TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Sunday, June 30, 2013

MUSIM UCAPAN SELAMAT TINGGAL (COUNTLESS AND EVERLASTING MEMORIES)

Ipoh, Jumaat:  28/6/13 =  19 Syaaban1434

Guru datang guru pergi, murid datang murid pergi. Dengan berlalunya masa, pergerakan dan perubahan tidak dapat dielakkan justeru jarum masa terus menuju ke hadapan. Namun, kenangan dan sejarah tidak mungkin luput dalam ingatan bak kata peribahasa, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.
Setelah hampir 4 bulan menjalani praktikum, Cikgu Chang Chee Kian, 28, guru pelatih Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Tanjung Malim kini harus menunggu penempatan sebagai guru terlatih (tetap) bersama ribuan calon guru yang lain. Beliau mengkhusus dalam kaedah teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Berbekalkan pengalaman selama tiga tahun sebagai guru sandaran tidak terlatih (GSTT), Cikgu Chang mampu menghadapi tingkah laku murid lelaki di SMK St. Michael, Ipoh (SMI).

Sebagai oleh-oleh kenangan, Kelab Staf menerusi presidennya, Ustaz Suhaimi telah menyampaikan cenderamata kepada Cikgu Chang. Majlis ringkas itu berlangsung di bilik guru. Cikgu Adi dan Cikgu Nasran Farid turut kelihatan bersama, manakaka Cikgu Hamdan dan Cikgu Rosnah seperti melihat dari jauh.
Sekilas pandang, dua orang cikgu dalam gambar di atas persis kembar seiras. Cikgu Nurul Syuhaida binti Zulkifli, 24, (kiri) ialah siswazah biologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi. Beliau sempat berada di SMI selama lebih sebulan sebagai guru ganti kepada Puan Usha Rani yang sedang bercuti tanpa gaji kerana menyiapkan tesis doktor falsafah (Ph.D) di Universiti Malaya. Anak ketua jabatan pendidikan jasmani di Institut Pendidikan Guru kampus Ipoh itu kini ditempatkan pula ke SMK Tasik Damai.

Cikgu Rosikhsaniah binti Mohd Yusof, 31, guru praktikum Upsi seperti Cikgu Chang juga kini menunggu proses penempatan di sekolah. Ibu kepada seorang cahaya mata itu begitu gembira dengan sambutan dan sokongan warga SMI semasa beliau melengkapkan komponen penting kursus keguruan. Pengalaman di SMI begitu bermakna dalam perjalanan kerjaya beliau kelak.
SMI juga bakal kehilangan guru biologi berpengalaman, iaitu Cikgu Afzan binti Abdul Rahman. Ibu kepada 4 orang cahaya mata ini bakal melaporkan diri ke SMK Kampong Pasir Puteh, Ipoh berkuat kuasa 1 Julai 2013. Selamat bertugas di tempat yang baharu dan semoga terus cemerlang dalam kerjaya dan keluarga...

Wednesday, June 26, 2013

HUJAN HAPUS JEREBU, RAPTAI SUKAN DITERUSKAN (MARCHING TRADITION AT ST. MICHAEL'S)

Ipoh, Rabu: 26/6/13 = 17 Syaaban 1434

Ketika masukan blog ini ditulis, hujan masih membasahi bumi Ipoh walaupun tidak begitu lebat. Namun, hujan rahmat yang turun bakal menghapuskan ancaman jerebu yang menjengah bandaraya Ipoh sejak sehari dua yang lalu. Banyak kegiatan luar bangunan yang terhad sebelum ini kembali rancak apabila bacaan tertinggi indeks pencemaran udara (IPU) yang mencecah 192 mata kini kembali di bawah 100.
Persiapan acara sukan tahunan SMK St. Michael, Ipoh (SMI) kini bersambung semula. Tradisi pertandingan kawad formasi dan lintas hormat dapat diteruskan semasa temasya sukan tahunan berkenaan yang dijadualkan bermula pada pukul 7.30 pagi hari Sabtu ini. Pasukan yang bertanding giat menjalani latihan penyudah bagi sebuah persembahan yang paling mantap.
Pertandingan kawad kaki dibahagikan berdasarkan kategori tingkatan. Sejumlah 61 buah pasukan dijangka mengambil bahagian. Proses pembelajaran dan aplikasi kecerdasan sosial, kepimpinan, kepengikutan dan kreativiti memberi kelebihan kepada warga SMI sebagai pengalaman lapangan yang tidak diperoleh di bilik darjah semata-mata. Setiap pasukan hanya diberi masa selama seminit setengah untuk persembahan yang telah dirancangkan sekian lama...

Friday, June 21, 2013

PASUKAN MAJALAH 'THE MICHAELIAN' 2013 (THE NEXT SHOWPIECE OF ORIGINAL WRITING)

Ipoh, Jumaat: 21/6/13 = 12 Syaaban 1434

Sebagai kesinambungan tradisi SMK St. Michael, Ipoh (SMI), majalah tahunan sekolah The Michaelian edisi ke-66 sedang dalam proses pengumpulan bahan dan reka bentuk. Majalah kali ini dianggap istimewa sebagai terbitan sulung abad kedua penubuhan SMI. Beberapa perubahan bakal berlaku sejajar dengan cita rasa generasi baharu Michaelian.

Tanggungjawab penerbitan The Michaelian diberi kepada jawatankuasa hal ehwal murid yang membimbing sidang redaksi dalam kalangan pelajar, khususnya anggota Kelab Penulisan dan Penerbitan. Pelajar bukan anggota kelab juga dialu-alukan untuk memohon sebagai sidang redaksi majalah. Konsep umum penerbitan The Michaelian ialah hasil kerja pelajar menerusi bimbingan guru.

Sidang redaksi kanan The Michaelian 2013 terdiri daripada lapan orang ahli jawatankuasa Kelab Penulisan dan Penerbitan prauniversiti tingkatan enam rendah. Mereka dipilih menerusi mesyuarat agung tahunan kelab pada hari Rabu yang lalu. Kebanyakan pelajar yang terpilih memiliki pengalaman sebagai anggota sidang redaksi majalah sekolah sebelum ini.
Duduk dari kiri: Wooi Sue Jenn, LS4 (setiausaha), 
Christina Wong, LA1 (ketua pengarang), 
Lee Han Kiat, LS3 (timbalan ketua pengarang), 
En. Khiew Wai Mun  (penyelaras)
Berdiri dari kiri: Charroogesinee, LA1; Angeline Chin, LA2;
 Lee Kian Hang, LS2 dan Ho Joo Hin, LS4.
(Tiada dalam gambar: Chang Carrie, LA1, bendahari)

Pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi, satu sesi pertemuan khas sidang redaksi dengan penyelaras The Michaelian edisi 2013, Encik Khiew Wai Mun telah berlangsung di ruang makan, bilik guru. Selain sesi pengenalan diri, pelajar diberi taklimat ringkas tentang sejarah penerbitan majalah The Michaelian daripada edisi pertama lagi. Majalah The Michaelian diterbitkan menerusi proses perancangan dan pentadbiran yang cukup teliti supaya terus menjadi penanda aras sebuah majalah sekolah yang bermutu tinggi dan memenuhi ciri naskhah rasmi sesebuah organisasi yang dihormati seperti SMI.

Format penulisan dan pemilihan gambar dalam lembaran majalah tidak dilakukan secara tangkap muat melainkan setelah akur dengan keperluan tertentu. Buktinya, majalah The Michaelian edisi centennial pada tahun 2012 telah mencatat markah 100 peratus kerana menepati semua 22 kriteria penarafan bagi penerbitan majalah sekolah oleh pegawai pemantauan kementerian. Kini, terpulang kepada sidang redaksi The Michaelian 2013 bagi menyahut cabaran selanjutnya...

Thursday, June 13, 2013

SMI 'BERWAJAH BAHARU' LAGI (UPGRADING FACILITIES FOR MICHAELIANS)

Cuti pertengahan tahun 2013 mulai dari 24.5 hingga 9.6.2013 telah berakhir. Kini semua pelajar dan guru kembali ke sekolah untuk meneruskan agenda kecemerlangan pendidikan sebagai upaya menyumbang terhadap pencapaian status negara maju acuan sendiri menjelang tahun 2020. Dalam cuti singkat dua minggu itu, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) sempat mengalami perubahan kemudahan fizikal demi keselesaan dalam proses pembelajaran dan mengukuhkan konsep sekolah selamat.
Kawasan luar dewan sekolah yang menghala ke gelanggang badminton kini dipasang atap telus cahaya bagi memastikan bahawa pada waktu hujan, warga sekolah akan hanya menerima tempias air hujan yang minimum dan tidak sampai basah kuyup. Dengan kemudahan terbaharu berkenaan, seluruh kawasan sekolah boleh dilalui walaupun dalam keadaan cuaca buruk tanpa menggunakan payung.

Pemilihan atap telus cahaya bertujuan untuk pemantauan pergerakan warga sekolah, sama ada dari aras bumi atau aras atas bangunan tanpa sekatan pandangan. Jika terdapat sampah yang tersangkut atau bagi maksud pembersihan, atap lut cahaya lebih mudah diuruskan. Mungkin juga suatu hari nanti gelanggang badminton akan dipasang atap telus cahaya sepenuhnya bagi mengelakkan laluan angin yang tidak sesuai bagi permainan bulu tangkis.

Seluruh bangunan sekolah juga kelihatan lebih ceria apabila telah dicat semula. Demikian juga sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan peralatan paparan cecair kristal (LCD) juga disenggara dan diservis. Sesungguhnya persekitaran pembelajaran yang selesa pada akhirnya menyumbang terhadap pencapaian keseluruhan sekolah yang lebih baik hendaknya ...