TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Thursday, July 24, 2014

LAMBAIAN PERSARAAN PUAN CHIEW MEE GEOK (FAREWELL CEREMONY TO A SOFT-SPOKEN TEACHER)

Ipoh, Jumaat: 18/7/14 = 20 Ramadan 1435

Usia persaraan wajib maksimum bagi seseorang guru ialah 60 tahun yang telah ditandatangani di bawah skim saraan Malaysia (SSM). Namun, guru boleh memilih tarikh hari lahir ke-56 atau 58 untuk permulaan orang pencen. Sebagai kakitangan awam, guru yang telah melengkapkan tempoh perkhidmatan sekurang-kurangnya 30 tahun bakal menikmati bayaran pencen bulan sebanyak 60 peratus daripada gaji pokok terakhir.
Puan Chiew Mee Geok, guru media di SMK St. Michael, Ipoh (SMI) telah memilih angka 56 kerana telah cukup tempoh yang berkenaan. Beliau berhasrat untuk membantu suami bagi menguruskan firma guaman di Ipoh. Dua orang anak bujang Puan Chiew, bekas Michaelian, kini sedang menyambung pengajian di peringkat universiti.
Puan Chiew, anak sulung daripada enam orang adik-beradik dilahirkan di Setiawan memperoleh ijazah sarjana muda bahasa Inggeris dengan kepujian, serta diploma pendidikan dari Universiti Malaya. Sebelum berkhidmat di SMI mulai tahun 2009, Puan Chiew menabur bakti keguruan selama 20 tahun, di SM Teknik Ipoh, Persiaran Brash (bersama penulis blog, Puan Aishah Ismail, serta Puan Izah: berstatus pelajar). Selain peranan guru pusat sumber, Puan Chiew juga penasihat persaudraan Kristian dan orkestra Cina SMI (MCO).
Seperti biasa, majlis persaraan kali ini juga disulami ucapan, penyampaian sijil dan hadiah kenangan, serta persembahan pelajar. Antara persembahan yang menjadi tumpuan ialah tarian naga yang jarang-jarang ditonton di SMI. Puan Chiew boleh dihubungi menerusi e-mel: cmeegeok@gmail.com.

Monday, July 21, 2014

PELAJAR DIGESA JAGA AIR MUKA KELUARGA (BEHAVIOUR MODIFICATION IN SCHOOL)

Ipoh, Isnin: 21/7/14 =23 Ramadan 1435

Peningkatan nilai modal insan meliputi ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap memang menjadi tujuan utama pendidikan kebangsaan ke arah pencapaian sebuah negara maju berpendapatan tinggi dengan acuan sendiri lebih kurang lima tahun lagi. Pelajar sekolah dalam usia kanak-kanak dan remaja sebagai generasi pelapis yang sedang disediakan untuk itu diharapkan mengembangkan potensi dan fakulti masing-masing ke arah kecemerlangan dalam segenap domain pendidikan (kognitif, afektif, psikomotor) yang dijenamakan semula sebagai komponen asas modal insan. Proses pemupukan jati diri dan sahsiah mulia menjadi teras utama penerapan nilai murni merentas kurikulum.
Penegasan tentang kepentingan natijah pendidikan dan hasil pembelajaran disampaikan oleh Penolong Kanan SMK St. Michael, Ipoh (SMI), Encik Ahmad Kemunchak bin Abdul Karim semasa majlis perhimpunan mingguan padi tadi. Berucap di hadapan lebih 1,000 orang hadirin, beliau mahu Michaelian menjaga air muka keluarga masing-masing dengan mempamerkan tingkah laku yang terpuji. Sebagai generasi muda, Michaelian hendaklah menunjukkan rasa hormat terhadap ibu bapa dan guru supaya perkongsian dan pemindahan pengalaman antara generasi berjalan lancar.

Sebelum itu, Penolong Kanan Kokurikulum, Puan Hajjah Normah binti Karimin telah menyempurnakan penyampaian pingat kejohanan sukan SMI ke-87 kepada pemenang dalam kalangan pelajar prauniversiti tingkatan enam. Atlet yang menyerlah bakal membawa cabaran SMI ke kejohanan sukan prauniversiti Kinta Utara selepas hari raya Aidil Fitri nanti. Dalam kesibukan mengejar waktu untuk persiapan STPM dan kerja kursus, pencapaian dalam bidang kokurikulum, kepimpinan dan perkhidmatan tidak boleh dipandang sepi ...

Saturday, July 5, 2014

HARI TERBUKA SMI TUMPU SARANA IBU BAPA (HOME EXTENTION LEARNING SUPPORT)

Ipoh, Jumaat: 4/7/14 = 6 Ramadan 1435

Kekerapan ibu bapa berkunjung ke sekolah agak terhad, melainkan apabila terdapat acara dan majlis yang membabitkan mereka secara khusus. Tatacara masuk ke kawasan sekolah memang dihadkan atas sebab keselamatan dan kelancaran proses pembelajaran murid. Namun, di samping kelonggaran tertentu, ibu bapa akan dijemput hadir, misalnya bagi memeriahkan sambutan kejohanan sukan, mesyuarat agung PIBG, hari anugerah kurikulum dan kokurikulum dan hari jualan bagi mengumpul dana.
Lavinya (UA1), pengerusi majlis ketua tingkatan SMI
(lady head monitor) bersama ibu bapa

Hari terbuka atau hari bertemu waris merupakan majlis jemputan kepada semua ibu bapa secara serentak untuk bertemu dengan guru kelas dan guru mata pelajaran bagi membincangkan kemajuan dan pencapaian akademik anak masing-masing. Lazimnya, pertemuan berkenaan akan mengambil masa antara  lima hingga sepuluh minit bagi setiap ibu bapa. Memandangkan salah satu komponen penting sarana ibu bapa ialah sokongan pembelajaran di rumah, mereka dibabitkan dalam proses menetapkan sasaran pencapaian akademik anak seterusnya.
bapa prihatin

SMK St. Michael, Ipoh (SMI) yang baharu selesai majlis hari anugerah kecemerlangan kurikulum dan kejohanan sukan tanpa berlengah terus menjemput ibu bapa hadir sekali lagi ke sekolah mulai pukul sepuluh pagi tadi. Mereka sabar menunggu giliran untuk bertemu guru kelas dan berkesempatan bertukar-tukar fikiran demi manfaat anak yang menjadi harapan dan sandaran seisi keluarga. Pelajar kelihatan begitu skema apabila diri mereka menjadi mauduk perbincangan secara berterus terang.
anak mak

Hari terbuka tidak ubah seumpama sesi kaunseling klinikal, tetapi dilaksanakan dalam satu ruang yang ramai. Guru yang sedia terlatih dalam disiplin psikologi pendidikan memang mahir mengendalikan sesi motivasi kekeluargaan seperti itu. Jika ada bibit konfrontasi atau lencongan, guru dengan cermat menjuruskan kembali tujuan perbincangan ke landasan yang asal.
Charrogesinee bersama kakaknya, seorang mahasiswi perakaunan

Tidak semua ibu bapa yang dapat hadir pada hari terbuka yang ditetapkan. Sebahagian mereka telah menghubungi pihak sekolah untuk janji temu pada hari yang lain. Sebahagian lagi menghantar wakil yang sah, terutama saudara tua (abang atau kakak) anak masing-masing.
Sebagai oleh-oleh, ibu bapa yang hadir diberikan surat berita terbitan khas Kelab Penulisan dan Penerbitan SMI. Maklumat ringkas dan gambar yang dimuatkan dalam buletin berkenaan begitu menarik walaupun hanya disiapkan oleh anggota baharu kelab dalam kalangan pelajar prauniversiti penggal satu (tingkatan enam rendah) dalam tempoh yang singkat. Syabas kepada sidang editor buletin, bimbingan Puan Shafinazaida binti Abdul Wahab dan mantan editor The Michaelian, Christina Wong See-Kei ...