TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Monday, April 30, 2012

PESTA RIA SMI CIPTA SEJARAH (THE UNFORGETTABLE ALMA MATER)

Ipoh, Ahad: 29.4.12 / 7 Jamadil Akhir 1433

Ribuan pengunjung membanjiri perkarangan SMK St. Michael, Ipoh sebagai tanda sokongan terhadap sebuah sekolah premier yang sangat berjasa. Wajah-wajah ceria bekas murid pelbagai generasi, seisi keluarga murid, warga sekolah berdekatan dan orang ramai berpusu-pusu memasuki kawasan sekolah sejak awal pagi. Semua kupon habis dijual menjelang pukul 11 pagi.
di padang
 di medan selera
 di medan permainan
si cilik menunggang kuda padi

Para pengunjung tidak kisah jika perlu berbelanja lebih sedikit daripada biasa. Mereka datang untuk memberi sokongan dan bergembira sambil menyumbang. Kesempatan yang ada digunakan untuk bersua muka dengan dengan rakan lama dan juga para senior, termasuk kumpulan veteran yang telah mendaki puncak jaya dalam hidup mereka.

bersambung...

Monday, April 23, 2012

BAHANG PESTA RIA SMI MAKIN TERASA (CENTENNIAL FUN FAIR JUST AROUND THE CORNER)

Hujung minggu ini, 29 April 2012, hari Ahad, bermula pukul 8.00 pagi SMK St. Michael, Ipoh (SMI) menganjurkan salah satu acara penting sambutan ulang tahun ke-100 penubuhan sekolah, iaitu pesta ria. Konsep pesta ria SMI ialah berbelanja sambil menyumbang. Pengunjung boleh menebus kupon yang dimiliki di gerai jualan makanan dan permainan yang melebihi 60 buah semuanya.
Jonathan Wong dari Laser Battle mengendalikan tunjuk cara

Antara permainan yang dijangka menarik perhatian pengunjung ialah lasertag yang dikendalikan oleh kelas UA3. Permainan lasertag akan ditempatkan di kawasan tapak perhimpunan, iaitu boleh dilihat sebaik sahaja pengunjung memasuki pintu utama sekolah. Dalam satu-satu sesi permainan, maksimum jumlah peserta yang mengambil bahagian ialah sebanyak 20 orang.
Puan Rosenah mencuba senapang lasertag

Sebagai gimik, satu sesi tunjuk cara diadakan semasa perhimpuan mingguan rasmi sekolah pagi tadi. Menurut pengarah eksekutif Laser Battle, En. Jonatahan Wong yang juga bekas Michaelian (kohort SPM 1995), syarikat beliau mula beroperasi secara serius sejak tiga tahun yang lalu setelah secara aspek pembangunan teknologi dapat diselesaikan dalam tempoh tujuh tahun. Pelanggan utama syarikat ialah organisasi korporat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Petronas, TNB dan Telekom Malaysia.

Friday, April 20, 2012

SMI MENANG PINGAT EMAS REKA CIPTA (ANOTHER REMARKABLE ACHIEVEMENT BY MICHAELIANS)

Tronoh, Rabu: 18/4/12 = 27 Jamadail Awal 1433

Pereka cipta muda SMK St. Michael, Ipoh (SMI) menambah koleksi hadiah sambutan ulang tahun ke-100 penubuhan sekolah apabila memenangi sebutir pingat emas dan sebutir pingat perak sempena Pameran Sains & Reka Cipta Kejuruteraan anjuran Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini. Projek yang dipersembahkan bertajuk Automatic Retrievable Clothes Hanger.
pereka cipta muda kebanggaan SMI bersama guru pembimbing


Pasukan yang memenangi pingat emas dianggotai oleh Tan Wai Keat, Tea Yean Jeck dan  Chin Khang Wei, serta diselia oleh En. Chong Weng Sung, guru cemerlang Fizik. Sebuah lagi pasukan yang mempersembahkan reka cipta bertajuk Solar Thermos Food Container memenangi pingat perak. Pasukan bimbingan Puan Wan Norliza Bt  Abdul Raoff dan Cik Seri Ayu Bt. Ahmad Noorddin itu dianggotai oleh  Subashan A/L Vadibeler, Thayaabaran A/L Ravin Drakumar dan Gabriel Lee Cong Han.
kunjungan Naib Canselor UTP

Kedua-dua buah gerai reka cipta SMI mendapat perhatian pengunjung, termasuk Naib Canselor UTP, Datuk Dr Zainal Abidin bin Haji Kasim. Soalan yang dilontarkan telah dapat dijawab dengan lancar dan tepat. Penghakiman dilakukan oleh kakitangan akademik UTP, termasuk profesor dalam bidang yang berkaitan.

Tahniah pereka muda SMI

Monday, April 16, 2012

SMI JUARA DEBAT BAHASA INGGERIS (MICHAELIANS ALWAYS GRAB THE WINNING ATTITUDE)

Ipoh, Isnin: 16/4/12 = 24 Jamadil awal 1433
dari kiri: Amardas Singh, Kenneth Mano, Cikgu Rajan dan Kevin Mano

Dengan reputasi unggul di peringkat kebangsaan, pasukan debat Bahasa Inggeris, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) tidak berhadapan dengan banyak masalah untuk muncul sebagai johan pertandingan jemputan Rotary Kinta Utara edisi 2012. Pasukan SMI mencatat kemenangan bergaya ke atas "musuh" tradisi seperti Anderson, Convent dan MGS. Tahniah kepada pasukan bimbingan Cikgu A. Thedarajan!
pembahas terbaik

Kenneth Mano dari 5S1 telah membawa kemenangan berganda buat pasukan SMI apabila muncul sebagai pendebat terbaik pertandingan akhir. Kenneth ialah saudara kembar kepada Kevin Mano, 5S5, telah meneruskan tradisi kecemerlangan abang mereka dua tahun yang lalu dalam acara yang sama. Amardas Singh yang masih belajar dalam tingkatan 4 boleh menjadi tonggak pasukan debat bahasa Inggeris SMI tahun hadapan.

Kini, pasukan debat bahasa Inggeris SMI sedang dalam proses persiapan untuk pertandingan Piala Dato' Wira dan untuk mempertahankan kejuaraan kebangsaan anjuran Helps University. Cikgu Rajan memberitahu bahawa SMI akan menurunkan pasukan yang berlainan bagi setiap pertandingan. Beliau yakin bahawa murid yang terpilih menganggotai pasukan debat sekolah memiliki tahap keupayaan yang setara...

Tuesday, April 10, 2012

BAHAS ALA PARLIMEN: SMI TANDING PERINGKAT NEGERI (ANOTHER GIFT FOR CENTENNIAL CELEBRATION)

Bertempat di Hotel Seri Malaysia, Ipoh pada 13 dan 14 April ini, pasukan bahas ala parlimen SMK St. Michael, Ipoh (SMI) akan bersaing dengan sembilan lagi wakil daerah seluruh Perak bagi merebut gelaran juara. Setelah mengetepikan cabaran Anderson di peringkat Zon 2, SMI tidak berhadapan masalah untuk muncul sebagai johan daerah Kinta Utara. Berdasarkan prestasi semasa, dijangka pasukan SMI menjadi pilihan untuk mara ke peringkat akhir dan seterusnya mencatat kejayaan yang manis kelak.
Dari kiri: Mohammad Syafil bin Abd. Razak, Amirul Syafiq
 bin Abdul Wahab, Chan Keng Hoe, Ho Joo Hin
 dan Amirthan Nesan a/l Soosai Selvanathan


Anggota pasukan bahas SMI telah mula menerima pendedahan selok-belok pertandingan sejak dari tingkatan 2 lagi. Kini, mereka dibimbing oleh Cikgu Saimah binti Salleh dan Cikgu Hamdan bin Mohd Ali. Selain itu, Puan Hajah Normah binti Haji Karimin, Penolong Kanan Kokurikulum juga turut membantu dari segi persediaan strategi dan idea perbahasan. 

Salah seorang anggota pasukan, Chan Keng Hoe juga telah muncul sebagai juara pidato peringkat daerah. Keng Hoe juga akan mewakili daerah Kinta Utara untuk peringkat akhir negeri Perak pada awal bulan Mei nanti di Teluk Intan. Warga SMI mendoakan kejayaan Cheng Hoe dan rakan-rakan dalam kedua-dua pertandingan koakademik yang disertai itu...

Sunday, April 8, 2012

MURID ISLAM SMI SERTAI KEM PMR, SPM (FOCUS IN LEARNING FOR HIGHER ACHIEVEMENT)

Batu Gajah, Ahad: 8/4/12 = 16 Jamadil Awal 1433

Kisah kejayaan Michaelian silam boleh menjadi inspirasi kepada murid semasa di SMK St. Michael, Ipoh untuk menempa kejayaan gemilang mereka sendiri. Pagi tadi, seorang lagi bekas Michaelian terkemuka, Dr. Mohd Ashar bin Khalib sanggup datang dari jauh untuk bersua muka dengan sekumpulan murid Islam SMI yang menyertai Kem Motivasi Kecemerlangan PMR dan SPM anjuran Gabungan Alumni Pelajar Islam SMI (Gapis), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Jawatankuasa Aktiviti Pendidikan Islam SMI (Japim). Dr. Ashar telah sudi merasmikan upacara penutup kem motivasi yang bermula sejak petang Jumaat lalu.
peserta kem bersama penganjur

Antara lain, Dr. Ashar telah memberi penekanan tentang keperluan jiwa besar dalam sesuatu usaha dan perjuangan. Beliau membawa kisah seekor tikus yang mendapatkan bantuan tukang sihir untuk bertukar kepada kucing, anjing, singa dan pemburu. Sang tikus itu kecundang dalam semua jelmaan kerana ia tetap membawa hati tikus yang berjiwa kecil dan lemah.
Dr Ashar sedang berucap

Dr. Mohd Ashar bin Khalib ialah kumpulan murid rancangan khas 1971 - 76 di SMI bermula dengan kelas peralihan bahasa Inggeris. Beliau pernah aktif dalam military band dan quarter master. Beliau menyambung pengajian di UTM, dan seterusnya ijazah sarjana dan Ph.D di University of Manchester, UK. Kini, Dr. Ashar menyandang jawatan Timbalan Ketua Pengarah, Agensi Tenaga Nuklear Malaysia.
azam menuju puncak jaya

Sejumlah 63 orang pelajar tingkatan 3 dan 5 telah mendaftar sebagai peserta kem. Pada upacara penutup, ibu bapa peserta juga dijemput hadir. Masing-masing kelihatan gembira melihat anak-anak mereka diberi bimbingan dan perhatian daripada bekas Michaelian yang telah berjaya.
tulang belakang penganjuran kem motivasi

Hadir sama ialah Encik Ahmad Kemuncak, Penolong Kanan SMI, Puan Hajah Normah, Penolong Kanan Kokurikulum, Puan Norhayati, Guru Kanan Kemanusiaan, Ustaz Marhalim, Ustaz Suhaimi, En. Adi Yusri, Tuan Haji Zulkefli (guru data), Puan Roszatul dan orang kuat Gapis dan GPMS, Hang Tuah Din, Tuan Haji Zainal Noor dan En. Asri. Pihak urus setia kem berpendapat bahawa jika tumpuan murid terhadap pembelajaran dapat dioptimumkan, nescaya mereka pasti dapat menyumbang terhadap pencapaian SMI yang jauh lebih cemerlang. Terima kasih kepada Institut GPMS Cawangan Perak, Kampung Seri Rahmat, Batu Gajah yang telah sudi menerima kehadiran warga SMI di sana... 

Friday, April 6, 2012

KILAS TANGKIS LAYAN KUNJUNGAN JELAPANG JAYA (FACING POWERFUL BADMINTON TEAM)

Ipoh, Jumaat: 6/4/12 = 14 Jamadil Awal 1433

Sudah agak lama pasukan Kilas Tangkis yang bernaung di bawah Kelab Staf SMK St. Michael, Ipoh (SMI) tidak diuji. Petang ini, pasukan Jelapang Jaya telah sudi bertandang ke Kompleks Badminton dan Skuasy, MBI yang menjadi gelanggang tetap Kilas Tangkis. Kebetulan, kejohanan skuasy remaja kebangsaan juga sedang berlangsung.
kemenangan sebenar ialah ikatan persahabatan


Kilas Tangkis tidak menurunkan barisan terkuat mereka, namun masih mampu menghadapi Jelapang Jaya (JJ) yang memiliki kelebihan dari segi taktikal. Pasangan Cikgu Ibrahim dan Ustaz Ahmad Shakir misalnya menang dalam perlawanan terus 15-9, 15-11. Keputusan perlawanan lain tidak diperoleh, namun Kilas Tangkis khabarnya berjaya memenangkan lawan masing-masing. 

Perlawanan ulangan dijangka berlangsung di SMK Jelapang Jaya seminggu dua lagi. Kilas Tangkis akan menyusun strategi baharu bagi menyaingi kepantasan dan taktikal JJ. Ayam tambatan Kilas Tangkis seperti Azmi Zuki, Prakas Rao, Ravindran dan Shahrul dijangka kembali beraksi...

Thursday, April 5, 2012

PENOLONG KANAN DILAMAR BAINUN (MR ZAHIR TRANSFERRED)

Ipoh, Rabu: 4.4.12 / 13 Jamadil Awal 1433

"Jodoh" Encik Mohd Zahir bin Ramli sebagai Penolong Kanan 1 (Pentadbiran dan Kurikulum), SMK St. Michael, Ipoh (SMI) tidak begitu panjang. Baru setahun di SMI, beliau harus bergerak pula ke sebuah lagi sekolah kawalan (JPN) yang sudah bersiap sedia untuk pencalonan sekolah berprestasi tinggi (SBT), iaitu SMK Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. Di sana, En. Zahir bakal bergandingan dengan En. Jasmi, pengetua, bagi membawa Bainun ke mercu kejayaan yang lebih tinggi.
upacara memotong kek kenangan

En. Zahir mengakui bahawa sudah menjadi pembawaan beliau yang tidak banyak bercakap, sebaliknya lebih senang berhadapan dengan skrin komputer. Sebenarnya, beliau memanfaatkan kepakaran multimedia semasa pengajian di peringkat sarjana di UKM antara 2003 - 2005 di bawah program Hadiah Latihan Persekutuan, Cuti Belajar Bergaji Penuh dengan Biasiswa. Sebelum di SMI, En. Zahir telah berkhidmat di SMK Anderson selaku Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.
antara guru yang sempat hadir

En. Zahir diraikan dalam satu majlis ringkas di ruang makan bilik guru atas daya usaha Ustaz Suhaimi. Majlis turut dihadiri oleh pengetua dan guru-guru yang berkelapangan. En. Zahir mengambil kesempatan dalam ucapan beliau untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga SMI yang telah memberi kerjasama padu sepanjang tempoh beliau berada di SMI. Beliau juga memohon maaf atas segala perkara yang mungkin tidak disenangi oleh mana-mana pihak, sama ada secara disedari atau tidak.
En. Ahmad (kanan) berjumpa kawan lama, En. Hamdan

En. Zahir melapor diri di SMK Raja Permaisuri Bainun pada hari Khamis, 5 April. Tempat beliau di SMI diambil alih oleh Encik Ahmad Kemunchak bin Abdul Karim yang memiliki pengalaman lebih sepuluh tahun sebagai Penolong Kanan Pentadbiran dan Kurikulum. Warga SMI mengalu-alukan kehadiran En. Ahmad untuk sama-sama memacu kecemerlangan SMI sempena sambutan 100 tahun penubuhan sekolah...

Tuesday, April 3, 2012

KUNJUNGAN HORMAT GAPIS (STAKEHOLDERS ROLE IN SCHOOL)

Ipoh, Selasa: 3/4/12

Gabungan Alumni Pelajar Islam SMK St. Michael, Ipoh (Gapis) membuat kunjungan hormat kepada Pengetua SMI, Puan Loh Wei Seng di pejabat beliau sebentar tadi. Pertemuan kira-kira sejam itu berlangsung dalam suasana mesra dan terbuka. Pihak Gapis mengulangi komitmen untuk membantu pihak sekolah bagi meningkatkan pencapaian murid SMI.
bergambar kenangan di Bilik Mesyuarat OMA

Gapis juga menjalin kerjasama erat dengan Jawatankuasa Aktiviti Pendidikan Islam (Japim) yang dianggotai oleh semua guru dan kakitangan Islam SMI. Antara program bersama yang dilaksanakan setakat ini ialah slot motivasi kecemerlangan, mentor-mentee dan khemah kerja. Misalnya pada hujung minggu, dijangkakan sejumlah 100 orang murid Islam SMI akan berkampung di Institut GPMS, Kampung Seri Rahmat, Batu Gajah untuk khemah kerja kecemerlangan.

Pihak Gapis juga merancang untuk menganjurkan jamuan khas pada bulan September nanti dengan tujuan mengumpul dana yang akan disalurkan untuk program yang telah dirancang. Walaupun fokus program Gapis ialah segmen murid Islam, mereka tetap akan mengambil bahagian dalam aktiviti sekolah yang lain. Gapis akan turut serta dalam sambutan ulang tahun 100 tahun sekolah...