TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Friday, November 30, 2012

TEMA SEKOLAH UNTUK TAHUN 2013 (PREPARING WAYS TO THE NEXT CENTENNIAL)

Akhirnya, SMK St. Michael, Ipoh telah melewati usia 100 tahun penubuhannya. Kini, tahun 2013 bakal menjelma sekejap sahaja lagi. Begitu cepat perjalanan masa apabila segala-galanya menjadi sejarah dalam sekelip mata sahaja!

Telah menjadi tradisi SMI sentiasa memperbaharui azam dan tekad yang ditonjolkan menerusi tema sekolah yang diubah paling lama setiap dua tahun. Pada dasarnya, pihak pentadbiran sekolah telah memperakukan tema sekolah untuk tahun 2013 yang berbunyi Onward Michaelians - Valiant and True. Kalau diterjemahkan secara harfiah (lateral): Michaelian mara dengan keberanian (tekad) dan kebenaran. 

Ungkapan valiant and true itu terkandung dalam baris terakhir lirik lagu sekolah (school rally). Maka, tema kali ini lebih bersifat pengukuhan kepada proses pemantapan jati diri pelajar SMI yang telah mempunyai contoh teladan generasi Michaelian terdahulu sejak tahun 1913 lagi. Catatan pencapaian gemilang SMI terpahat dalam tinta sejarah pendidikan negara.

Kenangan dan sejarah ialah bukti bahawa banyak peristiwa pahit dan manis telah dialami oleh SMI sebelum berada pada tahap sekarang. Asal sahaja Michaelian sanggup mengambil iktibar, maka nostalgia seumpamanya sangat berguna. Sejarah ditelusuri supaya Michaelian boleh melangkah dengan penuh cermat dan bergaya menuju masa hadapan yang penuh cabaran baharu yang sukar ditentukan.

Tekad atau azam sebagaimana yang dilafazkan dalam tema sekolah mesti disertai dengan nilai-nilai unggul seperti keberanian, kesungguhan dan komitmen yang jitu. Keberanian yang dimaksudkan ialah penerokaan idea dan pemikiran luar kotak yang boleh membawa SMI ke mercu pencapaian yang seterusnya. Dalam era kepintaran kumpulan mengatasi kepintaran individu, proses kerjasama dan permuafakatan menjadi demikian kritikal, penting dan wajib, atau disebut sebagai sine qua non dalam bahasa Latin.

Sesebuah organisasi yang hebat dan disegani bukan sahaja memiliki kualiti kepimpinan, bahkan berupaya menggembleng seluruh komponen dan sumber organisasi yang kaya dengan kepelbagaian dan latar belakang yang unik. Sebagai sebuah sekolah premier yang menampung pelbagai harapan dan kepercayaan pihak-pihak yang berkepentingan, SMI mendambakan kesungguhan dan komitmen yang jitu daripada seluruh warga sekolah. Sesungguhnya, tema sekolah Onward Michaelians - Valiant and True bakal menjadi kerangka asas perancangan dan pelaksanaan kegiatan pembelajaran di SMI... 

Thursday, November 1, 2012

SELAMAT BERJUANG CALON MODULAR SULUNG STPM (NEW EXAM FORMAT FOR PRE-U SIXTH FORM)

Ipoh, Khamis: 1.11.12 // 16 Zulhijjah 1433

Hampir 250 orang calon STPM pelajar prauniversiti tingkatan 6 Rendah SMK St Michael, Ipoh (SMI) bakal menduduki peperiksaan penggal satu selama empat hari mulai Isnin hadapan. Bilangan calon kemanusiaan lebih kurang seimbang walaupun kelas kemanusiaan hanya tiga buah, berbanding dengan sains 6 buah. Kohort ini mencipta lembaran baharu dalam sistem pentaksiran, termasuk penilaian kertas projek berasaskan sekolah bagi setiap mata pelajaran.
Taklimat akhir menjelang peperiksaan penting itu disampaikan oleh Penolong Kanan Tingkatan, Puan Tan Cheng Choo, diikuti dengan ucapan motivasi oleh pengetua, Puan Loh Wei Seng. Kedua-dua pemimpin sekolah itu berkongsi harapan yang serupa, iaitu catatan kejayaan yang terbaik bagi membuka laluan buat pelajar meniti kejayaan hari muka, di samping sebagai hadiah kepada SMI sempena ulang tahun penubuhan yang ke-100. Walaupun momentum kesungguhan kohort sulung modular kali ini kurang jelas, keadaan dijangka berubah secara drastik menjelang detik-detik terakhir peperiksaan.
Tujuan majlis taklimat adalah untuk memastikan bahawa calon telah membuat persediaan yang mencukupi dari segi dokumen dan tatacara di dewan peperiksaan. Sebagai kumpulan pelajar prauniversiti yang sudah menjengah usia kematangan, selain sudah acapkali menempuh pengalaman peperiksaan, taklimat pagi tadi merupakan ulang kaji dan pengukuhan. Pelan luar jangka berkaitan dengan masalah cuaca, dokumen dan kesihatan turut diberi penekanan dalam sesi taklimat.
Calon seterusnya menuju ke dewan peperiksaan untuk memastikan kerusi meja yang disediakan berkeadaan baik dan selesa untuk merancang dan menulis jawapan kelak. Sistem pembesar suara juga diuji beberapa kali supaya calon dapat mendengar segala arahan pengawas peperiksaan dengan jelas. Calon modular SMI juga kelihatan saling memberi semangat sesama mereka dan kemudian berbincang tentang hal-hal peperiksaan dan mungkin juga peribadi...