TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Friday, September 28, 2012

JAMUAN PERPISAHAN KADET BOMBA (ORGANISATIONAL EXPERIENCE AT SCHOOL)

Ipoh, Rabu: 26/9/12 = 10 Zulkaedah 1433

Menjelang hujung tahun, khususnya sebulan dua sebelum tarikh peperiksaan awam bermula, majlis makan-makan ialah perkara biasa. Di sekolah, acara jamuan hujung tahun juga bukan lagi asing. Selain sibuk dengan urusan peperiksaan dan cuti panjang, sejumlah pelajar juga bakal mengakhiri status sebagai pelajar sekolah.
makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan

Pasukan kadet bomba SMK St. Michael, Ipoh (SMI) juga tidak mahu ketinggalan untuk meraikan anggota senior tingkatan 6 Atas. Walaupun hakikatnya pelajar 6 Rendah juga bakal menghadapi peperiksaan STPM penggal pertama di bawah sistem modular lebih awal, aras kesukaran calon 6 Atas di bawah sistem terminal lebih berat kerana harus menjalani pentaksiran secara sekali gus. Maka, wajar sekali anggota kadet bomba 6 Rendah bertindak selaku pengelola jamuan, manakala anggota 6 Atas sebagai tetamu yang diraikan.
Cikgu Siti Noraishah, Daniel (pengerusi), Wong Jing Siong (bekas pengerusi)

Acara dimulai dengan ucapan ringkas guru penasihat dan pengerusi pasukan. Pada amnya, pasukan kadet bomba prauniversiti SMI berjaya mencapai maksud kegiatan kokurikulum pakaian seragam, walaupun tidak sepenuhnya terlaksana. Kegiatan pasukan masih bersifat dalaman, justeru pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Kementerian Pelajaran Malaysia masih dalam proses mengemas kini buku panduan kadet bomba secara terselaras.
sebahagian daripada 75 anggota kadet bomba SMI

Menu jamuan perpisahan kadet bomba kali ini ialah nasi beryani dengan ayam masak madu dan telur masak kurma menerusi pesanan khas. Majllis skala sederhana itu berlangsung di bilik Pendidikan Seni SMI. Anggota kadet bomba yang hadir kelihatan ceria dan gembira menikmati majlis yang santai itu.

Majlis yang bermula pada pukul 1.30 tengah hari itu berakhir sejam kemudian. Pengalaman organisasi dan sosial yang diperoleh daripada majlis seumpama itu boleh menjadi bekal yang berguna untuk hari muka. Pasukan kadet bomba SMI bakal meneruskan sumbangan yang signifikan terhadap warga sekolah secara keseluruhannya...

Monday, September 24, 2012

MAJLIS PENUTUP BULAN KEMERDEKAAN KE-55 (THE AWAKENING OF GENERATION Y )

Serahkan kepada ahli akademik dan cendekiawan untuk berhujah sama ada negara kita pernah dijajah, atau sekadar diduduki dan dinaungi oleh kuasa asing yang datang dengan misi 3G mereka (gold, gospel, glory). Mereka lebih arif dalam ilmu pensejarahan dan aliran pemikiran dalam disiplin berkenaan. Sejak kejatuhan Melaka ke tangan Portugis (1511), kemudian silih berganti antara penguasaan Belanda, Inggeris dan Jepun, terutama negeri pantai barat Semenanjung yang begitu kaya dengan khazanah bumi.

Nikmat kemerdekaan yang dikecapi kini ialah rentetan perjuangan generasi dahulu, termasuk para ulama, guru dan pemimpin masyarakat. Generasi muda yang sinonim dengan kecanggihan teknologi perlu diberi pendedahan tentang peri pentingnya menghargai keamanan, kebebasan dan kemakmuran di bumi bertuah ini. Kita boleh berfikir secara sejagat (global), tetapi mesti ada jati diri dan menjaga nilai-nilai tempatan.
Demikian antara inti pati ucapan Drs. Rajendran Naidu, Penolong Kanan, Hal Ehwal Murid, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) dan Puan Norhayati binti Abdullah, Guru Kanan Kemanusiaan sempena majlis perasmian penutup sambutan bulan kemerdekaan ke-55 dan Hari Malaysia ke-49 pagi tadi. Meskipun penerimaan generasi muda, khususnya murid sekolah memang berbeza jika dibandingkan dengan golongan dewasa, mereka juga memiliki semangat cintakan negara. Panitia Sejarah, Panitia Sivik dan Kewarganegaraan, serta Panitia Bahasa Melayu dan Panitia Bahasa Inggeris telah berganding bahu menjayakan program sambutan kali ini.

Selain ucapan ringkas dan nyanyian lagu patriotik, majlis diisi dengan upacara penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan bertemakan kemerdekaan yang dianjurkan. Antaranya ialah peraduan menulis rencana, hiasan bilik darjah dan logo sambutan peringkat sekolah. Semoga program sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia kali ini memberi impak besar terhadap warga SMI yang juga merayakan sambutan 100 tahun penubuhan sekolah yang begitu berjasa kepada negara kita...

Thursday, September 20, 2012

GURU PELATIH UNITAR TAMAT PRAKTIKUM (PROTEGE AND MENTORING IN THE SCHOOL SETTING)

Ipoh, Khamis: 20/9/12 = 

Sebelum layak bergelar guru sekolah, seseorang calon itu perlu melengkapkan sejumlah jam kredit kuliah, tutorial dan tugasan di kampus sebelum menjalani latihan praktikum di bilik darjah sebenar. Dalam tempoh latihan, guru pelatih bakal menerima pendedahan tentang persekitaran pembelajaran untuk aplikasi kaedah dan teori yang dipelajari. Guru pelatih juga berpeluang menimba pengalaman guru-guru terlatih yang bertindak sebagai pembimbing dan rakan kecemerlangan pembelajaran murid sekolah.

SMK St. Michael, Ipoh telah menerima enam orang guru pelatih Universiti Tun Abdul Razak (Unitar), kampus Sunway, Kuala Lumpur bermula pada bulan Jun yang lalu. Kini, mereka telah selamat menjalani latihan praktikum mengajar di SMI dengan jayanya. Sebelum kembali ke kampus sebagai melengkapkan pengajian, mereka akan menjalani latihan di bawah Rancangan Orientasi Sekolah (Ros) di sekolah rendah. 

Setelah tamat pengajian pada awal tahun hadapan, keenam-enam guru pelatih Unitar berkenaan akan menunggu pula proses penempatan sebagai guru terlatih di sekolah kerajaan, politeknik atau pusat latihan yang lain. Kepada yang tidak menerima biasiswa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), mereka juga boleh memohon jawatan lain seperti pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), polis, tentera atau sebarang jawatan di sektor swasta.

Kesemua guru pelatih yang ditemui menyatakan rasa gembira terhadap pengalaman yang diperoleh sepanjang tempoh praktikum di SMI. Walaupun bukan mudah untuk menghadapi murid lelaki yang sudah besar panjang, kemahiran insaniah dan interpersonal yang dimiliki ternyata begitu berbaloi. Malah, murid SMI dilihat begitu senang dengan kehadiran guru pelatih Unitar.

Seluruh warga SMI mengucapkan selamat maju jaya kepada semua enam orang guru pelatih yang dimaksudkan. Semoga pengalaman di SMI ialah kenangan manis belaka. Terlebih terkurang usah simpan di dalam hati hendaknya...

Thursday, September 6, 2012

MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDIL FITRI (MICHAELIAN'S RAYA GATHERING)

Ipoh, Khamis: 6/9/12 = 19 Syawal 1433

Kemeriahan sambutan hari raya puasa masih terasa. Warga SMK St. Michael, Ipoh (SMI) tidak ketinggalan dalam majlis keramaian rumah terbuka yang sudah menjadi tradisi di negara kita. Program anjuran Panitia Pendidikan Islam, dengan kerjasama Jawatankuasa Aktiviti Pendidikan Islam SMI (Japim) dan pihak sekolah diadakan di dewan sekolah bermula pada pukul 12.00 tengah hari.
Pengunjung rumah terbuka mendapat sambutan hangat hinggakan segenap ruang dewan dipenuhi. Orang kuat Panitia Pendidikan Islam, Ustaz Suhaimi, yang juga pengerusi kelab staf bertindak sebagai pegawai utama majlis. Kehadiran murid dijadualkan mengikut kumpulan bagi memastikan pergerakan mengambil makanan dan tempat duduk sentiasa mencukupi.
Kehadiran guru juga tidak serentak kerana aktiviti pembelajaran, serta peperiksaan percubaan SPM dan STPM masih berjalan. Sebagai tanda hormat, murid memberi laluan kepada guru mengambil juadah terlebih dahulu. Aneka makanan dan biskut raya menjadi tumpuan pengunjung.
Selain sate yang menjadi menu rebutan, minuman cendol turut diserbu. Lihatlah aksi mak cik penyedia cendol seakan-akan bersilat bagi memenuhi permintaan murid SMI yang berkerumun di situ. Maaflah gambar yang dipilih agak kabur, tetapi nilai ceritanya mungkin menarik!
Hadir sama dalam majlis ialah pengetua dan anggota pentadbiran sekolah. Pengerusi dan jawatankuasa PIBG turut datang memberi sokongan dan tanda muhibah. Gambar di atas pula menunjukkan sebahagian petugas majlis yang telah bertungkus-lumus membantu pihak penganjur melicinkan pelaksanaan program...

Tuesday, September 4, 2012

MAJLIS SAMBUTAN MERDEKA KE-55 DI ST. MICHAEL (NURTURE PATRIOTIC VALUES IN SCHOOL)

Ipoh, Selasa: 4/9/12 = 17 Syawal 1433

Dari segi asal usul kata (etimologi), patriotisme berasal daripada perkataan kuno Greek, iaitu patria, yang merujuk kepada suku kaum berkaitan keunggulan kaum bapa, atau bermaksud tanah bapa (fatherland). Patria ialah versi feminin kepada patrio justeru kebanyakan istilah untuk negara digandingkan dengan keunggulan ibu seperti ibu pertiwi (motherland), ibu negara (capital city) dan tanah bonda. Patrotisme pula bererti semangat cinta akan negara.
Sempena sambutan kemerdekaan negara ke-55, warga SMK St. Michael, Ipoh (SMI) tidak ketinggalan menunjukkan semangat patriotik yang terserlah menerusi program khas sebentar tadi. Selain ucapan pengetua yang memakan masa hampir satu jam, majlis dimeriahkan dengan persembahan panitia, di samping nyanyian beberapa buah lagu patriotik. Semua warga SMI sesi pagi hadir di tapak perhimpunan, kecuali mereka yang terbabit dengan peperiksaan percubaan SPM dan STPM.
Program sambutan merdeka di SMI bersifat serba sederhana, tetapi meninggalkan kesan yang diharapkan kepada seluruh warga sekolah. Kerjasama yang erat antara jawatankuasa dengan peserta program ialah bukti kejayaan permuafakatan di sekolah. Majlis yang dilaksanakan akan terpahat sebagai kenangan alam persekolahan yang sukar untuk luput daripada ingatan.
Pelepasan peserta konvoi bermotosikal ala perlumbaan grand prix F1 dilakukan oleh pengetua. Konvoi diketuai oleh kereta yang membawa Puan Norhayati, guru kanan kemanusiaan, merangkap penyelaras program. Jalur gemilang dijulang dan dikibarkan dengan megah.
Pasukan konvoi bermotosikal dianggotai oleh pelajar prauniversiti tingkatan 6 Rendah yang diketuai oleh Neran Nicholas, calon ketua umum SMI sesi 2012 / 13. Semua kenderaan dihiasi dengan jalur gemilang. Peserta konvoi menampakkan wajah yang ceria dan teruja.
Peserta konvoi bergerak mengelilingi kawasan sekolah melalui Wisma Taiko, Kompleks Islam sebelum kembali memasuki kawasan pagar SMI. Konvoi turut diiringi oleh pasukan polis balai Ipoh. Keselamatan murid memang tiada sebarang kompromi.
Acara sambutan turut diserikan dengan persembahan panitia sejarah, bahasa Melayu, serta sivik dan kewarganegaraan. Persembahan lagu dan puisi oleh pelajar berjaya mencuri tumpuan khalayak dalam keadaan cuaca yang agak redup dan nyaman. Semua hadirin juga menyanyikan lagu "Jalur Gemilang" dan "Keranamu Malaysia"...