TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Wednesday, January 30, 2013

KOKURIKULUM PRAUNIVERSITI GILAP KEMAHIRAN INSANIAH (EXCEL OUTSIDE LECTURE ROOM)

Kecemerlangan pelajar dalam bidang akademik perlu dilengkapkan dengan pengalaman kepimpinan, perkhidmatan, kesukarelaan dan kemahiran insaniah yang lain. Reka bentuk aktiviti pembelajaran di dalam bilik darjah dan di luar bilik darjah sememangnya menjurus ke arah pencapaian hasrat yang berkenaan. Kegiatan kokurikulum merupakan kesempatan yang tepat bagi menggilap potensi dan fakulti dalam diri generasi muda agar terus menjiwai kecemerlangan.

Penjenamaan semula pengajian prauniversiti tingkatan enam turut memperkasakan kegiatan kokurikulum yang merangkumi persatuan dan kelab, permainan dan unit pakaian seragam. SMK St. Michael, Ipoh (SMI) menawarkan ketiga-tiga bidang kegiatan kepada kira-kira 450 orang pelajar tingkatan enam. Menerusi bimbingan dan nasihat guru akademik tingkatan 6, pelajar prauniversiti merancang dan melaksanakan program yang bersesuaian dengan perlembagaan organisasi. Sejumlah 10 buah persatuan dan kelab, 7 unit pakaian seragam dan 8 jenis permainan ditawarkan untuk pelajar prauniversiti tingkatan 6 di SMI.
Salah sebuah organisasi yang bergiat aktif ialah Kelab Penulisan dan Penerbitan yang ditubuhkan untuk membantu pihak sekolah dalam penerbitan majalah tahunan The Michaelians yang sudah melepasi edisi ke-65. Ahli kelab secara automatik diserap sebagai anggota sidang redaksi majalah sekolah. Mereka bekerjasama dengan Kelab Fotografi untuk mendapatkan rakaman gambar terbaik untuk dokumen rujukan rasmi sekolah itu.
Sementara itu, pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat memberi tumpuan terhadap kepimpinan organisasi, penganjuran pertandingan dan kegiatan kebajikan. Sebagai pasukan seragam yang mengutamakan disiplin, aktiviti kawad kaki, kawad hos dan perbarisan kehormat terus diberi perhatian. Pengalaman pembelajaran yang dilalui bakal mengukuhkan daya kepimpinan dan strategi permuafakatan pelajar demi masa hadapan yang cemerlang. 

Penerapan gaya hidup sihat juga dimantapkan dengan kegiatan permainan. Lapan jenis permainan yang ditawarkan ialah badminton, bola jaring, bola keranjang, bola tampar, catur antarabangsa, catur Cina, ping pong dan futsal. Pelajar bukan sahaja memiliki kesempatan untuk kegiatan yang bersifat kecergasan, tetapi menerima pendedahan dari segi tatakelola pertandingan peringkat dalaman.

Wednesday, January 23, 2013

BOLA SEPAK PEMANAS BADAN: SMI LAYAN STAR (ENDURANCE AND STAMINA IN SOCCER)

Ipoh, Rabu: 23/1/13 = 11 Rabiul awal 1434

Bagi menguji keserasian pemain, formasi pasukan dan daya saing, skuad bola sepak SMK St. Michael, Ipoh (SMI) mengadakan perlawanan persahabatan dengan Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (Star) di laman sendiri. Aksi pasukan bawah 18 tahun dan bawah 15 tahun diadakan secara berturut-turut. En Saiful Bahri, pengurus skuad bawah 18 tahun dan En. Zulkarnain Daud (bawah 15), perlawanan ini dimanfaatkan untuk memuktamadkan barisan pemain yang bakal mewakili SMI dalam kejohanan peringkat daerah dan kejohanan sekolah-sekolah premier.
SMI mengasak kubu Star

Skuad bawah 18 tahun SMI bermula dengan garang apabila menyumbat gol seawal minit pertama bagi menghukum kealpaan benteng lawan. Star membuat serangan bertali arus dan akhirnya berjaya mengikat kedudukan 1-1 hingga tamat separuh masa pertama. Namun, skuad SMI yang baru menjalani latihan selama seminggu menghadiahkan tiga gol lagi untuk pasukan pelawat dan berakhir dengan keputusan 1-4.
penjaga gol SMI bertindak cemerlang, tetapi bola lambung sukar dijangkau

Skuad bawah 15 tahun kelihatan lebih agresif apabila dua kali mendahului Star dengan kedudukan 2-1 hingga wisel separuh masa pertama ditiup oleh pengadil perlawanan, seorang pelajar SMI sendiri. Skrip perlawanan skuad bawah 15 hampir sama dengan pasukan senior apabila membenarkan Star menambah tiga gol lagi mEnjadikan perlawanan berakhir dengan 2-5. Skuad SMI juga bakal mengadakan beberapa perlawanan ujian seterusnya dalam tempoh yang terdekat...

Tuesday, January 22, 2013

MAJLIS PELANTIKAN PEMIMPIN PELAJAR 2013 (SELF-CONTROL AND SOCIAL SANCTION IN SCHOOL)

Ipoh, Isnin: 21/1/13 = 9 Rabiul Awal 1434

Persekitaran sekolah ialah bayangan masyarakat sebenar. Segala urusan berciri politik (kepimpinan, pentadbiran, pengurusan), ekonomi (kecekapan, kewangan, peruntukan sumber,urus niaga, sinergi), sosial (interaksi, silang budaya), teknologi, akhlak dan sebagainya terangkum dalam proses pembelajaran. Pada akhirnya, generasi muda dilengkapkan dengan pengetahuan rasmi dan tidak rasmi tentang kehidupan bermasyarakat yang harmoni, rukun dan sejahtera.
keunikan SMI

Mekanisme kawalan sosial secara dalaman setiap individu (self-controlmuraqabah) atau disebut juga sebagai jati diri. Untuk bacaan lanjut tentang kawalan kendiri, sila klik di sini. Namun, kawalan kendiri perlu disokong oleh sistem kawalan sosial, seperti ganjaran atau pengukuhan dan juga isbat (baca di sini).

watikah pelantikan

Di sekolah, kawalan kendiri menerusi pengukuhan sahsiah dan tingkah laku terpuji dilengkapkan dengan kawalan sosial oleh peraturan dan undang-undang sekolah menerusi organisasi kepimpinan pelajar yang rasmi. SMK St. Michael, Ipoh (SMI) mengadakan majlis pelantikan pemimpin pelajar dalam suasana yang ringkas, tetapi penuh makna. Pengawas sekolah, pengawas pusat sumber dan ketua kelas telah teruji dalam tempoh percubaan sebelum jawatan mereka disahkan dalam majlis berkenaan.
ikrar kepimpinan pelajar

Kepimpinan ialah proses mempengaruhi orang lain bagi mencapai matlamat organisasi. Pemimpin pelajar SMI memikul tanggungjawab besar supaya seluruh warga pelajar memberi sokongan terhadap persekitaran pembelajaran yang diinginkan. Maka, terlebih dahulu pemimpin pelajar sendiri perlu menunjukkan teladan yang terbaik.
pengawas pusat sumber

Pengetua SMI, Puan Loh Wei Seng telah memberikan perincian tentang peranan kepimpinan dalam tempoh hampir setengah jam. Teori kepimpinan yang relevan dengan persekitaran pembelajaran telah diberi penekanan yang khusus. Beliau dan penolong-penolong kanan kemudiannya telah sudi menyampaikan watikah pelantikan kepada pemimpin pelajar SMI sesi 2012 / 2013.
majlis ketua kelas

Ketua pengawas, merangkap ketua pengawas ialah Seran Nicholas a/l Krishnan, manakala ketua pengawas pusat sumber diamanahkan kepada Low Yee Wai dan pengerusi majlis ketua kelas disandang oleh Phuan Soon Lee. Masing-masing dibantu oleh Foo Kai Yen, Chan Kah Ying dan Au Ying Hong. Sebagai kelompok rujukan, pemimpin pelajar memiliki peranan istimewa untuk menyumbang terhadap pencapaian kecemerlangan sekolah...

Tuesday, January 15, 2013

BANTUAN AWAL TAHUN DAN SARANA IBU BAPA (ONE OFF TRANSFER PAYMENT DAY)

Ipoh, Selasa: 15.1.13 / 3 Rabiul Awwal 1434

Program bantuan awal tahun persekolahan dan sarana ibu bapa berjalan serentak di seluruh negara pada pagi ini. Setiap orang murid tahun satu sekolah rendah hingga murid tingkatan lima sekolah menengah layak menerima RM100 setiap orang tanpa mengambil kira latar belakang sosioekonomi keluarga masing-masing.

SMK St. Michael, Ipoh (SMI) turut mengagihkan dana bantuan berjumlah hampir RM200,000 kepada murid sesi pagi dan sesi petang. Taklimat ringkas tentang dana bantuan dan sarana ibu bapa disampaikan oleh pengetua cemerlang SMI, Puan Loh Wei Seng bertempat di dewan sekolah. Di samping menerima wang tunai, ibu bapa diminta mengisi borang soal selidik berkenaan peranan ibu bapa di rumah membantu kecemerlangan pembelajaran anak-anak.

Murid menghabiskan kira-kira 15 peratus masa dalam sehari di sekolah, iaitu bersamaan lima jam setengah. Selebihnya, mereka berada di bawah kawalan dan pemantauan keluarga. Maka, institusi rumah tangga mempunyai pengaruh yang sangat kuat terhadap proses pembelajaran murid sekolah sama ada kognitif (intelek), afektif (nilai dan sikap), atau psikomotor (kemahiran deria).

Kesempatan bersua muka dengan guru boleh diambil oleh ibu bapa untuk mendapat maklum balas tentang peranan dan sokongan yang diperlukan oleh murid dalam persekitaran rumah mereka sendiri. Kini, sebahagian perbelanjaan kewangan persekolahan seperti yuran Suwa dan yuran peperiksaan awam telah ditanggung oleh kerajaan, iaitu daripada pelbagai punca hasil negara. Kini, terserah kepada institusi keluarga untuk memastikan bahawa murid menikmati sokongan pembelajaran di rumah...

(Catatan: Pelajar prauniversiti tingkatan dijadualkan menerima baucar buku bernilai RM250 seorang pada bulan Mac, serentak dengan serahan kepada pelajar IPT).

Saturday, January 12, 2013

LA SALLE JUARA LARIAN 2013 (ROAD RUNNING OVER NATURAL TERRAIN)

Sabtu, 12/1/13 = 29 Safar 1434

SMK St. Michael, Ipoh (SMI) mungkin mencatat rekod antara sekolah paling awal menjayakan larian merentas desa, iaitu acara wajib bagi semua sekolah awam. Guru dan murid hadir awal supaya pertandingan berlangsung pada awal pagi. Cahaya matahari pagi masih muda dan dikatakan kaya dengan vitamin D.
Selepas mendaftar kehadiran, semua peserta berkumpul di padang untuk taklimat akhir dan aktiviti pemanas badan, iaitu senamrobik secara beramai-ramai. Jarak yang dilalui ialah sepanjang 4 hingga 7 kilometer bergantung kepada kategori murid. Bantuan pihak polis trafik bermula di hadapan pintu masuk utama SMI memberi jaminan tentang keselamatan peserta.
Seperti biasa telatah para peserta semasa larian bermacam-macam ragam. Kelihatan ada yang bersungguh-sungguh untuk mencatat kemenangan peribadi sambil membantu rumah sukan memperoleh mata yang banyak. Di samping itu, ramai juga yang kelihatan begitu bersahaja, tetapi berusaha menamatkan larian sebagai tanda penglibatan dan sokongan terhadap acara wajib tahunan pihak sekolah.
Kejayaan ialah milik orang yang berusaha dan bijak dalam persaingan tahap tinggi. Mereka sentiasa menunjukkan perbezaan yang ketara dari segi taktikal dan tenaga. Hendaknya ciri berkenaan mampu diterapkan juga dalam proses pembelajaran di bilik darjah.
Juara keseluruhan merentas desa SMI edisi 2013 akhirnya dirangkul oleh rumah sukan La Salle, dengan pungutan 174 mata. Pasukan lain mengekori rapat kedudukan rumah La Salle sebelum bermula acara sukan tara dan kejohanan sukan tahunan. Tahniah kepada semua pemenang, semua peserta dan semua petugas acara larian merentas desa yang kini tercatat dalam lembaran sejarah SMI...

Monday, January 7, 2013

MICHAELIAN DIGESA TERUS CIPTA KEJAYAAN (BRINGING OUT THE GREATNESS)

Ipoh, Isnin: 7.1.2013 // 24 Safar 1434

Pencapaian silam memang akan sentiasa menjadi pendorong dan inspirasi, tetapi usaha mesti dilakukan supaya catatan sejarah yang berkenaan tidak bersifat akademik semata-mata. SMK St. Michael, Ipoh (SMI) kini melangkah ke abad kedua penubuhannya. Persekitaran pendidikan telah banyak mengalami perubahan, manakala pesaing baharu muncul dari masa ke masa.

Bagi menyuntik pembaharuan dan citra kecemerlangan, SMI terus mencari jalan untuk meningkatkan pencapaian ke tahap yang lebih tinggi. Umpama jenama yang mahu terus unggul, kesan 'pengiklanan' dan 'promosi' mesti melekat dalam minda masyarakat. Iklan yang hebat menampilkan suatu cogan kata, tema atau tag line yang berupaya menangkap imaginasi sasaran.
pengetua cemerlang SMI bersama murid cemerlang PMR 2012

Serentak dengan perhimpunan mingguan pertama tahun baharu, tema Onward Michaelians! Valiant and True dilancarkan pada pagi ini. Upacara ringkas tetapi penuh makna itu disekalikan dengan pengumuman nama calon cemerlang PMR 2012 seramai 51 orang. Murid tingkatan 3 semasa diingatkan agar mencontohi kecemerlangan calon-calon PMR terdahulu hingga ada yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 orang calon terbaik PMR peringkat kebangsaan.

Wednesday, January 2, 2013

HARI PERTAMA PERSEKOLAHAN YANG MENDUNG (WITHIN THE FOUR WALLS LEARNING ACTIVITIES)


Tanggal 2 Januari 2013 menandakan sesi persekolahan telah kembali. Seluruh warga sekolah kembali ceria setelah sekian lama tidak bersua muka. Perjuangan menuntut ilmu kini diteruskan dengan penuh bergaya.
Berdasarkan kelaziman, satu perhimpunan ringkas sempena hari pertama persekolahan diadakan. Namun, cuaca yang agak gelap serta hujan renyai di persekitaran SMK St. Michael, Ipoh (SMI) tidak memungkinkan perhimpunan dapat dilaksanakan. Taklimat ringkas tingkatan 4 untuk semakan semula penempatan kelas dibuat di dalam dewan sekolah.

Bagi memenuhi kehendak pihak kementerian dan jabatan, kegiatan pembelajaran di bilik darjah bermula sejak waktu pertama lagi. Murid dan guru sama-sama akur bahawa tanggungjawab masing-masing perlu disempurnakan. Jaminan masa kini dan masa hadapan wajib diberi tumpuan...