TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Tuesday, December 31, 2013

LADAP PBS DAN FROG VLE (DESIGNING SOPHISTICATED CLASSROOM ACTIVITIES)

Ipoh, Selasa: 31/12/13 = 28 Safar 1435

Walaupun sistem pendidikan negara diasak bertalu-talu, guru sekolah meneruskan program peningkatan ikhtisas bagi menolong murid mengembangkan potensi dan fakulti mereka secara optimum. Ungkapan kecemerlangan tidak henti-henti disebutkan dalam setiap kegiatan ikhtisas keguruan. SMK St. Michael, Ipoh (SMI) mengorak langkah proaktif apabila mendahului masa dengan melaksanakan program latihan dalam perkhidmatan (Ladap) kali pertama untuk tahun 2014 pada hari terakhir tahun 2013.  
Ladap PBS di auditorium

Ladap dimulakan dengan pembentangan dan perbincangan tentang pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) oleh pengetua dan diikuti oleh jurulatih utama (JU) PBS, Puan Roszatul. Isu-isu berbangkit dan kekeliruan yang berlaku, terutama dalam hal alat (instrumen) dan bukti (eviden) telah berjaya dijelaskan. Proses penambahbaikan dari segi pelaksanaan PBS di semua peringkat dan isu teknikaliti masukan data secara atas talian sentiasa diberi perhatian oleh pihak kementerian.
Tuan Haji Zul, Cikgu Abdul Qaiyum dan Cikgu Ibrahim tiada masalah
dengan penggunaan chromebook bagi meningkatkan keberkesanan
proses pembelajaran Michaelian generasi Y dengan capaian data
 di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa yang dikehendaki

Slot kedua Ladap diisi dengan tunjuk cara program pembelajaran maya (Frog VLE) yang disekalikan dengan pakej Chromebook dan Chromelab. Pemudah cara Frog ialah Cikgu Ooi Kean Geap dan Puan Nur Amali binti Kamarudin. SMI telah memulakan program Frog VLE pada suku ketiga tahun 2012.

Monday, December 30, 2013

LEMBARAN BAHARU SMI 2014 BERMULA (MICHAELIAN SUCCESS PLAN)

Ipoh, Isnin: 30/12/13 = 27 Safar 1435

Kota Rom tidak dibina dalam sehari (Rome wasn't built in a day). Sesuatu kerja besar dan mustahak memerlukan perancangan yang rapi dan teliti. SMK St. Michael, Ipoh (SMI) sebagai sebuah entiti pendidikan yang telah terpahat dalam tinta sejarah selama lebih satu abad sekali lagi memperinci perancangan kecemerlangan sekolah dalam mesyuarat guru bertempat di auditorium SMI pagi tadi.
Penolong Kanan Petang, Tuan Haji Sidek 
sedang menyampaikan taklimat

Pengetua Cemerlang SMI, Puan Loh Wei Seng memberi penegasan khas terhadap aspek perancangan kecemerlangan sekolah meliputi segala proses pengalaman pembelajaran meliputi kurikulum, kokurikulum, disiplin, sahsiah, kepimpinan dan kemahiran insaniah. Tumpuan mesyuarat ialah terhadap hal ehwal kurikulum dan kewangan, serta bidang tugas guru sepanjang tahun 2014. Turut menyampaikan taklimat ialah Encik Ahmad Kemunchak bin Abdul Karim, Drs. Rajendran Naidu a/l Kannayar, Tuan Haji Mohamad Sidek bin Zakaria, Puan Hajjah Normah binti Karimin dan Puan Tan Cheng Choo.

SMI melangkah ke tahun baharu dengan berita gembira iaitu peningkatan gred purata sekolah (GPS) dalam peperiksaan PMR 2013. Dengan perancangan strategik yang bakal dipindahkan dalam bentuk pelaksaan, SMI dijangka mencatat lebih banyak pencapaian cemerlang pada tahun 2014. Di samping dokumen direktori pengurusan dan takwim sekolah, guru juga menerima pelbagai dokumen lain seperti buku persediaan mengajar dan alat tulis ...

Friday, November 8, 2013

LA1 MENANG HADIAH KECERIAAN KELAS (CREATING AN INNOVATIVE LEARNING ENVORINMENT)

Persekitaran pembelajaran yang selesa (kondusif) menyumbang terhadap pencapaian aktiviti bilik darjah. Selain hubungan yang harmonis, keadaan fizikal kelas turut mempengaruhi tahap kesediaan dan penerimaan pembelajaran. Maka, bidang kebersihan dan keceriaan bilik darjah sentiasa diberi perhatian.

Kebersihan dan keceriaan juga merupakan lambang kemajuan serta peradaban sesebuah masyarakat. Generasi muda perlu diterapkan dengan persekitaran yang bersih dan ceria supaya menjadi kebiasaan dan tabiat dalam kehidupan. Dengan itu, tanggapan kemudahan kelas pertama, tetapi minda kelas ketiga terhadap masyarakat Malaysia dapat dihapuskan sepenuhnya.
SMK ST. Michael, Ipoh (SMI) mempunyai cara yang tersendiri bagi menggalakkan budaya kebersihan dan keceriaan di sekolah. Pengumuman kelas yang mencapai piawaian kebersihan dan keceriaan dibuat saban minggu dalam majlis perhimpunan rasmi. Kelas terbersih dihadiahkan plak pusingan.
bukan nilai hadiah (fail dan pensil 2B) menjadi ukuran, tetapi pengiktirafan

Kelas prauniversiti 6 Rendah Sastera 1 (LA1) ialah antara kelas yang mencatat konsistensi dalam pencapaian kebersihan dan keceriaan. Hampir setiap minggu LA1 diumumkan sebagai pemenang tempat pertama atau kedua kategori tingkatan enam rendah. Maka, jumlah mata yang terkumpul melayakkan LA1 menduduki tempat kedua keseluruhan dengan selisih mata yang sangat kecil dengan juara, iaitu LS1.
                            
Pelajar LA1 terdiri daripada 11 orang pelajar lelaki dan 15 orang pelajar perempuan. Jumlah enrolmen berkenaan bagaimanapun dijangka berubah apabila beberapa orang pelajar telah dilamar oleh institut pengajian tinggi awam dan politeknik untuk sesi pengambilan Disember ini. Kumpulan pelajar yang masih tinggal bakal meneruskan perjuangan ke arah kecemerlangan pembelajaran, termasuk kebersihan dan keceriaan ...

Thursday, October 31, 2013

JAMUAN AKHIR TAHUN 2013 (THE NITE OF GLAMOUR)

Memang menjadi tradisi mana-mana organisasi menganjurkan majlis jamuan akhir tahun. Antara tujuannya ialah menzahirkan rasa gembira justeru warga organisasi dapat melupakan sebentar kesibukan tugas rasmi yang tidak kunjung sudah walaupun pada penghujung tahun. Ikatan kekitaan dalam organisasi juga diharap bertambah kukuh menerusi program jamuan yang diselang-seli dengan gimik seperti penyampaian sijil dan cabutan bertuah.
Kelab Staf SMK St. Michael, Ipoh (SMI) berjaya menganjurkan jamuan akhir tahun di Hotel River Front yang berjiran dengan sekolah. Kehadiran anggota kelab dianggarkan sebanyak 95 peratus. Majlis sepanjang tiga jam itu bermula pada pukul 8.00 malam.
tulang belakang SMI


jamuan koperasi SMI

...
jamuan kelas 3A9

...

jamuan kadet bomba SMI

...

Monday, October 28, 2013

PASUKAN RAGBI SMI SEMAKIN DISEGANI (STATE AND NATONAL LEVEL ACHIEVEMENT)

Kejayaan memasuki kelompok elit sesuatu acara sukan hanya dapat dicapai menerusi perancangan, pembangunan dan penggemblengan bakat, di samping sentuhan jurulatih yang berpengalaman dan bersungguh-sungguh. Dari sudut itu, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) memang layak untuk berasa bangga, justeru atlet yang bergelar Michaelian mampu mendaki puncak kejayaan hingga ke peringkat dunia menerusi acara badminton, hoki, golf dan olahraga. Momentum kecemerlangan sukan SMI masih berterusan hingga kini.

Pasukan ragbi SMI turut mencatat kejayaan yang membanggakan apabila menempatkan diri dalam kejohanan berprestij di peringkat negeri dan kebangsaan. Sebelum itu, SMI telah melepasi peringkat daerah Kinta Utara yang begitu kompetetif dengan mengecewakan musuh tradisi, iaitu SMK Anderson. Status sebagai sekolah harian nyata bukan halangan untuk SMI memberi saingan kepada pasukan mantap seperti Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh (Star). 
pasukan ragi di perhimpunan mingguan 28/10/13

Bertempat di Star pada hujung minggu lepas, pasukan bawah 15 tahun SMI telah bertarung dengan 12 pasukan lain di peringkat negeri. Pasukan SMI telah muncul sebagai naib juara kategori plate. Pertembungan dengan SM Sains Bagan Datoh (Sabda) memang sengit dan hanya ditentukan menerusi sepakan penalti.

Pasukan bawah 16 tahun SMI pula menyertai kejohanan kolej vokasional peringkat kebangsaan di SM Sains, Teluk Intan (Semesti) juga pada minggu lalu atas status jemputan. Sebanyak 20 buah pasukan yang mewakili negeri dan jemputan telah ikut serta. Sama seperti kejohanan MSSPK, SMI juga membawa pulang kedudukan selaku naib juara kategori plate.

Jurulatih SMI, Cikgu Hilmi, yang juga pengerusi tekni ragbi negeri Perak berpuas hati dengan pencapaian SMI. Beliau memuji tahap disiplin dan kecergasan yang dipamerkan oleh semua pemain. Walaupun kuasa-kuasa baru ragbi peringkat sekolah seperti SMK Lambor, beliau percaya SMI berada pada landasan yang betul untuk kekal berdaya saing ...

Saturday, October 12, 2013

MUSIM PEPERIKSAAN DI PENGHUJUNG (IN-HOUSE AND TRADITIONAL CENTRALISED LEARNING MEASUREMENTS)

Sejarah peperiksaan secara berpusat sepenuhnya di Malaysia sudah hampir bertemu titik noktah. Kini, wajaran komponen pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) mulai mengambil tempat. Walaupun tahap kesahan dan kebolehpercayaan sistem PBS masih menjadi isu, perkara yang lebih penting ialah berlakunya peningkatan dari segi pengalaman pembelajaran dan kemahiran insaniah pelajar di sekolah.
Pelajar LA1 sedang menduduki peperiksaan percubaan STPM penggal satu.
Pelajar yang menoleh ke arah kamera
 ialah Leong Kah Choon, ketua kelas.

Bulan September dan Oktober merupakan tempoh yang sibuk bagi pelajar dan guru. Pelajar membuat persiapan fasa akhir menjelang peperiksaan dalaman sekolah, iaitu peperiksaan akhir tahun dan peperiksaan percubaan. Guru pula sibuk dengan pembinaan item soalan yang wajib akur dengan jadual penentuan ujian (JPU), penyelarasan peraturan pemarkahan dan seterusnya menanda skrip jawapan pelajar.

Pelajar telah menjalani pelbagai program kecemerlangan akademik di peringkat sekolah, di samping menghadiri sesi seminar peperiksaan yang diisi oleh penceramah undangan khas. Ibu bapa juga sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk menghantar anak masing-masing ke kelas tuisyen persendirian. Maka, peperiksaan menjadi medan untuk mencurahkan segala pengetahuan dan kemahiran pembelajaran yang diperoleh selama ini.
kohort terakhir PMR berpusat sepenuhnya di SMI

Keadaan yang sama berlaku di SMK St. Michael, Ipoh (SMI). Walaupun baharu sahaja 'kebah' dengan pelbagai program wajib sekolah yang lain, serta musim hujan yang berlarutan, perjalanan peperiksaan tidak terjejas. Pihak sekolah telah mengambil langkah proaktif dengan pelan luar jangka bagi menghadapi segala kemungkinan. Misalnya, peperiksaan PMR yang membabitkan lebih daripada 300 orang calon telah berakhir dengan jayanya.

Ketika guru tingkatan tiga dan guru kaunseling sibuk dengan program pasca-PMR, guru tingkatan 5 dan 6 Atas pula bertungkus-lumus mengatur strategi menjelang peperiksaan sebenar. Generasi remaja Y yang digoda dengan pelbagai peranti mudah alih jalur lebar mutakhir ini perlu sentiasa diingatkan tentang keperluan mencatat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Sementara sistem peperiksaan sedia ada berjalan, biarkan sahaja perdebatan tentang sistem pentaksiran terbaik kepada pihak yang berkepentingan (contohnya, klik di sini) ...

Saturday, September 28, 2013

HARI ANUGERAH KOKURIKULUM 2013 MERIAH (VALUE ADDED LEARNING ACHIEVEMENT)

Ipoh: Isnin, 23/9/13 = 17 Zulkaedah 1434

Walaupun dilaksanakan secara dalaman, kemeriahan majlis hari anugerah kokurikulum SMK St. Michael, Ipoh (SMI) terasa lebih meriah dengan khalayak berskala besar, iaitu hampir 1,500 orang guru dan pelajar. Pengalaman menyaksikan majlis penting seperti itu sangat bermakna kepada semua pelajar berbanding dengan jika diadakan di dalam dewan yang hanya membabitkan segelintir khalayak. Konsep majlis sedemikian bermula tahun lepas.

...

...

...

...

...

...

Monday, September 23, 2013

LADAP PPPM DAN SARANA SEKOLAH (PROVIDING THE BEST LEARNING EXPERIENCE IN SCHOOL)

Istilah sarana jarang-jarang digunakan dalam perbualan biasa, sama seperti wacana dan wahana. Ketiga-tiga istilah berkenaan sebaliknya digunakan dalam laras bahasa ilmu dan rasmi. Sarana ialah segala sesuatu yang dapat digunakan sebagai alat dan sebagainya untuk mencapai atau melaksanakan sesuatu (Kamus Dewan, edisi IV, 2005:1392).

Contoh ayat yang menggunakan istilah sarana ialah: Bahasa baku berfungsi sebagai sarana budaya tinggi. Sementara itu, prasarana pula merujuk kepada infrastruktur atau keseluruhan kemudahan dan perkhidmatan asas (seperti kemudahan pengangkutan dan perhubungan dan bekalan kuasa elektrik) yang perlu bagi pembangunan, pertumbuhan dan kemajuan (Ibid, 1230). Kebanyakan orang lebih biasa dengan istilah prasarana berbanding dengan sarana.
sesi taklimat sarana sekolah oleh pengetua SMI

Kefahaman tentang konsep sarana itu sangat penting apabila semua pihak yang berkepentingan di sekolah kini didedahkan dengan pelaksanaan sarana sekolah bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran dan kemenjadian murid. Kerjasama yang erat antara pihak sekolah dengan rumah dan komuniti bukan lagi bersifat ad-hoc atau cuba jaya, sebaliknya dirancang sebagai suatu program yang jelas. Manual dan tatacara sarana ibu bapa dan sekolah telah disebarkan secara atas talian (klik di sini untuk muat turun).

Bagi mendapatkan maklum balas dan merangka tindakan susulan, perbincangan rasmi dengan pihak yang berkepentingan di sekolah diadakan dari masa ke masa. Misalnya, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) telah menganjurkan sesi Ladap khusus untuk membincangkan sarana sekolah pada hari Sabtu yang lalu, iaitu bersamaan 21 September 2013 bertempat di auditorium sekolah.

Sarana sekolah merupakan salah satu komponen penting Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013 - 2025) yang menggantikan PIPP sebelumnya. Penekanan tentang iklim sekolah yang kondusif dan komunikasi berkesan, serta konsep BIJAK (sama seperti SMART) menjurus kepada proses pembelajaran yang lebih bermakna. Hakikatnya konsep sarana sekolah ialah penjenamaan semula terhadap proses campur tangan (intervensi) dalam persekitaran pendidikan yang terkini ...

Friday, September 20, 2013

CIKGU VARUSAI AKHIRI LATIHAN INDUSTRI (LOVING THE ALMA MATER)

Bidang pengajian Encik Varusai Mohamed bin Abdul Kader, 24, ialah sains sukan yang merangkumi kursus pengurusan sukan, kejurulatihan, fisioterapi, undang-undang, pemasaran, teknologi dan sebagainya. Beliau ialah bekas Michaelian sebelum menyambung pengajian di Universiti Malaya. Malah, kebanyakan cikgu beliau masih ada di SMI seperti Cikgu Helmi, Cikgu Adi dan penulis blog sendiri.
Encik Varusai tetap memilih SMI walaupun hampir semua rakan sekuliah memilih organisasi yang lebih besar dan komersial. Beliau berjaya meyakinkan pentadbiran SMI bahawa pendidikan dan sukan juga suatu industri dalam kerangka yng lebih kudus dan luhur. Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Drs. Rajendran Naidu a/l Kannayar menemui Encik Varusai untuk mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya.
Encik Varusai memulakan latihan industri di SMI mulai 1 julai yang lalu dan berakhir hari ini (20/9/13). Beliau menggunakan input pengetahuan dan kemahiran terkini sains sukan bagi membantu panitia pendidikan jasmani dan pendidikan kesihatan (PJPK) yang diketuai oleh Cikgu Helmi (gambar di atas). Encik Varusai bersedia untuk datang semula apabila berkesempatan justeru di SMI beliau memperoleh pengalaman pembelajaran yang sangat diperlukan ... 

Monday, September 2, 2013

LAUNGAN MERDEKA MENGGEGAR ST. MICHAEL'S (THE SPIRIT OF LIBERTY AND PATRIOTIC)

Ipoh, Isnin: 2/9/13 = 26 Syawal 1434

Semangat cinta negara dalam kalangan generasi muda perlu sentiasa bersemi dan kukuh agar mereka menghargai nikmat kemerdekaan negara yang dikecapi sejak 56 tahun yang lalu. Pelajar sekolah yang berusia antara 6 hingga 19 tahun ialah pemimpin pelapis yang bakal memacu negara ke puncak jaya sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi dengan acuan sendiri. Proses menjanakan jati diri dan modal insan era pascamerdeka ini sudah pasti berbeza dengan persekitaran generasi terdahulu dari segi citra politik, sosioekonomi, teknologi, nilai dan keutamaan.
SMK St. Michael, Ipoh (SMI) tidak ketinggalan untuk mengadakan majlis sambutan kemerdekaan negara ke-56 pagi tadi. Perutusan Perdana Menteri disampaikan oleh Encik Ahmad Kemunchak bin Abdul Karim, Penolong Kanan Pentadbiran dan Kurikulum. Pendidikan kenegaraan secara besar-besaran seumpama ini ialah suatu pengalaman pembelajaran yang sangat bermakna kepada warga SMI.
Acara sambutan bermula dengan perarakan konvoi merdeka yang diketuai oleh Cikgu Ibrahim bin Ahmed yang memandu kereta nasional kesayangan beliau, Proton Ixora. Pasukan motosikal pelajar yang turut serta telah mengelilingi kawasan luar pagar sekolah sebelum masuk semula untuk upacara penyerahan Jalur Gemilang. Bendera sekolah turut dikibarkan sebagai lambang kecintaan terhadap institusi pendidikan yang sangat berjasa sekian lama.
Persembahan nyanyian lagu berunsur patriotsme berjaya mencuri perhatian khalayak walaupun sang suria mula membahang. Sekalian hadirin juga bersama-sama menyanyikan lagu Jalur Gemilang dan Keranamu Malaysia. Mereka turut menghayati bait-bait lagu tema kemerdekaan ke-56: Malaysiaku Berdaulat Tanah Tumpah Darahku.
Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan bertemakan kemerdekaan anjuran pelbagai panitia mata pelajaran. Acara sambutan kelolaan Jawatankuasa Hal Ehwal Murid SMI ini menampilkan dua orang guru praktikum Upsi, iaitu Encik Tommy Borromeo John dan Encik Mohamad bin Sarwani sebagai pengacara majlis. Sesungguhnya majlis yang meriah ini menepati konsep MMI, iaitu melindungi masa instruksi murid, justeru pelbagai pengalaman dan pengetahuan yang baharu telah dipelajari ...

Friday, August 30, 2013

MAJLIS BACAAN YASIN PAGI JUMAAT MENGUKUHKAN JATI DIRI PELAJAR SMI (THE SACRED VERSE)

Kebolehan membawa diri dalam sesuatu persekitaran yang rencam sangat bergantung terhadap keteguhan jiwa dan jati diri seseorang. Bagi umat Islam, iman dan taqwa menjadi benteng yang paling ampuh bagi menghadapi segala bentuk cabaran, dugaan, fitnah, mehnah, tribulasi dan ujian yang datang dari pelbagai sudut. Pelajar Islam tidak terkecuali untuk terus mara menuju kecemerlangan dengan menolak semua pengaruh negatif (salbiyyah) sama ada daripada bisikan hati, mahupun pengaruh persekitaran.  
                            
Antara usaha bagi memupuk keperibadian yang utuh dan jiwa hamba Allah, ialah mendekatkan diri dengan kalam Allah dan majlis-majlis ilmu. Panitia Pendidikan Islam dengan kerjasama Persatuan Pelajar Islam SMK St. Michael, Ipoh (SMI) menganjurkan majlis membaca surah Yasin secara berkala pada pagi Jumaat pilihan. Majlis bermula seawal pukul tujuh pagi dan berakhir setengah jam kemudian.
Usai bacaan surah Yasin, pelajar Islam SMI yang berkumpul di auditorium sekolah menadah tangan memanjatkan doa ke Hadrat Ilahi. Kedatangan Ustaz Safuan yang bergraduat dari universiti tertua dunia, al-Azhar, Mesir ternyata mengukuhkan pelaksanaan program kerohanian di SMI. Ketua Panitia Pendidikan Islam SMI, Ustaz Suhaimi kemudian menutup majlis dengan tazkirah ringkas ...

Sunday, August 25, 2013

GURU DAN MICHAELIAN IBARAT AUR DENGAN TEBING (BRIDGING EXPECTATION IN THE SCHOOL)

Hubungan profesional yang akrab, tetapi beradab antara guru dengan pelajar menyumbang terhadap pencapaian akademik dan kemahiran sosial yang tinggi dalam kalangan pelajar (klik di sini). Apabila pelajar berasa selesa dengan layanan yang adil dan layak, mereka boleh diharapkan untuk menggembleng usaha yang optimum bagi memenuhi jangkaan guru dan juga sekolah (klik pula di sini). Iklim sekolah yang positif, serta budaya sekolah yang bersifat matang seperti itu perlu disemarakkan pada sepanjang masa.
Cikgu Liew Boon Ket (memegang kamera) bersila bersama pelajar
dalam satu majlis perhimpunan khas sekolah

Sebagai sebuah sekolah premier yang sudah melepasi 100 tahun penubuhannya, SMK St. Michael, Ipoh (SMI), perkara yang tersebut memang sentiasa diberikan perhatian. Kerjasama yang erat antara guru dengan pelajar bukan sahaja berlaku di bilik darjah dan kegiatan luar bilik darjah, bahkan dalam penganjuran semua majlis yang dirancang dan dilaksanakan. Kebanyakan acara rami membabitkan penglibatan aktif para pelajar, manakala guru bertindak sebagai pembimbing, penasihat dan pakar rujuk.

Gambar yang tertera di atas memaparkan betapa guru SMI tidak berasa canggung atau kekok untuk berada bersama kumpulan pelajar dalam sesuatu acara rasmi. Cikgu Liew Boon Ket, guru biologi prauniversiti, merangkap guru penasihat pasukan pancaragam sekolah dan guru kelab fotografi sentiasa sanggup meluangkan masa untuk turun padang walaupun ketika musim cuti bagi memastikan pelajar menikmati pengalaman pembelajaran, bimbingan dan jaminan keselamatan. Kesibukan guru dengan tugas kurikulum, pentaksiran, kemas kini data atas talian, rekod pengajaran dan pembelajaran, serta pelbagai sesi mesyuarat tidak menjadi halangan untuk mendampingi pelajar yang menjadi sandaran pencapaian keseluruhan sekolah ...

Monday, August 19, 2013

PASANGAN KEMBAR, KELAS UA3 TERBAIK STPM PENGGAL 2 (REWARDING THE TOP ACHIEVERS)

Ipoh, Isnin = 19/8/13 = 12 Syawal 1434

Sejumlah 20 orang calon STPM modular penggal 2 dari SMK St. Michael, Ipoh (SMI) mencatat pencapaian purata nilai gred kumulatif (pngk) 3.5 ke atas. Mereka mewakili sembilan peratus daripada sejumlah 220 orang calon yang menduduki peperiksaan tersebut. Bilangan itu bertambah enam orang berbanding dengan pencapaian penggal 1.
Bagi mengiktiraf pencapaian kecemerlangan calon STPM modular penggal 2, pihak sekolah menganugerahkan sijil kepujian dan hadiah iringan tunai sebanyak RM50 sumbangan PIBG. Pengumuman dilakukan oleh Puan Tan Cheng Choo, Penolong Kanan Tingkatan 6, manakala hadiah disampaikan oleh pengetua cemerlang SMI, Puan Loh Wei Seng. Majlis ringkas itu berlangsung semasa sesi perhimpunan mingguan selepas cuti pertengahan tahun dan sambutan hari raya puasa.
Pasangan kembar Phan Wai Kin dan PanWai Yuen (gambar di atas) muncul sebagai pelajar terbaik dengan pencapaian pngk 4.0, di samping seorang lagi pelajar UA3, Low Kim Jin yang turut mencatat pngk yang sama. Mereka mencatat gred A untuk kertas Pengajian Am, Ekonomi, Pengajian Perniagaan dan Perakaunan. Pelajar tebaik jurusan sains ialah Wong Zhi Sian dengan catatan 3.83 (A dalam Pengajian Am, Matematik T dan Kimia; B+ untuk Biologi).

Kelas UA3 mempunyai 9 orang wakil, manakala US4 dengan 7 orang wakil. Selebihnya US1 (2 orang), manakala UA1 dan US1 masing-masing kelas seorang wakil. SMI mempunyai tiga kelas aliran kemanusiaan (UA) dan lima kelas sains (US). Semoga pengiktirafan ini bakal memberi dorongan yang kuat kepada semua calon STPM Penggal 3 (6 Atas) dan calon Penggal 1 (6 Rendah) untuk melonjakkan nama SMI kelak ...

Monday, August 5, 2013

GURU SMI UCAP SELAMAT HARI RAYA (UNTIL THE NEXT RAMADAN)

Bulan puasa Ramadan 1434 Hijriyyah sudah tiba pada penghujungnya. Mudah-mudahan bertambah tinggi hendaknya makam taqwa mereka yang berpuasa, insya-Allah. Panjang umur murah rezeki, bertemu lagi bulan Ramadan 1435 (bermula akhir Jun 2014).
Cikgu Adi, Cikgu Helmi, Cikgu Samsudin dan Cikgu Nasran

Sempena kedatangan Syawal, sebagai tanda kemenangan kepada golongan yang berpuasa dengan sesungguhnya, guru-guru Islam mengambil kesempatan melafazkan ucapan Eid mubarak, minal a'idin wal faidzin, kullu am wa antum bi khair. Sudah menjadi tradisi bahawa ungkapan maaf zahir dan batin tidak lekang daripada dituturkan. Empat orang guru lelaki SMK St. Michael, Ipoh (SMI) sempat merakamkan simbolik semangat Syawal untuk dikongsi bersama seluruh warga SMI.

Di Malaysia, hari raya turut menjadi wahana bagi mengukuhkan ikatan kekeluargaan, kejiranan dan persahabatan. Perubahan zaman menyebabkan konsep rumah terbuka kini berdasarkan tarikh dan waktu yang tertentu. SMI juga tidak pernah ketinggalan bagi menganjurkan majlis rumah terbuka supaya kemeriahan sambutan hari raya dapat dikongsi seluruh warganya tanpa mengira latarbelakang kepercayaan dan keturunan ...

Monday, July 29, 2013

CUTI RAYA LEBIH PANJANG (FESTIVE SEASON CLOSE TO EXAM FEVER)

Ipoh, Isnin: 29/7/13 = 20 Ramadan 1434

Penolong Kanan SMK St. Michael, Ipoh (SMI), Encik Ahmad Kemunchak bin Abdul Karim mengumumkan kelulusan permohonan cuti berganti hari raya puasa yang membolehkan warga SMI membuat persiapan perjalanan dan sambutan mulai 3 Ogos hingga 18 Ogos ini. Sekolah akan dibuka semula pada 19 Ogos dengan peperiksaan percubaan PMR menanti sehari selepas itu. Demikian juga murid tingkatan empat akan menduduki Penilaian Selaras II.
Encik Ahmad Kemunchak di pentas perhimpunan SMI

Hari Sabtu ganti yang ditetapkan ialah pada 24 Ogos untuk jadual hari Isnin dan 7 September untuk jadual hari Selasa. Encik Ahmad berharap bahawa pelajar dapat membuat persediaan fizikal dan mental yang kuat walaupun dalam tempoh perayaan. Beliau berucap dalam perhimpunan rasmi sekolah sebagai mewakili pengetua yang masih berada di Eropah. 

Dalam sesi perhimpunan yang sama, Penolong Kanan turut memperkenalkan tiga orang guru baharu yang berpindah dari Star, SMT dan Sarawak. Tujuh orang guru pelatih UPSI, kebanyakannya dari Malaysia Timur, serta seorang lagi dari Universiti Malaya, Varusai Abdul Kader, bekas Michaelian juga diperkenalkan secara rasmi. Seorang pelajar dari Texas, Amerika Syarikat juga ditempatkan di kelas LS1 di bawah program AFS. Semua guru dan pelajar antarabangsa yang berkenaan diharapkan berjaya menyesuaikan diri dengan persekitaran SMI sebagai sebuah sekolah premier bandar raya dominasi murid lelaki...

Thursday, July 25, 2013

RUMAH U PAUL JUARA SUKAN SMI 2013 (EXTENDED MEDALS PRESENTATION)

Temasya sukan tahunan SMK St. Michael, Ipoh (SMI) telah lama berlalu pada 29 Jun, bersamaan hari Sabtu. Acara kejohanan dan majlis berjalan dengan lancar. Hanya slot penyampaian hadiah perlu bersambung pada kesempatan yang lain.
gaya Cikgu Helmi di pentas

Maka, pada majlis perhimpunan rasmi mingguan, acara penyampaian pingat kemenangan dilangsungkan dengan kehadiran semua guru dan pelajar sesi pagi. Dengan perancangan yang rapi, acara berkenaan hanya mengambil masa yang singkat. Cikgu Helmi selaku setiausaha sukan SMI membuat pengumuman senarai pemenang, manakala, Puan Hajjah Normah Karimin, Penolong Kanan Kokurikulum mengalungkan pingat.

Rumah sukan U Paul diisytiharkan sebagai juara kejohanan, manakala kedudukan naib johan menjadi milik rumah Augustus. Sudah menjadi tradisi sukan di SMI bahawa kategori acara berdasarkan tingkatan. Demikian juga dengan pemilihan olahragawan dan olahragawati.

...

...

Monday, July 15, 2013

PASUKAN CABARAN SAINS SMI KE PERINGKAT KEBANGSAAN (ROAD TO STOCKHOLM)

Ipoh, Isnin: 15/7/13 = 6 Ramadan 1434

Sekali lagi SMK St. Michael, Ipoh (SMI) mencatat kisah kejayaan sebaik melangkah ke abad kedua penubuhan institusi pendidikan bertaraf premier ini. Kali ini wakil SMI ternyata unggul dalam bidang pengetahuan sains apabila muncul sebagai johan National Science Challenge peringkat negeri Perak dengan menewaskan wakil sekolah harian, sekolah berasrama penuh dan MRSM. SMI sendiri menjadi tuan rumah pertandingan berkenaan pada 8 Julai yang lalu.
Dari kiri: Tan Bin Shan, Puan Hajah Normah, Puan Seri Ayu, 
Puan Wan Norliza, Alexander Jeremy Joseph 
dan Pavintheran a/l Soosaiselvanathan

Kini, wakil SMI bakal meneruskan saingan di peringkat kebangsaan bersama 16 buah sekolah terkemuka yang lain selaku wakil negeri masing-masing. Mereka akan berkampung di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang mulai 18 hingga 24 Ogos ini. Selain kuiz dan ujian, mereka akan dibimbing untuk menghasilkan projek uji kaji (eksperimen) tertentu yang bakal dihakimi oleh para profesor yang fokus dalam kepakaran tertentu.

Juara peringkat kebangsaan akan mewakili negara ke pertandingan sains peringkat dunia di Stockholm, Sweden. Guru penasihat utama pasukan, Puan Wan Norliza memberitahu bahawa SMI akan berusaha bersungguh-sungguh bagi membawa cabaran SMI ke peringkat yang setinggi mungkin. Majlis penyampaian semula sijil kemenangan dilakukan oleh Puan Hajjah Normah Karimin, Penolong Kanan Kokurikulum pada perhimpunan pagi tadi...

Sunday, June 30, 2013

MUSIM UCAPAN SELAMAT TINGGAL (COUNTLESS AND EVERLASTING MEMORIES)

Ipoh, Jumaat:  28/6/13 =  19 Syaaban1434

Guru datang guru pergi, murid datang murid pergi. Dengan berlalunya masa, pergerakan dan perubahan tidak dapat dielakkan justeru jarum masa terus menuju ke hadapan. Namun, kenangan dan sejarah tidak mungkin luput dalam ingatan bak kata peribahasa, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.
Setelah hampir 4 bulan menjalani praktikum, Cikgu Chang Chee Kian, 28, guru pelatih Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Tanjung Malim kini harus menunggu penempatan sebagai guru terlatih (tetap) bersama ribuan calon guru yang lain. Beliau mengkhusus dalam kaedah teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Berbekalkan pengalaman selama tiga tahun sebagai guru sandaran tidak terlatih (GSTT), Cikgu Chang mampu menghadapi tingkah laku murid lelaki di SMK St. Michael, Ipoh (SMI).

Sebagai oleh-oleh kenangan, Kelab Staf menerusi presidennya, Ustaz Suhaimi telah menyampaikan cenderamata kepada Cikgu Chang. Majlis ringkas itu berlangsung di bilik guru. Cikgu Adi dan Cikgu Nasran Farid turut kelihatan bersama, manakaka Cikgu Hamdan dan Cikgu Rosnah seperti melihat dari jauh.
Sekilas pandang, dua orang cikgu dalam gambar di atas persis kembar seiras. Cikgu Nurul Syuhaida binti Zulkifli, 24, (kiri) ialah siswazah biologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi. Beliau sempat berada di SMI selama lebih sebulan sebagai guru ganti kepada Puan Usha Rani yang sedang bercuti tanpa gaji kerana menyiapkan tesis doktor falsafah (Ph.D) di Universiti Malaya. Anak ketua jabatan pendidikan jasmani di Institut Pendidikan Guru kampus Ipoh itu kini ditempatkan pula ke SMK Tasik Damai.

Cikgu Rosikhsaniah binti Mohd Yusof, 31, guru praktikum Upsi seperti Cikgu Chang juga kini menunggu proses penempatan di sekolah. Ibu kepada seorang cahaya mata itu begitu gembira dengan sambutan dan sokongan warga SMI semasa beliau melengkapkan komponen penting kursus keguruan. Pengalaman di SMI begitu bermakna dalam perjalanan kerjaya beliau kelak.
SMI juga bakal kehilangan guru biologi berpengalaman, iaitu Cikgu Afzan binti Abdul Rahman. Ibu kepada 4 orang cahaya mata ini bakal melaporkan diri ke SMK Kampong Pasir Puteh, Ipoh berkuat kuasa 1 Julai 2013. Selamat bertugas di tempat yang baharu dan semoga terus cemerlang dalam kerjaya dan keluarga...

Wednesday, June 26, 2013

HUJAN HAPUS JEREBU, RAPTAI SUKAN DITERUSKAN (MARCHING TRADITION AT ST. MICHAEL'S)

Ipoh, Rabu: 26/6/13 = 17 Syaaban 1434

Ketika masukan blog ini ditulis, hujan masih membasahi bumi Ipoh walaupun tidak begitu lebat. Namun, hujan rahmat yang turun bakal menghapuskan ancaman jerebu yang menjengah bandaraya Ipoh sejak sehari dua yang lalu. Banyak kegiatan luar bangunan yang terhad sebelum ini kembali rancak apabila bacaan tertinggi indeks pencemaran udara (IPU) yang mencecah 192 mata kini kembali di bawah 100.
Persiapan acara sukan tahunan SMK St. Michael, Ipoh (SMI) kini bersambung semula. Tradisi pertandingan kawad formasi dan lintas hormat dapat diteruskan semasa temasya sukan tahunan berkenaan yang dijadualkan bermula pada pukul 7.30 pagi hari Sabtu ini. Pasukan yang bertanding giat menjalani latihan penyudah bagi sebuah persembahan yang paling mantap.
Pertandingan kawad kaki dibahagikan berdasarkan kategori tingkatan. Sejumlah 61 buah pasukan dijangka mengambil bahagian. Proses pembelajaran dan aplikasi kecerdasan sosial, kepimpinan, kepengikutan dan kreativiti memberi kelebihan kepada warga SMI sebagai pengalaman lapangan yang tidak diperoleh di bilik darjah semata-mata. Setiap pasukan hanya diberi masa selama seminit setengah untuk persembahan yang telah dirancangkan sekian lama...

Friday, June 21, 2013

PASUKAN MAJALAH 'THE MICHAELIAN' 2013 (THE NEXT SHOWPIECE OF ORIGINAL WRITING)

Ipoh, Jumaat: 21/6/13 = 12 Syaaban 1434

Sebagai kesinambungan tradisi SMK St. Michael, Ipoh (SMI), majalah tahunan sekolah The Michaelian edisi ke-66 sedang dalam proses pengumpulan bahan dan reka bentuk. Majalah kali ini dianggap istimewa sebagai terbitan sulung abad kedua penubuhan SMI. Beberapa perubahan bakal berlaku sejajar dengan cita rasa generasi baharu Michaelian.

Tanggungjawab penerbitan The Michaelian diberi kepada jawatankuasa hal ehwal murid yang membimbing sidang redaksi dalam kalangan pelajar, khususnya anggota Kelab Penulisan dan Penerbitan. Pelajar bukan anggota kelab juga dialu-alukan untuk memohon sebagai sidang redaksi majalah. Konsep umum penerbitan The Michaelian ialah hasil kerja pelajar menerusi bimbingan guru.

Sidang redaksi kanan The Michaelian 2013 terdiri daripada lapan orang ahli jawatankuasa Kelab Penulisan dan Penerbitan prauniversiti tingkatan enam rendah. Mereka dipilih menerusi mesyuarat agung tahunan kelab pada hari Rabu yang lalu. Kebanyakan pelajar yang terpilih memiliki pengalaman sebagai anggota sidang redaksi majalah sekolah sebelum ini.
Duduk dari kiri: Wooi Sue Jenn, LS4 (setiausaha), 
Christina Wong, LA1 (ketua pengarang), 
Lee Han Kiat, LS3 (timbalan ketua pengarang), 
En. Khiew Wai Mun  (penyelaras)
Berdiri dari kiri: Charroogesinee, LA1; Angeline Chin, LA2;
 Lee Kian Hang, LS2 dan Ho Joo Hin, LS4.
(Tiada dalam gambar: Chang Carrie, LA1, bendahari)

Pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi, satu sesi pertemuan khas sidang redaksi dengan penyelaras The Michaelian edisi 2013, Encik Khiew Wai Mun telah berlangsung di ruang makan, bilik guru. Selain sesi pengenalan diri, pelajar diberi taklimat ringkas tentang sejarah penerbitan majalah The Michaelian daripada edisi pertama lagi. Majalah The Michaelian diterbitkan menerusi proses perancangan dan pentadbiran yang cukup teliti supaya terus menjadi penanda aras sebuah majalah sekolah yang bermutu tinggi dan memenuhi ciri naskhah rasmi sesebuah organisasi yang dihormati seperti SMI.

Format penulisan dan pemilihan gambar dalam lembaran majalah tidak dilakukan secara tangkap muat melainkan setelah akur dengan keperluan tertentu. Buktinya, majalah The Michaelian edisi centennial pada tahun 2012 telah mencatat markah 100 peratus kerana menepati semua 22 kriteria penarafan bagi penerbitan majalah sekolah oleh pegawai pemantauan kementerian. Kini, terpulang kepada sidang redaksi The Michaelian 2013 bagi menyahut cabaran selanjutnya...

Thursday, June 13, 2013

SMI 'BERWAJAH BAHARU' LAGI (UPGRADING FACILITIES FOR MICHAELIANS)

Cuti pertengahan tahun 2013 mulai dari 24.5 hingga 9.6.2013 telah berakhir. Kini semua pelajar dan guru kembali ke sekolah untuk meneruskan agenda kecemerlangan pendidikan sebagai upaya menyumbang terhadap pencapaian status negara maju acuan sendiri menjelang tahun 2020. Dalam cuti singkat dua minggu itu, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) sempat mengalami perubahan kemudahan fizikal demi keselesaan dalam proses pembelajaran dan mengukuhkan konsep sekolah selamat.
Kawasan luar dewan sekolah yang menghala ke gelanggang badminton kini dipasang atap telus cahaya bagi memastikan bahawa pada waktu hujan, warga sekolah akan hanya menerima tempias air hujan yang minimum dan tidak sampai basah kuyup. Dengan kemudahan terbaharu berkenaan, seluruh kawasan sekolah boleh dilalui walaupun dalam keadaan cuaca buruk tanpa menggunakan payung.

Pemilihan atap telus cahaya bertujuan untuk pemantauan pergerakan warga sekolah, sama ada dari aras bumi atau aras atas bangunan tanpa sekatan pandangan. Jika terdapat sampah yang tersangkut atau bagi maksud pembersihan, atap lut cahaya lebih mudah diuruskan. Mungkin juga suatu hari nanti gelanggang badminton akan dipasang atap telus cahaya sepenuhnya bagi mengelakkan laluan angin yang tidak sesuai bagi permainan bulu tangkis.

Seluruh bangunan sekolah juga kelihatan lebih ceria apabila telah dicat semula. Demikian juga sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan peralatan paparan cecair kristal (LCD) juga disenggara dan diservis. Sesungguhnya persekitaran pembelajaran yang selesa pada akhirnya menyumbang terhadap pencapaian keseluruhan sekolah yang lebih baik hendaknya ...

Friday, May 31, 2013

KESINAMBUNGAN LEGENDA SMK ST. MICHAEL, IPOH BERTERUSAN (MICHAELIAN IN THE FEDERAL MINISTERS LINE-UP)

Sebagai sekolah premier yang sudah melepasi usia 100 tahun, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) memang memiliki sesenarai panjang legenda (istilah bekas pelajar berjaya dalam kajian keberkesanan sekolah) yang telah mengukir nama hingga ke peringkat antarabangsa. Mereka termasuk tokoh akademik, pemimpin politik dan korporat, pegawai tinggi awam, atlet dan aktivis sosial. Ketua polis negara yang baru bersara, Tan Sri Ismail Omar ialah bekas Michaelian yang berjaya mendaki puncak kecemerlangan dalam kerjaya beliau.
Profesor Datuk Dr. Abdullah bin Mohamad Said
(sumber gambar: facebook  beliau)

Sepertimana Tan Sri Ismail Omar yang digilap menerusi kelas rancangan khas (aliran Inggeris), Profesor Dato' Dr. Abdullah bin Mohamad Said, 56, juga menjulang nama sekolah apabila dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Universiti Teknologi Mara (UiTM). Anak kelahiran Tualang Sekah, Malim Nawar sering datang ke SMI sebagai tanda ikatan yang kuat dengan alma mater beliau. Rakan beliau, Profesor Madya Dr. Ahmad Nidzam, pensyarah UKM pula merupakan penganalisis politik yang terkenal.
Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, isteri dan anak
(sumber gambar nostalgia: klik di sini)

Khoo Kay Kim, sarjana sejarah masyarakat Malaysia yang ulung memang tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau belajar di SMI semasa tingkatan enam, sebelum menjadi guru di SMK Horley Methodist, Teluk Intan dan seterusnya pensyarah di Universiti Malaya. Sebagai seorang yang suka berterus terang, pengamatan beliau dalam dunia kecendekiawanan dan sukan sering menjadi rujukan.
Dato' Seri Haji Ahmad Husni bin Mohamad Hanadzlah
(sumber gambar: di sini)

Ahmad Husni, 61, bekas Michaelian yang berkecimpung dalam dunia politik kebangsaan dan dilantik semula sebagai Menteri Kewangan Kedua Malaysia baru-baru ini. Tahniah dari sekalian warga SMI, Dato' Seri!. Beliau sisawazah ekonomi dari Universiti Malaya dan sarjana pengurusan (Institut Pengurusan Asia, Manila) dan kewangan Islam (UIAM). Kebelakangan ini Dato' Seri Ahmad Husni kerap singgah di SMI untuk meninjau kemajuan sekolah lama beliau.

Legenda yang tersenarai merupakan angkatan generasi X yang telah mengecap kejayaan peribadi,keluarga, masyarakat, negara dan juga SMI. Mereka wajar dicontohi dari segi kegigihan belajar dan proses menimba pengalaman di sebuah sekolah yang unik seperti SMI. Generasi Y SMI juga menunjukkan petanda bahawa mereka bakal muncul sebagai legenda sekolah berkesan dalam tempoh terdekat...

Saturday, May 18, 2013

LADAP KEPIMPINAN GURU DAN BUDAYA KERJA CEMERLANG (DO NOT OVERSTAYING THE WELCOME)

Ipoh, Sabtu: 18/5/13 = 8 Rejab 1434

Perbincangan tentang kepimpinan guru disentuh secara panjang lebar dalam kuliah kepimpinan dan pentadbiran pendidikan sama ada di peringkat sarjana muda atau sarjana. Calon sarjana di jabatan perancangan dan pentadbiran pendidikan misalnya mengkhusus dalam penyelidikan tentangnya sepanjang tempoh pengajian. Pencapaian keberkesanan sekolah sangat berkait rapat dengan kepimpinan teragih guru yang memberi tumpuan terhadap pembelajaran murid.
Sekretariat Ladap, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) telah memilih slot kepimpinan guru yang berkesan sebagai tema Ladap keempat yang lebih menjurus kepada perkongsian pengalaman, aplikasi dan percambahan input baharu dalam persekitaran sebenar di sekolah (baca contoh anekdot kepimpinan guru di sini). Pengetua cemerlang SMI, Puan Loh Wei Seng sendiri telah bertindak sebagai pemudah cara dengan menggunakan pelbagai bahan kursus yang beliau hadiri sebagai asas untuk meneroka pembaharuan dalam proses menolong murid menuju puncak kecemerlangan pembelajaran.
Slot kedua Ladap secara maraton dua jam setengah dikendalikan pula oleh Tuan Haji Ismail Desa, bekas pengetua sekolah yang kini berkhidmat sebagai kaunselor pelajar di Institut Teknologi Perak, di samping pembabitan hingga ke peringkat Unesco dalam program pendidikan pencegahan dadah. Pada tahun 2012, beliau juga pernah mengisi salah satu slot Ladap Guru Penyayang. Walaupun sebahagian contoh dan kisah yang disampaikan berupa ulangan, Tuan Haji Ismail Desa berjaya memberi nafas baharu dan sentuhan terkini bagi sebuah skrip yang mirip benar dengan persembahan terdahulu.
Peserta Ladap yang terdiri daripada guru dan kakitangan sokongan menunjukkan rasa hormat dan penghargaan yang tinggi atas kesudian Tuan Haji Ismail Desa memberikan nasihat dan petua yang penting dalam mengharungi kerjaya ikhtisas keguruan yang penuh cabaran. Ceramah beliau diselang-seli dengan  persembahan slaid dan tayangan mutimedia. Sebagai pakar andragogi, Tuan Haji Ismail juga mengajak peserta Ladap melakukan pergerakan fizikal (psikomotor) dan lontaran vokal supaya sentiasa aktif dalam majlis, serta memantapkan amalan kerja berpasukan di SMI...