TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Monday, April 28, 2014

PERANAN PELAJAR ISLAM DI ST. MICHAEL'S (THE REFERENCE GROUP IN MAKING)

Ipoh, Jumaat: 25/4/14 = 25 Jamadil Akhir 1435

Perkara paling asas yang wajib dipertahankan oleh umat Islam ialah aqidah, iaitu ikatan kepercayaan secara tuntas kepada Allah Yang Maha Esa. Rentetan itu, aqidah yang mantap menjadi titik tolak nilai-nilai akhlak dan syariat yang tergambar menerusi keperibadian umat terbaik yang pernah dikeluarkan untuk manusia (Ali Imran, 3:110). Sebagai meneruskan risalah dakwah menyeru manusia ke arah mentauhidkan Allah, umat Islam digesa menjadi contoh pencapaian kecemerlangan dan tingkah laku yang terpuji (da'wah bi'l-hal).

Pelajar Islam SMK St. Michael, Ipoh (SMI) berada dalam persekitaran sebuah sekolah mubaligh (Kristian Katolik) yang berstatus bantuan modal. Institusi brother dan gereja masih mempunyai pengaruh dan kawalan terhadap perjalanan sekolah, terutama hal ehwal kawasan dan kemudahan sekolah. Namun, jalinan dan muhibah yang dipupuk sekian lama membuka ruang kepada pelajar, guru dan kakitangan beragama Islam untuk memainkan peranan penting dalam proses kesinambungan sejarah gemilang di SMI.
guru kanan kemanusiaan sedang menyampaikan ucapan

Pelajar Islam mewakili kira-kira 20 peratus keseluruhan enrolmen di SMI, manakala bilangan guru Islam pula mencecah nisbah 60 peratus. Semasa era aliran bahasa Inggeris dahulu, SMI pernah memberi tempat kepada kelas peralihan dan rancangan khas untuk pelajar Islam sehingga berjaya menyediakan tokoh yang berpengaruh dalam masyarakat pada hari ini. Hubungan bekas pelajar dengan alma mater di SMI memang unik sekali.

Majlis bacaan Yasin pada pagi Jumaat secara berjadual ialah kesempatan terbaik bagi menyampaikan peringatan kepada pelajar Islam SMI supaya pandai membawa diri dan sentiasa berusaha dengan bijak dan bersungguh-sungguh ke arah pencapaian kecemerlangan. Sebagai anggota keluarga besar Michaelian, tugas menjaga nama baik sekolah juga terpikul atas pundak pelajar Islam. Mudah-mudahan sekalian pelajar Islam SMI berupaya melaksanakan harapan umat dengan jayanya, insya-Allah ...

Saturday, April 12, 2014

DRAMA, ROKET DAN LADAP SEKALI GUS (BUSY WEEKEND AT ST. MICHAEL'S)

Ipoh, Sabtu: 12/4/14 = 12 Jamadil Akhir 1435

Pepatah Melayu mengatakan masa itu emas, pepatah Arab pula menyifatkan masa ibarat mata pedang, manakala pepatah Inggeris memberi amaran bahawa pasang surut tidak menunggu manusia, time and tide wait for no man. Maka, jika seseorang atau sesebuah organisasi hanya menjadi penunggu masa yang benar-benar lapang, maka segala kerja bakal tertangguh dan mungkin terus terbengkalai begitu sahaja. Menyedari hakikat itu, maksim yang diamalkan oleh warga SMK St. Michael, Ipoh (SMI) ialah sentiasa melakukan kerja-kerja produktif sebanyak mungkin sebaik sahaja beroleh kesempatan walaupun terhad.
Hero drama 'Beauty and The Beast', Mohamad Syafil, UA1 
bersama hero 'The Lion King, 2013', Chong Loy Hon
 usai pementasan malam pertama semalam

Drama tahunan yang bertujuan mengumpul dana bagi meningkatkan kebajikan warga SMI dipentaskan selama tiga malam berturut-turut mulai Jumaat hingga Ahad. Teraju utama drama ialah Cik Mah Yoke Chin yang bertindak selaku pengarah pementasan dan pengarah muzik. Selain jualan tiket, drama di SMI juga memperoleh tajaan bekas pelajar, korporat dan dermawan perseorangan.
peserta Roket bersedia membuat pelancaran
yang perlu mendarat di zon 70 meter

Pada pagi ini, SMI menjadi tuan rumah pertandingan Roket Zon 2, Kinta Utara yang diadakan di padang sekolah dan juga di Padang Ipoh. Pemenang keseluruhan ialah pasukan SMK Convent A yang bakal bertanding di peringkat daerah. Cuaca baik walaupun sedikit berangin telah melegakan urus setia yang kebanyakannya guru sains dan matematik pimpinan Encik Abdul Qaiyum.
Ladap PT3 secara maraton oleh Encik Ahmad Kemunchak,
penolong kanan SMI di dewan besar sekolah

Program wajib arahan Jabatan pelajaran Perak, iaitu taklimat Pentaksiran Tingkatan 3, PT3 yang menggantikan PMR disampaikan oleh penolong kanan selaku jurulatih utama peringkat sekolah. Program enam jam kredit itu dipenuhi tayangan slaid power point, soal jawab dan berakhir dengan rumusan oleh pengetua cemerlang SMI. Ladap tidak bertempat di auditorium sebagaimana lazim justeru semua kerusi bankuet berwarna biru (seperti paparan gambar) di sana diangkut ke dewan untuk tempat duduk penonton drama yang membeli tiket berharga RM50, penyumbang dan juga tetamu jemputan khas ...

Saturday, April 5, 2014

CIKGU WAN NORLIZA 'DISAMBAR' STAR (THE PRICE TAG FOR INSPIRING PERSONALITY)

Ipoh, Jumaat: 21/3/14 = 18 Jamadil Awwal 1435

Air yang mengalir lebih baik daripada air yang bertakung. Kata-kata hikmah itu sangat bertepatan dengan perjalanan kerjaya seseorang pegawai, pemimpin dan tokoh mana-mana bidang yang memiliki cita-cita setinggi bintang. Apatah lagi jika bakat terbaik yang ditunjukkan itu dapat dikesan oleh pihak atasan (superior).
Puan Wan Norliza binti Abdul Raof, guru fizik SMK St. Michael, Ipoh (SMI) mungkin sekali individu yang memiliki ciri yang disebutkan. Maka, tidak hairanlah jika beliau barangkali telah berada dalam radar pemerhatian pihak tertentu di Kementerian Pelajaran Malaysia untuk diberikan tugas yang lebih mencabar. Sekolah baharu Cikgu Wan mungkin hanya bantu loncatan untuk tugasan lebih besar pada masa hadapan.
Cikgu Wan Norliza telah menerima surat arahan pertukaran ke Sekolah Tuanku Abdul Rahman (Star), Ipoh berkuat kuasa 16 Mac yang lalu, namun hanya bertugas secara rasmi di sana usai cuti pertengahan penggal satu pada tanggal 31 Mac. SMI kehilangan guru yang sangat berdedikasi bukan sahaja dalam meletakkan sekolah sebagai panitia fizik rujukan daerah bersama pasukan guru cemerlang DG 52, Encik Chong Weng Sung dan Puan Nuraisyah biti Othman, tetapi juga penasihat utama pasukan reka cipta dan inovasi sains. Sejak di Sekolah Raja Taayah sebelum SMI, Cikgu Wan memang sentiasa teruja dengan projek reka cipta dan inovasi.
Sempena pertukaran Cikgu Wan, satu majlis perpisahan tidak rasmi telah diatur oleh rakan-rakan sejawatan di SMI. Jamuan ringkas ala pot luck telah diadakan di sudut kantin sekolah. Guru-guru yang berkelapangan (tiada waktu mengajar) telah sudi singgah untuk menikmati juadah sambil mengucapkan selamat kepada Cikgu Wan. Hubungan dan persahabatan yang sudah terjalin di SMI bakal bersinambungan pada peringkat yang lain pula kerana SMI dan Star masih dalam daerah yang sama dan berkongsi status sebagai sekolah premier.
Bacaan doa diketuai oleh Ustaz Safwan. Hadir sama ialah Encik Ahmad Kemunchak bin Abdul Karim, Penolong Kanan SMI yang sempat juga menitipkan beberapa pesanan ikhtisas kepada Cikgu Wan. Selamat berbakti di tempat baharu dan semoga sentiasa sejahtera hendaknya, amin ...