TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Saturday, September 28, 2013

HARI ANUGERAH KOKURIKULUM 2013 MERIAH (VALUE ADDED LEARNING ACHIEVEMENT)

Ipoh: Isnin, 23/9/13 = 17 Zulkaedah 1434

Walaupun dilaksanakan secara dalaman, kemeriahan majlis hari anugerah kokurikulum SMK St. Michael, Ipoh (SMI) terasa lebih meriah dengan khalayak berskala besar, iaitu hampir 1,500 orang guru dan pelajar. Pengalaman menyaksikan majlis penting seperti itu sangat bermakna kepada semua pelajar berbanding dengan jika diadakan di dalam dewan yang hanya membabitkan segelintir khalayak. Konsep majlis sedemikian bermula tahun lepas.

...

...

...

...

...

...

Monday, September 23, 2013

LADAP PPPM DAN SARANA SEKOLAH (PROVIDING THE BEST LEARNING EXPERIENCE IN SCHOOL)

Istilah sarana jarang-jarang digunakan dalam perbualan biasa, sama seperti wacana dan wahana. Ketiga-tiga istilah berkenaan sebaliknya digunakan dalam laras bahasa ilmu dan rasmi. Sarana ialah segala sesuatu yang dapat digunakan sebagai alat dan sebagainya untuk mencapai atau melaksanakan sesuatu (Kamus Dewan, edisi IV, 2005:1392).

Contoh ayat yang menggunakan istilah sarana ialah: Bahasa baku berfungsi sebagai sarana budaya tinggi. Sementara itu, prasarana pula merujuk kepada infrastruktur atau keseluruhan kemudahan dan perkhidmatan asas (seperti kemudahan pengangkutan dan perhubungan dan bekalan kuasa elektrik) yang perlu bagi pembangunan, pertumbuhan dan kemajuan (Ibid, 1230). Kebanyakan orang lebih biasa dengan istilah prasarana berbanding dengan sarana.
sesi taklimat sarana sekolah oleh pengetua SMI

Kefahaman tentang konsep sarana itu sangat penting apabila semua pihak yang berkepentingan di sekolah kini didedahkan dengan pelaksanaan sarana sekolah bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran dan kemenjadian murid. Kerjasama yang erat antara pihak sekolah dengan rumah dan komuniti bukan lagi bersifat ad-hoc atau cuba jaya, sebaliknya dirancang sebagai suatu program yang jelas. Manual dan tatacara sarana ibu bapa dan sekolah telah disebarkan secara atas talian (klik di sini untuk muat turun).

Bagi mendapatkan maklum balas dan merangka tindakan susulan, perbincangan rasmi dengan pihak yang berkepentingan di sekolah diadakan dari masa ke masa. Misalnya, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) telah menganjurkan sesi Ladap khusus untuk membincangkan sarana sekolah pada hari Sabtu yang lalu, iaitu bersamaan 21 September 2013 bertempat di auditorium sekolah.

Sarana sekolah merupakan salah satu komponen penting Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013 - 2025) yang menggantikan PIPP sebelumnya. Penekanan tentang iklim sekolah yang kondusif dan komunikasi berkesan, serta konsep BIJAK (sama seperti SMART) menjurus kepada proses pembelajaran yang lebih bermakna. Hakikatnya konsep sarana sekolah ialah penjenamaan semula terhadap proses campur tangan (intervensi) dalam persekitaran pendidikan yang terkini ...

Friday, September 20, 2013

CIKGU VARUSAI AKHIRI LATIHAN INDUSTRI (LOVING THE ALMA MATER)

Bidang pengajian Encik Varusai Mohamed bin Abdul Kader, 24, ialah sains sukan yang merangkumi kursus pengurusan sukan, kejurulatihan, fisioterapi, undang-undang, pemasaran, teknologi dan sebagainya. Beliau ialah bekas Michaelian sebelum menyambung pengajian di Universiti Malaya. Malah, kebanyakan cikgu beliau masih ada di SMI seperti Cikgu Helmi, Cikgu Adi dan penulis blog sendiri.
Encik Varusai tetap memilih SMI walaupun hampir semua rakan sekuliah memilih organisasi yang lebih besar dan komersial. Beliau berjaya meyakinkan pentadbiran SMI bahawa pendidikan dan sukan juga suatu industri dalam kerangka yng lebih kudus dan luhur. Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Drs. Rajendran Naidu a/l Kannayar menemui Encik Varusai untuk mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya.
Encik Varusai memulakan latihan industri di SMI mulai 1 julai yang lalu dan berakhir hari ini (20/9/13). Beliau menggunakan input pengetahuan dan kemahiran terkini sains sukan bagi membantu panitia pendidikan jasmani dan pendidikan kesihatan (PJPK) yang diketuai oleh Cikgu Helmi (gambar di atas). Encik Varusai bersedia untuk datang semula apabila berkesempatan justeru di SMI beliau memperoleh pengalaman pembelajaran yang sangat diperlukan ... 

Monday, September 2, 2013

LAUNGAN MERDEKA MENGGEGAR ST. MICHAEL'S (THE SPIRIT OF LIBERTY AND PATRIOTIC)

Ipoh, Isnin: 2/9/13 = 26 Syawal 1434

Semangat cinta negara dalam kalangan generasi muda perlu sentiasa bersemi dan kukuh agar mereka menghargai nikmat kemerdekaan negara yang dikecapi sejak 56 tahun yang lalu. Pelajar sekolah yang berusia antara 6 hingga 19 tahun ialah pemimpin pelapis yang bakal memacu negara ke puncak jaya sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi dengan acuan sendiri. Proses menjanakan jati diri dan modal insan era pascamerdeka ini sudah pasti berbeza dengan persekitaran generasi terdahulu dari segi citra politik, sosioekonomi, teknologi, nilai dan keutamaan.
SMK St. Michael, Ipoh (SMI) tidak ketinggalan untuk mengadakan majlis sambutan kemerdekaan negara ke-56 pagi tadi. Perutusan Perdana Menteri disampaikan oleh Encik Ahmad Kemunchak bin Abdul Karim, Penolong Kanan Pentadbiran dan Kurikulum. Pendidikan kenegaraan secara besar-besaran seumpama ini ialah suatu pengalaman pembelajaran yang sangat bermakna kepada warga SMI.
Acara sambutan bermula dengan perarakan konvoi merdeka yang diketuai oleh Cikgu Ibrahim bin Ahmed yang memandu kereta nasional kesayangan beliau, Proton Ixora. Pasukan motosikal pelajar yang turut serta telah mengelilingi kawasan luar pagar sekolah sebelum masuk semula untuk upacara penyerahan Jalur Gemilang. Bendera sekolah turut dikibarkan sebagai lambang kecintaan terhadap institusi pendidikan yang sangat berjasa sekian lama.
Persembahan nyanyian lagu berunsur patriotsme berjaya mencuri perhatian khalayak walaupun sang suria mula membahang. Sekalian hadirin juga bersama-sama menyanyikan lagu Jalur Gemilang dan Keranamu Malaysia. Mereka turut menghayati bait-bait lagu tema kemerdekaan ke-56: Malaysiaku Berdaulat Tanah Tumpah Darahku.
Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan bertemakan kemerdekaan anjuran pelbagai panitia mata pelajaran. Acara sambutan kelolaan Jawatankuasa Hal Ehwal Murid SMI ini menampilkan dua orang guru praktikum Upsi, iaitu Encik Tommy Borromeo John dan Encik Mohamad bin Sarwani sebagai pengacara majlis. Sesungguhnya majlis yang meriah ini menepati konsep MMI, iaitu melindungi masa instruksi murid, justeru pelbagai pengalaman dan pengetahuan yang baharu telah dipelajari ...