TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Sunday, November 23, 2014

GURU DATA SMI PINDAH KE ABC (CLOSER TO HOME SWEET HOME)

Ipoh, Jumaat: 21.11.14 // 28 Muharam 1436

Sepuluh tahun yang lalu, pemuda yang masih belum berpunya ini melapor diri ke SMK St. Michael, Ipoh (SMI) dan ditempatkan mengajar Matematik pada sidang petang. Walhal, sebelumnya beliau ialah 'pakar' Matematik Tambahan di SM Teknik Tuanku Jaafar, Seremban, serta terbabit dengan pentaksiran peringkat kebangsaan. Namun, berpegang kepada prinsip profil sederhana dan tiada sesiapa pun penjawat awam yang boleh menganggap dirinya terlalu penting, Tuan Haji Mohd. Zulkefli bin Ahmad, 43, menerima perubahan yang berlaku di tempat baharu.
cenderamata Jappim disampaikan oleh PK Koku

Apabila guru data pertama SMI, Encik Prakas Rao berjaya dalam permohonan cuti belajar bergaji penuh (tanpa biasiswa) di UPM untuk sarjana pendidikan teknikal, Haji Zul telah dilantik untuk jawatan berkenaan. Tugas guru data bukan mudah untuk ditanggung justeru perlu menyimpan banyak maklumat persendirian dan sulit, selain perlu menghadap skrin komputer untuk tempoh yang panjang saban hari. Guru data juga harus bersabar dan bijak menjaga tutur kata bagi memenangi kerjasama semua pihak di sekolah demi kelangsungan tugas dan memenuhi kehendak pihak atasan.
semua fokus di meja hidangan
terima kasih daun keladi Tuan Haji Abdul Qaiyum 
tahun hadapan adakah lagi nasi Bukhari?

Setahun yang lalu, Haji Zul telah masuk rumah baharu di Kledang, Chemor, sebuah kawasan petempatan yang pesat membangun, tetapi terpaksa 'melayan' begitu banyak lampu isyarat sebelum tiba di SMI. Tambahan pula, banyak kenderaan yang bergerak macam kura-kura barangkali tiada urusan segera. Maka, daripada tertekan dengan sikap pemandu santai seperti itu, sertai mereka dengan syarat jarak perjalanan lebih dekat.

 
bergambar kenangan dengan Encik Ahmad Kemunchak,
Penolong Kanan SMI yang banyak membantu dalam urusan data

Mulai tahun 2015, kelibat Haji Zul tiada lagi di SMI, sebaliknya di SMK Aminuddin Baki, Chemor (ABC). Haji Zul hanya perlu memandu selama lebih kurang lima minit dari rumah ke tempat kerja. Kedudukan ABC juga terletak dalam kawasan perumahan, lantas tidak perlu bersesak di jalan raya utama.
semoga terus cemerlang berbakti kepada umat

Terima kasih Haji Zul turut kerana turut menyumbang terhadap penarafan sekolah yang berada pada band 3, dan kini menuju band 2 atau kluster kecemerlangan. Minat Haji Zul ialah bermain badminton dan memancing bersama kelab Kilas Tangkis yang diketuai Cikgu Ibrahim, serta melancong ke destinasi menarik di dalam dan luar negara. Antara pengalaman yang sukar beliau lupakan ialah ketika kapal pelancong (cruise) yang dinaiki terumbang-ambing dipukul arus deras di Selat Bosphorus yang memisahkan bahagian benua Asia dengan Eropah negara Turki ...

Sunday, November 9, 2014

CIKGU SHAHID AKHIRI PRAKTIKUM DI SMI (GOOD BYE, GOOD GUY)

Ipoh, Jumaat: 8/11/14 = 15 Muharam 1436

Setelah hampir empat bulan, Encik Muhamad Shahid bin Suhaimi, 27, akhirnya selamat menjalani latihan mengajar di SMK St. Michael, Ipoh (SMI). Beliau melapor diri pada 14 Julai dan tamat latihan pada pagi ini. Dua bulan berikutnya, Encik Shahid akan menjalani pula latihan industri di Pusat Giat Mara, Ipoh.
sudut istimewa guru pelatih

Encik Muhamad Shahid ialah pelajar fakulti pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim (Upsi). Pengkhususan pengajian beliau ialah Teknologi Maklumat. Guru pembimbing (mentor) di SMI ialah Cikgu Naizatul Aslamiah, selain pertolongan Cikgu Leela Devi dan guru ICT yang lain.
dari kiri: Cikgu Ibrahim, Haji Zulkifli, Cikgu Samsudin,
Cikgu Abdul Kadir, Cikgu Shahid, Cikgu Hasrul

Cikgu Shahid cepat menyesuaikan diri, serta tidak kekok untuk berinteraksi dengan warga SMI, sama ada guru, pentadbir, kakitangan dan murid. Tambahan pula, salah seorang guru di SMI, Cikgu Zulkefli Sulaiman, pernah bertugas di SMK Seri Ampang, Ipoh ketika beliau masih bergelar budak sekolah di sana. Terima kasih Cikgu Muhamad Shahid bin Suhaimi atas segala bakti dan sumbangan, khususnya terhadap proses pembelajaran murid di SMI ...

Monday, November 3, 2014

CALON SPM ST. MICHAEL BERSEMANGAT HADAPI SPM 2014 (THE MOST TRUSTED 'BRAND' PUBLIC EXAMINATION GET STARTED)

Ipoh, Isnin: 3/11/14 = 10 Muharam 1436

Sejumlah lebih 300 orang pelajar tingkatan lima SMK St. Michael, Ipoh (SMI) menyertai hampir setengah juta orang calon Sijil Pelajaran Malaysia(SPM)yang bermula hari ini. Kertas pertama yang dihadapi ialah Bahasa Melayu 1 dan diikutidengan Bahasa Melayu 2. Cuaca pagi ini cerah membolehkan urusan pergerakan calon ke pusat peperiksaan begitu lancar.
memanjatkan doa ke Hadrat Ilahi

Calon peperiksaan berhimpun di gelanggang badminton sebagai rutin catatan kehadiran dan taklimat ringkas disiplin dan kata-kata semangat. Calon beramai-ramai menadah tangan berdoa semoga diberikan kekuatan jiwa dan kelapangan minda semasa di dewan peperiksaan. Banyak juga yang masih sempat menjeling nota panduan ringkas penulisan karangan.
Puan Nuratikah, Encik Palaiswaran, Puan Roslinda, Cik Foong Yin Pui
dan Puan Adhariah selaku guru bertugas harian peperiksaan

Orang kuat peperiksaan SPM di SMI ialah Cikgu Foong Yin Pui, guru bahasa Inggeris lulusan sarjana pendidikan Universiti Malaya dan sarjana muda sastera kepujian dari Universiti London. Beliau dibantu oleh guru bertugas harian yang bertugas mengikut giliran yang dipersetujui. Turut kelihatan ialah Puan Roslinda Hamid, ketua panitia Bahasa Melayu dan Puan Adhariah Tamrin, kaunselor pelajar.
pengawas peperiksaan memerhatikan calon masuk ke dewan peperiksaan

Pada tahun ini, tatacara operasi piawai atau S.O.P. peperiksaan diperketat semula ekoran isu kebocoran kertas UPSR yang masih hangat diperkatakan. Semua pengawas SPM daerah Kinta Uara telah menghadiri taklimat secara berpusat oleh JPN dan PPD sebelum bermesyuarat dengan ketua pengawas di pusat peperiksaan. Tiada giliran hari bertugas dibenarkan walaupun bilangan calon mungkin beberapa orang sahaja.
calon aliran sains kena memanjat tangga

Calon aliran vokasional dan teknik (VT) ditempatkan di dewan sekolah, manakala calon jurusan sains menduduki SPM di blok prauniversiti 6 Atas di aras empat. Semua calon hadir pada hari pertama SPM hari ini. Kertas Bahasa Melayu dan Sejarah berstatus wajib lulus untuk tujuan persijilan.
gelagat calon di dewan peperiksaan

Segala persediaan telah dilakukan oleh calon dan juga sekolah. Peperiksaan SPM memiliki tahap kepercayaan tertinggi pihak majikan sehingga menjadi penentu tangga gaji permulaan walaupun mungkin penjawat yang dilantik itu memiliki kelayakan akademik peringkat universiti. Selamat maju jaya kepada semua calon SPM 2014 di SMI ...