TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Friday, August 31, 2012

KADET BOMBA SMI TERUS AKTIF (TAPPING LEADERSHIP TALENT)

Kadet bomba ialah salah satu pasukan unit pakaian seragam pelajar tingkatan 6, SMK St. Michael, Ipoh (SMI). Sebagaimana kegiatan kokurikulum prauniversiti yang lain, anggota kadet bomba didedahkan dengan kepimpinan organisasi, perkhidmatan kesukarelaan dan kebajikan. Kebolehan berkenaan sangat penting sebagai aplikasi pembelajaran semasa, persediaan pengajian tinggi, alam pekerjaan dan kehidupan hari muka.
Asas utama mana-mana unit pakaian seragam, sama ada berasaskan perkhidmatan awam (government organisation, GO) seperti kadet bomba, kadet polis, dan kadet tentera, atau berasaskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti PBSM, pengakap dan seni bela diri ialah disiplin. Maka, aktiviti kawad kaki ialah rutin dalam perjumpaan mingguan. Kaedah memberi dan menerima hukuman atau perintah memerlukan keseragaman dan tumpuan.
Pasukan kadet bomba SMI juga menggalas satu lagi tanggungjawab besar, iaitu menjalin kerjasama dengan Jawatankuasa Keselamatan Sekolah (4K) untuk mengatur latihan kawad kebakaran, sama ada secara berjadual atau mengejut. Anggota kadet bomba diserahkan tugas untuk memantau pergerakan warga sekolah, mencatat maklumat yang ditentukan dan mencadangkan langkah penambahbaikan latihan. Modul latihan Jabatan Bomba dan penyelamat Malaysia juga bakal diguna pakai apabila penyelarasan tentang sistem modular dimuktamadkan kelak...

Wednesday, August 29, 2012

LALUAN KE SMI SESAK TERUK SEMPENA RAPTAI MERDEKA (ANNUAL TRAFFIC JAM AT ST MICHAEL'S)

Ipoh, Rabu: 29/8/12 = 11 Syawal 2012

Antara sebab SMK St. Michael, Ipoh (SMI) dikenali ialah kedudukannya yang strategik di bandaraya Ipoh, iaiatu berhadapan dengan Padang Ipoh, serta berjiran dengan bangunan Darul Ridzuan yang menempatkan kompleks Dewan Undangan Negeri Perak. Banyak acara peringkat negeri dan kebangsaan berlangsung di sana. Secara tidak langsung, SMI juga menjadi panduan arah dan mercu tanda kepada peserta. Maklumat seperti itu dengan cepat tersebar secara lisan dan komunikasi maya.
Saban tahun acara sambutan hari kemerdekaan diadakan di Padang Ipoh diadakan, paling tidak untuk peringkat daerah. Kesesakan jalan raya yang berlaku menyebabkan pergerakan kenderaan tersekat dan warga SMI perlu merancang perjalanan lebih awal supaya tiba selewat-lewatnya pada pukul tujuh pagi di perkarangan sekolah. Mujur juga pada tahun ini, jalan masuk ke SMI ditutup pada pukul lapan pagi, berbanding dengan pukul 7.10 pagi pada tahun lalu.
Konsep sekolah selamat terus diguna pakai. Keselamatan murid menyeberang jalan besar menerima bantuan kawalan lalu lintas oleh warden trafik lantikan sekolah. Setakat ini, segala langkah berjaga-jaga telah dipatuhi dengan sepenuhnya.
Pasukan pancaragam SMI turut mengambil bahagian untuk memeriahkan acara sambutan. Jika berjaya muncul sebagai pemenang,  pasukan itu berpeluang membawa balik hadiah wang tunai, serta hadiah iringan. Jika sebaliknya, persembahan dalam acara berskala besar seperti itu bakal memberi pengalaman pembelajaran yang berguna kepada ahli pancaragam sekolah. 
Kawasan sekolah juga dipenuhi dengan kibaran jalur gemilang. Suasana raptai dapat dilihat dengan jelas dari bilik darjah aras atas. Namun, aktiviti pembelajaran tidak terjejas justeru warga SMI tahu mengawal diri.
Acara raptai diakhiri dengan lintas hormat pasukan pakaian seragam, kenderaan tentera dan helikopter. Menjelang pukul 10.15 pagi, para peserta mula bersurai. Mungkin sahaja warga SMI mengalami sedikit kesulitan, tetapi promosi percuma nama SMI tidak dapat dinilai dengan wang ringgit...

Friday, August 17, 2012

PENGISIAN RAMADAN DI ST MICHAEL (THE FASTING DEAL)

Ipoh: Rabu, 15/8/12 = 26 Ramadan 1433

Bulan puasa sudah di penghujung. Pihak Jawatankuasa Aktiviti Pendidikan Islam, SMK St. Michel, Ipoh (Japim) telah melaksanakan pelbagai program membabitkan semua warga sekolah yang sedang menjalani ibadah berkenaan. Antara lain ialah tadarus al-Qur'an bagi kumpulan murid dan guru, serta penerbitan buletin Ramadan untuk edaran percuma. Selain itu, Japim turut menjayakan majlis berbuka puasa (iftar) dan khatam al-Qur'an.
Guru dan murid SMI yang beragama Islam berkumpul di dewan sekolah bagi menyaksikan acara khatam al-Qur'an sejak pukul 10.30 pagi. Kelihatan bahawa bilangan murid lelaki yang segak dengan persalinan baju Melayu dan sampin sekolah semakin banyak. Turut hadir ialah Encik Ahmd Kemunchak bin Abdul Karim, Penolong Kanan (Pentadbiran dan Kurikulum), Puan Hajah Normah binti Haji Karimin (PK Kokurikulum), Puan Norhayati binti Abdullah (GK Kemanusiaan) dan guru-guru Islam yang lain.
Majlis diakhiri dengan ceramah khas oleh al-fadil Ustaz Abdul Aziz bin Jais, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah (Pengurusan Organisasi Sekolah, Kinta Utara). Beliau menyentuh peranan generasi muda dan institusi keluarga dalam menyumbang terhadap kekuatan ummah. Contoh peristiwa sirah dan semasa memudahkan kefahaman khalayak tentang isi ceramah.
Sementara itu, pada hari Jumaat (10/8/12 = 21 Ramadan 1433) yang lalu, hampir 200 orang warga SMI hadir sempena majlis berbuka puasa yang turut disertai oleh wakil Gabungan Bekas Pelajar Islam SMI (Gapis), serta wakil La Salle, Dato' Bro. Vincent Cockery. Sebelum itu, Ustaz Khairuddin bin Abdul Malik, bekas Michaelian, yang kini Imam Masjid Bangsar memimpin bacaan tahlil dan doa. Hadirin kemudian menikmati hidangan berbuka puasa yang disediakan dengan penuh kesyukuran.
Sebahagian guru hadir seisi keluarga. Si cilik didedahkan dengan program keramaian rasmi tempat ibu bpa mereka bekerja. Keletah mereka sudah tentu menarik perhatian hadirin.
Usai iftar, hadirin bergegas ke dalam dewan yang bertukar menjadi surau. Sekali lagi Ustaz Khairuddin memimpin solat Maghrib, bacaan Yasin, solat hajat, solat Isyak, tarawih dan witir. Majlis berakhir pada pukul 10 malam...