Ipoh, Khamis: 30.10.14 = 6 Muharam 1436
Pelajar prauniversiti tingkatan 6 aliran kemanusiaan bakal menduduki kertas Mikroekonomi STPM 2015 Penggal 1 pada hari Khamis, 19 November hadapan bersekali dengan calon mengulang (U1) 2014. Walaupun telah memiliki pengalaman menjalani peperiksaan awam ketika UPSR, PMR dan SPM, peperiksaan STPM sudah tentu berbeza sejajar dengan tahap persediaan pengajian tinggi. Sejumlah lebih 90 orang calon STPM 2015 SMK St. Michael, Ipoh (SMI) menghadiri bengkel khas perancangan jawapan kertas berkenaan yang bertempat di Bilik Kuliah 2 mulai pukul 8.45 pagi dan berakhir satu jam kemudian.
sebahagian peserta bengkel
(gambar ihsan Cikgu Hajjah Rasidah)
Pemudah cara bengkel menggunakan 51 paparan slaid power point bagi menjelaskan saranan tentang perancangan jawapan kertas Mikroekonomi. Selain itu, perbincangan dua hala juga dilakukan berdasarkan edaran jawapan spesimen yang disediakan. Penegasan diberikan terhadap kesilapan sifar yang bermula dengan mengenal pasti tugasan soalan dan cara mempersembahkan isi, huraian, contoh berangka dan gambar rajah jika diminta.
Bengkel singkat ini merupakan sebahagian siri program kecemerlangan akademik anjuran Unit Kurikulum Prauniversiti SMI yang merangkumi semua mata pelajaran yang ditawarkan, sama ada jurusan sains, mahu pun kemanusiaan. Selepas peperiksaan percubaan STPM pada awal Oktober, pelajar juga menjalani penilaian gerak gempur pada hari Isnin dan Selasa yang lalu. Usaha yang bijak dan gigih semua pelajar diharap menyumbang terhadap kecemerlangan pencapaian STPM sebenar kelak ...