Ipoh, Isnin: 31/3/14 = 27 Jamadil Awwal 1435
Di sebalik kesibukan mengejar masa bagi menyiapkan kertas projek PBS Pengajian Am, Sejarah dan beberapa mata pelajaran lain, pelajar tingkatan 6 Atas yang baru usai cuti pertengahan penggal satu yang singkat kembali mengukir senyum ceria. Mereka beroleh khabar gembira apabila buat kali kedua menerima baucar buku 1Malaysia yang bernilai RM250 setiap orang. Mereka boleh berbelanja membeli buku rujukan dan naskhah spesimen peperiksaan untuk persediaan STPM penggal dua yang dijadualkan pada minggu terakhir Mei ini.
Nurkhalisah, Lavinya, Ananthan dan Chang Carrie
dari UA1, SMK St. Michael, Ipoh
Baucar yang diterima boleh ditebus di mana-mana kedai buku yang mengambil bahagian secara serta-merta hingga tarikh luput pada 31 Julai depan. Maksudnya, pelajar juga boleh merancang pembelian buku teks penggal tiga, serta buku rujukan tambahan dan naskhah spesimen peperiksaan. Sebaik-baiknya pelajar merujuk guru mata pelajaran sebelum membuat keputusan pembelian.
Jumlah baucar buku 1Malaysia yang telah diterima oleh setiap pelajar ialah RM500 justeru mereka telah menerima pemberian yang sama tahun lalu. Pelajar juga telah dikecualikan daripada bayaran yuran STPM (bernilai hampir RM300) dan yuran persekolahan (anggran RM70). Maka, jumlah keseluruhan bantuan kewangan yang diterima oleh pelajar menghampiri angka RM1,000 setiap orang.
Peruntukan bantuan baucar buku 1 Malaysia telah diluluskan dalam belanjawan negara setelah melepasi usul di parlimen. Sumber kewangan yang digunakan dibiayai oleh pembayar cukai secara agregat. Diharap pelajar menghargai pemberian yang diberikan dan berusaha bersungguh-sungguh bagi memperoleh pengalaman pembelajaran yang terbaik ...