TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Monday, March 31, 2014

PELAJAR PRAUNIVERSITI TINGKATAN 6 TERIMA BAUCAR BUKU 1M (NO STUDENT LEFT BEHIND IN MALAYSIAN EDUCATION)

Ipoh, Isnin: 31/3/14 = 27 Jamadil Awwal 1435

Di sebalik kesibukan mengejar masa bagi menyiapkan kertas projek PBS Pengajian Am, Sejarah dan beberapa mata pelajaran lain, pelajar tingkatan 6 Atas yang baru usai cuti pertengahan penggal satu yang singkat kembali mengukir senyum ceria. Mereka beroleh khabar gembira apabila buat kali kedua menerima baucar buku 1Malaysia yang bernilai RM250 setiap orang. Mereka boleh berbelanja membeli buku rujukan dan naskhah spesimen peperiksaan untuk persediaan STPM penggal dua yang dijadualkan pada minggu terakhir Mei ini.
Nurkhalisah, Lavinya, Ananthan dan Chang Carrie
dari UA1, SMK St. Michael, Ipoh

Baucar yang diterima boleh ditebus di mana-mana kedai buku yang mengambil bahagian secara serta-merta hingga tarikh luput pada 31 Julai depan. Maksudnya, pelajar juga boleh merancang pembelian  buku teks penggal tiga, serta buku rujukan tambahan dan naskhah spesimen peperiksaan. Sebaik-baiknya pelajar merujuk guru mata pelajaran sebelum membuat keputusan pembelian.

Jumlah baucar buku 1Malaysia yang telah diterima oleh setiap pelajar ialah RM500 justeru mereka telah menerima pemberian yang sama tahun lalu. Pelajar juga telah dikecualikan daripada bayaran yuran STPM (bernilai hampir RM300) dan yuran persekolahan (anggran RM70). Maka, jumlah keseluruhan bantuan kewangan yang diterima oleh pelajar menghampiri angka RM1,000 setiap orang.

Peruntukan bantuan baucar buku 1 Malaysia telah diluluskan dalam belanjawan negara setelah melepasi usul di parlimen. Sumber kewangan yang digunakan dibiayai oleh pembayar cukai secara agregat. Diharap pelajar menghargai pemberian yang diberikan dan berusaha bersungguh-sungguh bagi memperoleh pengalaman pembelajaran yang terbaik ...

Friday, March 28, 2014

MAJLIS PERSARAAN CIKGU LOO LEONG HOO (LIKE THE SEASON HAVE ALL GONE)

Ipoh, Rabu: 12/2/14 = 12 Rabiul Akhir 1435

Tempoh 36 tahun berkecimpung dalam kerjaya keguruan sudah cukup bagi menceritakan betapa Encik Loo Leong Hoo memiliki pengalaman yang sangat luas dalam proses memupuk pembelajaran di sekolah. Walaupun pernah menyandang jawatan pentadbiran selaku penolong kanan kokurikulum dan penolong kanan petang, tetapi akhirnya beliau telah memilih untuk lantikan naik pangkat sebagai guru akademik tingkatan enam mulai 1.1.2008 sehingga bersara wajib pada usia 60 tahun dengan gred DG 54. Orangnya masih cergas dan segak sepertinya sukar dipercayai untuk bersara.
En. Joseph Michael Lee, pengerusi PIBG, pengetua,
Cikgu Loo Leong Hoo, Joshua Loo

Encik Loo diraikan dalam majlis perpisahan yang dihadiri oleh semua guru dan pelajar sesi pagi di tapak perhimpunan mingguan sekolah. Beliau diiringi anak lelakinya, Joshua Loo, mantan ketua pelajar SMK St. Michael, Ipoh (SMI) yang kini bergelar mahasiswa. Ungkapan the heart of education is the education of the hearts yang sering sahaja terpacul daripada Encik Loo dijadikan tema majlis persaraan beliau. 
aksi lensa i-pad penolong kanan

Dalam ucapan perpisahan yang memakan masa hampir setengah jam, Cikgu Loo Leong Hoo telah menitipkan pelbagai pengalaman kehidupan dan kenangan untuk pedoman hadirin. Walaupun terlatih dalam pengkhususan pendidikan matematik, Cikgu Loo gemar menyelitkan unsur falsafah dalam percakapan. Beliau juga pandai memilih anekdot yang kelakar untuk mencuit imaginasi khalayak.
persembahan pelajar matematik US4

Persaraan Cikgu Loo begitu dirasai oleh pelajar Matematik T tingkatan enam atas. Mungkin bagi kebanyakan pelajar, kuliah Matematik T sangat abstrak dan berserabut, tetapi Cikgu Loo berjaya menjadikannya lebih ringan dan santai. Beliau lebih cenderung memilih pendekatan yang bersahaja supaya pelajar matematik T lebih tertarik dengan keseronokan belajar matematik tulen dan menerima kesukaran pembelajaran disiplin kuantitatif aras tinggi ialah suatu kepuasan yang tidak terhingga.
'autograf' kenangan majlis tingkatan 6
daripada Mohamad Syafil, presiden

Encik Loo Leong Hoo dihadiahkan persembahan istimewa pasukan wushu di bawah bimbingan beliau sendiri, selain muzik harmoni pancaragam sekolah. Setelah itu, pelbagai pihak tampil ke pentas bagi menyampaikan oleh-oleh kenangan persaraan kepada Cikgu Loo. Majlis diakhiri dengan berjabat salam dengan pelajar.
salam perpisahan buat guru yang berjasa

Encik Loo Leong Hoo dilahirkan di Parit, Perak dan mendapat pendidikan awal di SRJK (C) Chung Hwa, seterusnya di SMK Iskandar Shah, kedua-duanya di pekan yang sama sebelum ke SM Teknik Pulau Pinang hingga tamat tingkatan 6 Atas. Beliau kemudian menyambung pengajian di Universiti Malaya dan memperoleh ijazah sarjana muda sains dengan kepujian (B.Sc.Hons) pada tahun 1978 dan Diploma Pendidikan pada tahun berikutnya. Sebelum bertugas di SMI mulai tahun 1992, Cikgu Loo pernah berkhidmat di SMK Methodist (ACS) Sitiawan, 1978, dan SMK Raja Chulan, Ipoh, 1980 - 1991.

SELAMAT BERSARA CIKGU LOO LEONG HOO

Thursday, March 20, 2014

PENCAPAIAN SPM 2013 CATAT PENINGKATAN DI SEBALIK WAJIB LULUS SEJARAH (29 CANDIDATES WERE STRAIGHT A'S)

Ipoh, Khamis: 20/3/14 = 17 Jamadil Akhir 1435

Bahawa 29 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 SMK St. Michael, Ipoh (SMI) mencatat gred A dalam semua mata pelajaran yang diduduki ialah suatu lonjakan kualti yang membanggakan, iaitu naik 2.79 peratus berbanding dengan tahun sebelumnya. Gred purata sekolah (GPS) juga meningkat sebanyak 0.38 mata kepada 4.63. Dua orang calon terbaik berjaya mencatat keputusan cemerlang tertinggi (A+) dalam semua mata pelajaran yang diambil.
Cikgu Nurazaliza melayan bekas pelajar beliau
yang hadir mengambil slip keputusan SPM

Memang sukar bagi sesebuah sekolah untuk mempertahankan peratus kelulusan tertinggi apabila kertas Sejarah berstatus wajib lulus buat kali yang pertama. Walaupun tema soalan kertas Sejarah telah diumumkan kira-kira sebulan sebelum tarikh peperiksaan serta pengenalan kaedah buka buku (open books examination), calon mesti memiliki kecekapan dari segi merancang penulisan jawapan berdasarkan peruntukan markah dan peruntukan masa. Pendekatan kemahiran berfikir aras tinggi (Kbat) juga menghendaki calon menggunakan fakta sejarah merentas masa.
bekas pemain hoki SMI, Chandru, 21, bersama adiknya

Pelajar yang hadir turut ditemani seisi keluarga, termasuk adik-beradik yang pernah bergelar Michaelian. Mereka juga mengambil peluang untuk berjumpa semula dengan guru sambil meminta pendapat sama ada mahu menyambung pengajian di SMI atau ke kolej dan universiti. Jawatankuasa tiket drama The Beauty and The Beast yang bakal dipentaskan pada 11 hingga 13 April nanti membuka meja promosi jualan tiket.

...

Wednesday, March 19, 2014

KEPUTUSAN STPM KOHORT SULUNG MODULAR SMI 2013 (REBRANDING CHALLANGE FOR PRE-UNIVERSITY EDUCATION)

Ipoh, Rabu: 19/2/14 = 16 Jamadil Akhir 1435

Sama seperti arah aliran pencapaian Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mencatat peningkatan ketara, kohort pertama sistem modular di bawah proses penjenamaan semula pengajian tingkatan enam di SMK St. Michael, Ipoh (SMI) melakar skrip yang serupa. Keputusan STPM keseluruhan yang menggabungkan pencapaian tiga penggal sejak Mei 2013 diumumkan secara rasmi tengah hari tadi. Walaupun demikian, sebahagian pelajar tidak menerima slip keputusan STPM yang muktamad kerana perlu menunggu pencapaian dalam peperiksaan ulangan yang berakhir semalam.
wajah pelajar cemerlang STPM 2013 di SMI
bersama pengetua dan penolong kanan tingkatan 6

Pengajian secara modular begitu mencabar kerana sistem penggal bermaksud bahawa pelajar perlu menduduki peperiksaan setiap empat bulan dengan kertas peperiksaan yang berbeza. Tempoh pembelajaran yang lebih singkat menghendaki keberkesanan dan perancangan aktiviti harian pelajar yang terbaik. Ditambah dengan kerja kursus yang perlu disediakan secara bertulis dan pembentangan, pelajar juga menerima pendedahan kemahiran insaniah tahap tinggi.

Kelas UA3 (6 Atas Sastera 3) menghadiahkan empat orang calon dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.0, termasuk pasangan kembar lelaki, Phan Wai Kin dan Phan Wai Yuen. Dua orang wakil pelajar perempuan yang mencatat 4.0 ialah Chow Mei Theng dan Lim Jia Wen. Tahun lalu, semua empat orang pelajar yang memperoleh PNGK 4.0 daripada jurusan sains.

Kualiti pencapaian STPM secara keseluruhannya meningkat apabila gred purata sekolah (GPS) ialah 2.66 mata. Keputusan peperiksaan ulangan penggal tiga yang dijangka diumumkan pada akhir bulan April dijangka membantu pencapaian GPS terakhir yang lebih tinggi. Syabas kepada semua calon STPM 2013 dan semoga berjaya memenuhi impian dalam dunia pengajian tinggi dan kerjaya ...

Tuesday, March 18, 2014

PEMIMPIN PELAJAR SMI PACU KECEMERLANGAN RAKAN (INSTALLING VALUES AND VIRTUES)

Ipoh, Isnin: 17/2/14

...
berdiri teguh melaksanakan peranan kepimpinan

...
                           
ketua pengawas menerima watikah pelantikan

...
ikrar pengawas pusat sumber

...

 sumbangan majlis ketua kelas sangat penting

...

Thursday, March 6, 2014

KISAH MICHAELIAN JUJUR (VIRTOUS ATTRIBUTE IN SCHOOL)

Ipoh, Khamis: 6/3/14 = 4 Jamadil Awwal 1435

Cerita tentang seseorang terjumpa dompet yang mengandungi dokumen peribadi yang penting dan sejumlah wang, kemudian diserahkan kepada tuan punya sudah biasa kita baca. Mungkin ada kalangan yang beranggapan bahawa hal itu sebagai klise yang kurang menarik. Namun, nilai kejujuran sejati barangkali umpama kisah dongeng yang ingin dipercayai.
nilai kejujuran Michaelian

Benjamin Franklin menyebut ungkapan honesty is the best policy dan Thomas Jefferson pula menyebut bahawa honesty is the first chapter in the book of wisdom (klik di sini). Islam meletakkan status kejujuran sebagai sifat terpuji atau mahmudah, serta merupakan sifat utama Nabi Muhammad Salallahu alaihi wasallam, iaitu siddiq (klik di sini). Secara retorik, dalam dunia yang penuh pancaroba ini, kejujuran bagaikan permata yang tersembunyi.

Maka, apabila empat orang murid tingkatan satu SMK St. Michael, Ipoh (SMI) menyerahkan dompet tercicir yang mereka jumpa kepada Cikgu Adi Yusri dan Cikgu Shafinazaida untuk tindakan selanjutnya, sifat jujur mereka terserlah. Murid berkenaan ialah Pavithran (1A5), Kiroshen (1A3), Kirtik (1A7) dan Vikneswaran (1A7). Semoga amalan dan tindakan yang dipamerkan oleh empat orang Michaelian terpuji itu menjadi teladan terbaik untuk sekalian warga SMI ...