TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Sunday, June 30, 2013

MUSIM UCAPAN SELAMAT TINGGAL (COUNTLESS AND EVERLASTING MEMORIES)

Ipoh, Jumaat:  28/6/13 =  19 Syaaban1434

Guru datang guru pergi, murid datang murid pergi. Dengan berlalunya masa, pergerakan dan perubahan tidak dapat dielakkan justeru jarum masa terus menuju ke hadapan. Namun, kenangan dan sejarah tidak mungkin luput dalam ingatan bak kata peribahasa, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.
Setelah hampir 4 bulan menjalani praktikum, Cikgu Chang Chee Kian, 28, guru pelatih Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Tanjung Malim kini harus menunggu penempatan sebagai guru terlatih (tetap) bersama ribuan calon guru yang lain. Beliau mengkhusus dalam kaedah teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Berbekalkan pengalaman selama tiga tahun sebagai guru sandaran tidak terlatih (GSTT), Cikgu Chang mampu menghadapi tingkah laku murid lelaki di SMK St. Michael, Ipoh (SMI).

Sebagai oleh-oleh kenangan, Kelab Staf menerusi presidennya, Ustaz Suhaimi telah menyampaikan cenderamata kepada Cikgu Chang. Majlis ringkas itu berlangsung di bilik guru. Cikgu Adi dan Cikgu Nasran Farid turut kelihatan bersama, manakaka Cikgu Hamdan dan Cikgu Rosnah seperti melihat dari jauh.
Sekilas pandang, dua orang cikgu dalam gambar di atas persis kembar seiras. Cikgu Nurul Syuhaida binti Zulkifli, 24, (kiri) ialah siswazah biologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi. Beliau sempat berada di SMI selama lebih sebulan sebagai guru ganti kepada Puan Usha Rani yang sedang bercuti tanpa gaji kerana menyiapkan tesis doktor falsafah (Ph.D) di Universiti Malaya. Anak ketua jabatan pendidikan jasmani di Institut Pendidikan Guru kampus Ipoh itu kini ditempatkan pula ke SMK Tasik Damai.

Cikgu Rosikhsaniah binti Mohd Yusof, 31, guru praktikum Upsi seperti Cikgu Chang juga kini menunggu proses penempatan di sekolah. Ibu kepada seorang cahaya mata itu begitu gembira dengan sambutan dan sokongan warga SMI semasa beliau melengkapkan komponen penting kursus keguruan. Pengalaman di SMI begitu bermakna dalam perjalanan kerjaya beliau kelak.
SMI juga bakal kehilangan guru biologi berpengalaman, iaitu Cikgu Afzan binti Abdul Rahman. Ibu kepada 4 orang cahaya mata ini bakal melaporkan diri ke SMK Kampong Pasir Puteh, Ipoh berkuat kuasa 1 Julai 2013. Selamat bertugas di tempat yang baharu dan semoga terus cemerlang dalam kerjaya dan keluarga...

No comments:

Post a Comment