Ipoh, Rabu: 26/9/12 = 10 Zulkaedah 1433
Menjelang hujung tahun, khususnya sebulan dua sebelum tarikh peperiksaan awam bermula, majlis makan-makan ialah perkara biasa. Di sekolah, acara jamuan hujung tahun juga bukan lagi asing. Selain sibuk dengan urusan peperiksaan dan cuti panjang, sejumlah pelajar juga bakal mengakhiri status sebagai pelajar sekolah.
makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan
Pasukan kadet bomba SMK St. Michael, Ipoh (SMI) juga tidak mahu ketinggalan untuk meraikan anggota senior tingkatan 6 Atas. Walaupun hakikatnya pelajar 6 Rendah juga bakal menghadapi peperiksaan STPM penggal pertama di bawah sistem modular lebih awal, aras kesukaran calon 6 Atas di bawah sistem terminal lebih berat kerana harus menjalani pentaksiran secara sekali gus. Maka, wajar sekali anggota kadet bomba 6 Rendah bertindak selaku pengelola jamuan, manakala anggota 6 Atas sebagai tetamu yang diraikan.
Cikgu Siti Noraishah, Daniel (pengerusi), Wong Jing Siong (bekas pengerusi)
Acara dimulai dengan ucapan ringkas guru penasihat dan pengerusi pasukan. Pada amnya, pasukan kadet bomba prauniversiti SMI berjaya mencapai maksud kegiatan kokurikulum pakaian seragam, walaupun tidak sepenuhnya terlaksana. Kegiatan pasukan masih bersifat dalaman, justeru pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Kementerian Pelajaran Malaysia masih dalam proses mengemas kini buku panduan kadet bomba secara terselaras.
sebahagian daripada 75 anggota kadet bomba SMI
Menu jamuan perpisahan kadet bomba kali ini ialah nasi beryani dengan ayam masak madu dan telur masak kurma menerusi pesanan khas. Majllis skala sederhana itu berlangsung di bilik Pendidikan Seni SMI. Anggota kadet bomba yang hadir kelihatan ceria dan gembira menikmati majlis yang santai itu.
Majlis yang bermula pada pukul 1.30 tengah hari itu berakhir sejam kemudian. Pengalaman organisasi dan sosial yang diperoleh daripada majlis seumpama itu boleh menjadi bekal yang berguna untuk hari muka. Pasukan kadet bomba SMI bakal meneruskan sumbangan yang signifikan terhadap warga sekolah secara keseluruhannya...
No comments:
Post a Comment