TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Monday, October 28, 2013

PASUKAN RAGBI SMI SEMAKIN DISEGANI (STATE AND NATONAL LEVEL ACHIEVEMENT)

Kejayaan memasuki kelompok elit sesuatu acara sukan hanya dapat dicapai menerusi perancangan, pembangunan dan penggemblengan bakat, di samping sentuhan jurulatih yang berpengalaman dan bersungguh-sungguh. Dari sudut itu, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) memang layak untuk berasa bangga, justeru atlet yang bergelar Michaelian mampu mendaki puncak kejayaan hingga ke peringkat dunia menerusi acara badminton, hoki, golf dan olahraga. Momentum kecemerlangan sukan SMI masih berterusan hingga kini.

Pasukan ragbi SMI turut mencatat kejayaan yang membanggakan apabila menempatkan diri dalam kejohanan berprestij di peringkat negeri dan kebangsaan. Sebelum itu, SMI telah melepasi peringkat daerah Kinta Utara yang begitu kompetetif dengan mengecewakan musuh tradisi, iaitu SMK Anderson. Status sebagai sekolah harian nyata bukan halangan untuk SMI memberi saingan kepada pasukan mantap seperti Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (Star). 
pasukan ragi di perhimpunan mingguan 28/10/13

Bertempat di Star pada hujung minggu lepas, pasukan bawah 15 tahun SMI telah bertarung dengan 12 pasukan lain di peringkat negeri. Pasukan SMI telah muncul sebagai naib juara kategori plate. Pertembungan dengan SM Sains Bagan Datoh (Sabda) memang sengit dan hanya ditentukan menerusi sepakan penalti.

Pasukan bawah 16 tahun SMI pula menyertai kejohanan kolej vokasional peringkat kebangsaan di SM Sains, Teluk Intan (Semesti) juga pada minggu lalu atas status jemputan. Sebanyak 20 buah pasukan yang mewakili negeri dan jemputan telah ikut serta. Sama seperti kejohanan MSSPK, SMI juga membawa pulang kedudukan selaku naib juara kategori plate.

Jurulatih SMI, Cikgu Hilmi, yang juga pengerusi tekni ragbi negeri Perak berpuas hati dengan pencapaian SMI. Beliau memuji tahap disiplin dan kecergasan yang dipamerkan oleh semua pemain. Walaupun kuasa-kuasa baru ragbi peringkat sekolah seperti SMK Lambor, beliau percaya SMI berada pada landasan yang betul untuk kekal berdaya saing ...

Saturday, October 12, 2013

MUSIM PEPERIKSAAN DI PENGHUJUNG (IN-HOUSE AND TRADITIONAL CENTRALISED LEARNING MEASUREMENTS)

Sejarah peperiksaan secara berpusat sepenuhnya di Malaysia sudah hampir bertemu titik noktah. Kini, wajaran komponen pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) mulai mengambil tempat. Walaupun tahap kesahan dan kebolehpercayaan sistem PBS masih menjadi isu, perkara yang lebih penting ialah berlakunya peningkatan dari segi pengalaman pembelajaran dan kemahiran insaniah pelajar di sekolah.
Pelajar LA1 sedang menduduki peperiksaan percubaan STPM penggal satu.
Pelajar yang menoleh ke arah kamera
 ialah Leong Kah Choon, ketua kelas.

Bulan September dan Oktober merupakan tempoh yang sibuk bagi pelajar dan guru. Pelajar membuat persiapan fasa akhir menjelang peperiksaan dalaman sekolah, iaitu peperiksaan akhir tahun dan peperiksaan percubaan. Guru pula sibuk dengan pembinaan item soalan yang wajib akur dengan jadual penentuan ujian (JPU), penyelarasan peraturan pemarkahan dan seterusnya menanda skrip jawapan pelajar.

Pelajar telah menjalani pelbagai program kecemerlangan akademik di peringkat sekolah, di samping menghadiri sesi seminar peperiksaan yang diisi oleh penceramah undangan khas. Ibu bapa juga sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk menghantar anak masing-masing ke kelas tuisyen persendirian. Maka, peperiksaan menjadi medan untuk mencurahkan segala pengetahuan dan kemahiran pembelajaran yang diperoleh selama ini.
kohort terakhir PMR berpusat sepenuhnya di SMI

Keadaan yang sama berlaku di SMK St. Michael, Ipoh (SMI). Walaupun baharu sahaja 'kebah' dengan pelbagai program wajib sekolah yang lain, serta musim hujan yang berlarutan, perjalanan peperiksaan tidak terjejas. Pihak sekolah telah mengambil langkah proaktif dengan pelan luar jangka bagi menghadapi segala kemungkinan. Misalnya, peperiksaan PMR yang membabitkan lebih daripada 300 orang calon telah berakhir dengan jayanya.

Ketika guru tingkatan tiga dan guru kaunseling sibuk dengan program pasca-PMR, guru tingkatan 5 dan 6 Atas pula bertungkus-lumus mengatur strategi menjelang peperiksaan sebenar. Generasi remaja Y yang digoda dengan pelbagai peranti mudah alih jalur lebar mutakhir ini perlu sentiasa diingatkan tentang keperluan mencatat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Sementara sistem peperiksaan sedia ada berjalan, biarkan sahaja perdebatan tentang sistem pentaksiran terbaik kepada pihak yang berkepentingan (contohnya, klik di sini) ...

Saturday, September 28, 2013

HARI ANUGERAH KOKURIKULUM 2013 MERIAH (VALUE ADDED LEARNING ACHIEVEMENT)

Ipoh: Isnin, 23/9/13 = 17 Zulkaedah 1434

Walaupun dilaksanakan secara dalaman, kemeriahan majlis hari anugerah kokurikulum SMK St. Michael, Ipoh (SMI) terasa lebih meriah dengan khalayak berskala besar, iaitu hampir 1,500 orang guru dan pelajar. Pengalaman menyaksikan majlis penting seperti itu sangat bermakna kepada semua pelajar berbanding dengan jika diadakan di dalam dewan yang hanya membabitkan segelintir khalayak. Konsep majlis sedemikian bermula tahun lepas.

...

...

...

...

...

...

Monday, September 23, 2013

LADAP PPPM DAN SARANA SEKOLAH (PROVIDING THE BEST LEARNING EXPERIENCE IN SCHOOL)

Istilah sarana jarang-jarang digunakan dalam perbualan biasa, sama seperti wacana dan wahana. Ketiga-tiga istilah berkenaan sebaliknya digunakan dalam laras bahasa ilmu dan rasmi. Sarana ialah segala sesuatu yang dapat digunakan sebagai alat dan sebagainya untuk mencapai atau melaksanakan sesuatu (Kamus Dewan, edisi IV, 2005:1392).

Contoh ayat yang menggunakan istilah sarana ialah: Bahasa baku berfungsi sebagai sarana budaya tinggi. Sementara itu, prasarana pula merujuk kepada infrastruktur atau keseluruhan kemudahan dan perkhidmatan asas (seperti kemudahan pengangkutan dan perhubungan dan bekalan kuasa elektrik) yang perlu bagi pembangunan, pertumbuhan dan kemajuan (Ibid, 1230). Kebanyakan orang lebih biasa dengan istilah prasarana berbanding dengan sarana.
sesi taklimat sarana sekolah oleh pengetua SMI

Kefahaman tentang konsep sarana itu sangat penting apabila semua pihak yang berkepentingan di sekolah kini didedahkan dengan pelaksanaan sarana sekolah bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran dan kemenjadian murid. Kerjasama yang erat antara pihak sekolah dengan rumah dan komuniti bukan lagi bersifat ad-hoc atau cuba jaya, sebaliknya dirancang sebagai suatu program yang jelas. Manual dan tatacara sarana ibu bapa dan sekolah telah disebarkan secara atas talian (klik di sini untuk muat turun).

Bagi mendapatkan maklum balas dan merangka tindakan susulan, perbincangan rasmi dengan pihak yang berkepentingan di sekolah diadakan dari masa ke masa. Misalnya, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) telah menganjurkan sesi Ladap khusus untuk membincangkan sarana sekolah pada hari Sabtu yang lalu, iaitu bersamaan 21 September 2013 bertempat di auditorium sekolah.

Sarana sekolah merupakan salah satu komponen penting Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013 - 2025) yang menggantikan PIPP sebelumnya. Penekanan tentang iklim sekolah yang kondusif dan komunikasi berkesan, serta konsep BIJAK (sama seperti SMART) menjurus kepada proses pembelajaran yang lebih bermakna. Hakikatnya konsep sarana sekolah ialah penjenamaan semula terhadap proses campur tangan (intervensi) dalam persekitaran pendidikan yang terkini ...

Friday, September 20, 2013

CIKGU VARUSAI AKHIRI LATIHAN INDUSTRI (LOVING THE ALMA MATER)

Bidang pengajian Encik Varusai Mohamed bin Abdul Kader, 24, ialah sains sukan yang merangkumi kursus pengurusan sukan, kejurulatihan, fisioterapi, undang-undang, pemasaran, teknologi dan sebagainya. Beliau ialah bekas Michaelian sebelum menyambung pengajian di Universiti Malaya. Malah, kebanyakan cikgu beliau masih ada di SMI seperti Cikgu Helmi, Cikgu Adi dan penulis blog sendiri.
Encik Varusai tetap memilih SMI walaupun hampir semua rakan sekuliah memilih organisasi yang lebih besar dan komersial. Beliau berjaya meyakinkan pentadbiran SMI bahawa pendidikan dan sukan juga suatu industri dalam kerangka yng lebih kudus dan luhur. Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Drs. Rajendran Naidu a/l Kannayar menemui Encik Varusai untuk mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya.
Encik Varusai memulakan latihan industri di SMI mulai 1 julai yang lalu dan berakhir hari ini (20/9/13). Beliau menggunakan input pengetahuan dan kemahiran terkini sains sukan bagi membantu panitia pendidikan jasmani dan pendidikan kesihatan (PJPK) yang diketuai oleh Cikgu Helmi (gambar di atas). Encik Varusai bersedia untuk datang semula apabila berkesempatan justeru di SMI beliau memperoleh pengalaman pembelajaran yang sangat diperlukan ... 

Monday, September 2, 2013

LAUNGAN MERDEKA MENGGEGAR ST. MICHAEL'S (THE SPIRIT OF LIBERTY AND PATRIOTIC)

Ipoh, Isnin: 2/9/13 = 26 Syawal 1434

Semangat cinta negara dalam kalangan generasi muda perlu sentiasa bersemi dan kukuh agar mereka menghargai nikmat kemerdekaan negara yang dikecapi sejak 56 tahun yang lalu. Pelajar sekolah yang berusia antara 6 hingga 19 tahun ialah pemimpin pelapis yang bakal memacu negara ke puncak jaya sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi dengan acuan sendiri. Proses menjanakan jati diri dan modal insan era pascamerdeka ini sudah pasti berbeza dengan persekitaran generasi terdahulu dari segi citra politik, sosioekonomi, teknologi, nilai dan keutamaan.
SMK St. Michael, Ipoh (SMI) tidak ketinggalan untuk mengadakan majlis sambutan kemerdekaan negara ke-56 pagi tadi. Perutusan Perdana Menteri disampaikan oleh Encik Ahmad Kemunchak bin Abdul Karim, Penolong Kanan Pentadbiran dan Kurikulum. Pendidikan kenegaraan secara besar-besaran seumpama ini ialah suatu pengalaman pembelajaran yang sangat bermakna kepada warga SMI.
Acara sambutan bermula dengan perarakan konvoi merdeka yang diketuai oleh Cikgu Ibrahim bin Ahmed yang memandu kereta nasional kesayangan beliau, Proton Ixora. Pasukan motosikal pelajar yang turut serta telah mengelilingi kawasan luar pagar sekolah sebelum masuk semula untuk upacara penyerahan Jalur Gemilang. Bendera sekolah turut dikibarkan sebagai lambang kecintaan terhadap institusi pendidikan yang sangat berjasa sekian lama.
Persembahan nyanyian lagu berunsur patriotsme berjaya mencuri perhatian khalayak walaupun sang suria mula membahang. Sekalian hadirin juga bersama-sama menyanyikan lagu Jalur Gemilang dan Keranamu Malaysia. Mereka turut menghayati bait-bait lagu tema kemerdekaan ke-56: Malaysiaku Berdaulat Tanah Tumpah Darahku.
Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan bertemakan kemerdekaan anjuran pelbagai panitia mata pelajaran. Acara sambutan kelolaan Jawatankuasa Hal Ehwal Murid SMI ini menampilkan dua orang guru praktikum Upsi, iaitu Encik Tommy Borromeo John dan Encik Mohamad bin Sarwani sebagai pengacara majlis. Sesungguhnya majlis yang meriah ini menepati konsep MMI, iaitu melindungi masa instruksi murid, justeru pelbagai pengalaman dan pengetahuan yang baharu telah dipelajari ...

Friday, August 30, 2013

MAJLIS BACAAN YASIN PAGI JUMAAT MENGUKUHKAN JATI DIRI PELAJAR SMI (THE SACRED VERSE)

Kebolehan membawa diri dalam sesuatu persekitaran yang rencam sangat bergantung terhadap keteguhan jiwa dan jati diri seseorang. Bagi umat Islam, iman dan taqwa menjadi benteng yang paling ampuh bagi menghadapi segala bentuk cabaran, dugaan, fitnah, mehnah, tribulasi dan ujian yang datang dari pelbagai sudut. Pelajar Islam tidak terkecuali untuk terus mara menuju kecemerlangan dengan menolak semua pengaruh negatif (salbiyyah) sama ada daripada bisikan hati, mahupun pengaruh persekitaran.  
                            
Antara usaha bagi memupuk keperibadian yang utuh dan jiwa hamba Allah, ialah mendekatkan diri dengan kalam Allah dan majlis-majlis ilmu. Panitia Pendidikan Islam dengan kerjasama Persatuan Pelajar Islam SMK St. Michael, Ipoh (SMI) menganjurkan majlis membaca surah Yasin secara berkala pada pagi Jumaat pilihan. Majlis bermula seawal pukul tujuh pagi dan berakhir setengah jam kemudian.
Usai bacaan surah Yasin, pelajar Islam SMI yang berkumpul di auditorium sekolah menadah tangan memanjatkan doa ke Hadrat Ilahi. Kedatangan Ustaz Safuan yang bergraduat dari universiti tertua dunia, al-Azhar, Mesir ternyata mengukuhkan pelaksanaan program kerohanian di SMI. Ketua Panitia Pendidikan Islam SMI, Ustaz Suhaimi kemudian menutup majlis dengan tazkirah ringkas ...

Sunday, August 25, 2013

GURU DAN MICHAELIAN IBARAT AUR DENGAN TEBING (BRIDGING EXPECTATION IN THE SCHOOL)

Hubungan profesional yang akrab, tetapi beradab antara guru dengan pelajar menyumbang terhadap pencapaian akademik dan kemahiran sosial yang tinggi dalam kalangan pelajar (klik di sini). Apabila pelajar berasa selesa dengan layanan yang adil dan layak, mereka boleh diharapkan untuk menggembleng usaha yang optimum bagi memenuhi jangkaan guru dan juga sekolah (klik pula di sini). Iklim sekolah yang positif, serta budaya sekolah yang bersifat matang seperti itu perlu disemarakkan pada sepanjang masa.
Cikgu Liew Boon Ket (memegang kamera) bersila bersama pelajar
dalam satu majlis perhimpunan khas sekolah

Sebagai sebuah sekolah premier yang sudah melepasi 100 tahun penubuhannya, SMK St. Michael, Ipoh (SMI), perkara yang tersebut memang sentiasa diberikan perhatian. Kerjasama yang erat antara guru dengan pelajar bukan sahaja berlaku di bilik darjah dan kegiatan luar bilik darjah, bahkan dalam penganjuran semua majlis yang dirancang dan dilaksanakan. Kebanyakan acara rami membabitkan penglibatan aktif para pelajar, manakala guru bertindak sebagai pembimbing, penasihat dan pakar rujuk.

Gambar yang tertera di atas memaparkan betapa guru SMI tidak berasa canggung atau kekok untuk berada bersama kumpulan pelajar dalam sesuatu acara rasmi. Cikgu Liew Boon Ket, guru biologi prauniversiti, merangkap guru penasihat pasukan pancaragam sekolah dan guru kelab fotografi sentiasa sanggup meluangkan masa untuk turun padang walaupun ketika musim cuti bagi memastikan pelajar menikmati pengalaman pembelajaran, bimbingan dan jaminan keselamatan. Kesibukan guru dengan tugas kurikulum, pentaksiran, kemas kini data atas talian, rekod pengajaran dan pembelajaran, serta pelbagai sesi mesyuarat tidak menjadi halangan untuk mendampingi pelajar yang menjadi sandaran pencapaian keseluruhan sekolah ...

Monday, August 19, 2013

PASANGAN KEMBAR, KELAS UA3 TERBAIK STPM PENGGAL 2 (REWARDING THE TOP ACHIEVERS)

Ipoh, Isnin = 19/8/13 = 12 Syawal 1434

Sejumlah 20 orang calon STPM modular penggal 2 dari SMK St. Michael, Ipoh (SMI) mencatat pencapaian purata nilai gred kumulatif (pngk) 3.5 ke atas. Mereka mewakili sembilan peratus daripada sejumlah 220 orang calon yang menduduki peperiksaan tersebut. Bilangan itu bertambah enam orang berbanding dengan pencapaian penggal 1.
Bagi mengiktiraf pencapaian kecemerlangan calon STPM modular penggal 2, pihak sekolah menganugerahkan sijil kepujian dan hadiah iringan tunai sebanyak RM50 sumbangan PIBG. Pengumuman dilakukan oleh Puan Tan Cheng Choo, Penolong Kanan Tingkatan 6, manakala hadiah disampaikan oleh pengetua cemerlang SMI, Puan Loh Wei Seng. Majlis ringkas itu berlangsung semasa sesi perhimpunan mingguan selepas cuti pertengahan tahun dan sambutan hari raya puasa.
Pasangan kembar Phan Wai Kin dan PanWai Yuen (gambar di atas) muncul sebagai pelajar terbaik dengan pencapaian pngk 4.0, di samping seorang lagi pelajar UA3, Low Kim Jin yang turut mencatat pngk yang sama. Mereka mencatat gred A untuk kertas Pengajian Am, Ekonomi, Pengajian Perniagaan dan Perakaunan. Pelajar tebaik jurusan sains ialah Wong Zhi Sian dengan catatan 3.83 (A dalam Pengajian Am, Matematik T dan Kimia; B+ untuk Biologi).

Kelas UA3 mempunyai 9 orang wakil, manakala US4 dengan 7 orang wakil. Selebihnya US1 (2 orang), manakala UA1 dan US1 masing-masing kelas seorang wakil. SMI mempunyai tiga kelas aliran kemanusiaan (UA) dan lima kelas sains (US). Semoga pengiktirafan ini bakal memberi dorongan yang kuat kepada semua calon STPM Penggal 3 (6 Atas) dan calon Penggal 1 (6 Rendah) untuk melonjakkan nama SMI kelak ...

Monday, August 5, 2013

GURU SMI UCAP SELAMAT HARI RAYA (UNTIL THE NEXT RAMADAN)

Bulan puasa Ramadan 1434 Hijriyyah sudah tiba pada penghujungnya. Mudah-mudahan bertambah tinggi hendaknya makam taqwa mereka yang berpuasa, insya-Allah. Panjang umur murah rezeki, bertemu lagi bulan Ramadan 1435 (bermula akhir Jun 2014).
Cikgu Adi, Cikgu Helmi, Cikgu Samsudin dan Cikgu Nasran

Sempena kedatangan Syawal, sebagai tanda kemenangan kepada golongan yang berpuasa dengan sesungguhnya, guru-guru Islam mengambil kesempatan melafazkan ucapan Eid mubarak, minal a'idin wal faidzin, kullu am wa antum bi khair. Sudah menjadi tradisi bahawa ungkapan maaf zahir dan batin tidak lekang daripada dituturkan. Empat orang guru lelaki SMK St. Michael, Ipoh (SMI) sempat merakamkan simbolik semangat Syawal untuk dikongsi bersama seluruh warga SMI.

Di Malaysia, hari raya turut menjadi wahana bagi mengukuhkan ikatan kekeluargaan, kejiranan dan persahabatan. Perubahan zaman menyebabkan konsep rumah terbuka kini berdasarkan tarikh dan waktu yang tertentu. SMI juga tidak pernah ketinggalan bagi menganjurkan majlis rumah terbuka supaya kemeriahan sambutan hari raya dapat dikongsi seluruh warganya tanpa mengira latarbelakang kepercayaan dan keturunan ...