Ipoh, Khamis: 3/11/11 = 7 Zulhijjah 1432
Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum menutup tirai kegiatan wajib di SMK St. Michael, Ipoh (SMI). Pelajar yang memiliki tahap pencapaian minimum di peringkat daerah diberi pengiktirafan rasmi, serta diraikan sebagai penerima anugerah yang selayaknya. Sijil kehadiran penuh juga disampaikan kepada lebih kurang 5 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar SMI yang mencecah angka 2,000 orang semuanya.
Bagi penerima anugerah, majlis yang dihadiri ialah catatan sejarah peribadi yang penting. Sebaliknya, kepada hadirin dan tetamu, mereka tampak lebih tertarik kepada acara sampingan dan selingan yang disajikan. Antara acara yang mendapat perhatian ialah persembahan unit pakaian seragam dan muzikal.
Demonstrasi seni bela diri dilangsungkan di gelanggang badminton, iaitu kawasan sebelah luar dewan dan kafetaria SMI. Antara pasukan yang mengambil bahagian ialah silat seni gayung, taekwando dan wushu. Di samping persembahan gerakan asas dan kunci mati, pertarungan olok-olok turut ditunjukkan.
Suatu ketika dahulu, pernah ada saranan agar kegiatan seni bela diri diwajibkan kepada semua pelajar sekolah. Justifikasi tentang hal itu berkaitan ancaman jenayah yang makin berleluasa, terutama terhadap pelajar perempuan. Namun, idea berkenaan sudah tenggelam kerana masih banyak idea yang berbaris menunggu giliran dalam dunia pendidikan kita...
No comments:
Post a Comment