Ipoh, Rabu: 3/4/13 = 22 Jamadil Awal 1434
Skuad hoki SMK St. Michael, Ipoh (SMI) mencatat kemenangan bergaya 5-0 ke atas SMK Buntong dalam perlawanan yang berakhir pada pukul tujuh malam akibat hujan lebat yang mengakibatkan jadual pertandingan mengalami perubahan. Seawal minit kedua, SMI berjaya menyumbat gol padang pertama. Dua minit sebelum babak pertama berakhir, SMI mengukuhkan kedudukan dengan jaringan cantik sudut penalti.
Apabila babak kedua bersambung, SMI meneruskan penguasaan 90 peratus permainan dengan serangan bertalu-talu ke kubu Buntong. Namun, penyudah yang tidak kesampaian, termasuk enam pukulan sudut penalti menyebabkan seolah-olah SMI terpaksa berpuas hati dengan kelebihan dua gol. Skrip perlawanan hanya berubah dalam tempoh lima minit terakhir apabila SMI berjaya menyumbat tiga lagi gol padang.
Kemenangan ke atas Buntong membolehkan SMI mengumpul empat mata setelah terikat dengan SMK Bercham 1-1 dalam perlawanan sebelah pagi. Jika perlawanan sebelah petang berlangsung dalam keadaan hujan dan keadaan padang yang lembap, perlawanan sebelah pagi pula berlangsung dalam bahang panas yang agak ekstrem. SMI mendahului 1-0 pada babak pertama, tetapi rentak permainan agak terganggu pada babak kedua hingga membenarkan Bercham menyamakan kedudukan.
Sementara itu, ACS mengutip tiga mata hasil kemenangan 4-0 ke atas Buntong, tetapi perlawanan dengan Bercham ditunda kerana hujan lebat. SMI tidak boleh bergantung kepada ihsan pasukan lain untuk mara ke suku akhir, sebaliknya wajib menewaskan ACS esok. Sebab lain ialah untuk mengelak daripada bertemu Anderson terlalu awal.
Jurulatih Anderson, Cikgu Jamaluddin kelihatan berada di bangku penonton menyaksikan perlawanan SMI - Buntong sebagai persediaan taktikal bagi mengelakkan sebarang kejutan oleh pasukan lain di peringkat daerah. Penentuan lawan suku akhir dibuat secara undian bagi mengelak kemungkinan mengatur perlawanan. Pada sebelah pagi tadi, Anderson membelasah SMK Dato' Ahmad Said 13-0.
Jurulatih jemputan skuad SMI, Anil Dave Singh, 24, siswazah kejuruteraan jentera, UTP, yang juga bekas Michaelian berpuas hati dengan persembahan pasukan. Beliau mahu setiap pemain mampu membuat tampanan bola dengan kemas, di samping membuka mulut bagi meminta bola. Skuad SMI kali ini turut dibarisi tujuh murid sesi petang sebagai pelapis berbakat untuk membawa cabaran SMI seterusnya...
No comments:
Post a Comment