TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Tuesday, April 30, 2013

ATLET SMI TERUS MENYERLAH (TOWERING PERSONALITY AT ST MICHAEL'S)

Sebagai sebuah sekolah premier yang telah mencipta kejayaan demi kejayaan, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) tidak ketinggalan melahirkan jagoan dan tokoh bidang sukan seperti pasangan legenda beregu badminton, Ng Boon Bee dan Tan Yee Khan (bekas juara seluruh England), Foo Keat Siang dan Mohamad Abdul Hadi (kapten skuad hoki kebangsaan), sekadar menyebut beberapa nama. Generasi baharu (abad kedua penubuhan SMI) kini menyambung legasi kegemilangan itu. Walaupun begitu banyak pesaing baharu yang muncul daripada sekolah projek bertaraf akademi sukan, SMI masih berjaya menonjolkan bakat sukan hingga ke peringkat antarabangsa.

...

...

...

...

Thursday, April 25, 2013

BAHANG PILIHAN RAYA UMUM DI ST MICHAEL (YOUNG SPORT LEADERSHIP INSTALLATION)

Ipoh, Khamis, 18/4/13 = 7 Jamadil Akhir 1434

Teka-teki tarikh pilihan raya umum ke-13 Malaysia sudah menemui titik noktah, iaitu pada 5 Mei, 2013. Kebetulan, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) dalam proses memilih jawatankuasa rumah sukan yang agak unik pada tahun ini memandangkan pelajar prauniversiti tingkatan enam kohort sulung sistem modular dikecualikan daripada mengambil bahagian. Maka, kepimpinan organisasi sukan dalam kalangan pelajar terbuka luas untuk murid tingkatan 3, 4 dan 5.
Sistem pemilihan ketua rumah dan jawatankuasa lain masih berdasarkan undian secara angkat tangan. Calon hanya perlukan pencadang dan penyokong, kemudian tampil ke hadapan bagi diperkenalkan oleh ketua guru rumah sukan. Undian popular sama seperti pilihan raya umum dilaksanakan dengan tujuan pembentukan kerjasama skala besar antara pemimpin dengan anggota (subordinat) dalam organisasi. 
Sehari sebelumnya, semua guru menghadiri taklimat sukan yang berlangsung di auditorium SMI. Komponen utama pengurusan dan pengelolaan sukan disampaikan oleh setiausaha sukan sekolah, Cikgu Helmi bin Mat Isa. Peringkat pertama pelaksanaan sukan ialah latihan mengikut rumah, diikuti oleh acara sukan tara, prasukan dan akhirnya temasya sukan tahunan pada bulan Jun kelak...

Monday, April 22, 2013

KEPIMPINAN AKTIF, AKADEMIK STPM MENYERLAH (PRE-UNIVERSITY MODULAR SYSTEM AWARDS)

Ipoh, Isnin: 22/4/13 = 11 Jamadil Akhir 1434

Pencapaian akademik yang cemerlang menjadi milik pelajar yang bijak merancang proses pembelajaran tanpa mengabaikan pengalaman kegiatan luar bilik darjah atau bilik kuliah seperti kepimpinan, kokurikulum, kebajikan, kesukarelaan dan perkhidmatan. Pelajar cemerlang berpegang kepada prinsip si jaguh atau sang pemenang, iaitu mesti banyak perancangan, bukan banyak alasan. Sejumlah 13 orang calon STPM sistem modular membuktikan hakikat itu dengan catatan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.50 dan ke atas bagi semester pertama yang lalu. 
Phuan Soon Lee menerima sijil daripada pengetua

Pelajar cemerlang jurusan sains, Phuan Soon Lee memperoleh PNGK 3.92, iaitu gred A untuk Pengajian Am, Matematik T dan Fizik, dan gred A- untuk Kimia. Phuan Soon Lee dari kelas 6 Atas Sains 1 juga ialah ketua pasukan kadet bomba prauniversiti dan sebagai pengawas sekolah. Beliau juga seorang pelajar yang peramah dan ringan tangan untuk menghulurkan pertolongan kepada guru.

Sementara itu, pasangan kembar lelaki, Phan Wai Kin dan Phan Wai Yuen muncul sebagai pelajar cemerlang jurusan kemanusiaan dengan PNGK 3.83 dan 3.92. Kedua-dua mereka memperoleh gred A untuk Ekonomi, Pengajian Perniagaan dan Perakaunan. Mereka berharap untuk membaiki keputusan kertas Pengajian Am supaya mencapai sasaran PNGK 4.0.

Upacara penyampaian sijil dan hadiah wang tunai RM50 itu berlangsung semasa perhimpunan mingguan pagi tadi. Pengiktirafan untuk pelajar cemerlang STPM modular bakal disampaikan untuk setiap penggal. Tujuannya sebagai dorongan kepada semua pelajar prauniversiti SMI supaya mengejar kecemerlangan dalam bidang akademik dan modan insan minda kelas pertama...

Wednesday, April 10, 2013

ANAK YATIM, WARGA TUA KUNJUNGI SMI (CHARITY NIGHT FOR ANNUAL DRAMA)

Ipoh, Selasa: 9/4/13 = 28 Jamadil Awal 1434

Saban tahun, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) membuat pementasan drama bagi mengisi dana pembagunan sekolah. Sebagai sebuah sekolah yang berstatus bantuan modal, dana untuk membina bangunan baharu, ubah suai, dan elaun kakitangan tembahan perlu ditanggung sendiri. Pada akhirnya, segala kemudahan yang disediakan akan dipulangkan dalam bentuk penyampaian pengalaman pembelajaran yang terbaik kepada murid.
Drama SMI edisi 2013 berjudul The Lion King. Persembahan pentas berbeza dengan layar lebar dan layar kaca dari segi cara penyampaian dan ruang yang digunakan. Peminat drama berpeluang mengikuti satu persembahan secara langsung dan bersemuka.
Raptai penuh berlangsung pada Jumaat, 5/4 yang lalu dengan kehadiran keseluruhan tenaga penerbitan drama. Malam ini pula dikhususkan kepada jemputan khas rumah kebajikan, di samping ibu bapa pelakon dan pemuzik juga hadir memberikan sokongan. Persembahan berbayar akan bermula pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad ini.
Persembahan drama berkonsep muzikal dan berwarna-warni itu nyata menarik perhatian jemputan khas, terutama anak-anak yatim. Kesinambungan babak demi babak secara berkesan telah berjaya membawa penonton melayan imaginasi masing-masing. Kostum pelakon yang berwarna-warni juga memberi dampak visual yang optimum bagi mengungkapkan mesej drama dengan lebih baik.
Tetamu undangan khas yang berjumlah 50 orang itu juga membawa pulang oleh-oleh berupa baju-T drama yang bernilai RM25 setiap helai. Pengerusi PIBG, En. Joseph Michael Lee telah bermurah hati menaja pemberian baju-T berkenaan. Mereka juga menikmati hidangan makan malam yang enak...
...

Friday, April 5, 2013

HOKI KINTA UTARA: SMI KEKAL PENCAPAIAN (NO MORE EASY PESSAGE)

Ipoh, Jumaat: 5/4/13 = 24 Jamadil Awal 1434

Tolakan sudut penalti yang tersasar pada minit terakhir terakhir perlawanan menyaksikan skuad hoki SMK St. Michael, Ipoh (SMI) mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan hoki Majlis Sukan Sekolah daerah Kinta Utara edisi tahun 2013. SMI harus akhir dengan SMK Tambun selaku pengelola kejohanan yang berbekalkan gol tunggal pada babak pertama permainan. Sudah tiga tahun berturut-turut SMI sekadar melangkah ke pusingan suku akhir.
Jika penampilan dua tahun terakhir bertemu Star berkesudahan 0-1 (2011) dan 0-3 (2012), kali ini di tangan pasukan yang kurang dikenali. Maka, Tambun akan bertemu Star di peringkat separuh akhir, manakala Anderson dijangka menempah pertemuan dengan ACS

SMK Gunung Rapat sebagai sekolah projek akademi sukan negeri dikategorikan sebagai daerah yang tersendiri. Barangkali Anderson yang saban tahun menjuarai kejohanan sekolah peringkat kebangsaan juga patut masuk dalam kategori yang sama. Jika tidak setiap tahun skripnya akan sama: Anderson membelasah semua lawan dengan lebih sedozen gol, kecuali Star yang kena setengah dozen sahaja.
Bekas pemain hoki SMI yang pernah membawa pasukan menduduki tempat ketiga kejohanan sekolah premier zon Perak turut hadir memberi sokongan. Mereka memuji semangat melawan dan kemahiran taktikal pasukan yang dibarisi pemain campuran tingkatan satu hingga lima itu. Tinggal sentuhan penyudah yang perlu diberi perhatian.

Cabaran seterusnya ialah kejohanan Piala Milo dan kejohanan sekolah premier. Peluang berkenaan harus digunakan bagi melakar kejayaan yang lebih baik. SMI mungkin perlu mengadakan perlawanan ujian dengan lebih kerap selepas ini...

Thursday, April 4, 2013

HOKI MSSD KINTA UTARA SUKU AKHIR: SMI BERTEMU SMK TAMBUN (THE WAY TO SEMI FINAL)

Ipoh, Khamis: 4/4/13 = 23 Jamadil Awal 1434

Skuad hoki SMK St. Michael, Ipoh (SMI) berjaya mengelak pertemuan awal dengan Anderson dan Star, dua pasukan pilhan utama kejohanan. Walaupun harus akur dengan kedudukan selaku naib juara kumpulan C, undian yang dicabut sebentar tadi menemukan SMI dengan pasukan tuan rumah (pengelola) pertandingan, iaitu SMK Tambun, johan kumpulan D. Tambun berjaya menyingkirkan pasukan pilihan, SMK Sungai Pari, sambil diringi oleh SMK Tanjong Rambutan.

Kedudukan akhir kumpulan C selepas tamat saingan kumpulan:

Pasukan
Menang
Seri
Kalah
Jaringan
Kena
Mata
ACS
3
0
0
15
0
9
SMI
1
1
1
6
4
4
Bercham
1
1
1
2
9
4
Buntong
0
0
3
0
10
0

Saingan suku akhir akan bermula pada pukul 8.00 pagi esok. Pasukan lain yang mara ke suku akhir ialah Anderson, Star, Kolej Vokasional Lebuh Cator, dan Seri Putera. Pertandingan separuh akhir dan akhir bakal berlangsung pada hari Sabtu.
penalti strok minit terakhir swebagai gol ketiga ACS

Pada mula SMI nampak setara dan berjaya mengekang pergerakan pemain ACS. Lawan hanya beroleh satu gol padang dalam babak pertama. Namun, tempoh lima minit terakhir berjaya dimanfaatkan oleh ACS yang beroleh dua gol lagi menerusi pukulan sudut penalti dan penalti strok. Walaupun tewas, SMI mara ke suku akhir menerusi perbezaan gol yang besar dengan SMK Bercham.

Wednesday, April 3, 2013

HOKI KINTA UTARA: SMI DI HADAPAN (CRUCIAL MATCH AGEINST ACS TOMORROW)

Ipoh, Rabu: 3/4/13 = 22 Jamadil Awal 1434

Skuad hoki SMK St. Michael, Ipoh (SMI) mencatat kemenangan bergaya 5-0 ke atas SMK Buntong dalam perlawanan yang berakhir pada pukul tujuh malam akibat hujan lebat yang mengakibatkan jadual pertandingan mengalami perubahan. Seawal minit kedua, SMI berjaya menyumbat gol padang pertama. Dua minit sebelum babak pertama berakhir, SMI mengukuhkan kedudukan dengan jaringan cantik sudut penalti.
melompat elak pukulan kencang pemain SMI

Apabila babak kedua bersambung, SMI meneruskan penguasaan 90 peratus permainan dengan serangan bertalu-talu ke kubu Buntong. Namun, penyudah yang tidak kesampaian, termasuk enam pukulan sudut penalti menyebabkan seolah-olah SMI terpaksa berpuas hati dengan kelebihan dua gol. Skrip perlawanan hanya berubah dalam tempoh lima minit terakhir apabila SMI berjaya menyumbat tiga lagi gol padang.
aksi bertemu Bercham

Kemenangan ke atas Buntong membolehkan SMI mengumpul empat mata setelah terikat dengan SMK Bercham 1-1 dalam perlawanan sebelah pagi. Jika perlawanan sebelah petang berlangsung dalam keadaan hujan dan keadaan padang yang lembap, perlawanan sebelah pagi pula berlangsung dalam bahang panas yang agak ekstrem. SMI mendahului 1-0 pada babak pertama, tetapi rentak permainan agak terganggu pada babak kedua hingga membenarkan Bercham menyamakan kedudukan.

Sementara itu, ACS mengutip tiga mata hasil kemenangan 4-0 ke atas Buntong, tetapi perlawanan dengan Bercham ditunda kerana hujan lebat. SMI tidak boleh bergantung kepada ihsan pasukan lain untuk mara ke suku akhir, sebaliknya wajib menewaskan ACS esok. Sebab lain ialah untuk mengelak daripada bertemu Anderson terlalu awal.

Jurulatih Anderson, Cikgu Jamaluddin kelihatan berada di bangku penonton menyaksikan perlawanan SMI - Buntong sebagai persediaan taktikal bagi mengelakkan sebarang kejutan oleh pasukan lain di peringkat daerah. Penentuan lawan suku akhir dibuat secara undian bagi mengelak kemungkinan mengatur perlawanan. Pada sebelah pagi tadi, Anderson membelasah SMK Dato' Ahmad Said 13-0.
dengar cakap sifu

Jurulatih jemputan skuad SMI, Anil Dave Singh, 24, siswazah kejuruteraan jentera, UTP, yang juga bekas Michaelian berpuas hati dengan persembahan pasukan. Beliau mahu setiap pemain mampu membuat tampanan bola dengan kemas, di samping membuka mulut bagi meminta bola. Skuad SMI kali ini turut dibarisi tujuh murid sesi petang sebagai pelapis berbakat untuk membawa cabaran SMI seterusnya...

Tuesday, April 2, 2013

JADUAL HOKI SMI DI KEJOHANAN MSSD KINTA UTARA 2013 (RE-INVENTING GLORY)

Pusingan Awal:
(semua perlawanan bertempat di Stadium Sultan Azlan Shah, atau padang turf bersebelahan stadium)

3/4/13 (Rabu):  SMI lawan SMK Bercham. 9.30 pagi

                      :  SMI lawan SMK Buntong   5.30 petang

4/4/13 (Khamis):   SMI lawan ACS   2.30 petang

SMI sudah biasa bertemu dengan semua pasukan dalam kumpulan C di atas. Di atas kertas, SMI dijangka mampu menjinakkan Bercham dan Buntong, tetapi cabaran sengit dijangka datang daripada ACS, pasukan pilihan ketiga kejohanan kali ini. Namun, segala-galanya bergantung kepada permainan sebenar di padang turf, di samping stamina pemain hingga ke penghujung saingan.

Skuad hoki SMI telah menjalani latihan intensif semasa cuti pertengahan penggal minggu lalu. SMI turut mengadakan perlawanan ujian dengan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Star), naib juara tahun lalu. Walaupun skuad SMI menghadiahkan kemenangan yang selesa buat Star, namun barang diingat, SMI juga pernah menewaskan pasukan yang sama dalam kejohanan sebelum ini dan juga kejohanan sukan sekolah premier.

Penyokong SMI diseru turun ke lokasi permainan bagi memberi sokongan padu. Bagi perlawanan sebelah pagi, Michaelian sesi petang dan bekas Michaelian boleh datang, manakala perlawanan sebelah petang ditonton oleh murid sesi pagi. Selaras dengan dasar melindungi masa instruksi murid (MMI), hanya murid yang tidak terlibat dengan PdP sahaja layak berada di kawasan permainan.

Bagi melayakkan pasukan ke suku akhir, SMI mesti merebut sekurang-kurangnya kedudukan sebagai naib johan kumpulan. Perlawanan suku akhir berlangsung pada 5/4 (Khamis), manakala perlawanan akhir  dan klasifikasi 3-4 diadakan pada 6/4 (Sabtu). Untuk rekod, SMI pernah menjuarai kejohanan MSSD Kinta sedekad yang lalu...