TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Wednesday, October 31, 2012

MALAM GALA KELAB STAF BAGAI ANUGERAH SELEBRITI ( THE NIGHT OF GLAMOUR0

Ipoh, Rabu: 31.10.12 // 15 Zulhijjah 1433
Hotel berprestij, Syuen menjadi pilihan majlis jamuan tahunan kelab staf SMK St. Michael, Ipoh (SMI) tahun ini. Bersesuaian dengan tema purple wave, anggota kelab yang hadir, terutama wanita kelihatan melaram bagaikan bintang popular. Selain makan-makan, acara cabutan bertuah berjaya membuatkan hadirin 'melekat' hingga majlis berakhir kira-kira pukul 10 malam.
Sejumlah 100 orang pemenang cabutan bertuah membawa balik pelbagai hadiah misteri seperti hamper dan peralatan elektrik yang disampaikan oleh pengetua dan penolong kanan, pengerusi dan naib pengerusi PIBG, serta Bro Dato' Vincent. Selain itu, setiap orang anggota kelab disediakan oleh-oleh khas berupa beg dokumen yang comel. Masing-masing pulang dengan perasaan cukup gembira.
John Bosco, 'utusan guru ganti' menerima sijil kepujian

Pengerusi Kelab Staf SMI, Ustaz Suhami mengulangi pencapaian tahun lalu apabila memperoleh undian tertinggi bagi kategori king of the night. Guru wanita yang bergelar queen pula ialah Puan Jamaliah. Sementara itu, anggota kelab yang mencatat kehadiran penuh, iaitu tanpa cuti rehat atau cuti sakit, dianugerahkan sijil kepujian...

Tuesday, October 30, 2012

KOHORT TERAKHIR STPM TERMINAL SMI SUDAH BERSEDIA (THE HIGHEST TARGET FOR ECONOMICS PAPER)

Sejumlah 80 orang pelajar jurusan kemanusiaan SMK St. Michael, Ipoh (SMI) bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sistem terminal buat kali yang terakhir tahun ini. Mereka terdiri daripada 27 orang pelajar 6 Atas sastera 1 (UA1), 29 orang UA2 dan 24 orang UA3. Semua pelajar jurusan kemanusiaan SMI mengambil kertas Ekonomi yang dijadualkan pertengahan Disember nanti.

Rekod pencapaian kertas Ekonomi STPM di SMI boleh dibanggakan. Saban tahun bilangan calon yang mencatat gred A dalam kertas Ekonomi mengatasi mata pelajaran kemanusiaan yang lain. Cabaran kritikal yang masih dihadapi ialah untuk merealisasikan program Sifar F yang dirancang sejak tahun 2007 lagi.
Panitia Ekonomi SMI telah mengambil daya usaha bagi memastikan pencapaian kertas Ekonomi kumpulan terakhir sistem terminal terus cemerlang sebagai hadiah sambutan ulang tahun ke-100 penubuhan SMI. Maka, selama dua hari berturut-turut, iaitu pada 9 dan 10 oktober yang lalu pihak panitia telah mengadakan bengkel perancangan dan penulisan jawapan kertas Ekonomi STPM.

Pemudah cara bengkel Mikroekonomi ialah Cikgu Veeriah a/l Sinniah, ketua panitia Ekonomi, manakala bagi kertas Makroekonomi oleh Puan Hajjah Rasidah binti Ismail, Ketua Unit Ekonomi, Pengajian Tingkatan 6. Analisis taburan soalan STPM belakangan menjadi asas perbincangan bengkel. Kesinambungan tajuk dan teori diberikan tumpuan khusus. Penegasan tentang penulisan konsep dan teori ekonomi yang relevan dengan tugasan soalan disebut berkali-kali supaya lekat dalam minda setiap pelajar.
Pelajar UA3: dari hadapan kiri Lee Wai Sam, Chong Lai Guan, Chong Soo
 Yon, Lai Hwey Jia, Toh Chiew Wei, Yap Jin Shea, Pinky, Foo Yaw Sim,
 Tan Kent Win, Low Kha Chun, Chiang Ming Kin, Teoh Hook Ken..

Seterusnya, pada hari Sabtu, 13 Oktober berikutnya seramai lima orang pelajar telah mewakili SMI bagi menghadiri Seminar Persediaan Ekonomi STPM anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Utara bertempat di Sekolah Raja Perempuan (RPS), Jalan Batu Bungkal, Ipoh. Wakil UA3 ialah Lai Hwey Jia dan Lee Wai Sam yang telah mencatat gred A semasa peperiksaan percubaan. Kini, dayung sudah di tangan dan calon STPM di SMI perlu menggerakkan bahtera perjuangan menuju jaya...

Thursday, October 25, 2012

ANUGERAH KOKURIKULUM FORMAT BAHARU (BEHAVIOURAL COMPETENCIES AT SCHOOL)

Ipoh, Rabu: 24/10/12 = 8 Zulhijjah 1433

Kebolehan seseorang insan bukan sahaja diukur menerusi pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya perlu berganding dengan kemahiran insaniah yang tertinggi. Maksudnya ialah sikap seseorang yang tergambar oleh tingkah laku yang beradab, sikap yang terpuji dan tahu membawa diri dalam persekitaran yang berbeza. Di sekolah, proses pemupukan kemahiran insaniah begitu terserlah lewat kegiatan kokurikulum, iaitu pelaksanaan ilmu pengetahuan di luar sesi pembelajaran rasmi bilik darjah.
SMK St. Michael, Ipoh (SMI) memberi pengiktirafan kepada pelajar yang memberi sumbangan terhadap kelangsungan aktiviti kokurikulum sekolah sepanjang tahun 2011, serta kepada Michaelian yang berjaya mencatatkan pencapaian membanggakan dalam acara masing-masing. Kali ini, majlis dilangsungkan di tapak perhimpunan mingguan supaya sekalian warga sekolah dapat meramaikan majlis, berbanding dengan jika di dalam dewan sekolah seperti lazimnya. Majlis yang dimulakan pada pukul 7.30 pagi itu hanya memakan masa lebih sedikit daripada satu jam kerana perancangan acara yang begitu baik.
Sijil disampaikan kepada semua pemimpin pelajar, termasuk pengawas sekolah, pengawas pusat sumber, majlis ketua kelas, dan pelajar yang  berjaya mengharumkan nama sekolah dalam acara koakademik, sukan dan sebagainya. Pelajar yang mencatat kehadiran penuh sepanjang tahun 2012 juga turut dikurniakan sijil kepujian khas. Tetamu kehormat ialah Dato' Bro. Vincent, wakil PIBG dan OMA
anugerah warna sekolah dalam bentuk plag khas 
(pemenang gangsa wushu Sukma, pelajar lelaki LS3)

Selain sijil dan hadiah iringan yang lain, pencapaian cemerlang peringkat kebangsaan diberi penghormatan warna sekolah. Calon-calon terbaik peperiksaan percubaan STPM pula diberi insentif wang tunai sebanyak RM50 seorang. Majlis juga diserikan dengan acara selingan seperti persembahan pancaragam dan seni bela diri juga berjaya mencuri perhatian khalayak yang hadir. 

Tuesday, October 23, 2012

SIDANG REDAKSI MAJALAH SEKOLAH DIRAIKAN (APPRECIATING THE SIGNIFICANCE CONTRIBUTION)

Ipoh, Khamis: 18/10/12 = 2 Zulhijjah 1433

Majalah The Michaelian edisi 2011 telah berjaya diterbitkan, serta diedarkan kepada semua pelajar SMK St. Michael, Ipoh, guru dan sebagai cenderamata kepada rakan pintar sekolah. Majalah berkenaan pertama kali diserahkan kepada pelajar yang mengambil keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada akhir bulan Februari, dan selesai diedarkan dua bulan kemudian. Naskhah majalah tahunan itu menerima pujian daripada pelbagai pihak dan dianggap sebagai penanda aras sebuah majalah sekolah yang terbaik.
imej telefon bimbit Nokia C2

Sebagai penghargaan terhadap sumbangan buah fikiran,  masa dan tenaga yang dicurahkan, anggota sidang redaksi yang terdiri daripada anggota Kelab Penulisan dan Penerbitan Tingkatan Enam telah diraikan dalam satu majlis jamuan ringkas bertempat di dewan sekolah. Mereka ialah kohort terakhir sistem terminal STPM. Pengalaman yang diperoleh dalam proses penerbitan The Michaelian sedikit sebanyak akan menjadi bekalan dan pedoman untuk mengendalikan projek yang lebih besar apabila menempuh alam pekerjaan kelak.
imej komputer tablet Cikgu Nasran Farid

Majlis dimulakan dengan ucapan Puan Loh Wei Seng, pengetua SMI. Beliau sangat berpuas hati dengan kesungguhan dan hasil kerja yang tergambar menerusi naskhah majalah yang bermutu tinggi dari segi reka bentuk dan kandungan. Pengetua kemudiannya sudi menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil anggota sidang redaksi The Michaelian, Mark Siew.
imej telefon bimbit Nokia C2

Hadir sama dalam majlis jamuan penghargaan berkenaan ialah para guru yang menganggotai panel penasihat sidang redaksi. Projek majalah sekolah diamanahkan kepada sebuah jawatankuasa khas di bawah Majlis Hal Ehwal Murid. Namun, proses penerbitan majalah sekolah membabitkan proses kerjasama berskala besar dalam kalangan seluruh warga sekolah dan pihak-pihak yang berkepentingan...

Monday, October 8, 2012

CALON PMR SEKURUN SMK ST. MICHAEL (NEVER ENDING GLORY)

Ipoh, Isnin: 8/10/12 = 22 Zulkaedah 1433

Segala usaha telah dilakukan hingga ke hari-hari terakhir menjelang peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang bermula esok. SMK St. Michael, Ipoh (SMI) memiliki rekod pencapaian PMR yang boleh dibanggakan selama ini. Malah, calon SMI pernah menduduki tempat ke-7 calon paling cemerlang peringkat kebangsaan pada tahun 2006.

Tahun 2012 semuanya istimewa dan bersejarah sempena sambutan ulang tahun ke-100 penubuhan sekolah. Semua pihak mengharapkan bahawa lebih 300 orang calon PMR di SMI bakal menghadiahkan khabar gembira pada suku ketiga bulan Disember ini apabila keputusan peperiksaan diumumkan. Mereka telah diberikan motivasi dan pesanan khas pada hari Jumaat (5/10) yang lalu.

Calon PMR bersekali dengan calon SPM dan STPM yang beragama Islam telah menghadiri majlis bacaan Yasin dan solat hajat buat kesekian kalinya pada hari Khamis lepas (4/10) di Masjid India, jiran terdekat SMI. Masing-masing memohon kekuatan jasmani, emosi, rohani dan inteleks agar segala-galanya berjalan dengan lancar di dewan peperiksaan nanti. Seluruh warga SMI mendoakan yang terbaik untuk sekalian calon PMR sekurun SMI...

Monday, October 1, 2012

BOLA SEPAK SMI TERUS UNGGUL (MICHAELIAN'S POWERHOUSE TRIUMPH)

Ipoh, Isnin: 1/10/12 = 15 Zulkaedah 1433

Kunjungan ke SMK St. George, Taiping membawa pulang berita gembira. Tuan rumah yang menganjurkan edisi khas perlawanan bola sepak ternyata menjemput pasukan yang tepat, iaitu SMK St. Michael, Ipoh (SMI) yang memang dikenali di daerah Kinta Utara sebagai perlu diberi perhatian. Asakan rangkaian penyerang SMI sukar dibendung, manakala pertahanan SMI sukar ditembusi.
Skuad SMI diketuai oleh Anil Saini Singh, pelajar tingkatan 5S1 yang memaparkan corak permainan bervariasi dengan taktik hantaran bola ala EPL. Pada babak pertama kedua-dua pasukan mempamerkan permainan secara berhati-hati. SMI membariskan majoriti pemain skuad bawah 15 tahun terlebih dahulu.
Pada separuh masa kedua, SMI mulai bertindak lebih garang. Perlawanan berkesudahan dengan jaringan gol 3 - 1 yang memihak kepada pasukan pelawat. Kehadiran Khairul Amirin, murid tingkatan 3A1 yang merupakan pemain negeri turut membantu jentera serangan untuk menggegar gawang pasukan tuan rumah.
Pada sesi perhimpunan mingguan pagi tadi, pengetua SMI, Puan Loh Wei Seng, telah sudi mengalungkan semula pingat kemenangan kepada semua pemain. Sesungguhnya kejayaan dalam apa-apa jua skala pertandingan perlu diberi pengiktirafan. Pasukan bola sepak SMI di bawah bimbingan Cikgu Saiful Bahri itu boleh mara lebih jauh, insya-Allah...