TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Tuesday, December 23, 2014

NASKHAH TAKWIM PENGURUSAN SMI 2015 SIAP DIJILID (SCHOOL PLANNING AHEAD)

Ipoh, Isnin: 22.12.14 // 29 Safar 1436

Sebelas orang guru yang menganggotai Jawatankuasa Takwim Pengurusan dan Jawatankuasa Sekolah telah meluangkan masa cuti mereka untuk melaksanakan tugas menjilid naskhah dokumen berkenaan. Setelah bertungkus-lumus menyediakan bahan yang bermula sebulan sebelum cuti lagi, di samping kemas kini maklumat guru, proses menjilid dokumen sehingga selesai menjadi jaminan tentang kelancaran perjalanan mesyuarat guru yang pertama sebelum sekolah dibuka. Perancangan kegiatan sekolah sepanjang tahun 2015, serta perincian agihan tugas dalam kalangan guru bakal memacu kecemerlangan pembelajaran di SMK St. Michael, Ipoh (SMI).

Bertempat di bilik mesyuarat OMA, kerja penjilidan dilakukan dengan teliti selama kira-kira tiga jam bermula pada pukul sembilan pagi. Curahan hujan di luar dan suhu yang dingin seolah-olah tidak dirasakan ketika itu. Tumpuan diberikan sepenuhnya terhadap mutu naskhah takwim yang sedang dijilid.

Di dewan sekolah pula, kelihatan sekumpulan guru dan kaunselor pelajar menguruskan penyampaian slip keputusan PT3 dan program taklimat kemasukan tingkatan 4. Penolong Kanan SMI sempat memaklumkan tentang pencapaian calon secara umum. Suasana hari persekolahan biasa sedikit sebanyak sudah kembali menjelma ...

Sunday, November 23, 2014

GURU DATA SMI PINDAH KE ABC (CLOSER TO HOME SWEET HOME)

Ipoh, Jumaat: 21.11.14 // 28 Muharam 1436

Sepuluh tahun yang lalu, pemuda yang masih belum berpunya ini melapor diri ke SMK St. Michael, Ipoh (SMI) dan ditempatkan mengajar Matematik pada sidang petang. Walhal, sebelumnya beliau ialah 'pakar' Matematik Tambahan di SM Teknik Tuanku Jaafar, Seremban, serta terbabit dengan pentaksiran peringkat kebangsaan. Namun, berpegang kepada prinsip profil sederhana dan tiada sesiapa pun penjawat awam yang boleh menganggap dirinya terlalu penting, Tuan Haji Mohd. Zulkefli bin Ahmad, 43, menerima perubahan yang berlaku di tempat baharu.
cenderamata Jappim disampaikan oleh PK Koku

Apabila guru data pertama SMI, Encik Prakas Rao berjaya dalam permohonan cuti belajar bergaji penuh (tanpa biasiswa) di UPM untuk sarjana pendidikan teknikal, Haji Zul telah dilantik untuk jawatan berkenaan. Tugas guru data bukan mudah untuk ditanggung justeru perlu menyimpan banyak maklumat persendirian dan sulit, selain perlu menghadap skrin komputer untuk tempoh yang panjang saban hari. Guru data juga harus bersabar dan bijak menjaga tutur kata bagi memenangi kerjasama semua pihak di sekolah demi kelangsungan tugas dan memenuhi kehendak pihak atasan.
semua fokus di meja hidangan
terima kasih daun keladi Tuan Haji Abdul Qaiyum 
tahun hadapan adakah lagi nasi Bukhari?

Setahun yang lalu, Haji Zul telah masuk rumah baharu di Kledang, Chemor, sebuah kawasan petempatan yang pesat membangun, tetapi terpaksa 'melayan' begitu banyak lampu isyarat sebelum tiba di SMI. Tambahan pula, banyak kenderaan yang bergerak macam kura-kura barangkali tiada urusan segera. Maka, daripada tertekan dengan sikap pemandu santai seperti itu, sertai mereka dengan syarat jarak perjalanan lebih dekat.

 
bergambar kenangan dengan Encik Ahmad Kemunchak,
Penolong Kanan SMI yang banyak membantu dalam urusan data

Mulai tahun 2015, kelibat Haji Zul tiada lagi di SMI, sebaliknya di SMK Aminuddin Baki, Chemor (ABC). Haji Zul hanya perlu memandu selama lebih kurang lima minit dari rumah ke tempat kerja. Kedudukan ABC juga terletak dalam kawasan perumahan, lantas tidak perlu bersesak di jalan raya utama.
semoga terus cemerlang berbakti kepada umat

Terima kasih Haji Zul turut kerana turut menyumbang terhadap penarafan sekolah yang berada pada band 3, dan kini menuju band 2 atau kluster kecemerlangan. Minat Haji Zul ialah bermain badminton dan memancing bersama kelab Kilas Tangkis yang diketuai Cikgu Ibrahim, serta melancong ke destinasi menarik di dalam dan luar negara. Antara pengalaman yang sukar beliau lupakan ialah ketika kapal pelancong (cruise) yang dinaiki terumbang-ambing dipukul arus deras di Selat Bosphorus yang memisahkan bahagian benua Asia dengan Eropah negara Turki ...

Sunday, November 9, 2014

CIKGU SHAHID AKHIRI PRAKTIKUM DI SMI (GOOD BYE, GOOD GUY)

Ipoh, Jumaat: 8/11/14 = 15 Muharam 1436

Setelah hampir empat bulan, Encik Muhamad Shahid bin Suhaimi, 27, akhirnya selamat menjalani latihan mengajar di SMK St. Michael, Ipoh (SMI). Beliau melapor diri pada 14 Julai dan tamat latihan pada pagi ini. Dua bulan berikutnya, Encik Shahid akan menjalani pula latihan industri di Pusat Giat Mara, Ipoh.
sudut istimewa guru pelatih

Encik Muhamad Shahid ialah pelajar fakulti pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim (Upsi). Pengkhususan pengajian beliau ialah Teknologi Maklumat. Guru pembimbing (mentor) di SMI ialah Cikgu Naizatul Aslamiah, selain pertolongan Cikgu Leela Devi dan guru ICT yang lain.
dari kiri: Cikgu Ibrahim, Haji Zulkifli, Cikgu Samsudin,
Cikgu Abdul Kadir, Cikgu Shahid, Cikgu Hasrul

Cikgu Shahid cepat menyesuaikan diri, serta tidak kekok untuk berinteraksi dengan warga SMI, sama ada guru, pentadbir, kakitangan dan murid. Tambahan pula, salah seorang guru di SMI, Cikgu Zulkefli Sulaiman, pernah bertugas di SMK Seri Ampang, Ipoh ketika beliau masih bergelar budak sekolah di sana. Terima kasih Cikgu Muhamad Shahid bin Suhaimi atas segala bakti dan sumbangan, khususnya terhadap proses pembelajaran murid di SMI ...

Monday, November 3, 2014

CALON SPM ST. MICHAEL BERSEMANGAT HADAPI SPM 2014 (THE MOST TRUSTED 'BRAND' PUBLIC EXAMINATION GET STARTED)

Ipoh, Isnin: 3/11/14 = 10 Muharam 1436

Sejumlah lebih 300 orang pelajar tingkatan lima SMK St. Michael, Ipoh (SMI) menyertai hampir setengah juta orang calon Sijil Pelajaran Malaysia(SPM)yang bermula hari ini. Kertas pertama yang dihadapi ialah Bahasa Melayu 1 dan diikutidengan Bahasa Melayu 2. Cuaca pagi ini cerah membolehkan urusan pergerakan calon ke pusat peperiksaan begitu lancar.
memanjatkan doa ke Hadrat Ilahi

Calon peperiksaan berhimpun di gelanggang badminton sebagai rutin catatan kehadiran dan taklimat ringkas disiplin dan kata-kata semangat. Calon beramai-ramai menadah tangan berdoa semoga diberikan kekuatan jiwa dan kelapangan minda semasa di dewan peperiksaan. Banyak juga yang masih sempat menjeling nota panduan ringkas penulisan karangan.
Puan Nuratikah, Encik Palaiswaran, Puan Roslinda, Cik Foong Yin Pui
dan Puan Adhariah selaku guru bertugas harian peperiksaan

Orang kuat peperiksaan SPM di SMI ialah Cikgu Foong Yin Pui, guru bahasa Inggeris lulusan sarjana pendidikan Universiti Malaya dan sarjana muda sastera kepujian dari Universiti London. Beliau dibantu oleh guru bertugas harian yang bertugas mengikut giliran yang dipersetujui. Turut kelihatan ialah Puan Roslinda Hamid, ketua panitia Bahasa Melayu dan Puan Adhariah Tamrin, kaunselor pelajar.
pengawas peperiksaan memerhatikan calon masuk ke dewan peperiksaan

Pada tahun ini, tatacara operasi piawai atau S.O.P. peperiksaan diperketat semula ekoran isu kebocoran kertas UPSR yang masih hangat diperkatakan. Semua pengawas SPM daerah Kinta Uara telah menghadiri taklimat secara berpusat oleh JPN dan PPD sebelum bermesyuarat dengan ketua pengawas di pusat peperiksaan. Tiada giliran hari bertugas dibenarkan walaupun bilangan calon mungkin beberapa orang sahaja.
calon aliran sains kena memanjat tangga

Calon aliran vokasional dan teknik (VT) ditempatkan di dewan sekolah, manakala calon jurusan sains menduduki SPM di blok prauniversiti 6 Atas di aras empat. Semua calon hadir pada hari pertama SPM hari ini. Kertas Bahasa Melayu dan Sejarah berstatus wajib lulus untuk tujuan persijilan.
gelagat calon di dewan peperiksaan

Segala persediaan telah dilakukan oleh calon dan juga sekolah. Peperiksaan SPM memiliki tahap kepercayaan tertinggi pihak majikan sehingga menjadi penentu tangga gaji permulaan walaupun mungkin penjawat yang dilantik itu memiliki kelayakan akademik peringkat universiti. Selamat maju jaya kepada semua calon SPM 2014 di SMI ...

Friday, October 31, 2014

BENGKEL PERANCANGAN JAWAPAN EKONOMI PENGGAL 1 (ABOUT THE ESSENCE AND LIMITATION)

Ipoh, Khamis: 30.10.14 = 6 Muharam 1436
 
Pelajar prauniversiti tingkatan 6 aliran kemanusiaan bakal menduduki kertas Mikroekonomi STPM 2015 Penggal 1 pada hari Khamis, 19 November hadapan bersekali dengan calon mengulang (U1) 2014. Walaupun telah memiliki pengalaman menjalani peperiksaan awam ketika UPSR, PMR dan SPM, peperiksaan STPM sudah tentu berbeza sejajar dengan tahap persediaan pengajian tinggi. Sejumlah lebih 90 orang calon STPM 2015 SMK St. Michael, Ipoh (SMI) menghadiri bengkel khas perancangan jawapan kertas berkenaan yang bertempat di Bilik Kuliah 2 mulai pukul 8.45 pagi dan berakhir satu jam kemudian.
sebahagian peserta bengkel
(gambar ihsan Cikgu Hajjah Rasidah)

Pemudah cara bengkel menggunakan 51 paparan slaid power point bagi menjelaskan saranan tentang perancangan jawapan kertas Mikroekonomi. Selain itu, perbincangan dua hala juga dilakukan berdasarkan edaran jawapan spesimen yang disediakan. Penegasan diberikan terhadap kesilapan sifar yang bermula dengan mengenal pasti tugasan soalan dan cara mempersembahkan isi, huraian, contoh berangka dan gambar rajah jika diminta.

Bengkel singkat ini merupakan sebahagian siri program kecemerlangan akademik anjuran Unit Kurikulum Prauniversiti SMI yang merangkumi semua mata pelajaran yang ditawarkan, sama ada jurusan sains, mahu pun kemanusiaan. Selepas peperiksaan percubaan STPM pada awal Oktober, pelajar juga menjalani penilaian gerak gempur pada hari Isnin dan Selasa yang lalu. Usaha yang bijak dan gigih semua pelajar diharap menyumbang terhadap kecemerlangan pencapaian STPM sebenar kelak ...

Tuesday, October 28, 2014

JAMUAN KELAB STAF 2014 DI HOTEL RIVERFRONT (LUCKY DRAW AND GIFT PRESENTATION)

Ipoh, Isnin, 27/10/14 = 3 Muharram 1436

Kelab Staf SMK St. Michael, Ipoh (SMI) kini diterajui oleh Cikgu Sivagami, guru bahasa Inggeris sesi petang. Beliau mengambil alih kepimpinan sesi lalu, Cikgu Khiew Wai Mun, guru kanan Bahasa. Peranan asas kelab staf, iaitu menjaga kebajikan anggota dan sebagai wakil suara staf masih utuh, di samping kegiatan sampingan yang lain.
 
orang kuat makmal

Acara tradisi tahunan, majlis jamuan hujung tahun juga terlaksana tanpa gagal. Kali ini kelab staf SMI memilih semula hotel jiran bersebelahan dengan sekolah dalam jarak 100 meter sahaja dari pagar sekolah. Kehadiran anggota kelab dianggarkan mencecah 95 peratus dengan tema true blue. Walaupun kebanyakan staf sudah biasa makan-makan di hotel, mereka tetap hadir memberi sokongan seawal pukul 7.30 malam dan berakhir tiga jam kemudian.
selain cenderamata persaraan, Encik John Bosco
turut menang cabutan bertuah dan sijil kehadiran penuh

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan pengerusi kelab staf dan pengetua. Kemudian, majlis dimulakan dengan penyampaian cendermata kenangan kepada sejumlah guru dan kakitangan yang sudah bersara atau berpindah tempat bertugas. Cikgu Sohot, Cikgu Loo Leong Hoo dan Encik John Bosco ialah antara kelibat yang kelihatan di meja hidangan utama.
menikmati hidangan sementara menanti acara cabutan bertuah

Pengacara majlis ialah Puan Yusneza, ketua panitia Bahasa Inggeris dan Ustaz Suhaimi yang kemudiannya diisytiharkan sebagai king and queen. Hadirin sanggup menunggu acara cabutan bertuah bukan kerana mereka berharap nilai hadiah yang disediakan, tetapi sebagai kenangan dan suka-suka. Kira-kira 60 peratus hadirin tersenyum lebar apabila dipanggil ke pentas, manakala baki 40 peratus lagi harus berpuas hati dengan door gift berupa mug istimewa.
orang kuat pejabat, termasuk yang sudah bertukar

Selain cabutan bertuah dan hadiah, sesi penyampaian sijil kehadiran penuh kepada 22 orang guru dan kakitangan turut mendapat perhatian majlis. Kehadiran penuh bermaksud tidak pernah mengambil cuti rehat khas dan cuti sakit sepanjang tahun. Kehadiran kursus dan tugasan luar masih dikira sebagai hadir.
gambar arkib mesyuarat agung staf:
pengerusi sekarang (kiri) dan sebelumnya

Secara amnya, hadirin sangat berpuas hati dengan majlis jamuan yang berlangsung. Mungkin pada tahun hadapan beberapa acara baharu boleh diselitkan seperti tayangan multimedia yang mengimbas semula pencapaian guru dan kakitangan. Selain itu, undian guru atau kakitangan yang paling disenangi mungkin boleh mengukuhkan komunikasi berkesan yang sudah berakar umbi di SMI ...

Monday, October 13, 2014

PEPERIKSAAN PT3 DITERUSKAN ('SCHOOL-BASED EXAM' CONTINUED)

Ipoh, Isnin: 13/10/14 = 18 Zulhijjah 1435

Proses penambahbaikan pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) yang dijenamakan sebagai Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) berjalan lancar. Murid tingkatan 3 kembali bertungkus-lumus membuat ulang kaji pada saat akhir. Pagi ini fasa seterusnya membabitkan kertas Bahasa Melayu ditadbirkan secara serentak di seluruh negara.
Lebih 300 orang calon PT3 di SMK St. Michael, Ipoh (SMI) berdaftar sebagai calon PT3. Jika sebelum ini mata pelajaran Geografi dan Sejarah ditaksir secara kerja kursus, fasa kali ini berbentuk peperiksaan bertulis. Selain Bahasa Melayu, calon akan menghadapi kertas Matematik.
Pada hari Selasa, calon PT3 bakal menduduki peperiksaan bagi kertas Bahasa Inggeris dan Sains, manakala pada hari Rabu untuk kertas Kemahiran Hidup dan Pendidikan Islam. Semua instrumen soalan disediakan oleh pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). Namun, pemasangan item dilakukan di sekolah dengan set pilihan yang berbeza, serta dikawal dengan tatacara operasi piawai (S.O.P) yang ketat ...

Thursday, September 25, 2014

HARI ANUGERAH KOKURIKULUM PALING MERIAH (TAPPING TALENTED MICHAELIANS)

Ipoh, Khamis: 25/9/2014 = 30 Zulkaedah 1435

...
ketibaan tetamu kehormat

...
John Paul Raja menyelamatkan keadaan

...
pemenang NIE kebangsaan masih hangat dengan kejayaan semalam

...
demonstrasi seni silat

...
tentu ada yang lucu


 inikah jawapannya?

...

Saturday, August 30, 2014

MAJLIS PENGHARGAAN REDAKSI MAJALAH SEKOLAH (THE MICHAELIAN TEAM RE-UNION)

Ipoh, Rabu: 27/8/14 = 1 Zulkaedah 1435

Majalah sekolah dalam bentuk bercetak masih memiliki keistimewaan yang tidak boleh diganti walaupun teknologi digital maya memungkinkan segala maklumat dan rekod dapat dipersembahkan melalui pelbagai format media yang lebih canggih. Sebagai dokumen yang bersifat rasmi, segala butiran yang dimuatkan dalam majalah sekolah sering menjadi rujukan yang sah tentang kegiatan dan pencapaian sesebuah sekolah. Pengesanan murid dan guru lebih tepat justeru versi bercetak tidak terdedah kepada manipulasi digital.
mengapakah agaknya mereka menoleh sambil menayang gigi?

Majalah The Michaelian menjadi kebanggaan warga SMK St. Michael, Ipoh (SMI). Kejayaan penerbitan majalah sekolah saban tahun hanya menjadi kenyataan menerusi kerjasama, kesungguhan dan kreativiti dalam kalangan pelajar yang menganggotai sidang redaksi dengan pertolongan profesional guru penasihat. Peranan mereka sangat jelas dan kritikal.
Sebagai tanda penghargaan atas sumbangan yang begitu bermakna, satu majlis jamuan khas untuk sidang redaksi The Michaelian edisi 2013 telah diadakan di dewan sekolah tengah hari tadi. Turut hadir ialah pengetua dan panel guru penasihat. Masing-masing menzahirkan wajah ceria ketika menikmati hidangan yang disediakan.
Di samping jamuan makan tengah hari, kek ucapan terima kasih juga dikongsi oleh hadirin. Lafaz terima kasih dalam ucapan ketua editor, Christina See-Kei Wong dan pengetua, Puan Loh Wei Seng dijelmakan pula dalam bentuk manisan kesukaan hadirin. Sepinggan nasi dan sepotong kek menjadi kenangan indah zaman persekolahan.
Penghargaan dipanjangkan pula dengan penganugerahan sijil dan markah bonus perkhidmatan kokurikulum. Christina mewakili rakan-rakan menerima sijil daripada pengetua. Penat lelah menerbitkan majalah sekolah dan buletin khas hari terbuka terasa berbaloi.
 sidang redaksi The Michaelian edisi 2014

Walaupun anggota sidang redaksi The Michaelian dibarisi oleh anggota Kelab Penulisan dan Penerbitan prauniversiti tingkatan enam, murid aliran perdana sekolah sentiasa dialu-alukan. Kelab Fotografi dan pelbagai pihak di SMI telah memungkinkan proses penerbitan majalah berjalan lancar. Terima kasih daun keladi ...

Thursday, July 24, 2014

LAMBAIAN PERSARAAN PUAN CHIEW MEE GEOK (FAREWELL CEREMONY TO A SOFT-SPOKEN TEACHER)

Ipoh, Jumaat: 18/7/14 = 20 Ramadan 1435

Usia persaraan wajib maksimum bagi seseorang guru ialah 60 tahun yang telah ditandatangani di bawah skim saraan Malaysia (SSM). Namun, guru boleh memilih tarikh hari lahir ke-56 atau 58 untuk permulaan orang pencen. Sebagai kakitangan awam, guru yang telah melengkapkan tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya 30 tahun bakal menikmati bayaran pencen bulan sebanyak 60 peratus daripada gaji pokok terakhir.
Puan Chiew Mee Geok, guru media di SMK St. Michael, Ipoh (SMI) telah memilih angka 56 kerana telah cukup tempoh yang berkenaan. Beliau berhasrat untuk membantu suami bagi menguruskan firma guaman di Ipoh. Dua orang anak bujang Puan Chiew, bekas Michaelian, kini sedang menyambung pengajian di peringkat universiti.
Puan Chiew, anak sulung daripada enam orang adik-beradik dilahirkan di Setiawan memperoleh ijazah sarjana muda bahasa Inggeris dengan kepujian, serta diploma pendidikan dari Universiti Malaya. Sebelum berkhidmat di SMI mulai tahun 2009, Puan Chiew menabur bakti keguruan selama 20 tahun, di SM Teknik Ipoh, Persiaran Brash (bersama penulis blog, Puan Aishah Ismail, serta Puan Izah: berstatus pelajar). Selain peranan guru pusat sumber, Puan Chiew juga penasihat persaudraan Kristian dan orkestra Cina SMI (MCO).
Seperti biasa, majlis persaraan kali ini juga disulami ucapan, penyampaian sijil dan hadiah kenangan, serta persembahan pelajar. Antara persembahan yang menjadi tumpuan ialah tarian naga yang jarang-jarang ditonton di SMI. Puan Chiew boleh dihubungi menerusi e-mel: cmeegeok@gmail.com.

Monday, July 21, 2014

PELAJAR DIGESA JAGA AIR MUKA KELUARGA (BEHAVIOUR MODIFICATION IN SCHOOL)

Ipoh, Isnin: 21/7/14 =23 Ramadan 1435

Peningkatan nilai modal insan meliputi ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap memang menjadi tujuan utama pendidikan kebangsaan ke arah pencapaian sebuah negara maju berpendapatan tinggi dengan acuan sendiri lebih kurang lima tahun lagi. Pelajar sekolah dalam usia kanak-kanak dan remaja sebagai generasi pelapis yang sedang disediakan untuk itu diharapkan mengembangkan potensi dan fakulti masing-masing ke arah kecemerlangan dalam segenap domain pendidikan (kognitif, afektif, psikomotor) yang dijenamakan semula sebagai komponen asas modal insan. Proses pemupukan jati diri dan sahsiah mulia menjadi teras utama penerapan nilai murni merentas kurikulum.
Penegasan tentang kepentingan natijah pendidikan dan hasil pembelajaran disampaikan oleh Penolong Kanan SMK St. Michael, Ipoh (SMI), Encik Ahmad Kemunchak bin Abdul Karim semasa majlis perhimpunan mingguan padi tadi. Berucap di hadapan lebih 1,000 orang hadirin, beliau mahu Michaelian menjaga air muka keluarga masing-masing dengan mempamerkan tingkah laku yang terpuji. Sebagai generasi muda, Michaelian hendaklah menunjukkan rasa hormat terhadap ibu bapa dan guru supaya perkongsian dan pemindahan pengalaman antara generasi berjalan lancar.

Sebelum itu, Penolong Kanan Kokurikulum, Puan Hajjah Normah binti Karimin telah menyempurnakan penyampaian pingat kejohanan sukan SMI ke-87 kepada pemenang dalam kalangan pelajar prauniversiti tingkatan enam. Atlet yang menyerlah bakal membawa cabaran SMI ke kejohanan sukan prauniversiti Kinta Utara selepas hari raya Aidil Fitri nanti. Dalam kesibukan mengejar waktu untuk persiapan STPM dan kerja kursus, pencapaian dalam bidang kokurikulum, kepimpinan dan perkhidmatan tidak boleh dipandang sepi ...

Saturday, July 5, 2014

HARI TERBUKA SMI TUMPU SARANA IBU BAPA (HOME EXTENTION LEARNING SUPPORT)

Ipoh, Jumaat: 4/7/14 = 6 Ramadan 1435

Kekerapan ibu bapa berkunjung ke sekolah agak terhad, melainkan apabila terdapat acara dan majlis yang membabitkan mereka secara khusus. Tatacara masuk ke kawasan sekolah memang dihadkan atas sebab keselamatan dan kelancaran proses pembelajaran murid. Namun, di samping kelonggaran tertentu, ibu bapa akan dijemput hadir, misalnya bagi memeriahkan sambutan kejohanan sukan, mesyuarat agung PIBG, hari anugerah kurikulum dan kokurikulum dan hari jualan bagi mengumpul dana.
Lavinya (UA1), pengerusi majlis ketua tingkatan SMI
(lady head monitor) bersama ibu bapa

Hari terbuka atau hari bertemu waris merupakan majlis jemputan kepada semua ibu bapa secara serentak untuk bertemu dengan guru kelas dan guru mata pelajaran bagi membincangkan kemajuan dan pencapaian akademik anak masing-masing. Lazimnya, pertemuan berkenaan akan mengambil masa antara  lima hingga sepuluh minit bagi setiap ibu bapa. Memandangkan salah satu komponen penting sarana ibu bapa ialah sokongan pembelajaran di rumah, mereka dibabitkan dalam proses menetapkan sasaran pencapaian akademik anak seterusnya.
bapa prihatin

SMK St. Michael, Ipoh (SMI) yang baharu selesai majlis hari anugerah kecemerlangan kurikulum dan kejohanan sukan tanpa berlengah terus menjemput ibu bapa hadir sekali lagi ke sekolah mulai pukul sepuluh pagi tadi. Mereka sabar menunggu giliran untuk bertemu guru kelas dan berkesempatan bertukar-tukar fikiran demi manfaat anak yang menjadi harapan dan sandaran seisi keluarga. Pelajar kelihatan begitu skema apabila diri mereka menjadi mauduk perbincangan secara berterus terang.
anak mak

Hari terbuka tidak ubah seumpama sesi kaunseling klinikal, tetapi dilaksanakan dalam satu ruang yang ramai. Guru yang sedia terlatih dalam disiplin psikologi pendidikan memang mahir mengendalikan sesi motivasi kekeluargaan seperti itu. Jika ada bibit konfrontasi atau lencongan, guru dengan cermat menjuruskan kembali tujuan perbincangan ke landasan yang asal.
Charrogesinee bersama kakaknya, seorang mahasiswi perakaunan

Tidak semua ibu bapa yang dapat hadir pada hari terbuka yang ditetapkan. Sebahagian mereka telah menghubungi pihak sekolah untuk janji temu pada hari yang lain. Sebahagian lagi menghantar wakil yang sah, terutama saudara tua (abang atau kakak) anak masing-masing.
Sebagai oleh-oleh, ibu bapa yang hadir diberikan surat berita terbitan khas Kelab Penulisan dan Penerbitan SMI. Maklumat ringkas dan gambar yang dimuatkan dalam buletin berkenaan begitu menarik walaupun hanya disiapkan oleh anggota baharu kelab dalam kalangan pelajar prauniversiti penggal satu (tingkatan enam rendah) dalam tempoh yang singkat. Syabas kepada sidang editor buletin, bimbingan Puan Shafinazaida binti Abdul Wahab dan mantan editor The Michaelian, Christina Wong See-Kei ...

Monday, June 30, 2014

PERTANDINGAN KAWAD ANTARA KELAS MERIAHKAN SUKAN SMI (SCHOOL TRADITION AND NICHE AREA)

Ipoh, Sabtu; 28/6/14 = 30 Syaaban 1435
Kejohanan sukan tahunan edisi ke-87 SMK St. Michael Ipoh (SMI)  berlangsung dengan jayanya. Pengarah Pelajaran Perak diwakili oleh Ketua Penolong Pengarah (HEM), Encik Yamin Zakaria selaku perasmi pembukaan kejohanan. Turut hadir ialah Timbalan PPD Kinta Utara, Haji Fuad.

...bersambung, gambar menarik

...

...

...

...