TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Sunday, June 30, 2013

MUSIM UCAPAN SELAMAT TINGGAL (COUNTLESS AND EVERLASTING MEMORIES)

Ipoh, Jumaat:  28/6/13 =  19 Syaaban1434

Guru datang guru pergi, murid datang murid pergi. Dengan berlalunya masa, pergerakan dan perubahan tidak dapat dielakkan justeru jarum masa terus menuju ke hadapan. Namun, kenangan dan sejarah tidak mungkin luput dalam ingatan bak kata peribahasa, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.
Setelah hampir 4 bulan menjalani praktikum, Cikgu Chang Chee Kian, 28, guru pelatih Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Tanjung Malim kini harus menunggu penempatan sebagai guru terlatih (tetap) bersama ribuan calon guru yang lain. Beliau mengkhusus dalam kaedah teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Berbekalkan pengalaman selama tiga tahun sebagai guru sandaran tidak terlatih (GSTT), Cikgu Chang mampu menghadapi tingkah laku murid lelaki di SMK St. Michael, Ipoh (SMI).

Sebagai oleh-oleh kenangan, Kelab Staf menerusi presidennya, Ustaz Suhaimi telah menyampaikan cenderamata kepada Cikgu Chang. Majlis ringkas itu berlangsung di bilik guru. Cikgu Adi dan Cikgu Nasran Farid turut kelihatan bersama, manakaka Cikgu Hamdan dan Cikgu Rosnah seperti melihat dari jauh.
Sekilas pandang, dua orang cikgu dalam gambar di atas persis kembar seiras. Cikgu Nurul Syuhaida binti Zulkifli, 24, (kiri) ialah siswazah biologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi. Beliau sempat berada di SMI selama lebih sebulan sebagai guru ganti kepada Puan Usha Rani yang sedang bercuti tanpa gaji kerana menyiapkan tesis doktor falsafah (Ph.D) di Universiti Malaya. Anak ketua jabatan pendidikan jasmani di Institut Pendidikan Guru kampus Ipoh itu kini ditempatkan pula ke SMK Tasik Damai.

Cikgu Rosikhsaniah binti Mohd Yusof, 31, guru praktikum Upsi seperti Cikgu Chang juga kini menunggu proses penempatan di sekolah. Ibu kepada seorang cahaya mata itu begitu gembira dengan sambutan dan sokongan warga SMI semasa beliau melengkapkan komponen penting kursus keguruan. Pengalaman di SMI begitu bermakna dalam perjalanan kerjaya beliau kelak.
SMI juga bakal kehilangan guru biologi berpengalaman, iaitu Cikgu Afzan binti Abdul Rahman. Ibu kepada 4 orang cahaya mata ini bakal melaporkan diri ke SMK Kampong Pasir Puteh, Ipoh berkuat kuasa 1 Julai 2013. Selamat bertugas di tempat yang baharu dan semoga terus cemerlang dalam kerjaya dan keluarga...

Wednesday, June 26, 2013

HUJAN HAPUS JEREBU, RAPTAI SUKAN DITERUSKAN (MARCHING TRADITION AT ST. MICHAEL'S)

Ipoh, Rabu: 26/6/13 = 17 Syaaban 1434

Ketika masukan blog ini ditulis, hujan masih membasahi bumi Ipoh walaupun tidak begitu lebat. Namun, hujan rahmat yang turun bakal menghapuskan ancaman jerebu yang menjengah bandaraya Ipoh sejak sehari dua yang lalu. Banyak kegiatan luar bangunan yang terhad sebelum ini kembali rancak apabila bacaan tertinggi indeks pencemaran udara (IPU) yang mencecah 192 mata kini kembali di bawah 100.
Persiapan acara sukan tahunan SMK St. Michael, Ipoh (SMI) kini bersambung semula. Tradisi pertandingan kawad formasi dan lintas hormat dapat diteruskan semasa temasya sukan tahunan berkenaan yang dijadualkan bermula pada pukul 7.30 pagi hari Sabtu ini. Pasukan yang bertanding giat menjalani latihan penyudah bagi sebuah persembahan yang paling mantap.
Pertandingan kawad kaki dibahagikan berdasarkan kategori tingkatan. Sejumlah 61 buah pasukan dijangka mengambil bahagian. Proses pembelajaran dan aplikasi kecerdasan sosial, kepimpinan, kepengikutan dan kreativiti memberi kelebihan kepada warga SMI sebagai pengalaman lapangan yang tidak diperoleh di bilik darjah semata-mata. Setiap pasukan hanya diberi masa selama seminit setengah untuk persembahan yang telah dirancangkan sekian lama...

Friday, June 21, 2013

PASUKAN MAJALAH 'THE MICHAELIAN' 2013 (THE NEXT SHOWPIECE OF ORIGINAL WRITING)

Ipoh, Jumaat: 21/6/13 = 12 Syaaban 1434

Sebagai kesinambungan tradisi SMK St. Michael, Ipoh (SMI), majalah tahunan sekolah The Michaelian edisi ke-66 sedang dalam proses pengumpulan bahan dan reka bentuk. Majalah kali ini dianggap istimewa sebagai terbitan sulung abad kedua penubuhan SMI. Beberapa perubahan bakal berlaku sejajar dengan cita rasa generasi baharu Michaelian.

Tanggungjawab penerbitan The Michaelian diberi kepada jawatankuasa hal ehwal murid yang membimbing sidang redaksi dalam kalangan pelajar, khususnya anggota Kelab Penulisan dan Penerbitan. Pelajar bukan anggota kelab juga dialu-alukan untuk memohon sebagai sidang redaksi majalah. Konsep umum penerbitan The Michaelian ialah hasil kerja pelajar menerusi bimbingan guru.

Sidang redaksi kanan The Michaelian 2013 terdiri daripada lapan orang ahli jawatankuasa Kelab Penulisan dan Penerbitan prauniversiti tingkatan enam rendah. Mereka dipilih menerusi mesyuarat agung tahunan kelab pada hari Rabu yang lalu. Kebanyakan pelajar yang terpilih memiliki pengalaman sebagai anggota sidang redaksi majalah sekolah sebelum ini.
Duduk dari kiri: Wooi Sue Jenn, LS4 (setiausaha), 
Christina Wong, LA1 (ketua pengarang), 
Lee Han Kiat, LS3 (timbalan ketua pengarang), 
En. Khiew Wai Mun  (penyelaras)
Berdiri dari kiri: Charroogesinee, LA1; Angeline Chin, LA2;
 Lee Kian Hang, LS2 dan Ho Joo Hin, LS4.
(Tiada dalam gambar: Chang Carrie, LA1, bendahari)

Pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi, satu sesi pertemuan khas sidang redaksi dengan penyelaras The Michaelian edisi 2013, Encik Khiew Wai Mun telah berlangsung di ruang makan, bilik guru. Selain sesi pengenalan diri, pelajar diberi taklimat ringkas tentang sejarah penerbitan majalah The Michaelian daripada edisi pertama lagi. Majalah The Michaelian diterbitkan menerusi proses perancangan dan pentadbiran yang cukup teliti supaya terus menjadi penanda aras sebuah majalah sekolah yang bermutu tinggi dan memenuhi ciri naskhah rasmi sesebuah organisasi yang dihormati seperti SMI.

Format penulisan dan pemilihan gambar dalam lembaran majalah tidak dilakukan secara tangkap muat melainkan setelah akur dengan keperluan tertentu. Buktinya, majalah The Michaelian edisi centennial pada tahun 2012 telah mencatat markah 100 peratus kerana menepati semua 22 kriteria penarafan bagi penerbitan majalah sekolah oleh pegawai pemantauan kementerian. Kini, terpulang kepada sidang redaksi The Michaelian 2013 bagi menyahut cabaran selanjutnya...

Thursday, June 13, 2013

SMI 'BERWAJAH BAHARU' LAGI (UPGRADING FACILITIES FOR MICHAELIANS)

Cuti pertengahan tahun 2013 mulai dari 24.5 hingga 9.6.2013 telah berakhir. Kini semua pelajar dan guru kembali ke sekolah untuk meneruskan agenda kecemerlangan pendidikan sebagai upaya menyumbang terhadap pencapaian status negara maju acuan sendiri menjelang tahun 2020. Dalam cuti singkat dua minggu itu, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) sempat mengalami perubahan kemudahan fizikal demi keselesaan dalam proses pembelajaran dan mengukuhkan konsep sekolah selamat.
Kawasan luar dewan sekolah yang menghala ke gelanggang badminton kini dipasang atap telus cahaya bagi memastikan bahawa pada waktu hujan, warga sekolah akan hanya menerima tempias air hujan yang minimum dan tidak sampai basah kuyup. Dengan kemudahan terbaharu berkenaan, seluruh kawasan sekolah boleh dilalui walaupun dalam keadaan cuaca buruk tanpa menggunakan payung.

Pemilihan atap telus cahaya bertujuan untuk pemantauan pergerakan warga sekolah, sama ada dari aras bumi atau aras atas bangunan tanpa sekatan pandangan. Jika terdapat sampah yang tersangkut atau bagi maksud pembersihan, atap lut cahaya lebih mudah diuruskan. Mungkin juga suatu hari nanti gelanggang badminton akan dipasang atap telus cahaya sepenuhnya bagi mengelakkan laluan angin yang tidak sesuai bagi permainan bulu tangkis.

Seluruh bangunan sekolah juga kelihatan lebih ceria apabila telah dicat semula. Demikian juga sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan peralatan paparan cecair kristal (LCD) juga disenggara dan diservis. Sesungguhnya persekitaran pembelajaran yang selesa pada akhirnya menyumbang terhadap pencapaian keseluruhan sekolah yang lebih baik hendaknya ...

Friday, May 31, 2013

KESINAMBUNGAN LEGENDA SMK ST. MICHAEL, IPOH BERTERUSAN (MICHAELIAN IN THE FEDERAL MINISTERS LINE-UP)

Sebagai sekolah premier yang sudah melepasi usia 100 tahun, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) memang memiliki sesenarai panjang legenda (istilah bekas pelajar berjaya dalam kajian keberkesanan sekolah) yang telah mengukir nama hingga ke peringkat antarabangsa. Mereka termasuk tokoh akademik, pemimpin politik dan korporat, pegawai tinggi awam, atlet dan aktivis sosial. Ketua polis negara yang baru bersara, Tan Sri Ismail Omar ialah bekas Michaelian yang berjaya mendaki puncak kecemerlangan dalam kerjaya beliau.
Profesor Datuk Dr. Abdullah bin Mohamad Said
(sumber gambar: facebook  beliau)

Sepertimana Tan Sri Ismail Omar yang digilap menerusi kelas rancangan khas (aliran Inggeris), Profesor Dato' Dr. Abdullah bin Mohamad Said, 56, juga menjulang nama sekolah apabila dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi Mara (UiTM). Anak kelahiran Tualang Sekah, Malim Nawar sering datang ke SMI sebagai tanda ikatan yang kuat dengan alma mater beliau. Rakan beliau, Profesor Madya Dr. Ahmad Nidzam, pensyarah UKM pula merupakan penganalisis politik yang terkenal.
Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, isteri dan anak
(sumber gambar nostalgia: klik di sini)

Khoo Kay Kim, sarjana sejarah masyarakat Malaysia yang ulung memang tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau belajar di SMI semasa tingkatan enam, sebelum menjadi guru di SMK Horley Methodist, Teluk Intan dan seterusnya pensyarah di Universiti Malaya. Sebagai seorang yang suka berterus terang, pengamatan beliau dalam dunia kecendekiawanan dan sukan sering menjadi rujukan.
Dato' Seri Haji Ahmad Husni bin Mohamad Hanadzlah
(sumber gambar: di sini)

Ahmad Husni, 61, bekas Michaelian yang berkecimpung dalam dunia politik kebangsaan dan dilantik semula sebagai Menteri Kewangan Kedua Malaysia baru-baru ini. Tahniah dari sekalian warga SMI, Dato' Seri!. Beliau sisawazah ekonomi dari Universiti Malaya dan sarjana pengurusan (Institut Pengurusan Asia, Manila) dan kewangan Islam (UIAM). Kebelakangan ini Dato' Seri Ahmad Husni kerap singgah di SMI untuk meninjau kemajuan sekolah lama beliau.

Legenda yang tersenarai merupakan angkatan generasi X yang telah mengecap kejayaan peribadi,keluarga, masyarakat, negara dan juga SMI. Mereka wajar dicontohi dari segi kegigihan belajar dan proses menimba pengalaman di sebuah sekolah yang unik seperti SMI. Generasi Y SMI juga menunjukkan petanda bahawa mereka bakal muncul sebagai legenda sekolah berkesan dalam tempoh terdekat...

Saturday, May 18, 2013

LADAP KEPIMPINAN GURU DAN BUDAYA KERJA CEMERLANG (DO NOT OVERSTAYING THE WELCOME)

Ipoh, Sabtu: 18/5/13 = 8 Rejab 1434

Perbincangan tentang kepimpinan guru disentuh secara panjang lebar dalam kuliah kepimpinan dan pentadbiran pendidikan sama ada di peringkat sarjana muda atau sarjana. Calon sarjana di jabatan perancangan dan pentadbiran pendidikan misalnya mengkhusus dalam penyelidikan tentangnya sepanjang tempoh pengajian. Pencapaian keberkesanan sekolah sangat berkait rapat dengan kepimpinan teragih guru yang memberi tumpuan terhadap pembelajaran murid.
Sekretariat Ladap, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) telah memilih slot kepimpinan guru yang berkesan sebagai tema Ladap keempat yang lebih menjurus kepada perkongsian pengalaman, aplikasi dan percambahan input baharu dalam persekitaran sebenar di sekolah (baca contoh anekdot kepimpinan guru di sini). Pengetua cemerlang SMI, Puan Loh Wei Seng sendiri telah bertindak sebagai pemudah cara dengan menggunakan pelbagai bahan kursus yang beliau hadiri sebagai asas untuk meneroka pembaharuan dalam proses menolong murid menuju puncak kecemerlangan pembelajaran.
Slot kedua Ladap secara maraton dua jam setengah dikendalikan pula oleh Tuan Haji Ismail Desa, bekas pengetua sekolah yang kini berkhidmat sebagai kaunselor pelajar di Institut Teknologi Perak, di samping pembabitan hingga ke peringkat Unesco dalam program pendidikan pencegahan dadah. Pada tahun 2012, beliau juga pernah mengisi salah satu slot Ladap Guru Penyayang. Walaupun sebahagian contoh dan kisah yang disampaikan berupa ulangan, Tuan Haji Ismail Desa berjaya memberi nafas baharu dan sentuhan terkini bagi sebuah skrip yang mirip benar dengan persembahan terdahulu.
Peserta Ladap yang terdiri daripada guru dan kakitangan sokongan menunjukkan rasa hormat dan penghargaan yang tinggi atas kesudian Tuan Haji Ismail Desa memberikan nasihat dan petua yang penting dalam mengharungi kerjaya ikhtisas keguruan yang penuh cabaran. Ceramah beliau diselang-seli dengan  persembahan slaid dan tayangan mutimedia. Sebagai pakar andragogi, Tuan Haji Ismail juga mengajak peserta Ladap melakukan pergerakan fizikal (psikomotor) dan lontaran vokal supaya sentiasa aktif dalam majlis, serta memantapkan amalan kerja berpasukan di SMI...

Thursday, May 16, 2013

HARI GURU DISAMBUT MERIAH DI SMK ST. MICHAEL (ONE ASPIRATION, ONE AGENDA)

Khamis, 16/5/13  5 = 6 Rejab 1434

Tema hari guru 2013 berbunyi 'Guru Malaysia: 1 Aspirasi 1 Agenda. Sebagai tulang belakang sistem pendidikan negara, peranan dan sumbangan guru bagi memacu kecemerlangan modal insan minda kelas pertama ke arah negara maju acuan sendiri menjelang tahun 2020 demikian penting. Sebagai balasan, para guru menerima skim perkhidmatan dan saraan yang sentiasa mengalami proses penambahbaikan dari masa ke masa supaya sejajar dengan status sebagai ahli ikhtisas yang berkesan.
Bermula dengan rutin perhimpunan biasa, majlis diteruskan dengan perutusan pengarah pelajaran negeri Perak dan pegawai pelajaran daerah Kinta Utara. Pelajar juga berpeluang menyaksikan para guru menyanyikan lagu "Guru Malaysia" dan ikrar perkhidmatan yang diketuai oleh Ustaz Suhaimi bin Hamid, pengerusi kelab staf. Begitulah gambaran perjalanan sambutan hari guru di SMK St. Michael, Ipoh (SMI) pagi tadi.
Cahaya terik matahari seawal pukul lapan pagi tidak menghalang acara persembahan pelajar dijayakan. Hadirin sangat teruja dengan tarian singa, kompang, nyanyian "terima kasih cikgu" dan persembahan pancaragam sekolah. Dengan sokongan teknikal sistem siar raya yang baik, semua slot persembahan berjalan dengan lancar.
Acara sukaneka guru juga menarik perhatian hadirin. Empat pasukan yang bersaing dikehendaki meniup belon hingga pecah, mengambil sebanyak mungkin kacang dengan menggunakan penyepit mi dan memasukkannya ke dalam botol. Selain itu terdapat acara boling buah kelapa tua, menghias model dummy pelajar prauniversiti tingkatan 6 Rendah dengan lembaran akhbar, serta acara prasambutan seperti badminton, baling dart, boling tenpin dan karom.
Usai acara permainan, kelas berjalan seperti biasa dengan pelaksanaan peperiksaan pertengahan tahun. Pada sebelah tengah hari, semua guru dan kakitangan SMI diraikan dalam majlis jamuan khas yang berlangsung di dewan sekolah. Pihak PIBG  telah bermurah hati menyampaikan sijil penghargaan dan hadiah wang tunai kepada panitia cemerlang PMR, SPM dan STPM tahun 2012...

Sunday, May 12, 2013

TERIMA KASIH CIKGU AZMIR (INSPIRATIONAL TEACHING MAKE SENSE)

Ipoh, Jumaat: 3/5/13 = 22 Jamadil Akhir 1434

Murid yang sedia baik dan datang daripada latar belakang keluarga yang baik memudahkan tugas guru. Sebaliknya, murid yang bertingkah laku lencongan dan datang daripada keluarga yang kurang kasih sayang menjadikan tugas guru semakin penting. Falsafah itu menjadi pegangan Cikgu Azmir, guru ganti kepada Puan Seri Ayu yang bercuti selama dua bulan.
tugas guru bukan sekadar di bilik darjah

Cikgu Azmir ialah siswazah biologi (B.Sc. Hons) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang tersenarai sebagai antara 50 buah universiti terbaik dunia dalam pengajian sains dan teknolgi. Beliau juga sudah menyiapkan kajian untuk ijazah sarjana (M.Sc) dan bakal menghadiri majlis konvokesyen sekali lagi. Cikgu Azmir juga sedang berusaha untuk mendapatkan tajaan untuk pengajian ijazah doktor falsafah (Ph.D) sebagai tiket untuk menyertai dunia akademia dan penyelidikan.
tanda kenangan dari kelab staf

Pengalaman selama dua bulan sebagai guru ganti cukup berharga sebagai bekalan kerjaya sebenar masa hadapan Cikgu Azmir. Kelab Staf menerusi Ustaz Suhaimi selaku presiden menyampaikan oleh-oleh kenangan buat Cikgu Azmir. Warga SMK St. Michael, Ipoh (SMI) mengucapkan selamat maju jaya kepada Cikgu Azmir dan beroleh kesejahteraan dunia akhirat hendaknya, amin...

Wednesday, May 8, 2013

PELAJAR PRAUNIVERSITI 6 RENDAH 2013 MENDAFTAR (THE NEW FACES OF MICHAELIANS)

Ipoh, Rabu: 8/5/13 = 27 Jamadil Akhir 1434

Sejumlah hampir 200 orang pelajar baharu program prauniversiti tingkatan enam mula mendaftar seawal pukul 8.30 pagi tadi. Selain bekas Michaelian, lepasan SPM dari Main Convent, Sam Tet, SMK Jalan Pasir Puteh, SMK Aminuddin Baki, Chemor dan lain-lain sudah kelihatan bersedia memulakan pengajian. Terdapat juga ibu bapa yang menemani anak masing-masing, atau sebagai wakil anak yang masih mengikuti program latihan khidmat negara (PLKN).
Proses pendaftaran dibantu oleh jawatankuasa majlis tingkatan 6 dan pengawas sekolah. Sejurus selepas urusan pendaftaran selesai, semua pelajar baharu berkenaan masuk ke dalam dewan sekolah untuk sesi taklimat minggu suai kenal. Antara slot paling awal ialah ucapan moderator (penyelia) tingkatan 6 Rendah, Puan Lim Kooi Wan ,dan presiden majlis tingkatan 6, Muhammad Imran.

Kumpulan kohort kedua sistem modular itu akan menjalani program suai kenal selama tiga hari berturut-turut bagi mendapat gambaran tentang pembelajaran di peringkat persediaan universiti. Pelajar mempunyai tempoh shopping yang singkat bagi memohon pertukaran jurusan, iaitu antara 15 Mei hingga 10 Jun ini, kerana tempoh cuti pertengahan tahun bermula dari 24 Mei hingga 2 Jun. Keputusan permohonan akan diketahui seminggu berikutnya.

Tuesday, April 30, 2013

ATLET SMI TERUS MENYERLAH (TOWERING PERSONALITY AT ST MICHAEL'S)

Sebagai sebuah sekolah premier yang telah mencipta kejayaan demi kejayaan, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) tidak ketinggalan melahirkan jagoan dan tokoh bidang sukan seperti pasangan legenda beregu badminton, Ng Boon Bee dan Tan Yee Khan (bekas juara seluruh England), Foo Keat Siang dan Mohamad Abdul Hadi (kapten skuad hoki kebangsaan), sekadar menyebut beberapa nama. Generasi baharu (abad kedua penubuhan SMI) kini menyambung legasi kegemilangan itu. Walaupun begitu banyak pesaing baharu yang muncul daripada sekolah projek bertaraf akademi sukan, SMI masih berjaya menonjolkan bakat sukan hingga ke peringkat antarabangsa.

...

...

...

...