TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Saturday, May 31, 2014

KEM SOLAT PERDANA SMI JELMA SEMANGAT ISRAK MIKRAJ (ACQUIRING THE PURPOSE OF MANKIND'S CREATION)

Peristiwa Israk dan Mikraj sangat signifikan justeru perintah solat fardu lima waktu sehari semalam diterima secara langsung oleh baginda Junjungan Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam (perincian ilmiah: klik di sini). Sebagai rukun Islam kedua, solat ialah petunjuk unggul tentang makna kehidupan seseorang Islam yang bertaqwa lagi soleh. Begitu banyak hikmah dan rahsia solat telah dibincangkan lewat karya ulama muktabar dan dapatan penyelidikan mutakhir (klik di sini).

Panitia Pendidikan Islam, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) dengan kerjasama Persatuan Pelajar Islam SMI , Jawatankuasa Program Islam SMI (Jappim) dan Gabungan Alumni Pelajar Islam SMI (Gapis) telah menjayakan kem solat perdana bertempat di dewan besar SMI pada tanggal 27 dan 28 Mei yang lalu, iaitu tarikh permulaan cuti pertengahan tahun. Penyertaan diwajibkan kepada semua pelajar Islam SMI yang mencecah angka 400 orang.

Seorang peserta yang ditemui sebelum program berlangsung memberitahu betapa dia teruja dengan kem solat perdana yang turut dimantapkan dengan kehadiran seorang selebriti Pencetus Ummah.

berita lanjut dan gambar menyusul ...

...

...

...

...

Friday, May 30, 2014

5V3 JUARA SULUNG BOLA SEPAK PIALA THE MICHAELIAN (INTELLIGENCE IN SPORT)

Pakar motivasi percaya bahawa seseorang manusia itu memiliki sejumlah 120 bakat, tetapi hanya tiga bakat sahaja yang terserlah. Keadaan itu berpunca daripada sistem ganjaran dan pengiktirafan sosial yang lebih menjurus terhadap kepintaran akal (IQ) berbanding dengan kepintaran lain seperti kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan sosial (SQ). Mujurlah dunia pendidikan sentiasa cuba mencungkil bakat dan menggilap segala potensi dan fakulti murid ke tahap optimum menerusi kegiatan pembelajaran di bilik darjah (kurikulum), di luar bilik darjah (kokurikulum, koakademik, kepimpinan, kebajikan, kesukarelaan dan sahsiah) ke arah pemupukan jati diri dan kemahiran insaniah.
pencetak gol pertandingan: Derek Leong

SMK St. Michael, Ipoh (SMI) sebagai sebuah sekolah premier yang menampung kepelbagaian bakat murid sejak awal penubuhannya tidak pernah alpa akan peranan dan tanggungjawab itu. Selain menghargai kecemerlangan akademik, bentuk pengiktirafan juga dipanjangkan kepada dimensi bakat murid yang lain, terutama sisi kekuatan maskulin yang membentuk 95 peratus enrolmen di SMI. Maka pada tahun 2014, buat julung-julung kalinya pertandingan bola sepak antara kelas tingkatan lima diatur secara rasmi dengan perebutan Piala The Michaelian sumbangan Puan Loh Wei Seng, pengetua cemerlang SMI.
lagak sang juara

Juara edisi sulung menjadi milik kelas 5V3 yang dipimpin oleh Cikgu Hamdan. Upacara penyampaian piala pusingan dan pingat kemenangan disempurnakan dalam satu majlis khas sempena perhimpunan mingguan pada 27 Mei yang lalu. Tahniah juga diucapkan kepada urus setia pertandingan yang diketuai oleh Cikgu Saiful Bahri dengan bantuan guru bola sepak dan kelab bola sepak SMI atas kejayaan menganjurkan acara sukan nombor satu di planet bumi, tambahan pula dengan demam Piala Dunia di Brazil tidak beberapa hari lagi ...

Friday, May 16, 2014

HARI GURU DISAMBUT SEDERHANA (THE EDUCATIONAL RYTHM OF CHANGES)

Ipoh, Jumaat: 16.5.2014 = 16 Rejab 1435

Benarkah kemeriahan perayaan hari guru peringkat sekolah semakin pudar? Benarkah acara dan kegiatan sambutan sebagaimana beberapa tahun yang lalu tidak lagi dilihat sejajar dengan pengalaman pembelajaran murid? Benarkah tanggal 16 Mei bertembung dengan kesibukan peperiksaan dalaman (pertengahan tahun) dan STPM modular penggal 2?
Biarlah segala soalan yang terlintas tentang perkara di atas terjawab menerusi suatu kajian yang autentik. Di SMK St. Michael, Ipoh (SMI) sambutan hari guru dilaksanakan seadanya di sebalik hambatan masa yang berlaku. Walaupun acara menarik seperti permainan dan sukaneka guru kendalian murid tidak dapat diadakan, rutin sambutan seperti ikrar guru, nyanyian 'Guru Malaysia" dan persembahan murid masih berjaya diteruskan seperti biasa.
Sehari sebelum hari sambutan rasmi, berlangsung perasmian bilik selera guru dan kakitangan yang disempurnakan oleh Encik Joseph Michael Lee, pengerusi PIBG SMI. Bilik selera berkenaan telah menelan belanja naik taraf berjumlah RM20,000 sumbangan PIBG. Ciri eksklusif yang ditampilkan sudah pasti memberikan kelainan dan memberikan keselesaan untuk interaksi yang bersifat santai.
Setelah itu, PIBG juga turut menaja jamuan khas sempena sambutan hari guru peringkat sekolah dengan kehadiran guru dan kakitangan berdasarkan kelapangan waktu bertugas. Selain menjamu selera, berlangsung acara penyampaian sijil dan hadiah iringan tunai kepada panitia mata pelajaran cemerlang sepanjang tahun 2013. Tiada sebarang ucapan atau kupasan tema sambutan dilakukan kerana konsep majlis yang santai bagai menghargai guru.
Setiap orang guru SMI menerima hadiah istimewa berupa bag dokumen mini daripada pelbagai organisasi pelajar SMI. Guru-guru yang bertuah turut menerima hadiah peribadi oleh pelajar tertentu. Gambar di atas ialah kumpulan pelajar prauniversiti UA1 bersama guru mata pelajaran dalam satu majlis ringkas, namun sangat bermakna untuk diabadikan sebagai kenangan indah alam persekolahan ...

Monday, May 5, 2014

LEBIH 200 ORANG PELAJAR BARU PRAUNIVERSITI SMI MENDAFTAR DIRI (CHOOSING THE BRIGHT FUTURE)

Ipoh, Isnin: 5/5/14 = 5 Rejab 1435

Pengajian prauniversiti tingkatan enam masih merupakan laluan utama kemasukan pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa. Di sebalik saingan sengit pengajian matrikulasi, asasi sains, foundation, A Level, baccalaureate, serta kursus diploma politeknik, kolej GLC dan swasta, pengajian prauniversiti tingkatan enam masih mendapat sambutan. SMK St. Michael, Ipoh (SMI) menerima kemasukan kira-kira 210 orang pelajar baharu daripada sejumlah 549 tempat yang ditawarkan. 
Selain lulusan SPM 2013 daripada SMI sendiri, bekas pelajar Main Convent, Sam Tet, Jalan Pasir Puteh, Bainun, Aminuddin Baki Chemor, dan Mohd. Taib Chemor juga datang mendaftar. Pelajar yang sedang mengikuti program latihan khidmat negara (PLKN) diberi penangguhan khas. Terdapat juga sejumlah pelajar yang masih menunggu keputusan permohonan rayuan.
Proses pendaftaran dibantu oleh Majlis Pelajar Tingkatan Enam yang diketuai oleh Mohamad Syafil bin Abdul Razak (UA1) dan Alicia Chong. Mereka diselia oleh penyelia (moderator) tingkatan enam rendah, Puan Zaleha. Sebahagian pelajar baharu ditemani oleh ibu bapa masing-masing.
Program minggu suai kenal dipenuhi dengan taklimat dan lawatan ke sekitar kawasan sekolah. Pelajar baharu juga menerima penjelasan tentang pemilihan pakej mata pelajaran, permohonan tukar jurusan dan permohonan tukar sekolah. Penegasan tentang pelaksanaan sistem modular dan pentaksiran kerja kursus juga disampaikan dengan terperinci.
SMI mengalu-alukan kedatangan pelajar baharu prauniversiti tingkatan enam rendah. Pelajar hendaklah mengekalkan momentum kecemerlangan akademik, kepimpinan, kemahiran insaniah, jati diri dan disiplin supaya berupaya menempuh cabaran  pembelajaran prauniversiti. Motivasi kejayaan perlu lebih diutamakan daripada cerita yang boleh menjejaskan semangat juang yang masih berkobar-kobar ...

Saturday, May 3, 2014

ROMBONGAN KELAB STAF SMI KE KUALA KANGSAR (AWAY FOR STAFF DEVELOPMENT)

Kuala Kangsar, Sabtu:  3/5/14 = 3 Rejab 1453

Walaupun tempat yang ditujui dekat sahaja dan sebahagian anggota kelab staf SMK St. Michael, Ipoh (SMI) sudah biasa ke sana, tetapi pergi sebagai keluarga besar kelab staf sudah tentu berbeza. Program ke Kuala Kangsar dianjurkan bersama oleh Kelab Staf dan Jawatankuasa Ladap SMI. Sebanyak tiga buah bas sekolah telah disewa khas dengan tiga orang ketua rombongan, iaitu Cikgu Khiew Wai Mun (pengerusi kelab staf), Cikgu Ibrahim bin Ahmed dan Cikgu Zulkarnain bin Daud.
dalam perjalanan
(bas nombor 3)

Peserta rombongan menikmati sarapan pagi, iaitu nasi lemak (ayam drumstick), air mineral dan dua ketul kuih. Kesempatan berkumpul di dalam bas diisi dengan perbincangan santai tentang pengalaman yang bakal dilalui. Perkongsian tentang kisah-kisah lucu turut mengisi masa yang terluang bagi melupakan sebentar hal ehwal ikhtisas di sekolah.
Cikgu Rohana cuba menempa labu Sayong

Setelah melalui jalan kampung beberapa ketika, rombongan peserta tiba di kompleks koperasi industri kampung di Kepala Bendang, Sayong. Kunjungan ke bandar diraja Kuala Kangsar pasti tidak lengkap tanpa menjenguk industri kraf tangan labu sayong yang sangat masyhur itu. Banyak juga oleh-oleh yang dibeli oleh peserta rombongan di samping cenderamata percuma berupa labu sayong mini.
kenangan di perkarangan Galeri Sultan Azlan Shah

Menjelang tengah hari, rombongan menuju ke Dataran Arena untuk makan tengah hari ('sendirian berhad'). Kebetulan berlangsung pula acara One Kuale yang merupakan promosi pelancongan Kuala Kangsar. Kunjungan ke Galeri Sultan Azlan Shah pula kebetulan dengan ketibaan Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang disambut oleh Pemangku Sultan Perak, serta rombongan murid tingkatan dua MRSM Parit yang beroleh A dalam mata pelajaran Sejarah.
singgah solat zuhur di masjid Ubudiah

Usai menunaikan solat fardu zuhur secara berjemaah, peserta rombongan menikmati ais krim yang dijual di situ. Sesi bergambar tidak rasmi berterusan sebagai bukti kehadiran bersama rakan sejawatan. Maklumlah bahawa sekeping gambar mungkin lebih bermakna berbanding dengan seribu patah perkataan!
sinonim dengan kemajuan Kuala Kangsar

Agenda terakhir program Ladap Kuala Kangsar ialah mencuba laksa asli Pak Ngah bersebelahan SMJK Tsung Hwa, tidak jauh daripada Masjid Talang Hilir. Serbuan lebih seratus orang pelanggan secara serentak menjadikan pengurusan pesanan sedikit kelam-kabut. Kemudian, ketiga-tiga buah bas tiba serentak di hadapan pintu masuk utama SMI kira-kira pukul tiga petang ...