Ipoh, Jumaat: 26.8.11 / 26 Ramadan 1432
Guru dan murid SMK St Michael, Ipoh (SMI) telah berganding bahu bagi menjayakan program tadarus sempena Ramadan. Setiap kumpulan dipimpin oleh individu yang dikenal pasti fasih tentang kaedah bacaan dan asas tajwid. Sejumlah 15 kumpulan ditugaskan membaca dua juzuk al-Qur'an sejak minggu kedua puasa.
Acara kemuncak tadarus ialah majlis khatam al-Qur'an yang dilangsungkan di dewan sekolah. Acara dimulai dengan perarakan masuk wakil peserta tadarus, sambil diiringi bacaan selawat. Kemudian, peserta berkenaan naik ke pentas untuk memimpin bacaan surah-surah lazim.
Persembahan multimedia tentang keajaiban al-Qur'an benar-benar terbukti secara "tunai". Pada awal majlis, diumumkan berita kepergian salah seorang anggota keluarga warga SMI, tetapi usai tahlil ringkas dan doa, berita diterima bahawa orang yang dimaksudkan masih dipanjangkan umur oleh-Nya. Maha Suci Allah, Subhanallah.
Semua peserta dalam kalangan murid menerima oleh-oleh berupa duit raya, manakala guru dan wakil peserta menerima bunga telur dan naskhah surah Yasin. Upacara disempurnakan oleh En. Mohd Zahir bin Ramli, Penolong Kanan SMI. Dalam ucapan penutup, beliau mengharapkan bahawa di samping hubungan dengan Allah, amalan al-Qur'an akan mengukuhkan aspek hablum-minannas, khususnya rasa hormat murid terhadap guru agar kecemerlangan pembelajaran dan mutu sahsiah tertinggi dapat dicapai...
No comments:
Post a Comment