TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Wednesday, February 27, 2013

PERSEKITARAN BAHARU SMK ST. MICHAEL (FASTER GROWING NEIGHBOURHOOD)

Sekali air bah, sekali pantai berubah. Peribahasa klasik itu menggambarkan perubahan zaman dan persekitaran yang tidak dapat dielakkan dengan berlalunya masa. Generasi demi generasi silih berganti sehingga tiada yang bersifat abadi. 
SMK St. Michael, Ipoh (SMI) sudah pun melewati usia 100 tahun penubuhannya tahun lalu. Kini, SMI mengorak langkah meniti perjalanan kecemerlangan abad kedua. SMI perlu berterusan mencipta kejayaan-kejayaan yang baharu supaya tidak semata-mata bermegah dengan sejarah.

Kemunculan pesaing dan rakan strategik institusi persekolahan yang baharu akan sentiasa berlaku bagi menampung permintaan masyarakat terhadap pendidikan. Sebagai salah satu mercu tanda dan khazanah warisan bandaraya Ipoh, SMI akan tetap istimewa. Kelebihan sedemikian tidak mungkin terpadam, malah menjadi penanda aras sebuah sekolah berkesan yang memiliki jenama, legasi, legenda, pencapaian, rekod dan keunggulan yang tinggi.
SMI sudah lama berjiran dengan Masjid India di hadapan pintu masuk utama ke perkarangan sekolah. Kecenderungan projek water front menjadikan Sungai Kinta di sebelah kiri SMI muncul sebagai tumpuan perniagaan, termasuk sebuah restoran Arab Yaman yang bernama Hadramaut. Kelihatan di belakang bangunan SMI ialah sebuah bangunan hotel bertaraf antarabangsa, iaitu River Front yang dimiliki oleh kumpulan Hill City.

SMI dikelilingi oleh pusat pentadbiran, institusi kewangan, premis borong, kelab eksklusif, rumah ibadah, Padang Ipoh, perpustakaan awam dan rangkaian jalan raya utama. Jumlah kenderaan semakin yang melewati SMI semakin banyak dan padat. Menjengah ke dalam kawasan SMI, di sana ada bunga-bungaan dan taman yang indah...

Saturday, February 23, 2013

LADAP TEMA KEBAJIKAN GURU (HUMANIZING THE SCHOOL)

Ipoh, Sabtu: 23/2/13 = 12 Rabiul Akhir 1434

Lebih seratus orang guru dan kakitangan SMK St. Michael, Ipoh (SMI) berkumpul buat kesekian kalinya bagi menjayakan program latihan dalam perkhidmatan (Ladap, in-service training, Inset, baca di sini), atau dahulunya disebut sebagai program perkembangan staf. Tujuan utama Ladap ialah untuk memantapkan proses pembaharuan dan penambahbaikan dalam amalan terbaik pendidikan di sekolah demi kecemerlangan murid. Kakitangan pelaksana atau sokongan juga ikut serta memandangkan peranan mereka yang tersendiri dalam bidang kerja yang telah ditetapkan.
Slot pertama Ladap diisi oleh wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK, NUTP, baca seterusnya portal ini), Encik Chan Eng Kuan, 48, yang memberi taklimat tentang program kebajikan guru kesatuan berkenaan. Jumlah keanggotaan semasa KPPK ialah 180,000 orang dan sentiasa membuka pintu keanggotaan kepada guru yang berusia di bawah 50 tahun, serta pendapatan bawa balik sebanyak dua per tiga gaji. Beliau turut mempromosi skim takaful NUTP-Etiqa Maybank bagi melindungi kebajikan guru secara khusus untuk rawatan di hospital.
Sebelum berhenti rehat, slot kedua diisi pula oleh semua lima orang penolong kanan SMI berdasarkan maklumat terkini bidang masing-masing. Selepas jamuan pagi, peserta ladap kembali ke auditorium untuk slot ketiga tentang 'Stres dan Cara Menangani' yang dikendalikan oleh Puan Rahilah binti Abdul Rahim, 32, pegawai psikologi Jabatan Kesihatan Perak, lulusan sarjana muda sastera, Universiti Malaya (2007). Semua peserta Ladap telah memberi kerjasama yang sangat baik bagi membolehkan pemudah cara undangan mengendalikan segala aktiviti dengan lancar...

Friday, February 8, 2013

USTAZ MARHALIM KE BANDAR BARU PUTERA (HEAD OF ISLAMIC PANEL TRANSFERRED)

Ipoh, Khamis: 7/2/13 = 26 Rabiul Awal 1434

Sesudah hampir 13 tahun menabur bakti di SMK St. Michael, Ipoh (SMI), Ustaz Marhalim bin Muhammad berpindah ke SMK Bandar Baru Putera, Bercham berkuat kuasa 1 Februari yang lalu. Ustaz Marhalim ialah antara contoh pencapaian akademik tertinggi kerana beliau pemegang ijazah sarjana muda kepujian kelas pertama dari Universiti Malaya dalam bidang pendidikan syariah. Anak Terengganu ini juga ialah ketua panitia Pendidikan Islam SMI buat sekian lama.
ucapan perpisahan Ustaz Marhalim bin Muhammad
di kiri beliau, Encik Ahmad Kemunchak, Penolong Kanan SMI

Sempena perpindahan Ustaz Marhalim, Kelab Staf SMI menganjurkan satu majlis ringkas bertempat di ruang jamuan, Bilik Guru SMI pada kira-kira pukul 10 pagi tadi. Ustaz Marhalim meluahkan perasaan gembira kerana kesempatan berkhidmat di sebuah sekolah yang ternama dan unik seperti SMI. Namun, sebagai penjawat awam, beliau akur bahawa kepentingan dan keperluan perkhidmatan sentiasa mengatasi kehendak dan keinginan peribadi.
sebahagian rakan yang hadir

Ustaz Marhalim berharap bahawa suatu ketika kelak, beliau akan diberi peluang kembali ke kampung halaman di Ajil, Terengganu untuk membawa pengalaman di pantai barat Semenanjung ke sana. Rakan guru dan kakitangan yang hadir mendoakan agar hasrat suci beliau tercapai jua akhirnya. Selamat bertugas di tempat baharu, teruskan kecemerlangan dan SMI dilupa jangan...

Sunday, February 3, 2013

PROGRAM KECEMERLANGAN AKADEMIK AWAL TAHUN (STUDY HARD AND STUDY SMART: PERSONAL BRANDING RENEWAL)

Ipoh, Khamis: 31/1/13 = 19 Rabiul Awal 1434

Belakangan ini anjuran supaya bekerja secara bijak lebih banyak ditonjolkan berbanding dengan bekerja secara kuat (rujuk di sini). Demikian juga belajar secara bijak lebih banyak disebut daripada belajar secara kuat (baca di laman ini). Benarkah begitu?
Dr. Siah bersama pelajar prauniversiti SMI

Unit Bimbingan dan Kaunseling, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) telah merancang dan melaksanakan reka bentuk program motivasi belajar berdasarkan tiga fasa, iaitu fasa kesedaran dan kesediaan, fasa kemahiran teknikaliti, dan fasa pecutan akhir. Ketua unit berkenaan, Cikgu Ravindran memberitahu bahawa SMI telah berjaya menjalin kerjasama strategik dengan beberapa buah IPTS untuk mendatangkan pakar bidang motivasi belajar. Misalnya, untuk program pertama tahun ini, Dr. Siah (Kolej Inti) yang berkelulusan sarjana muda UKM, sarjana dan Ph.D dari Amerika Syarikat telah sudi berkongsi pengalaman dengan calon SPM dan STPM sekolah.

Dr. Siah telah sudi berkongsi pengalaman transformasi peribadi daripada pelajar biasa-biasa sehingga pertanyaan ringkas ibunya yang hanya berpendidikan rendah berjaya membuka minda beliau untuk mendaki kecemerlangan ketika STPM hanya tiga bulan di hadapan. Apabila Dr. Siah acuh tidak acuh menjawab pertanyaan ibunya dengan kata-kata "depends la..", dengan pantas ibu beliau bertanya lanjut, "depens on what?" Beliau menggesa pelajar SMI juga sentiasa mengejar kecemerlangan dan tidak menjadikan pencapaian silam sebagai halangan untuk mencatat kejayaan yang lebih tinggi...