TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Saturday, May 18, 2013

LADAP KEPIMPINAN GURU DAN BUDAYA KERJA CEMERLANG (DO NOT OVERSTAYING THE WELCOME)

Ipoh, Sabtu: 18/5/13 = 8 Rejab 1434

Perbincangan tentang kepimpinan guru disentuh secara panjang lebar dalam kuliah kepimpinan dan pentadbiran pendidikan sama ada di peringkat sarjana muda atau sarjana. Calon sarjana di jabatan perancangan dan pentadbiran pendidikan misalnya mengkhusus dalam penyelidikan tentangnya sepanjang tempoh pengajian. Pencapaian keberkesanan sekolah sangat berkait rapat dengan kepimpinan teragih guru yang memberi tumpuan terhadap pembelajaran murid.
Sekretariat Ladap, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) telah memilih slot kepimpinan guru yang berkesan sebagai tema Ladap keempat yang lebih menjurus kepada perkongsian pengalaman, aplikasi dan percambahan input baharu dalam persekitaran sebenar di sekolah (baca contoh anekdot kepimpinan guru di sini). Pengetua cemerlang SMI, Puan Loh Wei Seng sendiri telah bertindak sebagai pemudah cara dengan menggunakan pelbagai bahan kursus yang beliau hadiri sebagai asas untuk meneroka pembaharuan dalam proses menolong murid menuju puncak kecemerlangan pembelajaran.
Slot kedua Ladap secara maraton dua jam setengah dikendalikan pula oleh Tuan Haji Ismail Desa, bekas pengetua sekolah yang kini berkhidmat sebagai kaunselor pelajar di Institut Teknologi Perak, di samping pembabitan hingga ke peringkat Unesco dalam program pendidikan pencegahan dadah. Pada tahun 2012, beliau juga pernah mengisi salah satu slot Ladap Guru Penyayang. Walaupun sebahagian contoh dan kisah yang disampaikan berupa ulangan, Tuan Haji Ismail Desa berjaya memberi nafas baharu dan sentuhan terkini bagi sebuah skrip yang mirip benar dengan persembahan terdahulu.
Peserta Ladap yang terdiri daripada guru dan kakitangan sokongan menunjukkan rasa hormat dan penghargaan yang tinggi atas kesudian Tuan Haji Ismail Desa memberikan nasihat dan petua yang penting dalam mengharungi kerjaya ikhtisas keguruan yang penuh cabaran. Ceramah beliau diselang-seli dengan  persembahan slaid dan tayangan mutimedia. Sebagai pakar andragogi, Tuan Haji Ismail juga mengajak peserta Ladap melakukan pergerakan fizikal (psikomotor) dan lontaran vokal supaya sentiasa aktif dalam majlis, serta memantapkan amalan kerja berpasukan di SMI...

No comments:

Post a Comment