Ipoh, Isnin: 16.2.15 = 26 Rabiul Akhir 1436
Musim perayaan datang lagi. Kali ini masyarakat Cina merayakan sambutan tahun baru yang dijangka bermula dengan majlis makan besar pada petang Rabu ini. Kebanyakan sekolah akan mula bercuti pada hari Selasa (esok) sehingga Ahad, 22 Februari.
SMK St. Michael, Ipoh (SMI) tidak ketinggalan memeriahkan suasana. Pelancaran dilakukan oleh Encik Ahmad Kemunchak bin Abdul Karim, Penolong Kanan yang kini menanggung tugas pengetua. Beliau memalu gendang Cina sebagai gimik dan simbolik.
Acara ringkas semasa slot perhimpunan mingguan pagi itu diteruskan dengan persembahan gendang kumpulan wusyu. Mereka melakukan beberapa formasi paluan. Khalayak kelihatan terhibur.
Sambutan tahun baru Cina dilengkapkan dengan edaran buah limau mandarin. Pengawas pusat sumber kelihatan mengangkat kotak dan bergerak ke arah kumpulan murid yang duduk. Proses memupuk persafahaman dalam kalangan murid pelbagai latar belakang di SMI menepati konsep pembelajaran dan pemupukan jati diri.
No comments:
Post a Comment