TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Monday, February 27, 2012

BOLA SEPAK B15 SMI NAIB JUARA (SPORTS ACHIEVEMENT FOR CENTENNIAL CELEBRATION)

Ipoh, Isnin: 27/2/12 = 5 Rabiul Akhir 1433

Hadiah sempena sambutan 100 tahun SMK St. Michael, Ipoh (SMI) terus bertambah. Pasukan bola keranjang dan skuasy telah mencatat kejayaan yang membanggakan hingga berjaya menghantar wakil untuk mewakili pasukan negeri Perak. Beberapa acara sukan lain masih belum selesai, tetapi SMI berpeluang melakar beberapa kemenangan lagi.

Sukan nombor satu di planet bumi, iaitu bola sepak sudah tentu mendapat perhatian utama. Walau seribu kejayaan lain berjaya diperoleh, tidak akan sama dengan satu sahaja pencapaian sukan bola sepak. Sementara SMI mengungguli beberapa acara sukan yang kurang popular, pasukan bola sepak telah bertungkus-lumus dalam memastikan bahawa penanda aras penting kemajuan sukan sekolah itu mampu berdaya saing.
skuad bola sepak B15 SMI menayang sijil naib juara

Pada tahun ini, pasukan bawah 15 tahun SMI berjaya membaiki pencapaian tahun lalu yang hanya menempah tempat ke saingan suku akhir Zon 2 Kinta Utara. Untuk edisi 2012, pasukan SMI berjaya mara hingga ke perlawanan akhir dan bertembung dengan musuh tradisi, SMK Anderson. Budak-budak bola SMI nyata tidak gentar dengan reputasi Anderson sebagai sekolah projek bola sepak negeri.

Pasukan bimbingan Cikgu Zulkarnain Daud, guru pendidikan jasmani dan pendidikan kesihatan sesi petang itu berjaya mengimbangi kekuatan skuad Anderson. SMI hanya membenarkan Anderson menjaringkan dua gol dalam perlawanan sengit berkenaan. Dengan semangat melawan yang ditunjukkan, SMI hanya memerlukan sedikit sahaja sentuhan ajaib (x-factor) bagi membenam "ego" Anderson pada tahun hadapan...

Friday, February 24, 2012

PELANCARAN LOGO 100 TAHUN SMI (CENTENNIAL CELEBRATION DRIVEN)

Ipoh, Jumaat: 24.2.12 / 2 Rabiul Akhir 1433

Detik bersejarah sambutan 100 tahun SMK St. Michael, Ipoh (SMI) berterusan. Pagi ini, logo rasmi perayaan dilancarkan oleh Tan Sri Lee Oi Hian, pengerusi lembaga pengelola sekolah. Beliau juga ialah bekas pelajar SMI dan kini tersenarai dalam carta 10 orang ahli perniagaan yang paling berjaya di Malaysia.
sudah rasmi logo 100 tahun

Acara turut dihadiri oleh bekas-bekas pengetua, orang kuat persatuan bekas pelajar dan Bro. Vincent. Acara kemuncak program ialah pelancaran logo sambutan 100 tahun SMI oleh Tan Sri Lee. Kini, SMI mengorak langkah ke abad kedua penubuhannya.
acara potong kek


Upacara memotong kek berbentuk 100 tahun SMI ialah satu simbolik ulang tahun sebuah sekolah premier yang berjasa dan sangat disegani. Perjuangan generasi pengasas SMI bakal diteruskan. Tekad itu akan sentiasa bersemi dalam jiwa generasi baharu SMI.
penyampaian lencana guru


Antara oleh-oleh perayaan ialah lencana semat di kolar baju. Sebagai permulaan, semua warga SMI iaitu murid, guru dan kakitangan menerima lencana bernilai RM2.50 dalam majlis pada pagi ini. Lencana ini boleh dipesan dengan menghubungi pihak sekolah di talian 05-2540418.
persembahan pancaragam sekolah


Majlis diserikan dengan persembahan pasukan pancaragam sekolah. Kali ini mereka berada di bahagian belakang tapak perhimpunan. Semua hadirin berpeluang menikmati muzik harmoni yang dipersembahkan dengan lebih jelas.
generasi Y di SMI


Setakat ini, proses pemupukan semangat Michaelian nampak begitu berjaya. Legenda sekolah menjadi dorongan dan inspirasi kepada Michaelian untuk mendaki puncak kejayaan. Pencapaian SMi diakui ada pasang surutnya, tetapi masih dalam kategori kelompok sekolah berdaya saing tinggi.
pemenang ciptaan logo: Mohamad Abdul Hadi, bekas pelajar 


Logo ciptaan bekas pelajar 2005 di atas telah memikat hati juri pemilihan. Pagi, pemenang datang sendiri untuk menerima hadiah. Di wajahnya terpancar rasa puas kerana ikatan dan sumbangan Michaelian tidak pernah putus walaupun telah lama meninggalkan kenangan di sini...

Thursday, February 23, 2012

PELAJAR SMI HADIRI PROGRAM GAZA (SESSION WITH DR M)

Ipoh, Khamis: 23.2.2011 / 1 Rabiul Akhir 1433

Sejumlah 40 orang pelajar prauniversiti tingkatan 6 Atas SMK St. Michael, Ipoh (SMI) ialah antara hadirin yang turut serta dalam program Jelajah Keamanan anjuran Perdana Global Peace Foundation (PGPF) siri kedua sesudah Melaka. Ucap utama disampaikan oleh Tun Dr. Mahathir bin Mohamad (Presiden PGPF, Perdana Menteri Malaysia yang ke-4), selain ucapan aluan Tan Sri Norian Mai (Pengerusi PGPF, mantan ketua polis negara) dan Dato' Seri Diraja Dr, Zambry bin Abdul Kader, Menteri Besar Perak. Acara berlangsung di dewan bankuet, di bangunan Darul Ridzuan.
hadirin sedang mengikuti ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad


Tan Sri Norian Mai menegaskan tentang perjuangan PGPF untuk menjenayahkan perang, iaitu menjadikan peperangan sebagai satu jenayah dalam peruntukan undang-undang antarabangsa. Langkah pre-emptive sepertimana amalan menyerang negara-negara yang dilabel sebagai ancaman atau pengganas secara sesuka hati oleh kuasa-kuasa besar juga hendaklah diklasifikasikan sebagai jenayah. Pertubuhan Bangsa Bersatu sebagai produk Perang Dunia Kedua dengan kuasa veto pemenang perang dengan jelas ialah satu bentuk ketidakadilan dan penindasan. 

Dr. Zambry pula menyatakan sokongan padu kerajaan negeri terhadap program "Air Untuk Gaza" oleh PGPF. Pihak kerajaan negeri kemudian telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada PGPF. Beliau juga melahirkan rasa kagum akan kegigihan Dr. M dalam usia lewat 80-an masih cergas, malah Dr M seperti tidak memberi jawapan tentang usia sebenar beliau apabila ditanya secara spontan dalam ucapan Dr. Zambry.

Tun Dr. Mahathir menyifatkan Tel Aviv sebagai entiti haram yang diwujudkan hasil jenayah perang oleh kuasa-kuasa Eropah yang sudah tidak tahan dengan putar belit Yahudi di negara mereka sendiri. Beliau turut menyelar sikap hipokrit kuasa besar yang menekan Malaysia supaya mengenakan sekatan terhadap Iran yang dituduh memiliki senjata pemusnah, sedangkan Amerika Syarikat dan Rusia memiliki 10,000 senjata seumpamanya, manakala Israel memiliki 200 unit. Dalam sidang media selepas majlis berakhir, Dr M memberitahu bahawa surat kepada Ehud Barak, perdana menteri rejim haram Tel Aviv dahulu ialah penolakan terhadap sebarang hubungan diplomatik.

Dalam sesi soal jawab, terdapat 3 soalan diajukan oleh 3 orang guru. Antara kemusykilan yang dibangkitkan ialah perihal kegagalan negara-negara umat Islam untuk bersatu menyahkan rejim haram Tel Aviv dari bumi Palestin. Dr. M mengakui bahawa perpaduan sangat sukar berlaku kerana perbezaan fahaman politik, termasuk di dalam negara...

Nota: jumlah replika cek yang disampaikan dalam majlis = RM280k

Friday, February 17, 2012

MAJLIS PERSARAAN PUAN FAUZIAH (HAPPY RETIREMENT TEACHER)

Ipoh, Jumaat: 17/2/12 / 24 Rabiul Awwal 1433

Bermula sebagai guru pelatih (praktikum) pada bulan Julai 1982 dan berakhir dalam kerjaya keguruan di SMK St. Michael, Ipoh (SMI). Begitulah perjalanan kerjaya seorang pendidik berjasa yang menyumbang bakti selama lebih 28 tahun. Anak kelahiran Selama Perak 55 tahun yang lalu memilih untuk bersara lebih awal daripada maksimum ulang tahun kelahiran ke-60 bagi penjawat awam.
sijil penghargaan perkhidmatan JPN Perak

Pagi ini Puan Fauziah diraikan oleh sekalian warga SMI. Setelah ini, rutin harian dan mingguan beliau bakal berubah. Mungkin sesekali Puan Fauziah akan memandu Mercedes ke SMI untuk berjumpa sahabat lama.
ucapan kenangan

Puan Fauziah mendapat pendidikan awal di SK Selama dan SMK Dato' Husin juga di Selama hingga tingkatan 3. Beliau kemudian bergelar pelajar Sekolah Tunku Fatimah, Johor Bahru, iaitu sekolah berasrama penuh premier yang menjadi impian pelajar cemerlang perempuan seluruh negara. Beliau terus mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Malaysian Certificate of Education, MCE (setara dengan SPM) dan Higher School Certificate, HSC (setara dengan STPM).
kek selamat ulang tahun


Puan Fauziah memilih Universiti Malaya, Lembah Pantai, Kuala Lumpur (UM) untuk pengajian ijazah sarjana muda ekonomi. Beliau mengkhusus dalam pengajian ekonomi perangkaan (statistik) yang dianggap sebagai kursus paling mencabar di fakulti ekonomi dan pentadbiran, UM selain perakaunan. Sebaik tamat pengajian, beliau bekerja sebagai pegawai Felcra di Kuala Lumpur.

lagu untuk cikgu


Setelah setahun di Felcra, Puan Fauziah kembali ke kampus UM untuk mengikuti kursus diploma pendidikan yang melayakkan beliau menjadi guru terlatih. Beliau telah banyak kali bertukar sekolah kerana mengikut suami yang berkhidmat dalam bidang kehakiman. Suami beliau, Tuan Tarmizi Abdul Rahman, turut hadir dalam majlis pada pagi ini.
persahabatan sejati


Meskipun hanya 4 tahun di SMI, Puan Fauziah yang gemar mengukir senyuman cepat mendapat kawan. Beliau tidak kekok kembali menjadi guru mata pelajaran walaupun pernah menyandang jawatan pentadbiran sebelumnya. Beliau juga tidak menolak untuk mengajar mata pelajaran Pengajian Am walaupun sejak mula bertugas, beliau mengajar mata pelajaran Ekonomi Tingkatan 6.

bekas pelajar 2011 sanggup turun sama

Hubungan serta layanan mesra Puan Fauziah nyat berjaya menambat hati setiap pelajar beliau. Buktinya, pelajar tingkatan 6 Atas tahun sanggup datang untuk sama-sama mengucapkan pamit kepada beliau. Tetamu kehormat lain termasuk Bro. dato' Vincent, En. Joseph Michael Lee (YDP PIBG) dan wakil PPD Kinta Utara...

SELAMAT BERSARA PUAN FAUZIAH

Monday, February 13, 2012

PERLAWANAN UJIAN BOLA SEPAK SMI (MICHAELIAN SOCCER TEAM'S FRIENDLY MATCHES)

Pasukan bola sepak bawah 15 tahun SMK St. Michael, Ipoh (SMI) di bawah bimbingan Cikgu Zulkarnain Daud kini giat membuat persediaan bagi memperbaiki pencapaian suku akhir Kinta Utara yang dicatat pada edisi 2011. Beberapa siri perlawanan pemanas badan telah selesai dan beberapa perlawanan lagi akan dimanfaatkan bagi meningkatkan kecergasan dan variasi taktikal sebelum menghadapi saingan sebenar.

sumber gambar:  Cikgu Zulkarnain bin Daud

Keputusan perlawanan setakat ini

          mengalahkan SMK Dr. Megat Khas 5 - 1  (kesebelasan utama)

          mengalahkan SMK Pangkalan  6 - 0  (kesebelasan utama)

          kalah kepada SMK Buntong  0 - 1  (tanpa tiga tonggak utama yang direhatkan)

Jadual perlawanan seterusnya

          13/2/12  Isnin:  lawan SMK ACS  -  Padang Ipoh
      
          14/2/12  Selasa:  lawan SMK Simpang Pulai  -  Padang Ipoh
 
          16/2/12  Khamis:  lawan SMK Sungai Pari  - padang SMI

Penyokong dijemput hadir.

Wednesday, February 8, 2012

HOKI: HANYA ANDERSON JADI HALANGAN (POSTMORTEM OF MICHAELIAN'S HOCKEY TEAM)

Kesudahannya menepati ramalan apabila SMK Anderson, Ipoh tidak menunjukkan belas kasihan kepada semua pasukan yang bertanding dalam kejohanan hoki daerah Kinta Utara apabila memenangi semua perlawanan dengan jumlah jaringan yang besar. Dalam perlawanan akhir, Anderson membuat pemain-pemain Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (Star) berkampung di kawasan sendiri menerusi serangan bertali arus. Anderson berjaya menghadiahi Star dengan setengah dozen gol, iaitu 6-0.

Reputasi Anderson sebagai jagoan peringkat kebangsaan memang sukar digugat. Di negeri Perak, hanya Clifford, Kuala Kangsar yang mampu menghadirkan sedikit rasa cemas buat Anderson. Pasukan lain, termasuk SMK St. Michael, Ipoh (SMI) masih belum menemui jawapan atau formula untuk sekurang-kurangnya membuat Anderson bekerja keras untuk menembusi benteng pertahanan masing-masing dengan begitu mudah.

Selain Anderson, pasukan yang agak konsisten ialah SMK Anglo-Chinese, Ipoh (ACS), iaitu pasukan yang ditumpaskan oleh Star di peringkat separuh akhir menerusi penentuan tolakan penalti setelah kedudukan terikat 2-2 secara sepenuh masa. SMI sudah biasa bertemu dengan ACS dan Star, serta mampu memberi saingan sengit. SMI pernah mencatat kemenangan ke atas kedua-dua pasukan beberapa tahun yang lalu.
SMI (jersi gelap) ketika bertemu naib juara Kinta Utara, Star

SMI masih dihormati. Cadangan untuk menganjurkan kejohan jemputan sempena sambutan perayaan 100 tahun SMI merupakan idea yang baik. SMI boleh memilih pasukan yang setara bagi membuktikan bahawa pasukan sekolah yang pernah digeruni suatu masa dahulu sebenarnya tetap berbisa...

Wednesday, February 1, 2012

HOKI SMI TUNJUK BELANG (QUARTER FINAL CLASH)

Ipoh, Rabu: 1.2.12 / 9 Rabiul Awal 1433

Skuad hoki SMI yang dibarisi oleh pemain tingkatan 3 dan 4 menjanjikan daya saing yang tinggi dalam kejohanan-kejohanan akan datang. Penjaga gol SMI telah bertahan dengan cemerlang apabila berjaya menampan 10 percubaan bahaya dalam kawasan D, termasuk beberapa pukulan sudut penalti. Begitulah kesimpulan yang boleh dibuat setelah perlawanan suku akhir dengan pasukan pilihan, Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (Star) berakhir sebentar tadi.
Sejak awal permainan, barisan pertahanan dan penjaga gol SMI dipaksa bekerja keras oleh ancaman bertali arus barisan "bintang" Star yang juga dibarisi rakan sebaya mereka, iaitu budak tingkatan 3 dan 4. Dari segi taktikal dan stamina jelas memihak kepada Star. Namun, SMI juga mempamerkan aksi terbaik apabila berjaya menafikan begitu banyak tolakan ke arah gawang SMI.

Serangan bertubi-tubi Star akhirnya menghadiahkan mereka gol pendahuluan yang sangat berharga hasil set piece pukulan sudut penalti. Separuh masa pertama berakhir dengan SMI ketinggalan 0-1. Kali ini pemain SMI masih ada angin untuk terus melawan pada babak kedua.
SMI mendapat dua peluang terbaik di kawasan D Star, tetapi tolakan penyerang SMI tersasar sedikit sahaja daripada gawang Star. SMI juga memperoleh sudut penalti, tetapi tidak menemui pintu gol lawan. Sebaliknya, Star yang melancarkan serangan balas berjaya mendapat satu lagi pukulan sudut penalti yang berjaya disempurnakan. Dua minit sebelum perlawanan berakhir, hasil satu gerakan yang mengelirukan, Star berjaya menambah jaringan menerusi gol padang.

Keputusan muktamad ialah SMI berjaya menafikan kemenangan besar yang diharapkan oleh Star, iaitu hanya 0-3. Hakikatnya, mutu permainan SMI hampir setara dengan Star, cuma barangkali kekurangan dari segi kecergasan perlu diberi perhatian. Sejurus selepas perlawanan, penulis blog (PB) terserempak dengan Matthews, bekas kapten hoki SMI 4 tahun lalu yang kini pemain hoki Universiti Malaysia Terengganu untuk kejohanan Masum...