TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Saturday, July 5, 2014

HARI TERBUKA SMI TUMPU SARANA IBU BAPA (HOME EXTENTION LEARNING SUPPORT)

Ipoh, Jumaat: 4/7/14 = 6 Ramadan 1435

Kekerapan ibu bapa berkunjung ke sekolah agak terhad, melainkan apabila terdapat acara dan majlis yang membabitkan mereka secara khusus. Tatacara masuk ke kawasan sekolah memang dihadkan atas sebab keselamatan dan kelancaran proses pembelajaran murid. Namun, di samping kelonggaran tertentu, ibu bapa akan dijemput hadir, misalnya bagi memeriahkan sambutan kejohanan sukan, mesyuarat agung PIBG, hari anugerah kurikulum dan kokurikulum dan hari jualan bagi mengumpul dana.
Lavinya (UA1), pengerusi majlis ketua tingkatan SMI
(lady head monitor) bersama ibu bapa

Hari terbuka atau hari bertemu waris merupakan majlis jemputan kepada semua ibu bapa secara serentak untuk bertemu dengan guru kelas dan guru mata pelajaran bagi membincangkan kemajuan dan pencapaian akademik anak masing-masing. Lazimnya, pertemuan berkenaan akan mengambil masa antara  lima hingga sepuluh minit bagi setiap ibu bapa. Memandangkan salah satu komponen penting sarana ibu bapa ialah sokongan pembelajaran di rumah, mereka dibabitkan dalam proses menetapkan sasaran pencapaian akademik anak seterusnya.
bapa prihatin

SMK St. Michael, Ipoh (SMI) yang baharu selesai majlis hari anugerah kecemerlangan kurikulum dan kejohanan sukan tanpa berlengah terus menjemput ibu bapa hadir sekali lagi ke sekolah mulai pukul sepuluh pagi tadi. Mereka sabar menunggu giliran untuk bertemu guru kelas dan berkesempatan bertukar-tukar fikiran demi manfaat anak yang menjadi harapan dan sandaran seisi keluarga. Pelajar kelihatan begitu skema apabila diri mereka menjadi mauduk perbincangan secara berterus terang.
anak mak

Hari terbuka tidak ubah seumpama sesi kaunseling klinikal, tetapi dilaksanakan dalam satu ruang yang ramai. Guru yang sedia terlatih dalam disiplin psikologi pendidikan memang mahir mengendalikan sesi motivasi kekeluargaan seperti itu. Jika ada bibit konfrontasi atau lencongan, guru dengan cermat menjuruskan kembali tujuan perbincangan ke landasan yang asal.
Charrogesinee bersama kakaknya, seorang mahasiswi perakaunan

Tidak semua ibu bapa yang dapat hadir pada hari terbuka yang ditetapkan. Sebahagian mereka telah menghubungi pihak sekolah untuk janji temu pada hari yang lain. Sebahagian lagi menghantar wakil yang sah, terutama saudara tua (abang atau kakak) anak masing-masing.
Sebagai oleh-oleh, ibu bapa yang hadir diberikan surat berita terbitan khas Kelab Penulisan dan Penerbitan SMI. Maklumat ringkas dan gambar yang dimuatkan dalam buletin berkenaan begitu menarik walaupun hanya disiapkan oleh anggota baharu kelab dalam kalangan pelajar prauniversiti penggal satu (tingkatan enam rendah) dalam tempoh yang singkat. Syabas kepada sidang editor buletin, bimbingan Puan Shafinazaida binti Abdul Wahab dan mantan editor The Michaelian, Christina Wong See-Kei ...

No comments:

Post a Comment