TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Friday, August 30, 2013

MAJLIS BACAAN YASIN PAGI JUMAAT MENGUKUHKAN JATI DIRI PELAJAR SMI (THE SACRED VERSE)

Kebolehan membawa diri dalam sesuatu persekitaran yang rencam sangat bergantung terhadap keteguhan jiwa dan jati diri seseorang. Bagi umat Islam, iman dan taqwa menjadi benteng yang paling ampuh bagi menghadapi segala bentuk cabaran, dugaan, fitnah, mehnah, tribulasi dan ujian yang datang dari pelbagai sudut. Pelajar Islam tidak terkecuali untuk terus mara menuju kecemerlangan dengan menolak semua pengaruh negatif (salbiyyah) sama ada daripada bisikan hati, mahupun pengaruh persekitaran.  
                            
Antara usaha bagi memupuk keperibadian yang utuh dan jiwa hamba Allah, ialah mendekatkan diri dengan kalam Allah dan majlis-majlis ilmu. Panitia Pendidikan Islam dengan kerjasama Persatuan Pelajar Islam SMK St. Michael, Ipoh (SMI) menganjurkan majlis membaca surah Yasin secara berkala pada pagi Jumaat pilihan. Majlis bermula seawal pukul tujuh pagi dan berakhir setengah jam kemudian.
Usai bacaan surah Yasin, pelajar Islam SMI yang berkumpul di auditorium sekolah menadah tangan memanjatkan doa ke Hadrat Ilahi. Kedatangan Ustaz Safuan yang bergraduat dari universiti tertua dunia, al-Azhar, Mesir ternyata mengukuhkan pelaksanaan program kerohanian di SMI. Ketua Panitia Pendidikan Islam SMI, Ustaz Suhaimi kemudian menutup majlis dengan tazkirah ringkas ...

Sunday, August 25, 2013

GURU DAN MICHAELIAN IBARAT AUR DENGAN TEBING (BRIDGING EXPECTATION IN THE SCHOOL)

Hubungan profesional yang akrab, tetapi beradab antara guru dengan pelajar menyumbang terhadap pencapaian akademik dan kemahiran sosial yang tinggi dalam kalangan pelajar (klik di sini). Apabila pelajar berasa selesa dengan layanan yang adil dan layak, mereka boleh diharapkan untuk menggembleng usaha yang optimum bagi memenuhi jangkaan guru dan juga sekolah (klik pula di sini). Iklim sekolah yang positif, serta budaya sekolah yang bersifat matang seperti itu perlu disemarakkan pada sepanjang masa.
Cikgu Liew Boon Ket (memegang kamera) bersila bersama pelajar
dalam satu majlis perhimpunan khas sekolah

Sebagai sebuah sekolah premier yang sudah melepasi 100 tahun penubuhannya, SMK St. Michael, Ipoh (SMI), perkara yang tersebut memang sentiasa diberikan perhatian. Kerjasama yang erat antara guru dengan pelajar bukan sahaja berlaku di bilik darjah dan kegiatan luar bilik darjah, bahkan dalam penganjuran semua majlis yang dirancang dan dilaksanakan. Kebanyakan acara rami membabitkan penglibatan aktif para pelajar, manakala guru bertindak sebagai pembimbing, penasihat dan pakar rujuk.

Gambar yang tertera di atas memaparkan betapa guru SMI tidak berasa canggung atau kekok untuk berada bersama kumpulan pelajar dalam sesuatu acara rasmi. Cikgu Liew Boon Ket, guru biologi prauniversiti, merangkap guru penasihat pasukan pancaragam sekolah dan guru kelab fotografi sentiasa sanggup meluangkan masa untuk turun padang walaupun ketika musim cuti bagi memastikan pelajar menikmati pengalaman pembelajaran, bimbingan dan jaminan keselamatan. Kesibukan guru dengan tugas kurikulum, pentaksiran, kemas kini data atas talian, rekod pengajaran dan pembelajaran, serta pelbagai sesi mesyuarat tidak menjadi halangan untuk mendampingi pelajar yang menjadi sandaran pencapaian keseluruhan sekolah ...

Monday, August 19, 2013

PASANGAN KEMBAR, KELAS UA3 TERBAIK STPM PENGGAL 2 (REWARDING THE TOP ACHIEVERS)

Ipoh, Isnin = 19/8/13 = 12 Syawal 1434

Sejumlah 20 orang calon STPM modular penggal 2 dari SMK St. Michael, Ipoh (SMI) mencatat pencapaian purata nilai gred kumulatif (pngk) 3.5 ke atas. Mereka mewakili sembilan peratus daripada sejumlah 220 orang calon yang menduduki peperiksaan tersebut. Bilangan itu bertambah enam orang berbanding dengan pencapaian penggal 1.
Bagi mengiktiraf pencapaian kecemerlangan calon STPM modular penggal 2, pihak sekolah menganugerahkan sijil kepujian dan hadiah iringan tunai sebanyak RM50 sumbangan PIBG. Pengumuman dilakukan oleh Puan Tan Cheng Choo, Penolong Kanan Tingkatan 6, manakala hadiah disampaikan oleh pengetua cemerlang SMI, Puan Loh Wei Seng. Majlis ringkas itu berlangsung semasa sesi perhimpunan mingguan selepas cuti pertengahan tahun dan sambutan hari raya puasa.
Pasangan kembar Phan Wai Kin dan PanWai Yuen (gambar di atas) muncul sebagai pelajar terbaik dengan pencapaian pngk 4.0, di samping seorang lagi pelajar UA3, Low Kim Jin yang turut mencatat pngk yang sama. Mereka mencatat gred A untuk kertas Pengajian Am, Ekonomi, Pengajian Perniagaan dan Perakaunan. Pelajar tebaik jurusan sains ialah Wong Zhi Sian dengan catatan 3.83 (A dalam Pengajian Am, Matematik T dan Kimia; B+ untuk Biologi).

Kelas UA3 mempunyai 9 orang wakil, manakala US4 dengan 7 orang wakil. Selebihnya US1 (2 orang), manakala UA1 dan US1 masing-masing kelas seorang wakil. SMI mempunyai tiga kelas aliran kemanusiaan (UA) dan lima kelas sains (US). Semoga pengiktirafan ini bakal memberi dorongan yang kuat kepada semua calon STPM Penggal 3 (6 Atas) dan calon Penggal 1 (6 Rendah) untuk melonjakkan nama SMI kelak ...

Monday, August 5, 2013

GURU SMI UCAP SELAMAT HARI RAYA (UNTIL THE NEXT RAMADAN)

Bulan puasa Ramadan 1434 Hijriyyah sudah tiba pada penghujungnya. Mudah-mudahan bertambah tinggi hendaknya makam taqwa mereka yang berpuasa, insya-Allah. Panjang umur murah rezeki, bertemu lagi bulan Ramadan 1435 (bermula akhir Jun 2014).
Cikgu Adi, Cikgu Helmi, Cikgu Samsudin dan Cikgu Nasran

Sempena kedatangan Syawal, sebagai tanda kemenangan kepada golongan yang berpuasa dengan sesungguhnya, guru-guru Islam mengambil kesempatan melafazkan ucapan Eid mubarak, minal a'idin wal faidzin, kullu am wa antum bi khair. Sudah menjadi tradisi bahawa ungkapan maaf zahir dan batin tidak lekang daripada dituturkan. Empat orang guru lelaki SMK St. Michael, Ipoh (SMI) sempat merakamkan simbolik semangat Syawal untuk dikongsi bersama seluruh warga SMI.

Di Malaysia, hari raya turut menjadi wahana bagi mengukuhkan ikatan kekeluargaan, kejiranan dan persahabatan. Perubahan zaman menyebabkan konsep rumah terbuka kini berdasarkan tarikh dan waktu yang tertentu. SMI juga tidak pernah ketinggalan bagi menganjurkan majlis rumah terbuka supaya kemeriahan sambutan hari raya dapat dikongsi seluruh warganya tanpa mengira latarbelakang kepercayaan dan keturunan ...