATING THE ORGANIZATIONAL TALENT)

Ipoh, Khamis: 12.7.12 / 22 Syaaban 1433

Tradisi hari anugerah kurikulum di SMK St. Michael, Ipoh (SMI) dimulakan dengan pertandingan gubahan bunga antara kelab, persatuan dan unit pakaian seragam. Semua gubahan kemudian diadili oleh hakim jemputan bagi memilih pemenang utama. Seterusnya, semua gubahan bunga yang masuk bertanding dipindahkan ke dewan sekolah sebagai hiasan meja, pentas dan laluan.
Sebanyak 78 penyertaan direkodkan pada tahun ini. Bunga yang digunakan ialah bunga hidup bagi mewujudkan keaslian dan kesegaran. Ternyata bahawa peserta yang mengambil bahagian telah mencurahkan segala kreativiti dalam tempoh yang begitu singkat untuk menghasilkan sebuah gubahan yang mempersona. 
Hakim pertandingan memberitahu bahawa perbezaan markah antara pemenang sangat kecil. Mereka mengambil sedikit masa untuk berbincang sebelum membuat keputusan muktamad. Gubahan pemenang utama bakal menghiasi meja tetamu kehormat majlis.
Akhirnya, kemenangan berpihak kepada gubahan oleh Kelab Pencegah Jenayah yang dianggotai oleh semua murid lelaki menengah atas. Tempat kedua jatuh kepada Kelab penulisan dan Penerbitan yang dianggotai oleh pelajar tingkatan enam, manakala ketiga ialah Kelab Bola Keranjang. Sekalung tahniah kepada semua pemenang dan terima kasih kepada jawatankuasa pertandingan yang dibimbing oleh Cikgu Karu dan Cikgu Rajan...