pendidikan jendela kecemerlangan insan... smk st michael, 30000 ipoh, perak ~~~~~~~~ tel: 05-2540418 ulang tahun penubuhan 100 tahun = 2012
TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI
Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.
Atau e-mel: amrinajr@gmail.com
(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)
SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI
Minal 'a 'idin wal fa idhin
Kullu am wa antum bi khair
Maaf Zahir dan Batin
Friday, February 28, 2014
Monday, February 24, 2014
KEPUTUSAN STPM PENGGAL 1 CATAT PENINGKATAN (THE CHALLANGE OF REBRANDING PRE-UNIVERSITY STUDY)
Ipoh, 24/2/14 = 24 Rabiul Akhir 1435
Calon STPM sistem modular kohort kedua SMK St. Michael, Ipoh (SMI) membuktikan bahawa kecemerlangan pencapaian bukan bergantung kepada sistem pentaksiran semata-mata, tetapi dengan kebijaksanaan dalam pembelajaran. Sistem penggal memerlukan tahap keberkesanan dan kecekapan yang tinggi dalam proses pembelajaran dan persediaan peperiksaan. Pagi tadi, dalam satu majlis ringkas, pelajar cemerlang STPM Penggal 1 yang mencatat purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.5 dan ke atas dianugerahkan sijil kepujian.
Penolong Kanan Tingkatan 6, Puan Tan Cheng Choo
memerhatikan pengetua, Puan Loh Wei Seng
bersalaman dengan Christina Wong, UA1
SMI mencatat 99 peratus lulus dalam STPM berkenaan, suatu pencapaian yang boleh dibanggakan. Walaupun bilangan calon yang memperoleh PNGK 4.0 hanya seorang, pada penggal 2 dan 3 dijangka mencatat jumlah yang lebih banyak calon sedemikian, terutama daripada jurusan sains. Gred near miss seperti A- dalam kertas sukar seperti Matematik T akan cuba diubah kepada A, sama ada menerusi peperiksaan ulangan, atau pencapaian keseluruhan ketiga-tiga penggal kelak. Analisis SWOT dan program kecemerlangan yang telah dirancang akan diberi perhatian secara tuntas.
Pengetua mengucapkan tahniah kepada
Khong Wei Hung, UA1, yang beroleh PNGK 4.0
Pelajar terbaik (gambar di atas) memperoleh gred A dalam kertas Pengajian Am, Ekonomi, Matematik M dan Pengajian Perniagaan. Ketua Editor majalah The Michaelian edisi 2013, Christina See-Kei Wong merekodkan PNGK 3.92 (A: Pengajian Am, Ekonomi, Pengajian Perniagaan; A-: Sejarah). Ketua Pelajar, Ho Joo Hin, US4, memperoleh 3A dan 1B+, serta muncul sebagai salah seorang calon STPM terbaik jurusan sains di SMI ...
Wednesday, February 19, 2014
HOKI KINTA UTARA: TIGA GOL PADANG JADI PEMISAH (VOTED IN THE TOUGH GROUP)
Pertembungan dengan Sekolah Anglo-Chinese (ACS) Ipoh bagaikan misi hidup mati dalam meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya setelah kedua-dua pasukan tewas tipis kepada lawan masing-masing dalam aksi sulung semalam. SMK St. Michael, Ipoh (SMI) tewas 0-2 di tangan sekolah akademi sukan negeri, SMK Gunung Rapat, manakala ACS kecundang di tangan SMK Sungai Pari dengan jumlah gol yang sama. Rekod perlawanan tahun-tahun sebelumnya tidak boleh dijadikan perbandingan justeru kedua-dua pasukan menang dan kalah silih berganti.
serbuan ke kubu ACS pada minit kelapan
SMI bermula garang sebaik sahaja wisel dibunyikan. hantaran kencang ke kawasan D bagaimanapun hanya sedikit sipi daripada kayu stik pemain yang sudah menanti betul-betul di hadapan pintu gol yang ternganga. SMI memperoleh dua kali pukulan sudut penalti, manakala ACS tiga kali tetapi tidak masuk.
giliran ACS di hadapan kubu SMI
Dalam keasyikan memberi tekanan kepada benteng ACS, mereka melancarkan serangan balas kilat pada penghujung babak pertama. Dua gol padang dihasilkan secara berturut-turut dalam dua minit terakhir. ACS membawa bekalan selesa untuk mengharungi baki 20 minit lagi dalam separuh masa kedua.
penjaga gol SMI yang serasi
Penjaga gol kedua, Mohd Syahrin, murid tingkatan satu beraksi dengan cemerlang dalam babak pertama. Pada babak kedua, Arresh Norman Sidhu, penjaga gol pertama dimasukkan semula, namun tidak mampu menghalang gol padang ketiga pasukan lawan (minit ke-13). SMI berusaha keras hingga penghujung perlawanan, tetapi benteng pertahanan lawan dikawal dengan begitu rapi ...
Tuesday, February 18, 2014
PASUKAN HOKI, RAGBI SMI LAKAR SKRIP BERBEZA (THE EMERGENCE OF NEW RIVALS)
Ipoh, Selasa: 18/2/14 = 18 Rabiul Akhir 1435
Cikgu Adi Yusri, guru pendidikan jasmani dan pendidikan kesihatan (PJPK) SMK St. Michael, Ipoh (SMI) membawa khabar gembira dari lokasi pertandingan ragbi apabila skuad SMI berjaya membenam cabaran 'musuh tradisi', iaitu SMK Anderson dengan keputusan 12-10. Walaupun Anderson bukan kuasa ragbi di Kinta Utara, tetapi justeru setiap pertandingan yang membabitkan SMI dengan sekolah berkenaan dianggap sebagai 'pertarungan maruah' dua buah sekolah premier, maka kemenangan itu memberikan kepuasan yang sukar untuk diungkapkan. Tahniah kepada skuad ragbi SMI yang berhasil membuktikan bahawa dalam bidang sukan kepintaran, SMI masih unggul.
Apabila bercerita pula tentang hoki, SMI memiliki sejarah yang hebat kerana nama seperti Mohamad bin Abdul Hadi dan Foo Keat Siang, bekas Michaelian pernah meniti puncak gemilang sebagai kapten skuad hoki negara dalam temasya Olimpik dan dunia. Namun, Anderson yang diangkat sebagai sekolah projek hoki lelaki negeri Perak kini sangat sukar untuk digugat. Pasukan berkenaan telah membelasah SMK Bercham hampir 20 gol tanpa balas dan tanpa belas dalam perlawanan pembukaan kejohanan daerah Kinta Utara pagi tadi.
Pasukan SMI pula bertemu dengan SMK Gunung Rapat, sebuah lagi sekolah yang bertaraf akademi sukan negeri. Walaupun Gunung Rapat menumpukan perhatian terhadap projek hoki perempuan negeri, namun skuad lelaki mereka tetap mendapat sentuhan 'projek', serta mempunyai kemudahan padang turf sendiri. Seawal minit kelima, Gunung Rapat berjaya memperoleh pukulan sudut penalti yang berjaya disempurnakan.
Babak kedua seolah-olah milik mutlak SMI dengan serangan bertali arus mengasak kubu lawan. Satu pukulan kencang dari luar kawasan D bagaimanapun tidak terkena mana-mana pemain yang sudah berada di kawasan D. Sebaliknya, Gunung Rapat berjaya memanfaatkan satu serangan balas yang pantas dengan satu gol padang kira-kira lima minit perlawanan hendak tamat.
SMI dihadiahkan pukulan sudut penalti pada penghujung perlawanan, tetapi sedikit tersasar. SMI masih mempunyai dua baki perlawanan dalam kumpulan D, iaitu menentang ACS dan SMK Sungai Pari esok. Kedua-dua perlawanan dipadang bersebelahan Stadium Sultan azlan Shah itu wajib dimenangi jika SMI berhasrat untuk mara ke pusingan lapan pasukan terbaik seperti tahun lalu ...
Saturday, February 8, 2014
AUGUSTUS UNGGULI LARIAN MICHAELIAN 2014 (THE CHALLENGE OF CITY CROSS COUNTRY)
Ipoh, Sabtu: 8.2.14 // 8 Rabiul Akhir 1435
Usai pendaftaran kehadiran di tapak perhimpunan mingguan, semua peserta larian bergerak ke padang bola sepak untuk senaman pemanas badan. Semua pelajar sesi pagi dan sesi petang berkumpul di suatu tempat. Mereka berbaris mengikut kelas masing-masing untuk memulakan larian berdasarkan kategori tingkatan.
Berbeza dengan zaman persekolahan generasi terdahulu, kebanyakan pelajar lelaki lebih gemar memilih seluar trek panjang berbanding dengan seluar pendek. Keadaan itu selaras dengan gaya atlet antarabangsa yang memakai seluar yang labuh, kecuali untuk acara tertentu. Peraturan pakaian yang lebih tegas juga wajib dipatuhi oleh pemain bola sepak.
Turut memeriahkan larian ialah beberapa orang bekas pelajar yang sempat meluangkan masa dan masih sanggup berlari. Pada masa hadapan, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) mungkin berjaya membawa bekas pelajar yang telah mengecapi kejayaan di peringkat tertinggi untuk bertanding sebagai peserta jemputan khas. Kehadiran bekas pelajar berprofil tinggi pasti membakar semangat generasi Michaelian semasa untuk menyambung tradisi kecemerlangan SMI yang kini memasuki usia 102 tahun.
Peserta larian berpencapaian tinggi mempamerkan kesungguhan sejak garis permulaan. Bukan nilai hadiah atau sijil yang dikejar, tetapi pengalaman menikmati kejayaan menjadi titik tolak kecemerlangan dalam meniti arus kehidupan. Semangat berlumba-lumba untuk muncul sebagai juara boleh dibawa dalam bidang pembelajaran.
Terdapat juga peserta yang mengambil bahagian untuk tujuan suka-suka, tetapi masih dalam radar semangat kesukanan yang jitu. Aksi mereka mungkin kelihatan santai, tetapi kesanggupan menamatkan perlumbaan masih boleh diberi pujian. Dalam kata lain, mereka akur dengan nilai sosial yang menghendaki kerjasama dan suci hati.
Kemuncak acara ialah penyampaian hadiah kepada para pemenang tempat pertama hingga kesepuluh bagi setiap kategori. Gelagat penyokong dan pengibar bendera rumah sukan menggamatkan majlis mengalungkan pingat. Kali ini giliran rumah Augustus muncul sebagai satu-satunya rumah sukan yang berjaya mencatat mata melebihi 200 dan sekali gus muncul sebagai johan keseluruhan larian ...
Subscribe to:
Posts (Atom)