Ipoh, Isnin: 31/12/12 = 17 Safar 1434
Konsep 'melindungi masa instruksional murid' (MMI) yang dilontarkan oleh kepimpinan ikhtisas Kementerian Pelajaran buat pertama disebutkan kepada semua guru sebagai pembuka kata mesyuarat pertama tahun 2013. Mungkin pegawai atasan yang duduk di kerusi empuk dan bilik berhawa dingin sempat mencipta rangkai kata yang mempunyai makna yang mendalam itu. Penjenamaan semula takrif sekolah sebagai organisasi yang memupuk pembelajaran diharap dapat mengingatkan semula tentang ikrar perkhidmatan keguruan sebagai kerjaya menolong.
MMI bermaksud supaya proses pembelajaran murid di bilik darjah dijalankan sepenuhnya berdasarkan peruntukan jadual waktu tanpa sebarang gangguan. Reka bentuk pembelajaran juga dirancang dengan cermat supaya murid hanya beroleh pengalaman pembelajaran yang terbaik. Pihak berkuasa pendidikan mahu bahawa pembelajaran di bilik darjah bermula sepenuhnya sejak hari pertama persekolahan.
Perkara lain yang diberi penekanan ialah tentang prinsip perbelanjaan dan pembelian yang menggunakan peruntukan waran kerajaan. Sebagai sekolah bantuan modal, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) tidak seperti sekolah bantuan penuh yang bertaraf pusat tanggungjawab (PTJ). Tatacara pembelian barang dan harta modal mesti mematuhi proses yang ditetapkan, selain pindahan peruntukan (virement) yang merupakan perkongsian tanggungjawab setiap panitia mata pelajaran.