TERIMA KASIH KERANA SUDI SINGGAH DI LAMAN INI

Maklum balas dialu-alukan. Sila klik pada comment.

Atau e-mel: amrinajr@gmail.com

(sila klik foto dalam setiap masukan untuk paparan skrin penuh)

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI

Minal 'a 'idin wal fa idhin

Kullu am wa antum bi khair

Maaf Zahir dan Batin

Wednesday, February 19, 2014

HOKI KINTA UTARA: TIGA GOL PADANG JADI PEMISAH (VOTED IN THE TOUGH GROUP)

Ipoh, Rabu: 19/2/14 = 19 Rabiul Akhir 1435

Pertembungan dengan Sekolah Anglo-Chinese (ACS) Ipoh bagaikan misi hidup mati dalam meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya setelah kedua-dua pasukan tewas tipis kepada lawan masing-masing dalam aksi sulung semalam. SMK St. Michael, Ipoh (SMI) tewas 0-2 di tangan sekolah akademi sukan negeri, SMK Gunung Rapat, manakala ACS kecundang di tangan SMK Sungai Pari dengan jumlah gol yang sama. Rekod perlawanan tahun-tahun sebelumnya tidak boleh dijadikan perbandingan justeru kedua-dua pasukan menang dan kalah silih berganti.
serbuan ke kubu ACS pada minit kelapan

SMI bermula garang sebaik sahaja wisel dibunyikan. hantaran kencang ke kawasan D bagaimanapun hanya sedikit sipi daripada kayu stik pemain yang sudah menanti betul-betul di hadapan pintu gol yang ternganga. SMI memperoleh dua kali pukulan sudut penalti, manakala ACS tiga kali tetapi tidak masuk.
giliran ACS di hadapan kubu SMI

Dalam keasyikan memberi tekanan kepada benteng ACS, mereka melancarkan serangan balas kilat pada penghujung babak pertama. Dua gol padang dihasilkan secara berturut-turut dalam dua minit terakhir. ACS membawa bekalan selesa untuk mengharungi baki 20 minit lagi dalam separuh masa kedua.
penjaga gol SMI yang serasi

Penjaga gol kedua, Mohd Syahrin, murid tingkatan satu beraksi dengan cemerlang dalam babak pertama. Pada babak kedua, Arresh Norman Sidhu, penjaga gol pertama dimasukkan semula, namun tidak mampu menghalang gol padang ketiga pasukan lawan (minit ke-13). SMI berusaha keras hingga penghujung perlawanan, tetapi  benteng pertahanan lawan dikawal dengan begitu rapi ...

Tuesday, February 18, 2014

PASUKAN HOKI, RAGBI SMI LAKAR SKRIP BERBEZA (THE EMERGENCE OF NEW RIVALS)

Ipoh, Selasa: 18/2/14 = 18 Rabiul Akhir 1435

Cikgu Adi Yusri, guru pendidikan jasmani dan pendidikan kesihatan (PJPK) SMK St. Michael, Ipoh (SMI) membawa khabar gembira dari lokasi pertandingan ragbi apabila skuad SMI berjaya membenam cabaran 'musuh tradisi', iaitu SMK Anderson dengan keputusan 12-10. Walaupun Anderson bukan kuasa ragbi di Kinta Utara, tetapi justeru setiap pertandingan yang membabitkan SMI dengan sekolah berkenaan dianggap sebagai 'pertarungan maruah' dua buah sekolah premier, maka kemenangan itu memberikan kepuasan yang sukar untuk diungkapkan. Tahniah kepada skuad ragbi SMI yang berhasil membuktikan bahawa dalam bidang sukan kepintaran, SMI masih unggul.
Cikgu Veeriah dan Cikgu Adi

Apabila bercerita pula tentang hoki, SMI memiliki sejarah yang hebat kerana nama seperti Mohamad bin Abdul Hadi dan Foo Keat Siang, bekas Michaelian pernah meniti puncak gemilang sebagai kapten skuad hoki negara dalam temasya Olimpik dan dunia. Namun, Anderson yang diangkat sebagai sekolah projek hoki lelaki negeri Perak kini sangat sukar untuk digugat. Pasukan berkenaan telah membelasah SMK Bercham hampir 20 gol tanpa balas dan tanpa belas dalam perlawanan pembukaan kejohanan daerah Kinta Utara pagi tadi. 
aksi pemanas badan

Pasukan SMI pula bertemu dengan SMK Gunung Rapat, sebuah lagi sekolah yang bertaraf akademi sukan negeri. Walaupun Gunung Rapat menumpukan perhatian terhadap projek hoki perempuan negeri, namun skuad lelaki mereka tetap mendapat sentuhan 'projek', serta mempunyai kemudahan padang turf sendiri. Seawal minit kelima, Gunung Rapat berjaya memperoleh pukulan sudut penalti yang berjaya disempurnakan.
cemas di kubu sendiri

Babak kedua seolah-olah milik mutlak SMI dengan serangan bertali arus mengasak kubu lawan. Satu pukulan kencang dari luar kawasan D bagaimanapun tidak terkena mana-mana pemain yang sudah berada di kawasan D. Sebaliknya, Gunung Rapat berjaya memanfaatkan satu serangan balas yang pantas dengan satu gol padang kira-kira lima minit perlawanan hendak tamat. 
mencemaskan Gunung Rapat

SMI dihadiahkan pukulan sudut penalti pada penghujung perlawanan, tetapi sedikit tersasar. SMI masih mempunyai dua baki perlawanan dalam kumpulan D, iaitu menentang ACS dan SMK Sungai Pari esok. Kedua-dua perlawanan dipadang bersebelahan Stadium Sultan azlan Shah itu wajib dimenangi jika SMI berhasrat untuk mara ke pusingan lapan pasukan terbaik seperti tahun lalu ...

Saturday, February 8, 2014

AUGUSTUS UNGGULI LARIAN MICHAELIAN 2014 (THE CHALLENGE OF CITY CROSS COUNTRY)

Ipoh, Sabtu: 8.2.14 // 8 Rabiul Akhir 1435

Usai pendaftaran kehadiran di tapak perhimpunan mingguan, semua peserta larian bergerak ke padang bola sepak untuk senaman pemanas badan. Semua pelajar sesi pagi dan sesi petang berkumpul di suatu tempat. Mereka berbaris mengikut kelas masing-masing untuk memulakan larian berdasarkan kategori tingkatan.
Berbeza dengan zaman persekolahan generasi terdahulu, kebanyakan pelajar lelaki lebih gemar memilih seluar trek panjang berbanding dengan seluar pendek. Keadaan itu selaras dengan gaya atlet antarabangsa yang memakai seluar yang labuh, kecuali untuk acara tertentu. Peraturan pakaian yang lebih tegas juga wajib dipatuhi oleh pemain bola sepak.
Turut memeriahkan larian ialah beberapa orang bekas pelajar yang sempat meluangkan masa dan masih sanggup berlari. Pada masa hadapan, SMK St. Michael, Ipoh (SMI) mungkin berjaya membawa bekas pelajar yang telah mengecapi kejayaan di peringkat tertinggi untuk bertanding sebagai peserta jemputan khas. Kehadiran bekas pelajar berprofil tinggi pasti membakar semangat generasi Michaelian semasa untuk menyambung tradisi kecemerlangan SMI yang kini memasuki usia 102 tahun.
Peserta larian berpencapaian tinggi mempamerkan kesungguhan sejak garis permulaan. Bukan nilai hadiah atau sijil yang dikejar, tetapi pengalaman menikmati kejayaan menjadi titik tolak kecemerlangan dalam meniti arus kehidupan. Semangat berlumba-lumba untuk muncul sebagai juara boleh dibawa dalam bidang pembelajaran. 
Terdapat juga peserta yang mengambil bahagian untuk tujuan suka-suka, tetapi masih dalam radar semangat kesukanan yang jitu. Aksi mereka mungkin kelihatan santai, tetapi kesanggupan menamatkan perlumbaan masih boleh diberi pujian. Dalam kata lain, mereka akur dengan nilai sosial yang menghendaki kerjasama dan suci hati.
Kemuncak acara ialah penyampaian hadiah kepada para pemenang tempat pertama hingga kesepuluh bagi setiap kategori. Gelagat penyokong dan pengibar bendera rumah sukan menggamatkan majlis mengalungkan pingat. Kali ini giliran rumah Augustus muncul sebagai satu-satunya rumah sukan yang berjaya mencatat mata melebihi 200 dan sekali gus muncul sebagai johan keseluruhan larian ...

Wednesday, January 15, 2014

KEHADIRAN PENUH MICHAELIAN DIIKTIRAF (NEVER MISSED A SINGLE DAY OF SCHOOL 2013)

Ipoh, Isnin: 13/1/14 = 11 rabiul Awwal 1435

Bukan mudah untuk mencatat rekod kedatangan 100 peratus sama ada dalam kalangan pelajar atau guru di sekolah. Ada-ada sahaja urusan yang memerlukan mereka berada di luar kawasan sekolah dalam tempoh pembelajaran rasmi. Misalnya, cuti sakit, urusan ujian memandu, majlis keluarga dan kecemasan. 
gaya seorang murid tingkatan 3 setelah menerima sijil

SMK St. Michael, Ipoh (SMI) telah mengadakan majlis penyampaian sijil kehadiran penuh kepada sejumlah 140 orang pelajar sesi pagi. Pelajar tingkatan 5 dan 6 Atas tahun 2013 bakal menerima sijil pada hari mereka mengambil slip peperiksaan SPM dan STPM. Tujuan pemberian sijil ialah sebagai dorongan kepada pelajar yang terbabit dan rakan yang lain untuk mencontohi amalan yang sama.

Sijil kehadiran penuh akan menambah nilai terhadap pencapaian akademik dan kokurikulum yang lain. Penerima sijil dijangka memiliki kelebihan dari segi permohonan pembiayaan pengajian dan pekerjaan. Mereka sudah terbiasa dengan kehadiran penuh dan berasa janggal untuk mengambil cuti tanpa alasan yang benar-benar kukuh ...

Monday, January 6, 2014

PELANCARAN TEMA SMI 2014 (ONWARD MICHAELIANS UNITED AND TRUE)

Ipoh, Isnin: 6.12.2014 / 4 Rabiul Awwal 1435

Kesinambungan tema sekolah pada tahun lepas jelas terserlah apabila keseluruhan ayat tema berkenaan dikekalkan kecuali perkataan 'valiant' digantikan dengan 'united'. Pelancaran tema berlangsung dalam upacara ringkas semasa perhimpunan mingguan pertama persekolahan di tapak perhimpunan pagi tadi. Pengukuhan semangat kerjasama, permuafakatan dan perpaduan yang sudah disemai sejak penubuhan sekolah lebih 100 tahun yang lalu diharapkan dapat membawa SMI ke mercu jaya yang lebih tinggi.
klik gambar untuk paparan penuh

Tema berkenaan membawa maksud 'Michaelian Maju Bersatu dan Benar'. Penjelasan tema sebagaimana dalam kain rentang ialah 'Sebagai Michaelian, kami berasa kuat apabila kami bersatu dan benar (tulus, ikhlas, jujur). Bersatu membawa erti kami tidak bersendirian, sebaliknya kami bergandingan bersama. Kami belajar di dalam kelas dengan memastikan tiada rakan yang tercicir atau ketinggalan. Untuk mengukuhkan semangat kelas, kami memastikan setiap orang dihargai sebagai anggota kumpulan kami. Menerusi cara ini, kami bukan sahaja BERSATU, tetapi juga BENAR, benar terhadap diri sendiri dan benar antara satu dengan yang lain.'

Dengan membuang segala tingkah laku yang hanya mementingkan diri dan agresif, Michaelian diharapkan sentiasa berpegang kepada amalan nilai murni, sekali gus muncul sebagai insan budiman yang asertif. Tema berkenaan sangat bertepatan dengan matlamat asal penubuhan sekolah yang menawarkan persekitaran pembelajaran inklusif, iaitu membantu murid yang terbelakang, kekurangan dan  tidak berdaya  (to cater for the last, the least and the lost). Tema kali ini juga mengambil semangat daripada lirik lagu sekolah ...

Friday, January 3, 2014

CIKGU NUR AZIZAN, CIKGU NOR AZLINA BERSARA (MISSING THE INSPIRING COLLEGUES)

Ipoh, Jumaat: 3/1/14 = 1 Rabiul Awwal 1435

Puan Hajjah Nurazizan binti Haji Mohamed Razalli menyimpan kenangan indah perkhidmatan keguruan  di SMK St. Michael, Ipoh (SMI) selama hampir 32 tahun lamanya. Beliau yang memiliki kelayakan akademik daripada Politeknik Ungku Omar, Ipoh dan kelayakan ikhtisas daripada Maktab Perguruan Teknik, Cheras pernah bertugas di sebuah sekolah di negeri Perlis Indera Kayangan. Puan Nor Azlina binti Mohamed Lop yang berkelulusan B.Sc (Hons) daripada University of Leeds, UK hanya sempat bertugas di SMI, sekolah ke-10 beliau selama setahun.
pengetua menyambut Cikgu Nor Azlina dan  Cikgu Nurazizan

Majlis persaraan bermula dengan perarakan masuk kedua-dua orang guru di laluan pejalan kaki. Turut hadir ialah Bro. Dato' Vincent Cockery dan  Encik Joseph Michael Lee, Pengerusi PIBG. Acara diserikan dengan paluan kompang dan iringan bunga manggar.
kemesraan dan perasaan pilu

Seperti biasa, majlis di pentas perhimpunan sekolah bermula dengan ucapan penghargaan oleh pengetua, dan seterusnya ucapan perpisahan guru yang bakal bersara. Ungkapan kenangan dan kata-kata inspirasi dilontarkan oleh Cikgu Nurazizan dan Cikgu Nor Azlina. Acara diteruskan dengan penyampaian hadiah dan cenderamata. 
hadiah peribadi untuk guru kesayangan
Cikgu Norazizan dikenali sebagai moderator tingkatan 3
dan sebagai guru kemahiran hidup bersepadu

Usai acara pentas, semua guru dan murid beratur panjang untuk mengucapkan selamat bersara kepada kedua-dua insan pendidik yang begitu berjasa di SMI. Betapa warga SMI kehilangan dua orang guru yang sangat berpengalaman secara serentak pada hari kedua persekolahan tahun 2014. Namun, sudah pasti Cikgu Nurazizan dan Cikgu Nor Azlina mempunyai perancangan bersama keluarga dan teman di kawasan kejiranan.
naik Ixora Cikgu Ibrahim

Sebagai simbolik, kedua-dua orang guru diberi penghormatan menaiki kenderaan nasional, Proton Ixora milik Cikgu Ibrahim. Sudah pasti SMI sentiasa mengalu-alukan kunjungan Cikgu Nurazizan dan Cikgu Nor Azlina berjumpa sahabat dan murid pada bila-bila masa. Hakikatnya, mereka memilih persaraan awal daripada usia 60 tahun justeru mahu menikmati masa berkualiti di rumah dan mungkin juga meneruskan bakti pendidikan dalam bentuk yang berbeza.
hadiah Jappim untuk Puan Nor Azlina

Dalam majlis yang berasingan di bilik guru, Jawatankuasa Pelaksanaan Program Pendidikan Islam SMI (Jappim) turut menghargai sumbangan kedua-dua orang guru. Setiausaha Jappim, Ustaz Suhaimi telah sudi memberikan ucapan ringkas dan seterusnya menyampaikan hadiah bagi pihak guru-guru Islam. Selamat bersara Puan Hajjah Nurazizan binti Mohamed Razalli dan Puan Nor Azlina binti Mohamed Lop ...

Thursday, January 2, 2014

HARI PERTAMA PERSEKOLAHAN 2014 DI SMI (MICHAELIAN UNITED)

Ipoh, Khamis: 2/1/14 = 30 safar 1435

Banyak cerita hendak dikongsikan bersama kawan-kawan setelah agak lama tidak bersua muka walaupun komunikasi maya menerusi laman sembang sosial facebook tidak pernah berhenti. Masing-masing juga ingin melihat perubahan fizikal rakan yang sedang meniti usia remaja. Murid yang baharu masuk sekolah pula sibuk menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran yang berbeza dengan sebelumnya.
Kira-kira 95 peratus Michaelian ialah murid lelaki, kecuali pelajar perempuan pengajian prauniversiti tingkatan enam. Mereka cukup bertenaga sama ada dari segi pergerakan fizikal mahupun kelantangan suara. Namun, iklim sekolah (sistem rasa) di SMK St. Michael, Ipoh (SMI) tetap menjadi daya tarikan untuk murid terbaik bersekolah di sini.
Buat sementara, iaitu sehingga bulan Mei hanya terdapat pelajar tingkatan enam atas. Sebagai kelompok pelajar yang matang dan menuju usia 20-an, mereka boleh menjadi teladan yang terbaik untuk murid lain. Hakikat berkenaan juga dilihat oleh seorang pegawai pemantau PPD yang datang ke SMI sejak awal pagi lagi ...

Tuesday, December 31, 2013

LADAP PBS DAN FROG VLE (DESIGNING SOPHISTICATED CLASSROOM ACTIVITIES)

Ipoh, Selasa: 31/12/13 = 28 Safar 1435

Walaupun sistem pendidikan negara diasak bertalu-talu, guru sekolah meneruskan program peningkatan ikhtisas bagi menolong murid mengembangkan potensi dan fakulti mereka secara optimum. Ungkapan kecemerlangan tidak henti-henti disebutkan dalam setiap kegiatan ikhtisas keguruan. SMK St. Michael, Ipoh (SMI) mengorak langkah proaktif apabila mendahului masa dengan melaksanakan program latihan dalam perkhidmatan (Ladap) kali pertama untuk tahun 2014 pada hari terakhir tahun 2013.  
Ladap PBS di auditorium

Ladap dimulakan dengan pembentangan dan perbincangan tentang pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) oleh pengetua dan diikuti oleh jurulatih utama (JU) PBS, Puan Roszatul. Isu-isu berbangkit dan kekeliruan yang berlaku, terutama dalam hal alat (instrumen) dan bukti (eviden) telah berjaya dijelaskan. Proses penambahbaikan dari segi pelaksanaan PBS di semua peringkat dan isu teknikaliti masukan data secara atas talian sentiasa diberi perhatian oleh pihak kementerian.
Tuan Haji Zul, Cikgu Abdul Qaiyum dan Cikgu Ibrahim tiada masalah
dengan penggunaan chromebook bagi meningkatkan keberkesanan
proses pembelajaran Michaelian generasi Y dengan capaian data
 di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa yang dikehendaki

Slot kedua Ladap diisi dengan tunjuk cara program pembelajaran maya (Frog VLE) yang disekalikan dengan pakej Chromebook dan Chromelab. Pemudah cara Frog ialah Cikgu Ooi Kean Geap dan Puan Nur Amali binti Kamarudin. SMI telah memulakan program Frog VLE pada suku ketiga tahun 2012.

Monday, December 30, 2013

LEMBARAN BAHARU SMI 2014 BERMULA (MICHAELIAN SUCCESS PLAN)

Ipoh, Isnin: 30/12/13 = 27 Safar 1435

Kota Rom tidak dibina dalam sehari (Rome wasn't built in a day). Sesuatu kerja besar dan mustahak memerlukan perancangan yang rapi dan teliti. SMK St. Michael, Ipoh (SMI) sebagai sebuah entiti pendidikan yang telah terpahat dalam tinta sejarah selama lebih satu abad sekali lagi memperinci perancangan kecemerlangan sekolah dalam mesyuarat guru bertempat di auditorium SMI pagi tadi.
Penolong Kanan Petang, Tuan Haji Sidek 
sedang menyampaikan taklimat

Pengetua Cemerlang SMI, Puan Loh Wei Seng memberi penegasan khas terhadap aspek perancangan kecemerlangan sekolah meliputi segala proses pengalaman pembelajaran meliputi kurikulum, kokurikulum, disiplin, sahsiah, kepimpinan dan kemahiran insaniah. Tumpuan mesyuarat ialah terhadap hal ehwal kurikulum dan kewangan, serta bidang tugas guru sepanjang tahun 2014. Turut menyampaikan taklimat ialah Encik Ahmad Kemunchak bin Abdul Karim, Drs. Rajendran Naidu a/l Kannayar, Tuan Haji Mohamad Sidek bin Zakaria, Puan Hajjah Normah binti Karimin dan Puan Tan Cheng Choo.

SMI melangkah ke tahun baharu dengan berita gembira iaitu peningkatan gred purata sekolah (GPS) dalam peperiksaan PMR 2013. Dengan perancangan strategik yang bakal dipindahkan dalam bentuk pelaksaan, SMI dijangka mencatat lebih banyak pencapaian cemerlang pada tahun 2014. Di samping dokumen direktori pengurusan dan takwim sekolah, guru juga menerima pelbagai dokumen lain seperti buku persediaan mengajar dan alat tulis ...