Ipoh, Isnin: 31.10.11 / 4 Zulhijjah 1432
Setelah bertungkus-lumus selama 14 minggu, bersamaan satu semester pengajian, program penyelidikan pelajar prauniversiti mencapai kemuncak dengan menghadiri kolokium bagi membentang dan mempertahan laporan penyelidikan. Maka, sejumlah 200 penyelidik muda prauniversiti tingkatan 6 Rendah SMK St. Michael, Ipoh (SMI) telah melengkapkan proses penyelidikan bermula dengan sesi taklimat, kuliah, bimbingan pensyarah, mentadbir pungutan data, menganalisis dan mempersembahkan data, dan membuat kesimpulan serta cadangan. Sesungguhnya penyelidik muda SMI telah tercampak ke dalam lautan pengetahuan yang berkaitan dengan masalah penyelidikan yang telah dipilih.
Sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan, satu slot ringkas dalam majlis perhimpunan pagi telah dimanfaatkan untuk penyampaian hadiah penyelidik muda oleh Pengetua SMI. Hadiah berupa sijil dan wang tunai sumbangan PIBG. Hadiah yang disampaikan, walau apa pun nilainya, pasti meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan oleh penyelidik muda SMI.
Pengalaman yang diperoleh oleh pemenang hadiah dan juga penyelidik muda yang berjaya melengkapkan tugasan penyelidikan mereka pasti akan memiliki kelebihan apabila menjejak kaki ke menara gading kelak. Begitu juga jika mereka mula menceburi alam pekerjaan. Asas penyelidikan yang dilalui sesungguhnya menjana disiplin intelektual yang tulen dalam kalangan pelajar prauniversiti SMI...