TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Friday, March 22, 2013

MAJLIS PERSARAAN PN. HAMSIAH, PN. YEE (BEST WISHES FOR TWO SMI's EXPERIENCE TEACHERS)

Ipoh, Jumaat: 22/3/13  10 Jamadil Awal 1434

Hari terakhir persekolahan sebelum cuti  pertangahan penggal satu mencatat sejarah buat SMK St. Michael, Ipoh (SMI). Dua orang guru berpengalaman diraikan dalam satu majlis persaraan secara serentak. Puan Choong Sau Han atau lebih dikenali sebagai Pn. Yee memilih usia persaraan 58 tahun, manakala Pn. Hamsiah binti Abd. Shukor memilih usia persaraan 56 tahun.
Mereka berdua diiring masuk ke ruang majlis oleh pengetua cemerlang SMI, Pn. Loh Wei Sing. Pn. Yee ialah bekas Michaelian, dan telah berkhidmat sebagai guru selama 34 tahun, termasuk di SMI mulai tahun 1991. Puan Hamsiah ialah guru Bahasa Melayu walaupun opsyen latihan ikhtisas beliau yang sebenar ialah Bahasa inggeris dan Geografi. 

...

...

...

...

...

...

Thursday, March 21, 2013

TAHNIAH MICHAELIAN CEMERLANG SPM 2012! (BM UP, PERCENTAGE UP)

Ipoh, Khamis: 21/3/13 = 9 Jamadil Awal 1434

Pencapaian calon Sijil pelajaran Malaysia (SPM) terus mencatat peningkatan. Berdasarkan analisis tidak rasmi, hampir 96 peratus berjaya memproleh sijil. Sebagai perbandingan, pencapaian SPM tahun sebelumnya ialah 94.6 peratus.
sebahagian daripada 23 calon SMI semua A
klik gambar untuk paparan penuh

Sejumlah 23 orang calon memperoleh semua A. Usaha gigih yang dilakukan selama ini ternyata berbaloi. Calon yang tidak memperoleh semua A pun telah menyumbang terhadap nama baik sekolah dan keluarga masing-masing. SMI memang sentiasa berpegang kepada prinsip cater for the lost, the last and the least.
Slip keputusan SPM diserahkan mulai pukul 10.30 pagi bertempat di dewan sekolah. Sebahagian ibu bapa turut hadir bagi memberi sokongan kepada anak masing-masing. Selain slip keputusan SPM, dokumen seperti sijil berhenti sekolah, surat akuan, sijil ujian lisan berasaskan sekolah, sijil markah kokurikulum dan naskhah majalah sekolah juga diedarkan. Kini, mereka boleh mula mengisi permohonan masuk ke universiti awam atau swasta, atau mengikuti program pengajian prauniversiti tingkatan 6.

Ibu kepada pasangan kembar Kenneth Mano dan Kevin Mano, Cikgu Jeyanthy berkata beliau dan suami sentiasa memberi kebebasan kepada anak mereka untuk memilih bidang pengajian yang disukai. Kedua-dua Kenneth dan Kevin sedang belajar di peringkat A Level sebagai persediaan ke luar negara. Abang sulung mereka yang juga Michaelian kini sedang belajar dalam bidang bioteknologi di Kanada.
Chan Keng Hoe dari 5 Sains 6 muncul sebagai calon terbaik dengan catatan 10 A+. Chan ialah anggota pasukan debat sekolah sejak tingkatan dua dan berjaya membantu sekolah memasuki saingan peringkat negeri tahun lepas. Chan berminat untuk menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan.

Wednesday, March 20, 2013

MAJALAH EDISI 100 TAHUN SMI DIEDARKAN (MEMORIES THAT WE CANNOT RUB AWAY)

Setelah lama menanti, akhirnya edisi se-abad naskhah The Michaelian sampai juga ke tangan warga SMK St. Michael, Ipoh (SMI). Proses penerbitannya menjangkau masa lebih setahun. Semakan yang teliti dilakukan supaya bertepatan dengan status 100 tahun penubuhan SMI.
Konsep keseluruhan majalah, termasuk kulit hadapan dan belakang majalah, diilhamkan oleh Puan Loh Wei Seng, pengetua cemerlang SMI. Reka bentuk asas dimulakan oleh penyelaras, Encik Abdul Qaiyum sebelum mendapat sentuhan kepakaran guru teknologi maklumat seperti Cikgu Nur Amali, Cikgu Azaliza dan beberapa orang lagi. Hasilnya, imej yang ringkas tetapi membawa maksud yang mendalam.

Edisi 100 tahun ini setebal 266 muka surat, termasuk 22 halaman berwarna. Tambahan kos penerbitan berjaya ditampung menerusi jualan ruang iklan yang diusahakan oleh Cikgu Ravindran yang sudah berpengalaman 10 tahun dalam urusan teknikal majalah The Michaelian.
Antara individu terawal membuat semakan ketibaan majalah kali ini ialah Encik Abdul Qaiyum dan ahli jawatankuasa PIBG, Encik Thomas Wong (seperti dalam gambar di atas). Sebelum proses edaran dilakukan, naskhah majalah diteliti oleh pengetua terlebih dahulu. Kumpulan pertama penerima majalah ialah pelajar yang mengambil slip keputusan peperiksaan STPM pada hari Isnin, 18 Mac.
Warga SMI yang ditemui memberi kredit terhadap edisi istimewa The Michaelian. Mereka berpendapat bahawa penantian mereka selama ini amat berbaloi. Masing-masing sibuk mencari gambar diri sendiri dan rakan sebagai kenangan zaman persekolahan...

Monday, March 18, 2013

PERATUS STPM ST MICHAEL MENINGKAT (4 STUDENTS GOT STRAIGHT A's)

Ipoh, Isnin: 18/3/13 = 6 Jamadil Awal 1434

Kohort terakhir STPM sistem terminal menerima keputusan peperiksaan masing-masing tengah hari tadi. Walaupun mereka boleh menggunakan perkhidmatan mesej pesanan ringkas (SMS) atau secara atas talian di laman sesawang Majlis Peperiksaan Malaysia, majoriti calon memilih untuk datang ke sekolah. Di samping mengambil slip  keputusan rasmi, mereka juga menerima sijil berhenti, surat akuan, sijil kokurikulum, nombol pengenalan diri (PIN) permohonan IPTA dan senaskhah majalah sekolah.
debaran

Hampir 200 orang calon STPM 2012 SMK St. Michael, Ipoh (SMI) hadir ke sekolah untuk tujuan itu. Kini, mereka sudah menginjak usia 20-an menandakan tahap kematangan untuk berdikari sudah tiba. Sudah hampir tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada zaman remaja dan selamat datang untuk zaman muda lela. 
Abdul Hakim:  3A, 1B

Antara calon cemerlang SMI ialah Abdul Hakim yang mencatat keputusan A untuk Pengajian Am, Ekonomi dan Sejarah, serta B untuk Pengajian Perniagaan. Abdul Hakim pelajar yang berbudi bahasa dan tahu membawa diri. Tahniah dan selamat maju jaya kepada Abdul Hakim.
calon cemerlang semua A:
atas: Teoh Jia Heng (US1), Ng Lam Kean (US4)
bawah: Chiang Yi Fan (US1), Yew Kar Meng (US4)

Sementara itu, 4 orang pelajar jurusan sains berjaya mencatat PNGK 4.0 apabila mendapat semua A dalam mata pelajaran yang diambil. Analisis lengkap keputusan STPM bakal diperincikan dalam tempoh yang terdekat. Pada hari Khamis ini pula, kohort sulung STPM modular akan menerima keputusan STPM penggal satu secara atas talian...

Saturday, March 16, 2013

SMI PASUKAN SORAK HOKI PAKISTAN (WELCOMING INVITATION TEAM)

Ipoh, Sabtu: 16/3/13 = 4 Jamadil Awal 1434

Walaupun masih tergolong sebagai sukan popular di negara kita, peminat sukan hoki belum begitu sudi untuk datang menonton perlawanan berbayar, termasuk kejohanan jemputan bertaraf dunia. Ipoh menjadi tuan rumah kejohanan Piala Sultan Azlan Shah saban tahun yang disertai pasukan handalan dunia. Pada tahun ini, hanya pasukan Asia Pasifik yang mengambil bahagian tanpa kelibat pasukan Eropah seperti juara dunia, Jerman, Belanda dan Sepanyol.

Sebagai menghargai kehadiran pasukan luar negara, tuan rumah menyediakan sekumpulan pasukan sorak untuk mereka yang terdiri daripada sekolah pilihan di sekitar bandaraya Ipoh. SMK St. Michael, Ipoh (SMI) dipilih sebagai pasukan sorak Pakistan, bekas juara dunia era padang rumput pada dekad 1970-an hingga 1980-an. Sejumlah 50 orang murid SMI menyertai pasukan sorak Pakistan, sambil diiringi oleh lima orang guru hoki sekolah.

Semua murid dibekalkan baju-T berwarna hijau pasukan Pakistan dan hon. Pasukan sorak SMI hadir dalam empat perlawanan sebelah siang, kecuali pertemuan sebelah malam menentang Malaysia. Setiap hari juga pasukan sorak menaiki bas yang disediakan khas oleh pihak penganjur, serta dibekalkan pek makanan dan air mineral.
Tugas pasukan sorak SMI berakhir petang tadi apabila Pakistan menutup tirai saingan pusingan round-robin menentang Korea Selatan yang berkesudahan terikat 2-2. Sebelum itu pada perlawanan pembukaan kejohanan (9/3), Pakistan bermula garang apabila menewaskan juara bertahan, New Zealand 4-3. Setelah itu, Pakistan dibelasah oleh Australia 0-6, India 1-3 dan terikat dengan Malaysia 2-2.

Pakistan dijangka bertemu sekali lagi dengan Korea Selatan untuk penentuan tempat kelima dan keenam pukul 3.35 petang esok. Australia, Malaysia dan New Zealand masih mengintai peluang mengisi slot perlawanan akhir, manakala India menunggu lawan untuk penentuan tempat ketiga. Kebanyakan pasukan yang bertanding menurunkan pasukan campuran pemain berpengalaman dengan pemain muda untuk proses pembentukan pasukan pelapis masing-masing.

Friday, March 15, 2013

SARANJIT AJK BAHARU PIBG (THE ENDORSEMENT OF STATUS QUO)

Ipoh, Khamis: 14/3/13 = 2 Jamadil Awal 1434

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ialah salah satu komponen penting yang boleh membantu pihak sekolah menuju keberkesanan dan kecemerlangan pembelajaran dalam kalangan murid di sekolah. Peranan PIBG telah digariskan dengan jelas dalam Akta Pendidikan 1996 (Pindaan). Sila klik di sini dan di sini untuk bacaan selanjutnya.  

Berdasarkan peruntukan akta berkenaan, mesyuarat agung PIBG hendaklah diadakan sebelum 31 Mac setiap tahun dan syarat kehadiran cukup korum ialah tiga kali ganda jumlah ahli jawatankuasa. Maksudnya, jika 50 orang anggota PIBG hadir, mesyuarat agung itu dikira sah. Di SMK St. Michael, Ipoh (SMI), semua syarat berkenaan berjaya dipenuhi saban tahun.
Jawatankuasa PIBG SMI 2013 bersama penasihat

Peranan PIBG di SMI lebih menyerlah sejajar dengan status sekolah bantuan modal yang perlu membiayai beberapa projek kemudahan fizikal sekolah dan program kecemerlangan akademik murid. PIBG juga membayar gaji untuk warden lalu lintas, warden tandas dan kakitangan tugas khas. Ibu bapa murid SMI akur dengan keperluan dana PIBG, serta sentiasa sudi menyumbang tenaga dan wang ringgit bagi menjayakan projek yang dirancang.

Bidang peranan PIBG tertakluk kepada batasan tertentu seperti yang ditegaskan dalam pekeliling kementerian pelajaran yang masih berkuat kuasa (klik di sini untuk bacaan selanjutnya). Walaupun demikian, sempadan peranan PIBG itu ialah sebagai garis panduan supaya tidak berlaku sebarang konflik dengan autonomi pentadbiran sekolah. Selagi kerjasama yang berlaku demi manfaat pembelajaran murid, dan akur dengan segala kehendak akta pendidikan, tiada masalah yang bakal timbul.

Mesyuarat Agung PIBG secara sebulat suara bersetuju mengekalkan semua ahli jawatankuasa sesi yang lalu, kecuali En. Taufiq yang menarik diri. Tempat beliau diisi oleh Encik Saranjit Singh yang sebelum ini ialah juruaudit PIBG. Kekosongan jawatan juruaudit diisi pula oleh En. Nadarajah. Usul berkenaan dikemukan oleh Tuan Haji Mohd Sidik bin Zakaria, Penolong Kanan Petang SMI.

Antara usul yang dibahaskan ialah pelaksanaan kegiatan kokurikulum pelajar prauniversiti tingkatan enam,  dan tempahan padang turf untuk skuad hoki sekolah. Penjelasan yang dikemukakan oleh pihak sekolah dan PIBG nampaknya berjaya meyakinkan sekalian ahli mesyuarat. Majlis yang bermula pada pukul 4.30 petang itu ditangguhkan setelah satu jam setengah.

Tuesday, March 12, 2013

LADAP AUDIT KEWANGAN DAN SARANA IBU BAPA (PRUDENT SCHOOL FINANCING)

Ipoh, Sabtu: 9/3/13 = 26 Rabiul Akhir 1434

Pengurusan kewangan sekolah tertakluk kepada Arahan Perbendaharaan (AP), tatacara kewangan sekolah dan segala pekeliling yang sedang berkuat kuasa. Kini, pelaksanaan konsep pusat tanggungjawab (PTJ) semakin diperluaskan ke sekolah-sekolah harian, kecuali sekolah bantuan modal yang masih berurusan dengan jabatan pelajaran negeri masing-masing. Makluman data murid (retan) perlu dikemas kini setiap hujung bulan supaya kiraan peruntukan per kapita murid sentiasa tepat dan tidak berlakunya ralat.

Walaupun guru-guru telah menerima pendedahan tentang kewangan sekolah semasa tempoh latihan praperkhidmatan, tetapi perubahan peraturan dari masa ke masa, misalnya penghapusan kebanyakan yuran Suwa dan penggunaan aplikasi atas talian mewujudkan keperluan untuk akses maklumat terkini. SMK St. Michael, Ipoh (SMI) telah mengambil daya usaha mengadakan slot khas taklimat audit kewangan sekolah yang diisi oleh penolong pegawai audit sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia cawangan Ipoh, Encik Azzizul bin Puteh.

Kebanyakan teguran audit berkisar terhadap kesilapan rekod perolehan dan terimaan inventori / harta modal, serta perancangan perbelanjaan yang kurang mantap. Di samping itu, guru-guru boleh berasa lega untuk memberi tumpuan kepada aktiviti bilik darjah dan pentaksiran apabila kebanyakan urusan dokumen kewangan perlu berada di pejabat, termasuk resit yuran dan wang tunai. Dokumen sokongan atau minit mesyuarat sebelum perbelanjaan dilakukan mesti ada.

Slot Ladap seterusnya diisi oleh Encik Jagan Mogan, 54, dari Pusat Bahasa Saba, Kuala Lumpur. Beliau memberi tumpuan terhadap peranan ibu bapa di rumah dalam proses pembelajaran bahasa anak masing-masing. Berbanding dengan pembelajaran kumpulan besar di sekolah, ibu bapa disarankan menggunakan strategi berbeza terhadap setiap orang anak dengan mewujudkan suasana gembira, kasih sayang, pembelajaran berulang kali, teratur, tidak membebankan dan memberi pengukuhan (pujian)...

Wednesday, March 6, 2013

BOLA SEPAK BAWAH 18, SMI MARA KE SUKU AKHIR (ROAD TO SUCCESS JUST BEGIN FOR MICHAELIAN'S DREAM TEAM)

Skuad bola sepak SMK St. Michael, Ipoh mula menunjukkan belang sebenar apabila muncul sebagai juara kumpulan pertandingan peringkat daerah Kinta Utara. SMI mencatat keputusan tiga kemenangan dan satu seri untuk menempah pertemuan dengan naib juara kumpulan satu lagi, SMK Dr Megat Khas esok. Keputusan penuh seperti di bawah:

          SMI mengalahkan SMK Jalan Pasir Puteh 1 - 0
          
          SMI mengalahkan SM Wellesly  10-0

          SMI mengalahkan SMK Buntong  1- 0
  
          SMI Seri dengan SMK Pooi Lam   0 - 0 

Perlawanan suku akhir

          SMI lawan SMK Dr. Megat Khas
          Tarikh:    8/3/13 (Jumaat) 
          Tempat:  Padang Ipoh
          Masa:     9.00 pagi

Jika berjaya melepasi halangan Megat Khas, SMI dijangka bakal membuat perhitungan dengan musuh tradisi, iaitu SMK Anderson di peringkat separuh akhir. Walaupun Anderson mempunyai pengalaman bersaing hingga ke peringkat kebangsaan, SMI pernah mengecewakan mereka banyak kali juga beberapa tahun yang lalu. Tidak mustahil bahawa sejarah kegemilangan bola sepak SMI akan berulang semula.

Sementara itu, skuad bawah 15 tahun SMI juga bermula dengan langkah kanan apabila menewaskan satu lagi musuh tradisi, iaitu SMK Anglo-Chinese (ACS) 1-0 petang semalam. Penyokong SMI diharapkan dapat turun beramai-ramai bagi memberi keyakinan yang tinggi kepada pasukan. SMI terus mara menuju puncak kejayaan yang lebih tinggi...

Tuesday, March 5, 2013

HOKI SMI DALAM KUMPULAN C (ABOUT THE SAME RIVALS)

Ipoh, Selasa: 5/3/13  22 Rabiul Akhir 1434

Sejumlah 14 pasukan hoki lelaki bawah 18 tahun bertanding untuk kejohanan daerah Kinta Utara tahun ini. Pasukan pilihan terdiri daripada Anderson, Star, ACS dan Sungai Pari yang diletakkan dalam kumpulan berlainan daripada A hingga D. Undian kumpulan untuk pasukan bukan pilihan dibuat dalam mesyuarat pengurus pasukan di dewan Pejabat Pelajaran daerah Kinta Utara sebentar tadi.
pengerusi mesyuarat: Cikgu Mohd Nizam, 
merangkap pengerusi teknik kejohanan

Seakan-akan ulangan skrip tahun lalu, SMI sekali berada dalam kumpulan yang sama dengan SMK Buntong, SMK Bercham dan ACS bagi kumpulan C. Dahulu ACS ialah saingan utama Anderson sebelum diambil alih oleh  Star, tetapi hakikatnya kecuali Anderson, prestasi pasukan lain tidaklah begitu stabil.

Suatu ketika SMI sendiri pernah muncul sebagai juara daerah, malah bekas pemain hoki SMI seperti Mohamad Abdul Hadi dan Foo Keat Seong pernah menjadi ketua pasukan hoki kebangsaan dan mencapai kejayaan di peringkat dunia. Kali terakhir SMI mencapai kejayaan besar ialah kedudukan ketiga temasya sukan sekolah premier zon Perak empat tahun yang lalu. Pertandingan kali ini akan berlangsung antara 3 hingga 6 April bertempat di Stadium Sultan Azlan Shah dan padang astroturf MBI...