Pakar motivasi percaya bahawa seseorang manusia itu memiliki sejumlah 120 bakat, tetapi hanya tiga bakat sahaja yang terserlah. Keadaan itu berpunca daripada sistem ganjaran dan pengiktirafan sosial yang lebih menjurus terhadap kepintaran akal (IQ) berbanding dengan kepintaran lain seperti kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan sosial (SQ). Mujurlah dunia pendidikan sentiasa cuba mencungkil bakat dan menggilap segala potensi dan fakulti murid ke tahap optimum menerusi kegiatan pembelajaran di bilik darjah (kurikulum), di luar bilik darjah (kokurikulum, koakademik, kepimpinan, kebajikan, kesukarelaan dan sahsiah) ke arah pemupukan jati diri dan kemahiran insaniah.
SMK St. Michael, Ipoh (SMI) sebagai sebuah sekolah premier yang menampung kepelbagaian bakat murid sejak awal penubuhannya tidak pernah alpa akan peranan dan tanggungjawab itu. Selain menghargai kecemerlangan akademik, bentuk pengiktirafan juga dipanjangkan kepada dimensi bakat murid yang lain, terutama sisi kekuatan maskulin yang membentuk 95 peratus enrolmen di SMI. Maka pada tahun 2014, buat julung-julung kalinya pertandingan bola sepak antara kelas tingkatan lima diatur secara rasmi dengan perebutan Piala The Michaelian sumbangan Puan Loh Wei Seng, pengetua cemerlang SMI.
Juara edisi sulung menjadi milik kelas 5V3 yang dipimpin oleh Cikgu Hamdan. Upacara penyampaian piala pusingan dan pingat kemenangan disempurnakan dalam satu majlis khas sempena perhimpunan mingguan pada 27 Mei yang lalu. Tahniah juga diucapkan kepada urus setia pertandingan yang diketuai oleh Cikgu Saiful Bahri dengan bantuan guru bola sepak dan kelab bola sepak SMI atas kejayaan menganjurkan acara sukan nombor satu di planet bumi, tambahan pula dengan demam Piala Dunia di Brazil tidak beberapa hari lagi ...
No comments:
Post a Comment